Tag Archives: SIRIM

Motul terima pengiktirafan SIRIM, perkukuh kualiti dan ketulenan di Malaysia

Pengeluar pelincir automotif Motul mengumumkan bahawa ia kini telah diperakui oleh SIRIM QAS International pada 10 Mac 2025.

Dianugerahkan kepada Specialty Lubricants Trading (Malaysia) Sdn. Bhd., anak syarikat dan pengedar sah Motul Asia Pacific, pensijilan ini mengukuhkan komitmen jangka panjang jenama ini dalam menawarkan produk berprestasi tinggi untuk pelanggan di Malaysia.

Motul akan menampilkan label pematuhan SIRIM pada setiap produk yang diedarkan melalui saluran rasmi, sebagai sebahagian daripada usahanya dalam melindungi pelanggan daripada produk tiruan.

Oleh itu, pelanggan disarankan untuk mengenal pasti label pematuhan SIRIM ketika membuat pembelian bagi memastikan mereka menerima pelincir yang tulen dan diperakui.

Ts. Md Adha Rahmat, Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International menekankan, “Dengan memastikan minyak enjin mematuhi piawaian antarabangsa yang ketat, langkah ini mengukuhkan pasaran dalam menangani produk tiruan, sekaligus menyokong integriti industri dan melindungi hak pengguna.”

“Dengan menggalakkan penggunaan pelincir tulen dan berprestasi tinggi, skim pensijilan ini turut menyokong usaha Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) Malaysia dengan membantu mengurangkan pelepasan asap kenderaan serta memupuk amalan industri yang mampan,” tambah Ts. Md Adha Rahmat.

Pensijilan SIRIM ini menguatkan kedudukan Motul sebagai syarikat yang boleh dipercayai bagi pemilik kenderaan serta meneguhkan reputasinya sebagai jenama unggul yang sinonim dengan kepercayaan dan kecemerlangan di Malaysia

Komitmen Motul terhadap pasaran Malaysia diperkukuh melalui kerjasama strategik dengan pengedar utama di seluruh negara. Kerjasama ini memainkan peranan penting dalam memperluaskan kehadiran Motul, serta memastikan pelanggan mempunyai akses kepada pelincir bertaraf dunia.

Pensijilan SIRIM mengeratkan lagi jalinan ini, memberikan keyakinan tambahan terhadap kualiti, inovasi, dan kebolehpercayaan produk Motul.

Minyak enjin wajib ada perakuan tulen SIRIM mulai 7 April ini

Bermula 7 April ini, kerajaan akan menguatkuasakan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Minyak Enjin bagi Kenderaan Motor) 2024 dalam usahanya untuk mengekang penjualan minyak enjin kenderaan motor tiruan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata dengan perintah baharu ini, pengguna boleh mengenal pasti penjualan minyak enjin kenderaan motor yang tulen sekali gus membanteras penjualan minyak tiruan yang boleh membawa risiko keselamatan serta kemalangan jalan raya.

“Perintah ini juga akan dapat melindungi kepentingan syarikat pengeluar produk minyak enjin kenderaan motor dengan mengekang risiko penghasilan produk-produk tidak tulen oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Armizan berkata mana-mana produk minyak enjin sama ada dihasilkan dalam negara mahupun diimport, perlu mendapat perakuan tulen menerusi SIRIM QAS International Sdn Bhd yang dilantik sebagai pihak bertanggungjawab memperaku dan mengeluarkan label pematuhan produk bagi tujuan itu.

Kerajaan memberi tempoh enam bulan kepada syarikat pengeluar untuk mematuhi arahan berkenaan dengan perintah pewartaan bermula pada 11 Oktober 2024.

“KPDN dengan kerjasama SIRIM telah menganjurkan program penglibatan sejak 2022 melibatkan hampir semua pemain utama dalam industri minyak enjin kenderaan bermotor di negara ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana syarikat pengimport, pengedar, [atau] penjual yang menjual produk yang tidak disahkan dan tidak mempunyai label pematuhan yang sah,” kata Armizan.

Chery Malaysia terima pensijilan SIRIM untuk bateri EV

Chery Malaysia mengumumkan bahawa ia telah menerima pensijilan SIRIM bagi pek bateri litium EV, menjadikannya jenama automotif pertama di negara ini yang diberikan pensijilan tersebut.

Syarikat itu berkata pengiktirafan daripada SIRIM QAS International ini adalah bukti komitmennya terhadap kualiti dan pematuhan kepada prestasi dan standard keselamatan tertinggi.

“Menjadi jenama automotif pertama di Malaysia yang menerima pensijilan bateri EV adalah penghormatan yang luar biasa dan peristiwa penting bagi kami di Chery Malaysia,” kata Michael Chew, naib presiden Chery Malaysia.

“SIRIM QAS berbesar hati untuk memainkan peranan dalam menyokong perjalanan Chery Malaysia ke arah penyelesaian mobiliti mampan,” kata Nur Fadhilah binti Muhammad, ketua pegawai eksekutif SIRIM QAS International.

Menurut Chery Malaysia, bateri EV tersebut telah disaksikan menjalani ujian ketat di China mengikut Standard UN R100 untuk memastikan pematuhan kepada piawaian keselamatan dan prestasi antarabangsa untuk kebolehpercayaan, kecekapan dan ketahanan.

Chery Malaysia berkata ia juga menyasarkan untuk memperoleh pensijilan SIRIM untuk bateri EV untuk model-model yang akan ditawarkan pada masa depan.

Buat masa ini, satu-satunya EV keluaran Chery yang ditawarkan di negara ini adalah Omoda E5, yang dijual pada harga RM146,800. Ia menampilkan bateri litium ion fosfat (LFP) 61 kWj yang mampu memberikan jarak pandu sejauh 430 km berdasarkan kitaran WLTP.

Dalam usahanya untuk meningkatkan lagi usaha mobiliti elektronya di negara ini, Chery Malaysia berkata ia merancang untuk memperluaskan lagi penawaran elektrfikasinya dengan model-model PHEV bermula tahun depan.

Tiada model spesifik yang dinyatakan namun antara model yang berkemungkinan besar akan dilancarkan adalah Tiggo 8 Pro e+.

Masih banyak pengecas EV belum ada kelulusan SIRIM

MASIH banyak pengecas kenderaan elektrik (EV) di negara ini yang tidak mempunyai kelulusan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

Perkara itu dinyatakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad.

Menurutnya, banyak syarikat penyedia stesen pengecas EV belum tampil memohon kelulusan daripada SIRIM untuk memastikan peralatan digunakan selamat dan boleh dipercayai.

Menurut Ahmad Sabirin, walaupun bukan mandatori, pihaknya menasihatkan syarikat berkenaan membuat permohonan supaya peralatan yang digunakan untuk stesen pengecas EV diuji terlebih dahulu bagi tujuan keselamatan.

Katanya, untuk menggalakkan lebih ramai tampil memohon, pihaknya memudahkan proses berkaitan, antaranya dengan memendekkan tempoh permohonan apabila syarikat berkenaan boleh memperoleh keputusan dalam masa dua bulan.

“Sebenarnya, SIRIM dalam ekosistem EV mempunyai peranan yang amat penting. Kita akan memberi (kelulusan) sebelum (pembinaan) sebarang infrastruktur EV seperti stesen pengecas EV dan EV yang masuk ke Malaysia.

“Ia mesti mendapatkan satu kelulusan, contohnya dari segi reka bentuk oleh agensi di bawah SIRIM. Selepas itu, ia mesti diuji dan disahkan oleh SIRIM untuk memastikan bateri yang menjadi komponen penting buat kenderaan selamat digunakan.

“Yang penting adalah kita hendak mengharmonikan penggunaan stesen pengecas (EV) itu dari Singapura sampai ke negara Asia Tenggara (yang lain) dengan menggunakan (sistem) pengecasan yang sama.

“Maksudnya, anda boleh memandu EV ke mana-mana saja dan boleh cas EV di mana-mana juga. Maksudnya ada standardlah,” katanya.

Tambah Sabirin, “Memang sekarang ini ada pelbagai EV. Tetapi kita nak pastikan semuanya mempunyai satu standard yang telah ditetapkan oleh badan antarabangsa serta perlu mematuhi standard. Kita juga nak pastikan pengguna di jalan raya selamat menggunakan EV masing-masing.”

Sementara itu, mengikut laporan 20 Mac lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata jumlah pengecas EV di negara ini sudah melebihi 2,000 stesen, setakat Februari lalu.

Tengku Zafrul juga optimis jumlah itu akan bertambah dengan menyasarkan sebanyak 10,000 stesen pengecas EV akan beroperasi di negara ini pada 2025.

Kerajaan pertimbang wajibkan penggunaan selimut pemadam api EV

PEMILIK kenderaan elektrik (EV) mungkin akan diwajibkan oleh kerajaan untuk menggunakan selimut pemadam api sebagai langkah keselamatan.

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketetapan itu bagaimanapun tertakluk kepada hasil perbincangan pihaknya dengan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jawatankuasa EV.

Tambah beliau, selimut pemadam api yang berharga kira-kira RM4,800 hingga RM5,000 seunit itu bukan sahaja mampu mengawal kebakaran dengan mengekang haba sehingga 1,000 darjah Celsius malah boleh menghalang pelepasan gas toksik.

“Hari ini saya menyaksikan demonstrasi penggunaan selimut pemadam api EV yang merupakan perkhidmatan terbaharu SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (SIRIM) bagi meningkatkan keselamatan kenderaan EV yang akan memenuhi jalan raya di negara kita tidak lama lagi.

“SIRIM melakukan ujian ke atas selimut pemadam api EV dan meluluskan penggunaannya,” katanya selepas demonstrasi selimut pemadam api oleh SIRIM dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada Jumaat lalu.

Tengku Zafrul memberitahu, produk keselamatan tersebut buat masa ini diwajibkan untuk dimiliki operator stesen pengecas EV sahaja. Namun, beliau berharap rumah pemilik EV, pejabat swasta dan kerajaan turut wajib dimiliki produk sama.

“Ujian ke atas produk itu membuktikan komitmen kerajaan untuk menjadikannya sebagai langkah merangka garis panduan keselamatan bagi penggunaan kenderaan EV seperti saranan oleh KPKT.

“Kita di MITI juga akan memastikan produk keselamatan ini ada di pasaran dan menepati syarat-syarat dan piaiwaian yang ditetapkan oleh SIRIM,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menegaskan, SIRIM dalam proses untuk merangka Piaiwaian Keselamatan Selimut Kebakaran Untuk Industri agar garis panduan tersebut juga digunapakai oleh pihak pelabuhan dan pengendali logistik membabitkan kenderaan jenis tersebut.