Dua tahun lepas, Lambretta memperlihatkan sebuah model konsep skuter elektrik Elettra di acara pameran EICMA di Milan, Itali, dan kini ia muncul di Malaysia Autoshow 2025.
Lambretta Elettra membawakan penampilan retro klasik, dengan struktur belakang skuter tersebut boleh diangkat sepenuhnya untuk akses ruang storan yang mampu memuatkan sebuah helmet.
Tinggi pelana pula adalah sekitar 780 mm.
Sistem suspensi terdiri daripada penyerap hentak berkembar di hadapan, diikuti dengan penyerap hentak yang dipasang secara mendatar di bahagian belakang.
Secara standard, Elettra datang dengan rim 12 inci yang dibaluti tayar Pirelli Diablo Rosso Scooter bersaiz 110/90 dan 120/80 belakang.
Lambretta Elettra ini dilengkapi motor elektrik tunggal berkuasa 15 hp dan daya kilas 257.6 Nm.
Pek bateri lithium-ion 4.6 kWh membenarkan Elettra ini bergerak sejauh 104.6 km untuk sekali cas penuh.
Skuter ini menyokong pengecasan pantas 20-80 peratus dalam masa 36 minit, sementara penggunaan soket domestik 220 volt pula membenarkan pengecasan penuh selama 5.5 jam.
Terdapat tiga mod iaitu Eco (had laju 40 km/j, jarak sehingga 127 km), mod standard (had laju 72 km/j, jarak cecah 70 km), serta mod Sport (had laju 80 km/j, jarak tunggangan 62.8 km).
Anda masih berpeluang untuk melihat skuter futuristik ini dengan lebih dekat di Malaysia Autoshow 2025 bermula 9-15 Mei ini di MAEPS, Serdang.