Tag Archives: skuter kembara

Honda ADV160 2025 dapat warna baharu, harga dari RM13,249

Boon Siew Honda mengumumkan penawaran warna baharu untuk para peminat skuter kembara Honda ADV160 2025.

Untuk versi standard dengan harga jualan dari RM13,249, terdapat dua warna baharu iaitu hitam kusam dan merah selain warna putih sedia ada.

Sementara edisi khas berharga RM13,549 pula mendapat warna popular kelabu di samping warna hijau kusam sedia ada.

Tiada perubahan dari segi spesifikasi, di mana Honda ADV160 masih lagi kekal dengan enjin silinder tunggal Enhanced Smart Power Plus (eSP+) 157 cc berkuasa 15.8 hp dan 14.7 Nm.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah lampu LED penuh, sistem berhenti melahu (ISS), ruang storan 30 liter, paparan meter LCD, skrin penghadang angin boleh laras, dan sistem kunci pintar.

Honda ADV160 dilengkapi dengan tangki bahan api sebesar 8.1 liter, serta tinggi pelana 780 mm.

Ciri keselamatan yang wujud termasuklah sistem ABS, Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan lampu berhenti kecemasan (ESS).

SYM ADXTG 400 bakal mendarat di Malaysia Mei ini – harga bawah RM30,000

Baru-baru ini, pihak MForce Bike Holdings mengesahkan pihaknya akan melancarkan sebuah skuter gaya kembara baharu menjelang pertengahan tahun ini, iaitu SYM ADXTG 400.

Daripada segi penampilan, rekaan agresif dan bersegi yang wujud pada SYM ADXTG 400 ini adalah diinspirasikan daripada harimau zaman pra-sejarah.

Ia juga turut mendapat rekaan lampu LED yang tajam pada bahagian depan dan belakang serta tidak ketinggalan ekzos yang lebih bergaya.

SYM ADXTG 400 ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 399 cc yang mampu menghasilkan 35 hp @ 7,000 rpm dan daya kilas 37 Nm @ 5,500 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT.

Skuter ini juga turut dibantu dengan teknologi Hyper-VVS yang menyumbang kepada penggunaan bahan api yang lebih ekonomi, serta prestasi yang tidak mengecewakan.

Aspek keselesaan tunggangan disumbangkan dengan dua aci pengimbang bagi mengurangkan kesan gegaran, diikuti dengan suspensi fork hadapan jenis terbalik dan lengan ayun aluminium dengan tetapan multi-link di belakang!

Menariknya, ADXTG 400 juga turut menyediakan mod tunggangan off-road, diikuti dengan sistem brek ABS dan kawalan cengkaman.

 

Ciri lain termasuklah bar hendal yang lebar, sistem kunci pintar, skrin paparan LCD berwarna, USB dengan pengecasan pantas 3.0, skrin penghadang angin boleh laras, serta pelindung bar hendal dan pelindung enjin.

Pihak MForce mendedahkan harga jualan anggaran untuk skuter kembara ADXTG 400 ini bermula bawah RM30,000. Berbaloi?

Honda X-ADV 2025 V3 rasmi di Malaysia – dari RM69,999

Boon Siew Honda mengumumkan ketibaan generasi baharu skuter kembara Honda X-ADV 750 2025 untuk pasaran tempatan.

Jentera kegemaran ramai ini dilihat masih lagi mengekalkan enjin parallel-twin 745 cc SOHC yang mampu menjana kuasa 58 hp @ 6,750 rpm dan daya kilas 69 Nm @ 4,750 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan sistem DCT (klac berkembar) yang telah dinaik taraf untuk pengedaran kuasa yang lebih lancar, lengkap dengan mod manual atau automatik serta fungsi rev-match automatik semasa downshift.

Berbeza dengan model terdahulu, X-ADV 750 baharu ini membawakan rupa paras yang lebih agresif, terima kasih kepada unit lampu nyalaan siang (DRL) yang mengintegrasikan fungsi lampu membelok.

Perumah lampu utama projektor LED sengaja digelapkan untuk efek yang lebih menonjol.

Dari segi praktikaliti, X-ADV menampilkan skrin penghadang angin yang boleh dilaras tiga tahap menggunakan satu tangan, slot pengecas USB-C, ruang glovebox, serta sistem kunci pintar.

Ruang storan bawah pelana adalah sebesar 22 liter, lengkap dengan sistem pencahayaan LED dan pembahagi ruang untuk mengelakkan barangan daripada bergerak sewaktu tunggangan.

Terdapat skrin paparan TFT lima inci berwarna penuh dengan integrasi peranti pintar menerusi Honda RoadSync untuk kawalan navigasi dan muzik dengan menggunakan sambungan Bluetooth.

Melengkapi penawaran X-ADV ialah sistem Throttle-by-Wire, Automatic Turn Signal Canceller, ABS dua saluran, serta sistem kawalan jelajah berasaskan Human Machine Interface (HMI) untuk mengurangkan kepenatan sewaktu perjalanan jauh.

Ciri lain termasuklah fork hadapan terbalik 41 mm SFF-CA, penyerap hentak tunggal di belakang, rotor brek berkembar 296 mm berserta angkup empat omboh di depan, rotor brek tunggal 240 mm berserta angkup omboh tunggal di belakang, tangki bahan api sebesar 13.2 liter serta tinggi pelana 790 mm.

Terdapat tiga warna pilihan, iaitu Matte Deep Mud Gray, Pearl Glare White dan Graphite Black yang boleh dibeli pada harga RM69,999, serta warna istimewa Matte Goldfinch Yellow pada harga RM70,999.

Empat skuter menarik yang sudah mendarat di Malaysia

Belum pun sempat bulan Januari melabuhkan tirainya, pasaran Malaysia kini sudah dibanjiri dengan beberapa buah model skuter yang cukup mencuri perhatian netizen.

Dengan spesifikasi yang lebih menyeluruh serta harga yang mampu milik, ia akan membuatkan golongan pembeli berpotensi pening kepala seketika untuk memilih mana satu yang terbaik.

Tanpa membuang masa, ini adalah senarai skuter baharu yang telah dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan ini:

 

1. Zontes 368G ADV

Zontes 368G ADV ini membawakan spesifikasi yang mampu memalukan pesaing dari Jepun.

Selain daripada enjin 368 cc berkuasa 38 hp/40 Nm, fork hadapan USD, dan sistem brek J.Juan, 368G ADV turut didatangkan dengan pelbagai ciri standard termasuklah crash bar, kamera perakam tunggangan, sistem pemantauan tekanan tayar dan pemanas bar hendal!

Harga: RM28,800

 

2. MODA Sporter S

Jenama motosikal tempatan baharu membuat kemunculan pada awal tahun ini dengan skuter maxi Sporter S.

Skuter 250 cc ini mampu menjana kuasa setinggi 24.8 hp, selain memiliki rupa paras agak sporti yang mampu membuatkan ramai tertoleh di atas jalan raya.

Harga: RM17,888

 

3. SYM Husky ADV 300

MForce membawakan skuter terbaharu SYM Husky ADV 300, dengan enjin 278 cc menghasilkan 25.8 hp dan 26 Nm, tidak ketinggalan rekaan badan yang agresif.

Ciri menarik termasuklah skrin paparan digital, sistem kunci pintar, pelindung tangan, serta kehadiran port pengecasan USB-A dan USB-C.

Harga: RM23,888

 

4. Aveta Vanguard 250

Mahukan yang lebih mampu milik? Aveta baru sahaja melancarkan skuter kembara Vanguard 250 dengan membawakan ciri-ciri yang tidak kurang hebatnya.

Selain enjin 244 cc berkuasa 24.8 hp dan 22.5 Nm, Vanguard 250 hadir dengan ciri seperti penghadang angin boleh laras, bar hendal boleh laras, kamera perakam tunggangan, serta skrin paparan digital TFT.

Harga: RM14,888

 

Zontes 368G ADV rasmi, harga jualan RM28,800

Zontes Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan skuter kembara Zontes 368G ADV untuk pasaran Malaysia.

Mengikut spesifikasi, Zontes 368G ADV ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan cecair SOHC berkuasa 38 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 40 Nm @ 6,000 rpm, dengan dua mod tersedia iaitu Eco dan juga Sport.

Aspek tunggangan dibantu dengan penggunaan suspensi fork hadapan jenis terbalik (USD) 41 mm dengan larasan mampatan/lantunan, penyerap hentak berkembar di belakang dengan larasan pra-bebanan, dan sistem brek J.Juan.

Ia juga turut dilengkapi sistem ABS dua saluran, kawalan cengkaman serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) sebagai ciri standard.

Skuter ADV ini mendapat tangki sebesar 17.5 liter yang mampu menawarkan jarak tunggangan sejauh 500 km dan kadar penggunaan bahan api sekitar 3.5 liter untuk setiap 100 km.

Tidak cukup dengan itu, terdapat storan bawah pelana sebesar 52 liter yang boleh memuatkan dua helmet full-face, penghadang angin boleh laras lima tahap, serta tinggi pelana 795 mm (atau 770 mm untuk versi lebih rendah).

Segala info penting serta tetapan fungsi-fungsi tambahan anda boleh akses menerusi skrin paparan TFT bersaiz lapan inci yang boleh dihubungkan dengan peranti pintar menerusi aplikasi Zontes Intelligent App.

Menariknya, pihak Zontes turut menawarkan beberapa aksesori standard untuk model 368G ADV ini.

Seperti contoh, terdapat crash bar dan pelindung tangan pada bar hendal, serta lampu kabus dengan beberapa tetapan suluhan tersedia bagi melengkapkan imej skuter ADV yang sangat bergaya.

Untuk keselesaan penunggang, 368G ini turut dipasangkan dengan fungsi pemanas grip bar hendal yang sangat berguna semasa membuat perjalanan pada musim sejuk/hujan.

Akhir sekali, terdapat kamera perakam tunggangan (dashcam) untuk bahagian depan dan belakang menggunakan penderia Sony Starvis yang mampu merakam video HD 1080p dan storan sebesar 128 GB.

Harga jualan Zontes 368G ADV ini bermula dari RM28,800 atas jalan, tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Terdapat tiga warna menarik iaitu Iron Grey/Blue, White/Gold, dan Golden Stone Green.