Selain skuter 250 cc Yamaha Xmax 2025, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut sama melancarkan sebuah lagi skuter maxi, iaitu Yamaha TMax Tech Max 2025.
Skuter ini dikuasakan enjin dua silinder sebaris 562 cc yang mampu menjana kuasa setinggi 47.6 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 55.7 Nm @ 5,250 rpm yang dipadankan dengan transmisi CVT dan pacuan tali sawat.
Untuk model tahun 2025 ini, Yamaha TMax Tech Max membawakan beberapa perubahan, seperti unit lampu nyalaan siang (DRL) yang direka semula, diikuti dengan tempat duduk bertekstur untuk keselesaan penunggang.
Skuter ini turut menampilkan rekaan corong pengambilan yang dipertingkatkan untuk runut bunyi yang lebih mengujakan terutama ketika sedang memecut atau memotong kenderaan di hadapan.
TMax Tech Max masih kekal dengan penggunaan rim saiz 15 inci, namun untuk model 2025 ini ia diberikan unit rim machine-cut untuk kemasan yang lebih menyerlah.
Aspek tunggangan dibantu dengan ciri elektronik seperti unit pengukuran inersia (IMU), Yamaha Brake Control (BC) atau Cornering ABS, kawalan jelajah yang ditambah baik, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).
Skrin TFT bersaiz tujuh inci itu kini menampilkan unit kawalan komunikasi (CCU) yang serasi dengan aplikasi Y-Connect, serta aplikasi Garmin Motorize yang boleh dipasang pada peranti pintar.
Ciri lain masih lagi dikekalkan termasuklah skrin penghadang angin larasan elektrik, fork hadapan teleskopik, lengan ayun belakang, tangki bahan api sebesar 15 liter, serta tinggi pelana 800 mm.
Untuk pasaran Malaysia, Yamaha TMax Tech Max boleh didapati dalam pilihan warna Magma Black atau Ceramic Grey, dengan harga jualan RM75,888 tidak termasuk insurans dan pendaftaran.