Tag Archives: smart Malaysia

smart #3 raih anugerah EV premium kompak terbaik COTY 2024

smart Malaysia mengumumkan model crossover elektrik smart #3 telah dianugerahkan sebagai EV Premium Kompak Terbaik dalam Anugerah Kereta Tahunan (COTY) 2024 yang dianjurkan oleh Carlist.my dan Wapcar.

Menurut Zhang Qiang selaku Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, “Anugerah ini merupakan bukti komitmen teguh kami untuk menyediakan pengalaman crossover elektrik sepenuhnya yang unggul kepada pelanggan kami.

“smart #3 telah mendapat sambutan yang luar biasa di kalangan rakyat Malaysia, dan kami amat berterima kasih kepada para juri serta penyokong smart atas pengiktirafan ini,” jelasnya lagi.

Dilancarkan secara rasmi pada pertengahan tahun yang lalu, smart #3 boleh didapati dalam tiga varian utama, iaitu Pro, Premium serta versi Brabus yang lebih sporti.

Varian Pro & Premium dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda belakang berkuasa 272 hp/343 Nm, sementara varian Brabus pula mendapat motor elektrik tambahan pada gandar hadapan, menjadikan kuasa keseluruhan mencecah 428 hp/543 Nm.

Secara standard, smart #3 menawarkan jarak pemanduan sejauh 455 km, atau 415 km untuk varian Brabus.

smart #3 dijual pada harga bermula dari RM175,000 hingga RM255,000.

smart Malaysia perkenal program perkhidmatan selepas jualan smartCare

SMART Malaysia telah melancarkan program perkhidmatan selepas jualan smartCare yang direka untuk memastikan kebolehgunaan semua kenderaan smart dan menyediakan sokongan proaktif kepada pemilik sedia ada.

Program smartCare merangkumi lapan ciri penting kepada ekosistem perkhidmatan selepas jualan smart seperti berikut:

  • Pemantauan bateri bervoltan tinggi (HV) secara langsung
  • Perkhidmatan digital selepas jualan melalui aplikasi Hello smart
  • Pembaikan bateri HV tempatan
  • Rakan gudang & logistik
  • Kemudahan outlet servis dengan bilik penyimpanan bateri HV
  • Pengecas EV di seluruh pengedar smart
  • Juruteknik yang berkelayakan
  • Kemudahan baik pulih badan dan cat kenderaan

Pemantauan bateri HV secara langsung direka khas untuk menawarkan solusi pencegahan bagi isu yang berpotensi berlaku melalui pemantauan kesihatan bateri secara langsung di dalam kenderaan smart.

Sistem ini membolehkan kereta menghantar notifikasi terus ke smart Central, bagi memastikan tindakan dapat diambil dengan segera.

Selain itu, kerjasama smart dengan perkhidmatan pembaikan bateri HV tempatan membolehkan syarikat itu menyediakan pembaikan dengan segera dan mesra alam dengan menggunakan semula komponen yang berfungsi, sekaligus meminimumkan masa menunggu dan mengurangkan kesan kepada alam sekitar.

Pasukan smart Malaysia yang terdiri daripada pakar EV yang terlatih disokong oleh smart Central di China, memastikan perkhidmatan selepas jualan yang bertaraf tinggi melalui latihan intensif yang berterusan dan pengetahuan terkini mengenai teknologi EV.

Pembaikan bateri HV tempatan adalah penting untuk menjamin keselamatan pengguna dan membina keyakinan dalam pemilikan kenderaan elektrik smart.

Untuk perkhidmatan selepas jualan, smart Malaysia kini mempunyai lebih 3,000 SKU dan 10,000 alat ganti dalam unit penyimpanan stok. Ini mengurangkan masa menunggu dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan bagi pemilik smart yang memerlukan pembaikan kereta dengan segera.

Selain itu, syarikat itu juga mempunyai bilik bateri HV yang memastikan bateri disimpan dalam keadaan baik dan sebarang tugasan dilakukan dengan selamat dan terjamin.

Satu lagi kemudahan yang disediakan adalah baik pulih badan dan cat (Body & Paint) di cawangan-cawangan smart di Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang. Di samping itu, kesemua 10 pengedar smart di seluruh negara dilengkapi dengan pengecas AC dan DC.

smart #3 buat kemunculan pertama di Asia Tenggara – sehingga 424hp dan 543Nm, tempahan kini dibuka

SEPERTI dilaporkan sebelum ini, smart Malaysia kini telah mempertontonkan #3 buat kali pertama untuk tatapan umum. Pengenalan di acara Malaysia Autoshow 2024 di MAEPS, Serdang itu juga merupakan kemunculan pertama SUV elektrik (EV) itu di Asia Tenggara.

Harga belum diumumkan, tetapi smart Malaysia mengumumkan bahawa tempahan untuk smart #3 kini dibuka.

Tiga varian ditawarkan iaitu BRABUS, Premium dan Pro. Varian Pro mempunyai bateri berkapasiti 49kWh manakala Premium dan Brabus adalah 66kWh.

Varian Pro dan Premium mempunyai motor elektrik tunggal di belakang dengan output 272hp dan 343Nm tork, memberikan pecutan 0-100 dalam 5.8 saat.

smart #3 Brabus pula mendapat dua motor di gandar depan dan belakang, dengan kuasa keseluruhan 428hp dan 543Nm tork. Disebabkan #3 Brabus menjadi jentera AWD, pecutan 0-100 adalah jauh lebih pantas, sekitar 3.7 saat sahaja.

Kelajuan maksima kesemua varian adalah 180km/j. Jarak pemanduan pula sekitar 455km untuk Pro dan Premium, dan 415km untuk Brabus.

Varian seperti BRABUS dan Premium, kedua-duanya menawarkan pengecas AC 22kWh yang terbaik dalam segmennya dengan keupayaan untuk mengecas bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam masa kurang dari 3 jam.

Selain itu, smart #3 juga menambah baik teknologi keselamatan terkini, dengan 23 sensor berketepatan tinggi yang menyokong 21 fungsi ADAS demi memastikan keselamatan pemandu di jalan raya.

Antara ciri standard smart #3 adalah Panoramic Halo Roof, CyberSparksLED+ dengan bantuan lampu adaptif, gril depan menyala.

Tempah smart #3 di pengedar rasmi smart yang terdekat atau melalui Aplikasi Hello smart. Pelanggan yang membuat tempahan awal berpeluang menerima barangan rasmi smart eksklusif bernilai sehingga RM1,500.

Tawaran terhad ini dikhaskan kepada 333 pelanggan pertama, dengan bayaran tempahan RM1,000 yang boleh dikembalikan semula.

smart #1 kini lebih mampu milik

Dalam acara sama, smart Malaysia juga mengumumkan harga baharu #1 yang kini  lebih rendah. Harga-harga baharu smart #1 adalah seperti berikut:

smart #3 Premium – RM209,000
smart #1 Pro – RM169,000

Sebagai tambahan, smart Malaysia menawarkan pakej servis kenderaan 4-tahun secara percuma kepada pemilik sedia ada smart #1 Premium dan Pro.

Kami telah pandu uji smart #3 baru-baru ini di litar ujian Proton, anda boleh baca di sini.

Galeri smart #3 Pro

Galeri smart # Brabus

Tiga lagi cawangan smart bakal dibuka – Kota Kinabalu, Kuantan, PJ

PROTON New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) mengumumkan bahawa smart Malaysia bakal membuka tiga lagi cawangan pengedar untuk negara ini, termasuk satu di Malaysia Timur.

Tiga cawangan baharu yang akan dibuka itu adalah di Petaling Jaya, Kuantan, dan Kota Kinabalu. Ia melalui kerjasama dengan Naza Automotive Group untuk smart Petaling Jaya, Hoi Keen Service Sdn Bhd untuk smart Kuantan, dan Fook Loi Eurocar Sdn Bhd untuk smart Kota Kinabalu.

“Matlamat kami adalah untuk melonjak ke peringkat seterusnya dan terus meluaskan liputan pasaran dengan produk dan perkhidmatan smart kami,” kata CEO PRO-NET, Zhang Qiang.

Menurut siaran media oleh smart Malaysia, rakan kongsi terpilih memainkan peranan penting dalam mewujudkan ruang bagi individu untuk meneroka produk dan perkhidmatan, selain daripada menyediakan pilihan pengecasan yang mudah.

“Fokus kami terhadap kestabilan melibatkan peningkatan kedua-dua stesen pengecasan AC dan DC dengan memastikan pengecasan yang cepat dan efisien untuk pemilik smart dan orang awam secara umum,” tulis siaran media itu.

Tempahan smart #1 cecah 1,000 unit dalam dua minggu

KENDERAAN elektrik (EV) pertama yang diperkenalkan oleh smart Malaysia iaitu smart #1 sudah menerima tempahan mencecah 1,000 unit selepas kira-kira dua minggu selepas dilancarkan.

“Kejayaan smart #1 tidak hanya mencerminkan kecemerlangan produk, tetapi juga dedikasi kami untuk menyediakan pengalaman pemilikan yang lancar dan menyeronokkan.

“Perlindungan jaminan komprehensif, pakej percuma, dan tawaran pengecas rumah smartCharge adalah bukti komitmen kami terhadap kepuasan pelanggan,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia.

Tambah beliau lagi, pihak smart Malaysia juga sedang berusaha gigih untuk memastikan kereta diserahkan kepada pelanggan tepat pada masanya.

Untuk pasaran Malaysia, smart #1 ditawarkan dalam tiga varian iaitu Pro, Premium dan Brabus, dengan harga jualan bermula dari RM189,000 hingga RM249,000.

Ia didatangkan dengan jaminan bateri bervoltan tinggi selama lapan tahun atau 200,000km, jaminan komponen bervoltan tinggi selama lapan tahun atau 150,000 km, jaminan kenderaan selama empat tahun tanpa had perjalanan, dan jaminan alat ganti selama dua tahun tanpa had perjalanan.

Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh mendapat manfaat daripada bantuan perkhidmatan jalanan 24/7.

Turut ditawarkan adalah pakej aksesori percuma bernilai RM2,000, data Internet percuma selama lima tahun dengan jumlah 60 GB, dan tawaran terhad pengecas AC smartCharge percuma bernilai RM3,200. Tawaran istimewa ini sah sehingga 31 Disember 2023.

Smart #1 dibuka untuk tempahan di Malaysia – tiga varian, harga dari RM200k hingga RM250k

SELEPAS dipertontonkan kepada wakil media Julai lalu, smart #1 kini secara rasminya dibuka untuk tempahan di Malaysia.

Hatchback elektrik itu akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Pro, Premium dan Brabus, dengan harga anggaran bermula dari RM200,000 hingga RM250,000 dengan cukai jualan dan perkhidmatan.

Menurut smart Malaysia, tempahan untuk #1 (disebut hashtag one) boleh dibuat menerusi aplikasi Hello smart dengan bayaran tempahan RM1,000 yang boleh dikembalikan semula.

Apa yang menarik, 501 pelanggan pertama yang membuat pra-pesanan akan menerima manfaat #1 Early-Bird berbentuk kredit pengecasan bernilai RM1,001 yang akan dikreditkan ke akaun pemilik selepas kereta diserahkan.

 

 

Varian Pro tampil dengan roda aloi 19 inci seretan rendah untuk kestabilan dan bumbung halo panoramik untuk pencahayaan dan pemandangan semula jadi.

Ia dilengkapi dengan bateri LFP berkapasiti 49 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 315 km berdasarkan kitaran WLTP.

Varian Premium pula menawarkan ciri-ciri tambahan seperti lampu hadapan CyberSparks LED + Matrix, gril hadapan bercahaya dan bateri NMC berkapasiti 66 kWh dengan jarak pandu sejauh 440 km.

#1 Pro boleh didapati dalam lima warna luaran iaitu Digital White, Laser Red, Cyber Silver, Quantum Blue, dan Future Green. #1 Premium pula menawarkan pilihan Atom Grey-Matte dan Lumen Yellow selain lima warna berkenaan. Kesemua warna ini dipadankan dengan bumbung Eclipse Black kecuali Atom Grey-Matte.

Untuk ruang dalaman,#1 Pro menampilkan trim standard After Dark, manakala varian Premium menerima trim Dark Matter dua tona iaitu putih dan hitam.

Dari segi prestasi, #1 Pro dan Premium kedua-duanya dipacu oleh motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang. Motor elektrik tersebut menjana 272 PS (200 kW) dan 343 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam 6.7 saat dan kelajuan maksimum 180 km/j.

#1 Pro menyokong pengecasan AC 7.2 kW yang memerlukan enam jam untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus, manakala #1 Premium pula boleh menampung sehingga 22 kW yang boleh melakukan pengecasan yang sama dalam tiga jam sahaja.

Pengecasan pantas DC pula boleh dilakukan pada kapasiti sehingga 150 kW yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam 22 minit untuk varian Pro dan 29 minit untuk Premium.

#1 Brabus

Sebagai varian sporty, #1 Brabus tampil dengan tujuh kombinasi warna luaran. Jika memilih bumbung Radiant Red, pembeli boleh memilih warna luaran Atom Grey-Matte, Meta Black atau Cyber Silver. Bumbung berwarna hitam pula boleh berpasangan dengan warna Digital White, Laser Red dan Cyber Silver.

Seperti varian Pro dan Premium, mereka yang memilih warna Atom Grey-Matte boleh mendapatkan bumbung yang sama dengan warna badan.

#1 Brabus dipacu oleh dua motor elektrik yang menghasilkan 428 PS (315 kW) dan 543 Nm. Dengan pacuan semua roda (AWD), ia hanya memerlukan 3.9 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j. Ia dilengkapi dengan bateri NMC 66 kWj yang sama seperti #1 Premium namun jarak pandunya lebih dekat iaitu 400 km.

Prestasi pengecasannya juga sama dengan varian Premium iaitu tiga jam untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus menggunakan pengecas AC 22 kW atau 29 minit dengan pengecas DC 150 kW.

EON Berhad dilantik sebagai pengedar rasmi smart Malaysia

Proton New Energy Technology Sdn. Bhd. (PRO-NET) hari ini mengumumkan pelantikan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) sebagai pengedar rasmi kenderaan smart di Malaysia.

Ini menjadikan EON, yang merupakan cabang pemasaran automotif DRB-HICOM, sebagai pengedar sah smart kedua di negara ini selepas Hap Seng Smart.

Menurut PRO-NET, pelantikan EON sebagai sebahagian daripada keluarga smart Malaysia telah menambah jumlah pengedar elit bagi kenderaan jenama smart. Ini akan disusuli dengan lima lagi pengedar baru yang bakal diumumkan kelak.

Kerjasama ini juga akan meningkatkan kesedaran dan keterlihatan jenama EV itu di kalangan pembeli kereta di Malaysia menjelang pelancaran smart #1 pada suku keempat tahun ini.

Pelantikan EON yang merupakan pengedar pelbagai jenama mencerminkan komitmen PRO-NET untuk menembusi pasaran EV yang semakin rancak di Malaysia.

Perkongsian ini mempamerkan satu lagi pencapaian bersejarah bagi Proton dan kumpulan anak syarikatnya sejak hampir empat dekad lalu, di mana syarikat itu dan EON mempelopori evolusi industri automotif Malaysia apabila EON dilantik sebagai pengedar kereta Proton eksklusif dan yang pertama.

“PRO-NET yakin dengan pengetahuan dan pegalaman luas EON ditambah dengan capaian pelanggan DRB-HICOM yang sangat luas akan mewujudkan sinergi ideal yang mampu mendorong wawasan smart Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.

Akkbar Danial, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengedaran Automotif DRB-HICOM berkata,”EON komited untuk menyumbang ke arah kejayaan perkongsian baharu ini. Kami diterajui oleh pasukan dinamik yang mempunyai pengalaman yang luas. Ia memberi kelebihan kepada kami untuk mewujudkan sinergi dengan smart Malaysia bagi memenuhi permintaan untuk smart #1 dalam usaha menghasilkan impak ketara kepada pasaran tempatan.”