Tag Archives: Smart

Smart #3 didedahkan di Auto Shanghai, akan dilancarkan di Malaysia kelak

PAMERAN Industri Automobil Antarabangsa Shanghai ke-20 atau Auto Shanghai 2023 menyaksikan kemunculan Smart #3 sebagai Sports Utility Coupe pertama jenama itu.

Menurut Proton, yang mengimport dan mengedar kenderaan jenama smart di Malaysia dan Thailand melalui anak syarikatnya PRO-NET, model terbaru ini akan menuju ke Malaysia selepas ia dilancarkan di China dan Eropah.

Buat masa ini, Proton masih dalam persiapan untuk pelancaran Smart #1 di Malaysia pada suku keempat tahun ini.

“Proton akan memasuki pasaran NEV di Malaysia tidak lama lagi menyahut seruan kerajaan untuk memajukan negara menjadi hab serantau untuk kenderaan generasi akan datang (NxGV),” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton, dan Pengerusi, PRO-NET.

Setakat ini, spesifikasi Smart #3 masih samar-samar namun menurut laporan, ia dibina berasaskan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) milik Geely yang turut digunakan oleh Smart #1.

Ia lebih panjang, lebar dan rendah berbanding Smart #1, dengan ukuran panjang 4,400 mm, lebar 1,844 mm, tinggi 1,556 mm, serta tapak roda 2,785 mm.

Bentuk kedua-dua model ini tidak jauh berbeza namun Smart #3 mempunyai profil fastback yang menjadikan ia lebih menonjol.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan lampu LED Cybersparks, gril berbentuk A dan bumbung hitam yang boleh dipadankan dengan pilihan warna baharu termasuk Photon Orange Metallic dan Electric Blue Matte.

Ruang dalaman pula menampilkan reka bentuk sporty dengan motif bujur yang diinspirasikan daripada intake turbin. Jika diperhatikan dengan teliti, rekaan papan pemukanya yang bujur tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan model Mercedes-Benz.

Antara kelengkapan yang disertakan pada Smart #3 adalah skrin tengah berukuran 12.8 inci, sistem audi Beats dengan 13 pembesar suara dan pencahayaan ambien pelbagai warna.

Maklumat mengenai motor elektrik dan bateri juga masih belum didedahkan, namun tidak mustahil jika ia ditawarkan dengan pilihan motor elektrik tunggal pada gandar belakang dan motor elektrik berkembar.

Untuk perbandingan, Smart #1 didatangkan dengan motor elektrik gandar belakang dengan 268 hp dan 343 Nm, serta bateri 66 kWh yang memberikan jarak pemanduan antara 535 km hingga 560 km. Bateri itu menyokong pengecasan DC 150 kW.

Malaysia hantar 75 anggota SMART untuk misi bantuan gempa bumi Turkiye

Malaysia menghantar 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) untuk membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.

Gambar oleh: Twitter NADMA Malaysia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pasukan itu dihantar selepas mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Malaysia akan menghantar pasukan SMART bagi membantu usaha SAR mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.

 

“Proses penghantaran pasukan SMART dibuat selepas mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, dan menerima pengesahan keperluan bantuan daripada Kerajaan Turkiye,” katanya melalui kenyataan media.

Menurut Armizan, pasukan berkenaan akan berlepas ke Turkiye dengan menaiki penerbangan Turkish Alirlines dan mereka akan turut membawa bersama peralatan akan digunakan dalam operasi SAR itu.

Katanya, pasukan SMART menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada 2016, membolehkan ia dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara.

Media antarabangsa melaporkan gempa bumi dengan kekuatan magnitud 7.9 menggegarkan selatan Turkiye hari ini, dengan angka kematian terkini melebihi 500 orang termasuk di kawasan berjiran di Syria.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turkiye memaklumkan, gempa bumi berlaku jam 4.17 pagi (waktu tempatan) dan berpusat di daerah Pazarcik.

Gegaran menyebabkan puluhan bangunan musnah itu turut dirasai di wilayah lain termasuk Diyarbakir dan Gaziantep serta negara jiran termasuk Lubnan dan Syria.

PRO-NET, Gentari jalin kerjasama – 20 pengecas DC akan dibina pada 2023

PROTON New Energy Technology (PRO-NET), anak syarikat Proton yang mengendalikan kenderaan tenaga baharu bertukar dokumen perjajnjian dengan Gentari Sdn. Bhd., anak syarikat Petronas, di International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM).

Susulan perjanjian pengedaran am yang ditandatangani dengan smart pada bulan Ogos dan pembentukan PRO-NET pada bulan September, pertukaran dokumen dengan Gentari adalah langkah seterusnya yang diambil oleh Proton bagi usaha memasuki dan menyumbang kepada ekosistem dalam ruang EV dan NEV negara.

Pelan awal adalah untuk membina 20 pengecas DC pada tahun 2023 di mana PRO-NET akan bertanggungjawab untuk menyediakan lokasi pengecasan dan kemudahan kuasa. Gentari pula akan bertanggungjawab dalam menyediakan infrastruktur pengecasan dan penyelesaian pengendali.

Selain daripada pembangunan infrastruktur pengecasan, Proton bekerjasama dengan smart, melalui anak syarikatnya, untuk memastikan tawaran EV mereka sepadan dengan profil penggunaan pembeli EV di Malaysia.

Pengeluar kereta nasional itu juga melabur dalam mengembangkan pengetahuannya dalam bidang NEV dengan menghantar 16 jurutera ke China selama enam bulan untuk dilatih dalam semua aspek bidang tersebut.

Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton berkata pertukaran dokumen itu merupakan sebahagian daripada langkah Proton ke pasaran NEV. Ia juga membuka peluang untuk bekerjsama dengan Petronas untuk menyumbang kepada pembinaan infrastruktur pengecasan di Malaysia.

“Ini adalah langkah penting dalam menyokong usaha kerajaan untuk menggerakkan Malaysia ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan menjadi pusat serantau bagi NEV,” kata beliau.

“Menangani keperluan pelanggan EV dan NEV di Malaysia memerlukan penyertaan banyak pihak dan kerjasama antara pemain industri automotif. Ini adalah benar terutamanya berkaitan dengan infrastruktur pengecasan yang memenuhi keperluan pengguna di seluruh negara dan PRO-NET akan menawarkan penyelesaian pengecasan yang komprehensif kepada pelanggan.

“Kami juga menjangka pelanggan NEV mempunyai faktor pendorong yang berbeza berbanding dengan pembeli kereta tradisional. Oleh itu, kami mahu mencipta pengalaman baharu yang memenuhi keperluan mereka. Justeru, PRO-NET akan merekrut pengedar baharu secara aktif dan mengalu-alukan cadangan inovatif untuk pengalaman jenama dan transaksi,” tambah Roslan.

Proton tubuh PRO-NET untuk penjualan, pengedaran EV jenama smart

SELEPAS menandatangani perjanjian pengedaran am bersama smart pada 18 Ogos lalu, Proton kini mengumumkan penubuhan syarikat baharu iaitu Proton New Energy Technology (PRO-NET) untuk menguruskan jualan dan pengedaran kenderaan smart serta kenderaan tenaga baru (NEV) jenama sendiri.

Merupakan anak syarikat milik penuh Proton, PRO-NET akan dikendalikan oleh pasukan pengurusan yang berasingan manakala kakitangan operasi akan terdiri daripada pekerja luar daripada pelbagai industri.

Ia diketuai oleh Zhang Qiang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Beliau telah lama berkecimpung dalam industri automotif di China dan telah bekerja di Proton selama lima tahun di bahagian jualan dan pembangunan rangkaian.

Dari kiri: Sua Chek Hoong, Zhang Qiang dan Salawati Mohd Yusoff

Ahli pasukan pengurusan yang lain termasuk Salawati binti Mohd Yusoff sebagai Ketua Pegawai Jenama (CBO) dan Sua Chek Hoong sebagai Ketua Pegawai Informasi.

Pasukan pengurusan ini bertanggungjawab kepada lembaga pengarah yang diketuai oleh Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, dan disokong oleh Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Wang Huaibing, Ketua Pegawai Kewangan Proton, dan Amran Mohd Tomin, Naib Presiden Modal Insan & Pentadbiran Proton.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, jualan kenderaan elektrik smart dijadualkan bermula pada awal suku keempat 2023. Model pertama yang akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia ialah smart #1 dan PRO-NET kini membuat persediaan untuk pemasarannya. Keutamaan syarikat adalah penyelesaian isu pengecasan untuk pelanggan dan rancangan semasa adalah untuk menggunakan rangkaian pengecasan berasaskan rumah dan awam.

“Kajian kami menunjukkan penghalang kepada pengguna untuk membeli kenderaan tenaga baharu terikat dengan kebimbangan mereka tentang ketersediaan rangkaian pengecasan. PRO-NET berhasrat untuk menangani isu ini dengan gabungan pemasangan dan penyelenggaraan pengecas di rumah dengan rangkaian awam komprehensif yang dibina bersama rakan kongsi yang pakar dalam pembangunan dan pengendalian stesen pengecasan,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

Tambah beliau lagi, PRO-NET juga sedang mempertimbangkan penyelesaian mudah alih untuk meluaskan liputan stesen pengecasan mereka, sekaligus memastikan ia boleh diakses oleh semua rakyat Malaysia tidak kira di mana mereka berada.

“Kami masih berada di titik permulaan perjalanan tenaga baharu tetapi dengan pengumuman rasmi hari ini mengenai PRO-NET, rancangan ini akan mendapat momentum yang membawa kepada lebih banyak perkembangan pada bulan dan tahun akan datang,” kata Dr Li Chunrong.

Proton akan melabur untuk bangunkan jaringan pengecasan awam dan domestik

SEPERTI yang dilaporkan semalam, Proton telah menandatangani Perjanjian Pengedaran Am bersama smart Automobile Company yang akan menyaksikan syarikat itu menjual kenderaan elektrik (EV) smart #1 di Malaysia dan Thailand bermula tahun depan.

Selaras dengan perjanjian itu, Proton merancang untuk melabur dalam rangkaian pengecasan dengan kerjasama pembekal pengecasan tempatan, di samping menyediakan unit domestik untuk pelanggan yang berhasrat untuk mengecas kenderaan mereka di rumah.

Dalam satu sidang media yang diadakan selepas majlis tandatangan tersebut, Pengarah Kanan Strategi Proton, Yusri Yusuf berkata pihaknya kini sedang dalam perbincangan dengan tujuh hingga lapan operator infrastruktur EV.

Tambah beliau, Proton melihat dari dua sisi iaitu pengecasan di rumah dan pengecasan awam. Bagi pengecasan awam, syarikat itu akan menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan bagi menentukan status terkini perancangan tersebut.

Secara umumnya, rangkaian pengecasan awam itu akan meliputi laluan-laluan yang sering digunakan atau popular di kalangan pengguna jalan raya, serta kawasan-kawasan luar bandar.

Selain itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata beliau telah menubuhkan pasukan untuk mengkaji kebolehlaksanaan stesen pengecasan mudah alih bagi mengurangkan masalah kebimbangan jarak (range anxiety) di kalangan pelanggannya.

Dibangunkan bersama oleh Mercedes-Benz dan Geely, smart #1 (disebut ‘hashtag one’) akan memasuki pasaran Malaysia pada awal suku keempat tahun 2023, diikuti dengan Thailand pada separuh kedua 2024.

Menariknya, Malaysia akan menjadi negara ASEAN pertama yang menerima model itu dalam versi pemanduan sebelah kanan.

Proton akan mula jual EV jenama smart pada suku keempat 2023

KERJASAMA antara Proton dan smart Automobile Company dimuktamadkan hari ini dalam satu majlis tandatangan Perjanjian Pengedaran Am yang diadakan di Proton Centre of Excellence.

Menerusi perjanjian ini, Proton akan bertindak selaku pengimport dan pengedar rasmi kenderaan elektrik (EV) premium keluaran smart di pasaran Malaysia dan Thailand. Model smart pertama yang akan dijual oleh Proton iaitu smart #1 akan dilancarkan di Malaysia pada awal suku keempat tahun 2023, diikuti dengan Thailand pada separuh kedua 2024.

“Fasa pertama perniagaan dengan smart bukan hanya tertumpu kepada penjualan semata-mata, tetapi juga mengambil pengetahuan dan pengalaman yang berharga bukan sahaja dari cara pengendalian servis dan pengecasan EV tetapi juga mengubah cara kami berinteraksi dengan pelanggan,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

Selain menjual dan menyediakan perkhidmatan selepas jualan untuk kenderaan smart, Proton turut berhasrat untuk melabur dalam rangkaian pengecasan dengan kerjasama pembekal pengecasan tempatan. Ia juga akan menyediakan unit domestik untuk pelanggan yang ingin mengecas EV mereka di kediaman.

Proton merancang untuk memodelkan operasi jualan untuk smart seperti yang dilakukan oleh syarikat tersebut di pasaran lain. Penekanan akan diberikan terhadap integrasi gaya hidup digital dan penyelesaian digital yang merangkumi perancangan perjalanan, ketersediaan pengecas dan pertimbangan pembelian.

Selain itu, Proton juga sedang menerokai peluang untuk menarik bakat muda. Pengeluar kereta nasional itu akan melaksanakan rancangan jangka masa panjang untuk pelestarian dan kecekapan tenaga serta meningkatkan skor ESG-nya bagi menarik minat pekerja industri automotif generasi akan datang.

“Peralihan ke dalam segmen pasaran ini juga akan membantu memacu Proton ke arah menjadi lebih mesra alam dalam semua aspek operasi di samping berusaha untuk membantu Malaysia mencapai sasaran neutraliti karbon menjelang 2050,” tambah Dr Li.

Shah Alam bakal terima terowong SMART atasi isu banjir

MASALAH banjir sering kali ‘menghantui’ penduduk Shah Alam mungkin bakal berakhir tidak lama lagi.

Memetik laporan The Star, Bandaraya Anggerik itu bakal menerima kemudahan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, cadangan pembinaan SMART dikemukakan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam satu mesyuarat baru-baru ini.

“Mesyuarat terbabit juga telah meluluskan pelbagai cadangan yang dikemukakan oleh KASA termasuk sungai-sungai utama dinaiktaraf…benteng dan ban sungai serta parit ditinggikan.

Terdapat juga cadangan untuk membangunkan kawasan penempatan berdaya tahan seperti ‘sponge city’ di China,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Foto fail ihsan Malay Mail

Penghujung tahun lalu, Shah Alam merupakan antara kawasan terjejas teruk akibat banjir.

Keadaan itu merupakan situasi yang tidak dijangka sekaligus mengundang keresahan penduduk di masa depan.

Sementara itu, Ismail menjelaskan kerajaan hanya akan memberi fokus terhadap kawasan yang benar berisoko dengan mengambil kira kos penyelenggaraan.

“Penyelesaian secara komprehensif ini memerlukan peruntukan yang besar membabitkan ratusan bilion ringgit yang memakan masa panjang.

“Oleh itu mesyuarat bersetuju supaya kerajaan memfokuskan terhadap kawasan berisiko tinggi dan diberikan keutamaan untuk melaksanakan pelan penyelesaian masalah banjir,” katanya lagi.

Antara cadangan lain termasuk penubuhan Pusat Ramalan Cuaca Numerikal Kebangsaan; meningkatkan sistem siren dan pemantauan bencana banjir menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Pembinaan terowong SMART menelan belanja lebih RM1 bilion. – Foto ihsan Malay Mail

Pada tahun 2007, Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya memiliki terowong SMART dengan kos sekitar RM1.88 bilion.

Sepanjang  9.7 kilometer, ia merupakan terowong pengurusan banjir paling panjang di Asia Tenggara dan kedua terpanjang di Asia,.

Malahan ia juga menjadi terowong dwi-fungsi pertama di dunia dengan terowong sepanjang 4 kilometer yang boleh dilalui kenderaan.

Kerjasama Proton – smart, mengapa ia penting untuk industri automotif Malaysia?

KETIKA dunia mula menyaksikan kebanyakan syarikat automotif berlumba menghasilkan kenderaan cekap tenaga, Proton enggan ketinggalan dalam persaingan ini.

Hal ini dapat dilihat menerusi usaha terbaharu Proton yang menjalin kerjasama dengan smart Automobile Company.

Kerjasama ini menyaksikan Proton menerusi Proton Edar mendapat hak eksklusif sebagai pengimport, pengedar dan wakil jualan smart di Malaysia.

Apa lebih membanggakan, hak eksklusif terbabit turut melibatkan pasaran negara jiran iaitu Thailand.

Persoalannya, mengapa usaha sama ini begitu penting selain hanya melibatkan hak mengimport, mengedar dan penjualan?

Foto ihsan Proton

Pengerusi Proton berkata, perjanjian bersama smart ini penting dalam menguasai pengalaman penjualan, perkhidmatan dan pengecasan NEV.

“Perjanjian dengan smart ini membolehkan kami (Proton) menimba pengalaman dalam penjualan, perkhidmatan dan pengecasan NEV.

“Ia juga membina kemahiran yang diperlukan dalam menguasai sektor yang sedang berkembang pesat ini,” kata Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Foto ihsan Proton

Semalam, majlis tandatangan Memorandum Perjanjian (MOA) Proton – smart diadakan secara maya.

Pada sidang itu, Proton turut mendedahkan beberapa gambar model smart Concept #1.

Ia merupakan crossover elektrik pertama dihasilkan semenjak pengeluar smart mengumumkan untuk tidak menawarkan enjin pembakaran dalaman.

Smart Concept #1 mempunyai ukuran sepanjang 4,290 mm, lebar 1,910 mm, dan tinggi 1,698 mm.

Kenderaan ini menggunakan platform daripada syarikat pengeluar kenderaan Geely.

Foto ihsan Proton

Terowong Lebuhraya SMART kembali beroperasi, selamat digunakan

PROSES pengepaman keluar air dan pencucian Terowong Lebuhraya SMART selesai sejak semalam.

Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) dalam satu kenyataan berkata, terowong tersebut kini dibuka semula kepada laluan trafik sejak jam 7 pagi tadi.

Pada masa sama, SMART turut melakukan pemeriksaan rapi melibatkan aspek mekanikal dan elektrikal bagi mengelak insiden tidak diingini.

“Proses pemeriksaan dan rektifikasi mekanikal dan elektrikal juga telah dijalankan bagi memastikan semua peralatan berada di dalam keadaan baik dan selamat,” menurut kenyataan tersebut.

Tanggal 22 November lalu, terowong tersebut ditutup berikutan hujan lebat di sekitar Kuala Lumpur.

Ia bagi mengaktifan sistem banjir disusuli pelepasan air ke dalam sistem takungan terowong Lebuhraya SMART.

Terdahulu, SMART memaklumkan telah menyediakan pasukan khas memantau laluan terowong terbabit terutama bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Terowong Lebuhraya SMART sipa dibina pada tahun 2007 dengan ketinggian maksimum dua meter.

Agensi berita Cable News Network (CNN) pernah menyenaraikan terowong itu sebagai antara 10 terbaik dunia.

Antara objektif utama Terowong Lebuhraya SMART adalah bagi mengatasi masalah banjir di Kuala Lumpur selain mengurangkan kesesakan trafik di ibu kota.

Lagi ‘teaser’ SUV elektrik baharu Smart, adakah harga masih ‘kayangan’?

RAMAI kalangan peminat kenderaan elektrik semakin teruja dengan model terbaharu Smart apabila syarikat itu sekali lagi mengeluarkan ‘teaser’ terbaharu di alam maya.

Ini adalah kali kedua Smart mengeluarkan teaser sedemikian selepas terakhir pada Mei lalu.

Setakat ini, Smart dipercayai bakal mendedahkan model utiliti sukan (SUV) elektrik terbaharu itu pada Munich Motor Show pada September nanti.

SUV elektrik terbaharu Smart lebih memukau

Berdasarkan teaser dikeluarkan, Smart hanya mendedahkan bahagian bumbung kaca dengan corak berbintik di atasnya.

Apa yang menampakkan ia lebih eksklusif, penyambung antara bumbung dan badan digabungkan dengan warna warna emas.

Bumbung yang kelihatan lebih sporty. – Foto ihsan Smart

Sebelum ini, Smart mendedahkan model SUV elektrik terbaharu ini adalah hasil produk pertama kerjasama bersama Daimler dan Geely.

Geely mengendalikan pembangunan model masa hadapan dan Mercedes-Benz bertanggungjawab pada bahagian reka bentuk.

Sementara itu, model terbaharu ini dijangka mempunyai ruang lebih luas dan menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) Geely.

Justeru, tidak hairan jika ada yang menganggap ia bakal bersaing sengit dengan model lain seperti Mini Countryman.

Jom sama-sama kita nantikan bagaimana rupa paras SUV elektrik terbaharu keluaran Smart pada September nanti.

Apa paling penting, berapakah agak-agak harganya nanti ya?

Warna keemasan yang menyerlahkan lagi kekemasan buatan produk dihasilkan Smart. – Foto ihsan Smart