Tag Archives: soket pengecas telefon

Anthony Loke: Semua bas ekspres dilarang guna soket pengecas telefon

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan larangan sementara penggunaan soket pengecas telefon dalam bas ekspres berikutan insiden renjatan elektrik sehingga meragut nyawa seorang remaja lelaki di Pulau Pinang baru-baru ini, menurut laporan Kosmo.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, larangan sementara penggunaan soket pengecas telefon dalam bas ekspres itu sehingga laporan pasukan petugas khas berhubung kejadian tersebut selesai dijalankan.

“Sekarang ini semua bas ada soket ini dilarang guna soket ini sementara waktu sebab kita nak dapatkan punca sebenar insiden ini dulu.

“Selepas pasukan petugas khas ini sediakan laporan, kalau ada penambahbaikan perlu dilakukan, Kementerian Pengangkutan (MOT) bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk melihat balik prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilaksanakan sebelum penggunaan soket ini dibenarkan dalam bas ekspres,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

gambar hiasan. Sumber: KTM ETS

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd. Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) sama ada MOT boleh mengarahkan APAD memastikan peralatan mengecas telefon yang di pasang dalam pengangkutan awam diuji tahap keselamatan sebelum diberi kelulusan untuk digunakan.

Sementara itu, Anthony Loke memaklumkan, penumpang tidak perlu khuatir berhubung keselamatan penggunaan soket pengecas telefon dalam pesawat dan kereta api.

Menurut beliau, soket pengecas telefon dalam pesawat dan kereta api memiliki piawaian yang perlu dipatuhi oleh syarikat pembuat pesawat dan kereta api.

“Ini jangan bimbang. Tidak perlu bimbang penggunaan soket tersebut. Bagi bas memang sekarang tidak ada piawaian tersebut.

“Setakat ini dalam pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan sebagainya, soket tidak dimasukkan sebahagian daripada pemeriksaan. Kita akan lihat balik SOP tersebut bersama ST untuk memastikan penggunaan soket ini dalam bas perlu ada satu standard piawaian,” katanya.

Berita penuh di Kosmo!