Tag Archives: sti

Subaru WRX tS tampil dengan peredam adaptif, brek Brembo

SUBARU memperluaskan barisan model WRX di Amerika Syarikat dengan varian baharu yang dikenali sebagai tS atau Tuned by STI.

Secara visual, WRX tS tampil dengan cermin sisi, antena sirip yu dan spoiler belakang yang dicat dalam warna hitam, manakala angkup brek pula berwarna emas.

Selain itu, terdapat logo tS pada bahagian but dan untuk roda, model ini diberikan rim aloi berukuran 19 inci dalam warna Satin Gray dan tayar Bridgestone Potenza S007 berukuran 245/35.

Masuk ke dalam, anda akan mendapati meter konvensional telah digantikan dengan panel instrumen digital 12.3 inci. Ini bermakna pemandu tidak perlu lagi bergantung kepada skrin sentuh 11.6 inci untuk melihat peta dan panduan arah.

WRX tS didatangkan dengan kerusi Recaro Performance Design yang dibalut kemasan Ultrasuede berwarna hitam dengan aksen biru, serta logo WRX tS pada perehat kepala dan karpet.

Apa yang menarik, Subaru telah membuang moonroof bagi mengurangkan berat dan menyediakan ruang kepala yang lebih luas untuk pemandu yang memakai topi keledar.

Untuk tS, enjin turbo 2.4-liter empat silinder tidak disentuh langsung, bermakna enjin boxer itu masih menghasilkan 271 hp dan 350 Nm. Kuasa disalurkan ke roda oleh transmisi manual enam kelajuan, menerusi sistem pacuan Symmetrical All-Wheel Drive dan Active Torque Vectoring.

Walau bagaimanapun, jentera ini diberikan peredam yang dikawal secara elektronik dan sistem suspensi yang ditala semula oleh siapa lagi kalau bukan STI.

Pemandu boleh mengubahsuai prestasi dinamik peredam tersebut menerusi tiga tetapan yang disediakan iaitu Comfort, Normal dan Sport.

Prestasi membrek turut dipertingkatkan menerusi sistem brek Brembo yang merangkumi cakera yang lebih besar, serta angkup enam piston di depan dan dua piston di belakang.

Menurut Subaru, WRX tS akan membuat penampilan sulung pertamanya di himpunan peminat Subaru terbesar Amerika iaitu Wicked Big Meet di Stafford Motor Speedway, Connecticut pada 2 Jun depan.

Inilah Subaru WRX wagon dengan manual 6-kelajuan yang kita tak boleh beli

SUBARU akhirnya memperkenalkan pakej kombinasi idaman ramai peminat tegarnya; WRX, wagon, dan manual. Ia hadir dalam bentuk Subaru WRX Sportwagon.

Masalahnya, seperti anda baca pada tajuk, kita tidak boleh membelinya. Subaru WRX Sportwagon ini hanya ditawarkan untuk Mexico. Ya, untuk Jepun atau Amerika Syarikat pun tiada.

Kenderaan prestasi tinggi wagon ini akan mula dijual di Mexico tidak lama lagi, dan tempahan sudah mula dibuka.

WRX Sportwagon dikuasakan oleh enjin 2.4-liter boxer 4-silinder turbo dengan output 271hp dan 350Nm tork. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear manual 6-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

Ciri standard wagon adalah pintu but berkuasa dan tempat duduk belakang dengan lipatan 40/20/40.

Subaru WRX Sportwagon ini akan dijual pada harga MX$819,900 (RM230k). Sementara itu WRX tS berharga MX$919,900 (RM258k) manakala WRX dengan kotak gear CVT dijual pada MX$899,900 (RM252k).

Ramai peminat WRX wagon manual di sini? Adakah kemungkinan kita boleh beli dari Mexico dan import ke Malaysia? Tinggalkan pendapat anda di ruangkan komen.

Prodrive P25 versi moden Subaru Impreza 22B STi, lebih 400hp dan hanya 25 unit

PRODRIVE P25 meraikan hubungan mereka dengan Subaru pada 1990an dengan menghasilkan kereta versi jalanan untuk jentera Impreza WRC 1997 dan 22B. Pada tahun itu, Subaru menjuarai kategori pengeluar dan pemandunya Colin McRae menjadi pemandu di tempat kedua dalam kejuaraan.

P25 akan menggunakan enjin 2.5-liter turbo flat-four yang menjana lebih 400hp. Kuasa akan disalurkan ke semua roda melalui kotak gear semi-auto 6-kelajuan dengan paddle-shifters.

Prodrive berkata model ini menggunakan gentian karbon secara menyeluruh untuk memastikan ia cukup ringan.

Lakaran yang dikongsi menunjukkan ia mempunyai rupa Impreza dengan beberapa elemen lain. Lampu kabus besar dan rendah adalah dari 22B, dan cermin sisi aerodinamik adalah sama dengan jentera rali.

Menurut lakaran ini, fender depannya adalah lebih agresif dari model asal. Ia akan dipadankan dengan rim khas dari Prodrive. Setakat ini tiada maklumat atau gambaran mengenai rupa dalamannya.

Prodrive juag berkongsi bahawa P25 akan mempunyai “casis ringan”. Tidak dapat dipastikan sama ada ia dibina dari Impreza asal atau baharu sepenuhnya dari mula.

Dikatakan beberapa kakitangan yang pernah menjadi krew untuk jentera WRC 1997 itu juga menyumbang kepada P25 ini.

“Impreza 22B asal ialah Subaru paling ikonik dan paling menjadi buruan. Kami mahu meningkatkan segala yang ada pada kereta itu dengan menggunakan teknologi terkini dan menghasilkan versi kami sendiri dari sebuah jentera yang terpahat dalam sejarah permotoran,” kata pengerusi Prodrive, David Richards.

Hanya 25 unit Prodrive P25 akan dibina, dan ia akan membuat kemunculan pertama di Goodwood Festival of Speed pada Jun depan. Penyerahan kepada pelanggan pula dijangka bermula hujung tahun ini.