Tag Archives: subang

Stellantis Malaysia buka bilik pameran Desa Park City, pusat servis Subang

Dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, Stellantis Malaysia baru-baru ini melancarkan pembukaan bilik pameran dan pusat servis, masing-masing terletak di Desa Park City dan Subang.

Kemudahan terbaharu ini akan menjadi sebahagian daripada rangkaian pengedar untuk kawasan Subang Jaya, Jalan Klang Lama dan Desa Park City.

Bilik pameran Desa Park City dikendalikan oleh Allure Auto terletak di lokasi strategik, dengan menawarkan pengalaman menarik menerusi pameran kenderaan jenama Peugeot dan Leapmotor.

Ia juga mempunyai ruang rehat moden yang lengkap dengan TV dan konfigurasi interaktif, serta kemudahan lain seperti minuman dan kopi untuk kunjungan pelanggan yang menyenangkan.

Bilik pameran Allure Auto ini beroperasi setiap hari dari 9.00 pagi hingga 6 petang.

Pusat servis Subang pula mempunyai keluasan 5,702 kaki persegi yang menyediakan enam ruang servis kereta dan dua tempat penyerahan.

Ia menawarkan kemudahan penyelenggaraan kenderaan elektrik bervoltan dan berteknologi tinggi di bawah satu bumbung.

Pelanggan boleh memanfaatkan penyelesaian selepas jualan yang menyeluruh seperti alat ganti, servis dan sokongan jaminan yang disediakan oleh lima orang juruteknik serta penasihat servis bertauliah daripada Stellantis.

Talian bantuan 24/7 juga turut disediakan bagi memastikan pelanggan mendapat sokongan bantuan teknikal yang pantas.

Isaac Yeo, Pengarah Urusan Interim ASEAN, Stellantis berkata, “Di Stellantis, kami komited untuk menetapkan penanda aras baharu dalam kecemerlangan automotif.

“Menerusi kerjasama dengan Allure Auto, kami telah membangunkan satu hub bertaraf dunia yang menunjukkan kesungguhan kami dalam meningkatkan pengalaman pelanggan dan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik.

“Dengan empat outlet di dalam portfolio mereka, pengembangan ini membuktikan semangat inovatif dan dedikasi kami untuk memberikan pengalaman yang dinamik dan fokus kepada pelanggan,” jelasnya.

AirAsia kembali beroperasi di Lapangan Terbang Subang selepas 23 tahun

AirAsia memperluas semula operasinya ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) juga dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang. Ini sekali gus memperkukuh kedudukan sebagai syarikat penerbangan terbesar di Malaysia.

Pengarah Urusan AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, operasi AirAsia di Lapangan Terbang Subang akan bermula dengan dua destinasi domestik iaitu Kuching dan Kota Kinabalu.

Katanya, penerbangan pertama dijadualkan bermula pada 30 Ogos 2024, menandakan pencapaian penting dalam sejarah syarikat penerbangan itu selepas 23 tahun tidak beroperasi di Lapangan Terbang Subang.

“Keputusan untuk kembali beroperasi di Lapangan Terbang Subang sebagai lapangan terbang kedua di Kuala Lumpur didorong oleh beberapa faktor dan peluang yang ditawarkan.

“Lokasi lapangan terbang ini yang berdekatan dengan pusat bandar menawarkan pengalaman perjalanan lebih mudah untuk tetamu di kawasan setempat.

“Selain itu, saiznya yang lebih kecil dan jumlah penumpang yang lebih rendah memastikan perjalanan lebih lancar untuk pengembara, sejajar dengan komitmen kami untuk meningkatkan pengalaman para tetamu secara keseluruhan dengan menawarkan lebih fleksibiliti dan pilihan, serta menggalakkan persaingan sihat dalam industri penerbangan negara.

“Kami optimis dengan beroperasi semula di Lapangan Terbang Subang juga akan meningkatkan rangkaian domestik AirAsia Malaysia daripada 920 penerbangan mingguan kepada 948 penerbangan mingguan dengan sejumlah 40 laluan,” katanya kepada media.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A serta Penasihat AirAsia Aviation Group, Tan Sri Tony Fernandes.

Fareh berkata, pihaknya optimis untuk menjadikan Subang sebagai hab keenamnya di Malaysia pada masa hadapan bagi memperkukuh rangkaian, memperluas kapasiti dan menawarkan lebih banyak destinasi kepada pelanggan.

Beliau berkata, operasi tambahan ini dijangka mendorong fasa pertumbuhan AirAsia bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh rantau ini.

“Kami berharap untuk menambah lebih banyak laluan dari Subang, terutamanya laluan antarabangsa yang kini dalam perancangan dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

”Buat masa ini kami diberi kebenaran untuk dua destinasi iaitu Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.

”Kami percaya seiring peningkatan permintaan akan lebih banyak destinasi lain bakal diumumkan kelak,” katanya.

Bagi meraikan pengumuman ini, AirAsia menawarkan tambang promosi untuk penerbangan dari Subang ke Kuching bermula daripada RM88 termasuk semua sehala dan ke Kota Kinabalu bermula daripada RM99 termasuk semua sehala dan bagasi daftar masuk 15 kilogram percuma.

SAS 2023 bawa industri aeroangkasa lebih dekat dengan anda, pelbagai jenis pesawat dipamerkan

KITA sering merasakan industri aeroangkasa atau dunia penerbangan ini suatu yang mahal dan jauh dari diri kita. Tetapi mujurlah pameran-pameran seperti Selangor Aviation Show 2023 (SAS 2023) dapat membawakan kita melihat dunia ini dengan lebih dekat.

Lebih 30 buah pesawat dipamerkan, merangkumi pesawat peribadi, jet komersial, pesawat penumpang, pesawat aerobatik, pesawat tentera, dan helikopter swasta serta helikopter tentera.

Acara edisi ketiga yang diadakan di Skypark Regional Aviation Centre (RAC) di Subang ini juga menjanjikan 33 forum bersama 65 jemputan tempatan serta antarabangsa, selain pelbagai perjanjian persefahaman.

Walaupun kami selalu membuat liputan dan reviu kenderaan darat seperti kereta, SUV, dan motosikal, sekali-sekala dapat melihat benda-benda terbang sebegini menarik juga. Sesuatu yang refreshing, bak kata orang putih.

Antara yang menarik minat kami semalam adalah jet mewah Gulfstream G600, Cessna 700 Citation Longitude, dan Falcon 8X. Kemudian antara pesawat turbo prop yang dipamerkan adalah Beechcraft King Air, ATR 72-500 milik Fire Fly, dan banyak lagi pesawat ringan.

Paling unik untuk kategori turbo prop ialah Piaggio Avanti 2, dengan konfigurasi sayap flap tambahan di hidung depan serta enjin jenis ‘pusher’. Ia antara paling laju dalam kelasnya dan pernah digelarkan sebagai Ferrari of the Skies.

Satu jet peribadi yang paling menarik perhatian penulis ialah HondaJet, pertama kali penulis lihat di depan mata dan secara dekat. Ia mampu memuatkan antara empat hingga enam penumpang tidak termasuk juruterbang, dan kami juga sempat masuk ke ruang kabinnya.

Penulis juga tidak melepaskan peluang melihat dengan lebih dekat dua helikopter yang dipamerkan, iaitu Leonardo AW139 milik Weststar Aviation dan Eurocopter AS555 Fennec milik Tentera Laut Diraja Malaysia.

AW139 merupakan pesawat yang sering digunakan untuk penerbangan offshore ke pelantar-pelantar minyak di perairan Terengganu. Sementara itu, Fennec pula berpangkalan di Lumut, Perak dan digunakan untuk kegunaan latihan sebagai misi utamanya.

Satu kejutan yang kami tidak sangka ialah persembahan aerobatik oleh Layang Layang Flying Academy. Menggunakan pesawat khas Game Bird GB1, ia diterbangkan oleh Kapten John ‘Scratchman’ iaitu bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan pelbagai aksi mendebarkan selama beberapa minit.

Terdapat juga ruang pameran dalam khemah bertutup yang menampilkan pelbagai lagi pameran seperti akademi penerbangan, teknologi dron, wakil-wakil dari agensi pertahanan negara, serta wakil antarabangsa.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata SAS 2023 bukan sahaja platform bagi merapatkan jaringan pemain industri, bahkan ia juga dimanfaatkan untuk mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Boeing menjangkakan dengan peningkatan trafik udara, industri aeroangkasa memerlukan lebih 790,000 juruterbang dan lebih 754,000 juruteknik untuk 20 tahun akan datang.

“Ini bermakna lebih 1.5 juta peluang pekerjaan bakal ditawarkan untuk dua sub-sektor penerbangan ini,” katanya dalam acara perasmian semalam.

“Dengan peningkatan populasi dan urbanisasi, cabaran untuk menawarkan peluang pekerjaan berterusan dengan gaji bermaruah akan menjadi fokus utama Kerajaan Negeri dalam penggal ini.

“Oleh yang demikian, kita mahu silibus pendidikan, khususnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selari dengan keperluan dan kehendak industri penerbangan,” katanya.

Amirudin menjelaskan Selangor merupakan negeri pilihan bagi pemain industri dengan 67 peratus syarikat aeroangkasa dalam negara beroperasi di negeri berkenaan.

Pameran Selangor Aviation Show 2023 akan berlangsung dari 7 hingga 9 September 2023, dan masuk adalah percuma. Tetapi anda harus lawati laman webnya dahulu kerana syarat dan sekuriti agak ketat memandangkan kita masuk ke kawasan operasi pesawat.