Tag Archives: subsidi diesel

Penyasaran subsidi diesel: kerajaan jimat RM600 juta sebulan

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying mendedahkan bahawa penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan pada Jun tahun ini membolehkan kerajaan menjana penjimatan sebanyak RM600 juta sebulan.

Beliau berkata, perolehan itu akan disalurkan semula kepada rakyat. Ia juga terbukti menerusi peningkatan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada tahun depan.

“Penjimatan kerajaan ini akan memastikan terdapat lebih banyak sumber untuk disalurkan dalam sektor kritikal lain untuk tingkat kualiti hidup rakyat termasuk infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

“Sudah tentu antaranya jalan raya, hospital dan sekolah. STR dan SARA bagi 2025 turut ditingkatkan berbanding tahun 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang menyoal penjimatan kerajaan hasil daripada keputusan menarik balik subsidi diesel.

Hui Ying turut menjawab soalan tambahan Mohammad Fawwaz mengenai rancangan kerajaan untuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah dan Sarawak.

Katanya, sebahagian besar mod pengangkutan untuk kegiatan ekonomi di sana yang menggunakan diesel serta keadaan geografi menjadi dua faktor utama ia belum dilaksanakan.

Jelas beliau, ia mungkin dilaksanakan selepas kerajaan selesai membuat kajian untuk mengatasi permasalahan berkenaan agar sebarang keputusan tidak membebankan rakyat.

Menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang menyoal berkenaan kelemahan pelarasan subsidi diesel, Hui Ying berkata, kerajaan mengakui kekurangan berkenaan namun pemantauan ketat tetap dilaksanakan.

“Kerajaan akui wujud kelemahan, sebab itu kita masih juga dalam proses libat urus bersama pemegang saham dan pemain industri untuk lakukan penambahbaikkan. Namun sekarang masih lagi kurang daripada enam bulan pelarasan ini dilaksanakan, jadi kita akan terus memantau dari masa ke semasa,” ujarnya.

Rampasan diesel turun 87 peratus sejak penyasaran subsidi – KPDN

SEJAK pelaksanaan penyasaran subsidi diesel pada 10 Jun lalu, kes rampasan minyak diesel menyaksikan penurunan sebanyak 87 peratus, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Tambah Armizan, trend penurunan itu adalah berdasarkan perbandingan bagi tempoh 20 hari sebelum dan selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Bagi tempoh 20 Mei hingga 9 Jun lepas, Armizan berkata jumlah kes yang direkodkan ialah 65 kes dengan rampasan diesel sebanyak 520,803 liter.

Bagi tempoh 10 Jun hingga 30 Jun pula, statistik menunjukkan hanya 14 kes melibatkan jumlah rampasan minyak diesel sebanyak 68,457 liter.

“Jumlah individu yang telah ditahan bersabit kes diesel juga berkurangan dalam tempoh yang sama iaitu daripada 40 orang kepada seorang sahaja.

“Perbandingan ini menunjukkan berlakunya penurunan jumlah kes yang signifikan,” katanya.

Berkuat kuasa 10 Jun lepas, kerajaan telah menetapkan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter di semua stesen minyak di seluruh Semenanjung Malaysia, manakala harga runcit bahan api itu bagi Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter.

Bagaimanapun, Armizan berkata, terdapat peningkatan bagi rampasan petrol RON95 iaitu 37 kes, melibatkan sebanyak 17,064 liter bagi tempoh 20 Mei hingga 9 Jun lepas, berbanding 46 kes dengan rampasan 14,011 liter selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Beliau berkata, jumlah tangkapan pula meningkat daripada 10 kepada 17 orang bagi tempoh sama.

Bagi membanteras aktiviti tersebut, beliau berkata, pihaknya akan terus meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas aktiviti penyelewengan barang kawalan menerusi Ops Tiris 3.0 di seluruh negara.

“Kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan lain juga diadakan bagi memastikan isu ketirisan dapat diatasi secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.

Subsidi diesel: 180,000 kenderaan belum mohon Fleet Card

Kira-kira 180,000 kenderaan barangan masih belum memohon mendapatkan Fleet Card menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata mengikut rekod, terdapat 389,000 kenderaan barangan berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun hanya 209,000 memohon Fleet Card dalam SKDS 2.0.

“Jumlah 209,000 itu telah diluluskan untuk subsidi diesel,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau menjelaskan, terdapat 33 kategori kenderaan, termasuk 10 kategori pengangkutan awam seperti bas sekolah dan bas ekspres, manakala 23 lagi kategori membabitkan kenderaan pengangkutan barangan, logistik.

“Kategori kenderaan barangan, ada 389,000 yang berdaftar dengan JPJ, namun yang daftar untuk dapatkan Fleet Card sekitar 209,000, bermakna lebih kurang 180,000 lagi masih belum daftar.

“Mungkin yang belum berdaftar ingat mereka tak layak atau hanya punya satu, dua kenderaan dan rasa susah. Sebenarnya, walaupun satu, dua atau tiga kenderaan pun layak, tak perlu ada 20 kenderaan dalam syarikat.

“Asalkan mereka termasuk dalam 23 kategori kenderaan mengangkut barang yang tersenarai,” katanya menasihatkan pemohon dalam 23 kategori itu tidak bimbang memandangkan mereka yang memohon akan mendapat kelayakan serta-merta.

Beliau memberi contoh, jika permohonan Fleet Card daripada lima syarikat minyak yang mengambil masa untuk diproses, pemohon boleh menyimpan resit dan kemudian boleh mendapatkan bayaran balik.

“Bila ada Fleet Card, serta-merta dekat pam minyak sudah ada diskaun,” katanya.

Mengenai dakwaan pemberian subsidi RM200 tidak mencukupi bagi kenderaan barangan, Fuziah berkata, tiada kuota Fleet Card ditetapkan bagi kenderaan pengangkutan barang setakat ini.

“Penyasaran subsidi diesel di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ialah syarikat dan kita guna kan sistem Fleet Card. Berbeza dengan dua lagi,” katanya merujuk sistem Budi Individu atau Budi Agri-Komoditi.

Permohonan subsidi diesel Budi Madani RM200 sebulan dibuka hari ini

PERMOHONAN bagi Progam Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) yang melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi dibuka hari ini (28 Mei 2024).

Penerima yang layak akan disalurkan BUDI MADANI sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu boleh membuat permohonan di bawah kategori BUDI Individu.

Manakala petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori BUDI Agri-Komoditi.

“Pelaksanaan susulan kenyataan Perutusan Negara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Bagi kategori BUDI Individu, pemohon mestilah warganegara Malaysia, memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun.

Kenderaan dimiliki mempunyai cukai jalan yang aktif dan pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 dan ke bawah.

Manakala bagi BUDI Agri-Komoditi, pemohon mestilah berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Pemohon merupakan petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.

“Setiap permohonan yang diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi (T20),” katanya.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman web https://budimadani.gov.my yang akan dibuka sepanjang tahun.

Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun akan menerima BUDI MADANI pertama menjelang pertengahan Jun dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.

Manakala bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun akan menerima BUDI MADANI pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan.

BUDI MADANI akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima setiap bulan manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntut BUDI MADANI secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia.

Amir Hamzah berkata, Program BUDI MADANI melengkapi usaha sedia ada Kerajaan dalam menyasarkan subsidi diesel melalui sistem MySubsidi Diesel kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Setakat ini, hampir 90,000 fleet card dikeluarkan kepada syarikat di bawah sektor pengangkutan awam darat dan sektor pengangkutan barangan darat.

“Seperti yang sering kali ditekankan oleh Perdana Menteri, penyasaran subsidi diesel merupakan antara langkah reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI, bagi membina kemampanan kewangan kerajaan serta Malaysia yang lebih berdaya saing.

“Ikhtiar BUDI MADANI mencerminkan usaha bersepadu jentera Kerajaan MADANI dalam memastikan mekanisme penyasaran subsidi diesel adalah komprehensif, cekap dan berkesan supaya sektor logistik dan majoriti rakyat terus dilindungi,” tambah beliau.

Untuk memohon dan mengetahui lebih lanjut berhubung syarat-syarat kelayakan BUDI MADANI boleh layari https://budimadani.gov.my.

Pemohon juga boleh menghubungi talian bantuan BUDI MADANI di nombor 1-800-88-2747 / 03-8882 4565 / 03-8882 4566 atau secara e-mel di alamat budimadani@treasury.gov.my.

Pertanyaan dan maklumat lanjut juga boleh diperolehi di semua pejabat LHDNM seluruh Semenanjung Malaysia.