Tag Archives: Sultan Ibrahim

Nombor plat FFF 1 milik Agong, dibida pada harga RM1.75 juta

Nombor plat kenderaan keluaran khas FFF 1 menjadi milik Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selepas membida nilai tertinggi sebanyak RM1.75 juta.

Dalam hantaran di Facebook rasmi pagi ini, Seri Paduka Baginda berharap nilai bidaan yang disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan itu dapat digunakan untuk membantu rakyat.

Pada Februari lalu, Sultan Ibrahim muncul sebagai pemilik nombor plat kenderaan keluaran khas GOLD 1 dengan nilai bidaan RM1.5 juta yang merupakan bidaan tertinggi dalam sejarah negara ketika itu.

Tahun lalu, nombor plat keluaran khas FF1 juga menjadi milik Seri Paduka Baginda selepas membidanya pada harga RM1.2 juta. Pada 2016, Yang di-Pertuan Agong dilaporkan memenangi bidaan nombor plat kenderaan F1 dengan nilai bidaan RM836,660 bagi turutan nombor baharu bagi Putrajaya.

Terdahulu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan nombor plat khas FFF bersempena sambutan Hari Ulang Tahun JPJ Ke-78.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, nombor siri istimewa itu dibuka untuk bidaan bermula 11 Mei dan berakhir pada 10 malam, 15 Mei sebelum keputusan penawaran diumum keesokan harinya.

“Pengenalan nombor siri baharu itu merupakan kesinambungan pada setiap kali ulang tahun hari JPJ dengan sebelum ini pernah mengeluarkan siri seperti F, FA, FB, FC dan FF.

“Malah, awal tahun ini turut dilancarkan nombor plat GOLD yang berjaya mencapai pulangan hasil RM17 juta, jadi kita berharap untuk siri FFF ia mampu mencapai nilai kutipan RM20 juta,” katanya.

Nombor plat ‘GOLD 1’ jadi milik Agong dengan bidaan RM1.5 juta

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar muncul sebagai pemilik nombor plat kenderaan keluaran khas GOLD 1 dengan nilai bidaan tertinggi dalam sejarah negara iaitu RM1.5 juta.

Dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Istana Negara.

Pada pertemuan itu, Anthony turut mempersembahkan secara simbolik nombor plat kenderaan berkenaan kepada Sultan Ibrahim.

Menerusi hantaran tersebut, Sultan Ibrahim bertitah bahawa RM1.5 juta itu akan disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan.

Nombor plat siri GOLD merupakan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50. Ia dibuka untuk bidaan pada 1 Februari bermula jam 12 tengah hari hingga 5 Februari lalu.

Pada Jun tahun lalu, Sultan Ibrahim berjaya memperoleh nombor plat FF 1 selepas berjaya membidanya dengan tawaran tinggi pada harga RM1.2 juta.