Tag Archives: supercharger

Enjin NA vs turbocharger vs supercharger, mana yang patut anda pilih?

Apabila bercakap tentang enjin pembakaran dalaman, ada tiga terma yang paling kerap ditemui iaitu NA, turbocharger dan supercharger. Secara asasnya, ketiga-tiganya merujuk kepada bagaimana sesebuah enjin itu memasukkan udara ke kebuk pembakaran untuk menjana kuasa.

Enjin NA atau nama penuhnya naturally aspirated mendapat bekalan udaranya secara semula jadi menerusi tekanan atmosfera.

Sementara itu, kedua-dua turbocharger dan supercharger pula merupakan sistem induksi paksaan atau forced induction yang memampatkan udara untuk menghasilkan pembakaran yang lebih berkuasa.

Enjin NA paling meluas digunakan kerana kosnya lebih rendah dan lebih mudah dijaga, manakala turbocharger pula dikhaskan untuk model-model prestasi namun dengan perubahan lanskap automotif, lebih banyak pengeluar mula menggunakan sistem-sistem tersebut pada kenderaan mereka.

Selepas berakhirnya era enjin Kompressor Mercedes-Benz, enjin supercharger dilihat semakin tenggelam namun ada beberapa model semasa yang masih menggunakan sistem ini seperti Dodge Challenger/Charger dan semua model SVR dari Land Rover.

Bagaimana turbocharger berfungsi?

Menurut pengeluar turbo terkenal Garrett, turbocharger menggunakan gas ekzos untuk memacu roda turbin sehingga 350,000 rpm. Roda turbin itu kemudiannya menggerakkan roda pemampat menerusi aci.

Ketika kedua-dua roda itu berputar, sejumlah besar udara disedut dan dimampatkan sebelum disejukkan menerusi intercooler untuk meningkatkan lagi ketumpatannya sebelum ia memasuki enjin.

Udara termampat ini membolehkan bahan api dibakar dengan lebih efisien untuk mencapai kuasa yang lebih dan tahap penggunaan bahan api yang lebih tinggi.

Kelebihan dan kekurangan turbocharger

Dengan pengecas turbo, enjin menikmati peningkatan kuasa yang signifikan. Malah, enjin turbo boleh menghasilkan kuasa yang sama atau lebih tinggi berbanding enjin NA dengan kapasiti lebih besar.

Selain itu, enjin turbocharger juga dikatakan lebih cekap bahan api kerana ia boleh menjana kuasa lebih tinggi dengan lebih sedikit bahan api.

Walau bagaimanapun, prestasi yang tinggi menjadikan enjin turbo lebih cepat panas, manakala komponen dalaman pula terdedah kepada tekanan. Ini bermakna ia perlu diselenggara lebih kerap untuk memastikan ia berada dalam keadaan optimum.

Bagaimana supercharger berfungsi?

Jika turbocharger menggunakan gas ekzos untuk berputar, supercharger pula dikuasakan secara mekanikal menerusi tali sawat yang disambungkan terus ke aci engkol enjin.

Supercharger meningkatkan pengambilan dengan memampatkan udara di atas tekanan atmosfera tanpa mencipta vakum. Ini memaksa lebih banyak udara masuk ke dalam enjin. Dengan udara tambahan itu, enjin boleh menyuntik lebih banyak bahan api, sekali gus menghasilkan kuasa yang lebih tinggi.

Kelebihan dan kekurangan supercharger

 

Seperti turbocharger, supercharger membolehkan enjin menghasilkan kuasa dan tork yang lebih tinggi. Bagaimanapun, ia tidak menghadapi masalah turbo lag kerana supercharger dipacu oleh aci engkol enjin. Selain itu, supercharger memberikan tindak balas pendikit yang lebih baik pada julat RPM rendah.

Bagaimanapun, supercharger tidak secekap turbocharger kerana ia memerlukan kuasa dari enjin untuk menjana lebih kuasa. Bukan itu sahaja, komponen dalaman juga terdedahkan kepada tekanan dan haba yang lebih tinggi dan ini akan menjejaskan jangka hayat enjin.

Mana yang terbaik?

Jika prestasi bukan keutamaan anda, enjin NA sudah memadai kerana kuasa yang dihasilkan sebenarnya sudah cukup untuk kegunaan harian dan ia juga lebih murah untuk dioperasikan.

Bagi mereka yang kaki lenjan, enjin turbocharger dan supercharger adalah pilihan yang tepat. Bagaimanapun, enjin turbo dilihat lebih sesuai untuk penggunaan masa kini kerana ia juga lebih efisien dan lebih mudah didapati dalam pasaran. Tetapi jika anda tidak dapat memilih antara kedua sistem ini, ada beberapa pengeluar yang menawarkan enjin twincharger seperti Volkswagen, Audi dan Volvo.

Tesla Supercharger kini di Kuantan, pertama di Pantai Timur

TESLA telah membuka dan mengaktifkan stesen Supercharger di Kuantan, Pahang. Terletak di premis Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), ianya menjadi Tesla Supercharger pertama di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Menurut Josh KY Chua yang berkongsi beberapa gambar dalam laman Facebook Warga Kuantan, stesen itu boleh digunakan oleh orang awam 24 jam sehari.

Terdapat empat ruang pengecas di lokasi ini. Sama seperti stesen-stesen Supercharger lain di seluruh negara, stesen baharu di Kuantan ini juga mempunyai kadar caj RM1.25 per kWh.

Terdapat juga bayaran melahu RM4.00 seminit sekiranya stesen itu penuh.

Walaupun Tesla telah mula membuka rangkaian Supercharger V4 di Malaysia, stesen di MBK walaubagaimanapun adalah Supercharger V3.

Pembukaan Supercharger baharu ini adalah selari dengan apa yang diumumkan oleh Pengarah Rantau Tesla, Isabel Fan pada Mac bahawa Supercharger di Kuantan akan dibuka menjelang penghujung suku kedua tahun ini.

Lokasi-lokasi lain untuk suku kedua ini adalah Supercharger pertama di Pulau Pinang yang terletak di Prai.

Tesla buka stesen pengecas EV baharu di Gamuda Cove, terbesar di Asia Tenggara

MALAYSIA kini mempunyai stesen pengecas kereta elektrik (EV) terbesar di Asia Tenggara. Ia merupakan stesen pengecas terbaharu Tesla, dibuka di Gamuda Cove, Kuala Langat.

Stesen ini mempunyai enam Supercharger dan 18 Destination Charger. Dengan pembukaan ini, ia menambah kepada rangkaian pengecas Tesla yang pernah dibuka sebelum ini:

  • Pavilion Bukit Jalil: 6 Supercharger, 2 Destination Charger
  • Tesla Service Centre Cyberjaya: 4 Supercharger, 4 Destination Charger
  • Sunway Big Box Iskandar Puteri Johor: 4 Supercharger, 3 Destination Charger
  • Freeport A’Famosa Outlet Melaka: 4 Supercharger, 1 Destination Charger
  • Pavilion KL: 8 Supercharger
  • Sunway Pyramid: 4 Supercharger
  • The Ship Campus Penang: 8 Destination Charger
  • Sunway Velocity Mall KL: 6 Destination Charger
  • Sunway Putra Mall KL: 6 Destination Charger
  • Pavilion Damansara Heights: 5 Destination Charger
  • All Seasons Place Penang: 4 Destination Charger

Tesla kini mempunyai 36 Supercharger dan 55 Destination Charger seluruh negara. Dari segi bayaran pula, ianya seragam untuk semua stesen.

Pengecas Supercharger mampu mengecas pada kadar sehingga 250kW dengan harga RM1.25/kWh, dengan bayaran melahu (idle) RM4.00 seminit jika stesen pengecas itu sedang penuh.

Ford Performance tawar kit supercharger Mustang – RM48k sahaja

PEMILIK Ford Mustang GT dan Mustang Dark Horse di Amerika Syarikat yang ingin meningkatkan kuasa jentera mereka kini boleh mendapatkan kit supercharger daripada Ford Performance.

Dibangunkan dengan kerjasama pengeluar supercharger terkemuka iaitu Whipple, kit berkenaan merangkumi unit supercharger berkapasiti 3.0 liter dengan rekaan twin screw, intercoolerthrottle body, palam pencucuh dan penyuntik bahan api GT500.

Bukan itu sahaja, pada harga US$9,995 (RM47,356), supercharger itu juga akan dikalibrasikan secara eksklusif oleh Ford Performance. Kit ini didatangkan dengan waranti untuk tiga tahun atau 36,000 batu (57,936 km).

Dengan supercharger ini, enjin 5.0-liter V8 yang digunakan oleh Mustang GT dan Dark Horse akan ‘diperah’ bagi menghasilkan 810 hp pada 7,500 rpm dan 834 Nm pada 4,800 rpm.

Untuk perbandingan, Mustang GT mempunyai 486 hp dan 567 Nm manakala Mustang Dark Horse mempunyai 500 hp dan jumlah tork yang sama.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa angka-angka berkenaan adalah untuk model yang dilengkapi dengan sistem ekzos aktif. Tanpa sistem ini, kuasa dihadkan kepada 800 hp.

Menariknya, kit supercharger Ford Performance sah untuk digunakan di semua negeri di AS kecuali California. Menurut Ford, kit berkenaan tidak mempunyai kelulusan untuk digunakan di California dan tidak boleh didaftarkan atau digunakan secara sah pada kenderaan di negeri itu.

Untuk pengetahuan, undang-undang emisi California adalah antara yang terketat di negara itu.

Stesen pengecas Tesla Supercharging kini dibuka di Pavilion Bukit Jalil

Tesla mengumumkan pembukaan stesen Supercharging terbaharu mereka di Pavilion Bukit Jalil. Sejak kehadiran jenama EV itu pada Julai 2023, mereka komited mengembangkan rangkaian pengecasan untuk pengalaman lebih baik bagi pemilik mereka di Malaysia.

Stesen Supercharging terbaharu ini dilengkapi dengan 6 Supercharger dan 2 Destination Charger. Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 30 Supercharger dan 25 Destination Charger di seluruh negara.

Dengan pengecasan pantas setinggi 250kW, sebuah Tesla Model 3 boleh dicas semula sehingga memberikan jarak 282km dalam hanya 15 minit.

Selain itu, pemilik Tesla juga kini boleh memantau pengecas yang boleh digunakan, status pengecasan, pembayaran, dan bantuan teknikal dalam masa sebenar. Ini pastinya memberikan kemudahan cukup baik, terutamanya untuk pemilik EV kali pertama.

Stesen Tesla Supercharging di Pavilion Bukit Jalil terletak di parkir B1, Pavilion Bukit Jalil 2, Persiaran Jalil 8, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ia dibuka 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Kadar pengecasan adalah RM1.25/kWh manakala bayaran Idle ialah sehingga RM4/minit apabila stesen ini penuh digunakan.

Kerajaan Johor mahu jadi lokasi rangkaian supercharger Tesla

KERAJAAN negeri Johor menyatakan kesediaan dan potensi negeri itu untuk menjadi lokasi penubuhan rangkaian Supercharger Tesla.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam pertemuan dan perbincangan bersama Pengarah Wilayah Tesla, Isabel Fan.

“Menerusi perbincangan ini, pelbagai perincian serta perancangan telah diutarakan oleh pihak Tesla,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Katanya, ekosistem yang kondusif dan pengukuhan polisi kerajaan yang menekankan peralihan kepada teknologi hijau, telah memberikan keyakinan kepada syarikat kenderaan elektrik (EV) mega itu untuk melabur di Malaysia.

“Jutaan penghargaan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta pihak-pihak berkaitan atas usaha berterusan merancakkan pelaburan di Malaysia.

“Semoga segala yang direncanakan akan membuahkan hasil, terutamanya dalam meningkatkan peluang pekerjaan serta keterlibatan syarikat tempatan dalam ekosistem pelaburan pihak Tesla sama ada di peringkat domestik atau global. Insya-Allah,” tambahnya.

Turut hadir pada pertemuan itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Lee Ting Han dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman.

Kami merasakan ini suatu langkah yang amat strategik memandangkan Johor berada dekat dengan negara jiran Singapura.

Jadi pengguna Tesla dari negara itu boleh mengecas kenderaan mereka sebaik masuk ke negara ini atau menambahkan cas bateri mereka sebelum pulang ke Singapura.

Dalam pada masa yang sama, diharapkan lebih banyak rangkaian Supercharger Tesla dapat dibuka terutamanya di negeri-negeri luar Lembah Klang.