Tag Archives: SUV segmen C

Lima perkara anda perlu tahu pasal Jetour Dashing – Pandu Uji Ringkas

Tanggal 9 April 2025 menyaksikan sebuah lagi jenama automotif dari Tanah Besar China membuat kemunculan rasmi di pasaran Malaysia, iaitu Jetour.

Untuk makluman para pembaca, Jetour merupakan salah satu jenama yang bernaung di bawah kumpulan besar Chery, dengan fokus ditumpukan kepada model crossover dan SUV untuk disasarkan kepada keluarga kecil serta golongan pembeli muda.

Namun begitu, Jetour Malaysia dikendalikan oleh entiti yang berbeza, jadi jenama baharu ini secara tidak langsung turut memberikan cabaran kepada Chery dan juga sub-jenama premiumnya – Jaecoo.

Model pertama yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia ialah Jetour Dashing, sebuah SUV segmen C dengan rupa paras yang cukup menarik serta memiliki tanda harga yang agak kompetitif.

Di Malaysia, Dashing, ataupun Dàshèng membawa maksud ‘monkey king‘ ini bakal bersaing dengan SUV segmen C yang terkenal seperti Honda CR-V, Proton X70 dan juga Toyota Corolla Cross.

Dengan harga jualan di bawah julat RM120,000, adakah Jetour Dashing ini mampu menjadi satu alternatif yang lebih baik?

Berikut merupakan ulasan awal kami berdasarkan pemanduan ringkas yang dibuat tempoh hari dari Ara Damansara menuju ke Sekinchan.

 

Luaran

Tatkala rata-rata model di dalam kategori SUV segmen C di sini mempunyai rekaan yang agak selamat namun membosankan, Jetour Dashing tiba untuk memecahkan tradisi tersebut dengan rekaan yang lebih ranggi dan menonjol.

Atau patutkah kami gelarkannya sebagai rojak?

Ini kerana Dashing menampilkan gabungan imej yang wujud daripada SUV mewah Lamborghini Urus, dengan lampu nyalaan siang DRL seakan mata adiwira Iron Man, profil sisi SUV coupe yang sporti dan belakang pula ada elemen bendera berkotak-kotak (chequered flag).

Pada kami, untuk melengkapkan lagi imej sporti SUV ini, elemen krom pada bahagian sisi boleh digelapkan, selain tidak menjadikan tip ekzos tersembunyi di sebalik diffuser yang garang itu.

Mungkin ada yang berpendapat, Jetour Dashing ada unsur elemen SUV jenama Porsche.

Pandangan anda itu ada benarnya.

Ini kerana reka bentuk Jetour Dashing ini merupakan hasil kerja tangan Hakan Saracoglu, seorang bekas pereka Porsche yang sebelum ini bertanggungjawab hasilkan model-model penting seperti 918 Spyder, Boxster dan Cayman.

Hasilnya, sebuah SUV segmen C dengan rekaan yang cukup mencuri tumpuan di atas jalan raya, dan nyata berbeza jika dibandingkan dengan model-model pesaing yang mempunyai imej SUV keluarga.

 

Dalaman

Susun atur papan pemuka Jetour Dashing ini merupakan tetapan tipikal yang wujud pada mana-mana SUV buatan China, terutama dari keluarga besar Chery.

Menurut Jetour, Dashing ini menggunakan pendekatan ‘wrap-around‘ yang diadaptasikan daripada reka bentuk rumah tradisional China, diikuti dengan elemen kereta mewah buatan Jerman turut menguasai bahagian tersebut, seperti yang terdapat pada roda stereng dan butang menghidupkan enjin.

Terdapat panel skrin memanjang yang menempatkan paparan kluster digital 10.25 inci dan skrin infohibur sebesar 10.25 inci, dan panel kawalan khusus untuk sistem pendingin hawa yang terletak di bawah corong tengah.

Untuk pemandu dan penumpang baris depan disediakan tempat duduk gaya bucket yang nampak sesuai dengan tema sporti yang cuba dibawakan.

Binaan kerusi depan ini mampu memegang erat badan manusia daripada tergelongsor ke tepi cuma rekaannya mungkin agak sempit terutama untuk mereka yang berjisim besar.

Satu pujian harus diberikan pada Dashing kerana menawarkan tempat duduk baris kedua yang cukup empuk dan selesa, dalam masa yang sama tidak menawarkan sudut sandaran yang terlalu menegak.

Walaupun daripada sudut luaran SUV coupe ini nampak kecil, namun masih ada ruang kepala yang cukup besar, serta struktur lantai rata untuk ruang kaki yang lebih luas.

Ternyata, duduk di belakang rasa lebih selesa dan memuaskan hati (dan perut yang kekenyangan) sewaktu perjalanan pulang ke Ara Damansara, dengan keadaan kabin yang senyap tanpa gangguan bunyi bising daripada luar.

Cuma anda perlu sedikit bersabar untuk menikmati tiupan angin sejuk daripada corong baris kedua yang agak sukar untuk ditetapkan sudut arah tiupan anginnya.

Untuk kemudahan penumpang, terdapat beberapa slot pengecasan jenis USB tersedia serta slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W yang tersedia pada konsol tengah.

Di dalam kabin Dashing juga anda boleh merasai pengalaman menyimpan payung kecil pada ruang khas yang terdapat pada setiap panel pintu – ibarat macam kereta Rolls-Royce!

Berbalik semula kepada tempat duduk pemandu, kami dapati skrin kluster digital tersebut mudah untuk dibaca, namun dilengkapi dengan respons grafik yang agak perlahan.

Perkara ini anda boleh perasan sewaktu fasa pecutan, di mana ia dipaparkan dengan pergerakan jarum rpm yang tidak lancar, dan tidak selaras dengan ngauman bunyi enjin sewaktu pedal pendikit ditekan.

Selain itu, anda perlu mengakses pilihan mod pemanduan (Eco/Sport) daripada skrin tengah kerana tiada butang fungsi khas disediakan untuk itu.

 

Pemanduan tidak seagresif rupa

Jetour Dashing dijana dengan enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 154 hp dan daya kilas 230 Nm. Ya, ia merupakan enjin yang sama digunakan pada SUV segmen B Chery Omoda 5.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi klac berkembar enam-kelajuan.

Atas kertas memang nampak berkuasa, cuma di dalam dunia yang sebenar sukar untuk kami dapatkan respons yang mengujakan untuk menggerakkan SUV ini dengan lancar daripada pegun.

Malah dalam ujian pecutan Jetour Dashing ini sukar untuk menyaingi kehebatan prestasi yang ditunjukkan oleh SUV segmen B yang kerap menguasai lorong kanan lebuh raya.

Jadi, untuk siapa Jetour Dashing ini?

Bagi kami, Jetour Dashing dengan rupa paras seakan Urus ini lebih sesuai untuk dinikmati oleh mereka yang mahukan pemanduan lebih santai dan tidak terburu-buru untuk mengejar lampu isyarat bertukar merah. Ia tidak perlu dipandu laju pun untuk menarik tumpuan orang ramai.

Aspek pemberhentian juga tidak mengecewakan, cuma dari sudut pengendalian Dashing mungkin sekali akan mengecewakan sesetengah pihak yang mengharapkan pemanduan mengujakan daripada SUV yang nampak sporti ini.

Ini kerana talaan suspensi topang MacPherson dan Multilink pada Dashing ini lebih cenderung untuk membuatkan perjalanan yang lebih selesa sepanjang masa, dengan segala bentuk hentakan dan ketidakrataan jalan berjaya diserap tanpa menyebabkan gegaran ketara.

Senang cerita, ia tidak direka untuk pemanduan yang agresif.

Respons sistem stereng ringan dan mudah untuk dikawal, cuma ia kekurangan maklum balas dan input yang anda cuba dapatkan terutama ketika sedang melayan selekoh.

Apa yang kami suka tentang Jetour Dashing ini ialah tahap kebisingan, gegaran dan kekasaran (NVH) yang cukup baik, di mana bunyi bising daripada aliran angin dan ngauman enjin berjaya ditapis dengan baik untuk memastikan ruang kabin kekal senyap sepanjang perjalanan.

 

Ciri keselamatan boleh ditambah baik

Secara standard, Jetour Dashing dilengkapi dengan empat beg udara, sistem brek anti-kunci (ABS), Agihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) serta Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).

Beralih kepada varian Prime yang kami pandu uji tempoh hari, anda akan mendapat ciri ekstra termasuklah tambahan dua beg udara (kepada enam unit), serta ciri bantuan pemandu (ADAS) yang asas seperti amaran penukaran lorong, sistem pemantauan titik buta (BSM), amaran lintasan trafik belakang (RCTA) serta sistem kamera keliling.

Sayang sekali, varian Prime ini tidak dilengkapi dengan fungsi brek kecemasan autonomi (AEB) secara standard, satu kekurangan ketara untuk model baharu yang dijual pada tahun 2025.

 

Jetour Dashing: Untuk siapa?

Dalam pasaran yang sudah dibanjiri dengan bermacam-macam model SUV keluarga, kami berpendapat Jetour Dashing ini lebih sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah SUV yang cukup bergaya pada harga yang lebih mampu milik.

Ia bukan sahaja mempunyai reka bentuk yang cukup ranggi, ada ruang kabin yang selesa untuk seisi keluarga, praktikal dan sarat dengan ciri-ciri yang moden.

Yang paling penting, dengan harga jualan RM116,800, anda mungkin akan berfikir dua tiga kali jika sebelum ini pernah terfikir untuk mendapatkan model pesaing yang lebih mahal harganya.

 

Spesifikasi Jetour Dashing 2025


Enjin: Empat silinder sebaris 1.5 liter turbo
Kuasa: 154 hp, 230 Nm
Transmisi: Klac berkembar enam-kelajuan
Pacuan: Roda depan
Suspensi: Topang MacPherson, tetapan Multilink belakang
Ruang kargo: 486 liter, atau sehingga 977 liter

 

Jetour Dashing 2025 rasmi di Malaysia – harga jualan dari RM109,800

Jetour Auto Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model SUV segmen C Dashing 2025 untuk pasaran tempatan.

Ditawarkan dalam dua varian utama iaitu Comfort dan Prime, Jetour Dashing dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo menghasilkan 154 hp @ 5,500 rpm dan daya kilas 230 Nm @ 1,750-4,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi klac berkembar (DCT) enam-kelajuan.

Terdapat tiga mod pemanduan ditawarkan iaitu Economy, Comfort dan Sport.

Menggunakan senibina Kunlun, Jetour Dashing membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,590 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,685 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,720 mm.

Ini menjadikan Dashing mampu memberikan saingan kepada model SUV segmen C buatan Jepun, seperti Honda CR-V dan juga Toyota Corolla Cross.

Antara ciri standard di bahagian luar termasuklah rim 18 inci, lampu LED depan dan belakang, serta pintu tailgate berkuasa elektrik.

Ruang kargo boleh memuatkan barangan sehingga 486 liter, dan boleh mencapai sehingga 977 liter apabila tempat duduk baris kedua nisbah 60:40 dilipat rata.

Sementara untuk ruang kabin pula terdapat skrin kluster digital 10.25 inci, skrin infohibur 10.25 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, penapis udara kabin CN95, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W, sistem pendingin hawa automatik, upholsteri tempat duduk kulit, tempat duduk pemandu boleh laras enam tahap dan sistem audio empat pembesar suara.

Varian Prime pula mendapat ciri tambahan seperti rim 19 inci, bumbung kaca panorama, larasan elektrik empat tahap untuk tempat duduk penumpang hadapan, sistem pencahayaan ambien dan sistem pemantauan keliling 360 darjah.

Dari segi keselamatan, Jetour Dashing mendapat ciri seperti enam beg udara, ABS, EBD, bantuan brek, kawalan cengkaman, sistem pemantauan tekanan tayar, serta cagak ISOFIX.

Varian Prime pula menambah kelengkapan keselamatan seperti  sistem pemantauan titik buta, amaran penukaran lorong, dan amaran lintasan trafik belakang, sistem pengesanan titik buta, amaran bukaan pintu, serta pemandangan telus lantai 180 darjah.

Untuk pasaran Malaysia, Jetour Dashing dijual pada harga bermula dari RM109,800 hingga RM116,800.

Toyota C-HR+ muncul di Eropah, platform e-TNGA 2.0, jarak gerak cecah 600 km

Toyota kini mempunyai sebuah model kenderaan elektrik baharu, dan ia tidak lagi menggunakan awalan ‘bZ’ seperti bZ4X dan bZ3.

Sebaliknya, ia menggunakan nama sedia ada, iaitu C-HR+.

Biarpun mengguna pakai nama C-HR+, EV ini tidak berkongsi platform yang sama dengan C-HR biasa, akan tetapi menggunakan pelantar e-TNGA 2.0 yang sama seperti bZ4X.

Hal ini dibuktikan dengan ukuran sepanjang 4,520 mm, dan jarak antara roda sepajang 2,750 mm yang jauh lebih besar berbanding C-HR generasi kedua.

Untuk pasaran Eropah, C-HR boleh didapati dalam versi motor elektrik tunggal 165 hp pacuan depan, pecutan 0-100 km/j 8.6 saat, pek bateri 57.7 kWh dan jarak pandu sejauh 455 km.

Versi yang lebih berkuasa pula mampu menjana 221 hp dengan pecutan sepantas 7.4 saat (0-100 km/j), diikuti dengan pek bateri 77 kWh yang mampu membenarkan jarak gerak sejauh 600 km.

Terdapat versi pacuan semua roda dengan dua motor elektrik, kuasa cecah 338 hp, dan pecutan sepantas 5.2 saat (0-100 km/j). Dengan pek bateri 77 kWh, varian AWD ini boleh bergerak sejauh 525 km.

Dari segi luaran, C-HR+ membawakan reka bentuk yang hampir sama dengan C-HR standard melainkan unit lampu belakang yang lebih kemas, lengkap dengan bumbung spoiler dan spoiler ekor itik di bahagian belakang.

Secara standard, C-HR+ menyokong pengecasan AC 11 kW (atau sehingga 22 kW), serta pengecasan pantas DC sehingga 150 kW.

Untuk kelancaran operasi pengecasan yang optimum, C-HR+dilengkapi dengan sistem pra-kondisi bateri yang boleh diaktifkan secara manual atau automatik.

Masuk ke dalam kabin, terdapat skrin paparan infohibur sebesar 14 inci yang lengkap dengan tombol kawalan fizikal, slot pengecasan peranti tanpa pintar berkembar serta sistem navigasi pemetaan yang dapat menentukan titik pengecasan bergantung kepada jarak pemanduan SUV ini.

Akhir sekali, C-HR+ turut dilengkapi dengan ciri keselamatan termaju secara standard termasuklah sistem pemantauan titik buta, bantuan suluhan tinggi adaptif, serta sokongan brek parkir.

Ciri seperti sistem pemantauan keliling dan bantuan parkir dikhususkan untuk varian yang lebih premium.

Menurut Toyota, C-HR+ ini akan dilancarkan di beberapa pasaran Eropah terpilih menjelang lewat tahun 2025.

Tiga kekurangan wujud pada ruang kabin Kia Sportage 1.6T

Kia Sportage generasi baharu dilancarkan secara rasmi pada penghujung tahun lepas sebagai unit pemasangan tempatan (CKD), walaupun ia sebenarnya tiba agak lewat berbanding pasaran lain.

Dengan pakej harga yang cukup kompetitif, diikuti dengan spesifikasi yang cukup menarik, Kia Sportage mampu menjadi satu alternatif kepada pasaran yang didominasi oleh SUV buatan Jepun seperti Honda CR-V dan Toyota Corolla Cross.

Berdasarkan pengalaman pandu uji ringkas tempoh hari, penulis nyata berpuas hati dengan apa yang ditawarkan pada Kia Sportage.

Tidak semua kenderaan itu sempurna penawarannya, ada beberapa kelemahan kecil yang wujud pada SUV segmen C ini.

Namun bagi kami, ia merupakan satu perkara yang kecil, sekiranya anda mampu bertoleransi dengan kekurangan tersebut dan lebih mementingkan kepuasan pemanduan.

 

Tidak semua minat tombol rotari PRND

Varian yang kami pandu uji dilengkapi dengan enjin 1.6 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) dan fungsi e-shift.

Bermakna, ia tidak didatangkan dengan tombol gear yang biasa didapati pada mana-mana model SUV.

Manfaat penggunaan tombol rotari ini ialah ruang kokpit yang nampak lebih lapang, namun tidak semua orang sukakan ciri ini.

Secara peribadi, penulis lebih gemar tombol gear PRND fizikal, di mana ia lebih mudah untuk dikawal dan lebih sesuai dengan pergerakan otot yang kita sudah terbiasa.

Jika anda rasa varian 1.6T ini tidak menepati citarasa, dapatkan sahaja varian 2.0 yang masih lagi dilengkapi dengan tombol gear fizikal.

 

Butang fungsi kosong pada konsol tengah

Terletak bersebelahan dengan tombol rotari PRND itu tadi, anda boleh melihat ‘gugusan’ butang fungsi kosong yang wujud pada konsol tengah.

Sayang sekali apabila butang-butang fungsi ini tidak langsung diberikan fungsi seperti spesifikasi luar negara yang mendapat ciri seperti pemanas roda stereng, pemanas serta pengudaraan tempat duduk.

Nampak kosong dan rasa macam Sportage 1.6T ini seakan varian paling rendah pula.

 

Panel kawalan iklim mungkin sukar untuk digunakan

Satu lagi ciri menarik yang wujud pada Kia Sportage 1.6T ini ialah panel kawalan iklim dan sistem infohibur berasaskan sentuhan yang terletak di bawah corong pendingin hawa tengah.

Secara asasnya, pemandu tidak lagi perlu untuk menyelongkar menu-menu kawalan yang biasanya tertanam pada skrin infohibur.

Cuma, ia beroperasi menggunakan sistem sentuhan, dan ada kalanya ia sedikit sukar untuk dikawal, terutama apabila seseorang pemandu itu memiliki dimensi jari yang agak besar.

Kia Sportage 2025, lima perkara yang perlu anda tahu – Pandu Uji Ringkas

Beberapa hari sebelum sambutan perayaan Tahun Baru Cina, pihak Dinamijaya Motors selaku pengedar tunggal kenderaan jenama Kia menjemput para pengamal media automotif untuk menguji SUV segmen C yang baharu sahaja dilancarkan – Kia Sportage 2025.

Untuk makluman, pasaran kita boleh dikatakan agak lambat menerima kehadiran model Sportage ini, memandangkan generasi kelima Sportage telah diperkenalkan sejak tahun 2021 lagi di pasaran global.

Namun usah risau, kerana unit Sportage yang dilancarkan ini merupakan unit CKD (pemasangan tempatan) yang lahir dari kilang Inokom, Kulim, Kedah, bermakna ia datang dengan harga yang cukup kompetitif.

Kami diberikan peluang untuk memandu uji dua varian teratas, iaitu Sportage 1.6T 2WD High dan 1.6T AWD High.

Berikut merupakan input kami berdasarkan pemanduan singkat yang dibuat tempoh hari:

 

1. Rupa luaran yang lebih menonjol

Reka bentuk luaran Kia Sportage membawakan satu anjakan perubahan yang cukup besar berbanding generasi terdahulu.

Menggunakan pendekatan yang dinamakan sebagai Opposites United, Kia Sportage menampilkan muka hadapan yang agresif, dimulakan dengan struktur jeriji hidung harimau serta unit lampu nyalaan siang (DRL) LED berbentuk bumerang yang memisahkan jeriji dengan lampu utama.

Elemen bumerang itu turut dipadankan pada unit lampu belakang, namun dengan bukaan yang lebih kecil.

Profil sisi SUV ini dikemaskan dengan jalur krom memanjang yang menghiasi bahagian bawah perumah kaca, serta kemasan warna hitam pada setiap sudut gerbang roda.

Rekaan yang serba agresif ini mampu menjadi satu ‘plus point‘ buat para pemilik yang mahukan kelainan di atas jalan raya, dan mungkin sekali sesuai bagi mereka yang rasa jemu dengan kewujudan SUV buatan China yang ‘sepesen’ rupanya.

Apapun, sila tepuk dada dan tanya selera masing-masing terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

 

2. Rekaan kokpit berorientasikan pemandu

Penulis cukup suka dengan susun atur papan pemuka Kia Sportage serba baharu ini.

Cukup kemas dan paling penting rekaannya yang berorientasikan pemandu di mana papan skrin tengah dan panel kawalan di bahagian bawah corong pendingin hawa disudutkan ke arah pemandu.

Dengan postur dan kedudukan pemandu yang optimum, tiada sebarang masalah untuk mencapai komponen yang disebutkan itu tadi untuk mengubah tetapan semasa memandu.

Walaupun tiada butang kawalan fizikal untuk sistem pendingin hawa, panel berasaskan sentuhan itu amat mudah untuk digunakan, dan pemandu tidak perlu untuk menyelongkar tetapan yang tertanam di dalam skrin utama.

Menjadikan baris pertama nampak lebih lapang ialah penggunaan tombol rotari PRND di bahagian konsol tengah.

Selain itu, masih wujud butang-butang kawalan fizikal di bahagian tersebut untuk fungsi yang sangat diperlukan, seperti penukaran mod pemanduan, Auto Hold dan kamera keliling.

Untuk penggemar Apple CarPlay dan Android Auto, usah risau kerana ciri ini sememangnya wujud pada Kia Sportage.

 

3. Kabin yang selesa dan praktikal

Diposisikan sebagai SUV segmen C, Kia Sportage merupakan satu alternatif bagi mereka yang tidak menggemari SUV bersaiz besar seperti Kia Sorento.

Dengan ukuran saiz yang menghampiri dimensi sebuah Honda CR-V, nyata ruang bukanlah satu masalah besar buat Kia Sportage ini.

Paling penting, penumpang belakang boleh menikmati sudut sandar yang lebih besar julatnya, sama ada kedudukan yang lebih tegak atau sudut yang lebih selesa sepanjang perjalanan.

Satu perkara yang penulis suka pada Kia Sportage ini ialah kehadiran cangkuk besar pada struktur perehat kepala yang boleh digunakan untuk menggantung jaket, beg membeli belah atau tudung bawal.

Ruang kargo adalah sebesar 543 liter secara standard, dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,829 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

4. Pemanduan

Terus terang penulis cakap, pemanduan yang ditawarkan oleh Kia Sportage ini berjaya memenuhi apa yang dijangkakan.

Dengan respons stereng cukup tepat dan hidup, penulis tidak berdepan dengan masalah sepanjang mengendalikan SUV segmen C ini, baik di atas lebuh raya, Litar Antarabangsa Karak, serta jalan lama yang penuh dengan selekoh berliku.

Malah, sistem pembetulan putaran stereng juga beroperasi dengan cara yang lebih mesra pemandu, tidak terlalu agresif sehinggakan pemandu rasa jengkel seperti yang dirasakan pada sesetengah model pesaing.

Kia Sportage 1.6T ini mampu menjana kuasa setinggi 177 hp dan 265 Nm, dipadankan dengan kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh nisbah kelajuan.

Bermula dengan unit 1.6T AWD, respons pecutan yang dirasakan sedikit kurang bertenaga berbanding dengan varian 2WD yang kami uji selepas makan tengah hari.

Namun, ia bukanlah satu masalah besar jika anda bukan tergolong di dalam kategori kaki tekan.

Ini kerana anda harus tahu kelebihan Kia Sportage yang seterusnya: ruang kabin yang senyap untuk kelajuan yang normal.

Dengan talaan suspensi yang cukup berkesan untuk pelbagai kualiti jalan raya di Malaysia ini, sukar juga untuk kami merasakan gegaran dan kekasaran yang ketara di dalam ruang kabin, melainkan jika anda memandunya dengan cara yang lebih agresif.

 

5. Harga

Kia Sportage 2025 untuk pasaran Malaysia dijual pada harga bermula dari RM149,781.78 untuk varian 2.0G, manakala unit yang kami pandu uji ini bermula dari RM179,599 untuk varian 1.6T 2WD, dan dari RM189,599 untuk varian AWD.

Apa pula beza antara varian 1.6T 2WD dan 1.6T AWD?

Tiga benda sahaja yang membezakan kedua-dua varian tersebut, iaitu sistem pacuan semua roda lengkap dengan kekunci pembeza, rel bumbung, dan sistem audio Harman Kardon lapan pembesar suara.

Jadi, tidak salah pun untuk anda memilih model 1.6T 2WD kerana ia juga turut dilengkapi dengan sistem keselamatan menyeluruh termasuklah enam beg udara, amaran pelanggaran titik buta (BCW), bantuan suluhan tinggi (HBA), sistem pemantauan titik buta (BVM), dan tidak ketinggalan kawalan jelajah pintar (SCC).

Lebih banyak info akan kami kongsikan pada artikel pandu uji yang lebih menyeluruh akan datang.

 

Spesifikasi Kia Sportage 2025

Enjin: Gamma II 1.6 liter turbo, empat silinder sebaris
Kuasa: 177 hp @ 5,500 rpm, 265 Nm @ 1,500 rpm
Transmisi: DCT tujuh kelajuan
Suspensi hadapan: Topang MacPherson
Suspensi belakang: Multi-Link
Rim: 18 inci

 

Haval H6 HEV, SUV hibrid paling berbaloi? – Pandu Uji Ringkas

Beberapa hari lepas, pihak GWM Malaysia telah menjemput kami untuk merasai sendiri pengalaman memandu sebuah SUV hibrid yang bakal dilancarkan kelak, iaitu Haval H6 HEV.

Dengan harga anggaran sekitar RM145,000, ia mungkin sekali satu pembelian yang sangat berbaloi untuk mereka yang mahu mencari SUV yang jimat minyak, besar, dan juga selesa untuk seisi keluarga.

Kita bercerita serba sedikit berkenaan spesifikasi SUV Haval H6 HEV ini.

Dimulakan dengan unit rangkaian kuasa, Haval H6 HEV dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo, dipadankan dengan motor elektrik tunggal dan kotak gear DHT (Dedicated Hybrid Transmission) dua nisbah kelajuan.

Enjin tersebut berupaya menghasilkan 150 PS/230 Nm, sementara motor elektrik pula mampu menjana kuasa tambahan 130 PS/300 Nm.

Secara keseluruhan, Haval H6 HEV ini berkuasa 243 PS dan daya kilas 530 Nm, antara yang paling bertenaga dalam kelasnya.

Berdasarkan pemanduan ringkas selama dua hari merentasi sempadan yang tidak memerlukan buku merah, penulis dapati kuasa yang dihamburkan oleh SUV ini tidak putus-putus terutama saat kita memerlukan kuasa ektra untuk memotong lori balak di hadapan.

Atas kertas, angka 530 Nm itu mungkin agak tinggi, namun sepanjang pemanduan kami tidak merasakan sentakan kuasa yang mampu menyebabkan kesakitan leher.

Ini kerana kuasa yang dihasilkan saat pedal pendikit ditekan itu masuk dengan cara yang lebih lembut dan lancar, tidak agresif seperti kebanyakan kereta elektrik.

Sistem hibrid ini juga sangat cekap, di mana boleh dikatakan penulis dan rakan-rakan langsung tidak merasai bila masa operasi enjin dimulakan.

Tiada gegaran enjin ketara yang dapat dirasakan, malah bunyi bising enjin juga ditapis dengan baik daripada memasuki ruang kabin.

Dengan kadar penggunaan bahan api sekitar 5.8 liter/100 km, GWM mendakwa Haval H6 HEV ini mampu mencapai jarak sejauh 1,000 km untuk setangki penuh.

Perkara ini mungkin kami boleh uji dengan lebih mendalam sekiranya ada peluang untuk memandu SUV ini kelak.

Aspek NVH juga berada di tahap memuaskan, di mana sepanjang masa kami dapat berborak dengan rancak di dalam kabin tanpa perlu meninggikan suara atau menggunakan mikrofon.

Bunyi bising angin yang cuba menerjah masuk kabin tidak berjaya mengganggu tumpuan, cuma bunyi bising tayar sahaja.

Itupun sebab kualiti tar yang digunakan adalah tidak memuaskan di sesetengah tempat.

Dengan sistem gantungan terdiri daripada topang MacPherson di depan dan tetapan multilink di belakang, SUV ini tidak membawakan sebarang masalah besar dari segi pengendalian dan keselesaan.

Untuk jaringan jalan raya di Malaysia, ia menawarkan talaan suspensi yang seimbang untuk pemanduan yang sedikit agresif dan dalam masa yang sama mengekalkan aspek keselesaan untuk seisi keluarga.

Malah, olengan badan yang dihasilkan sewaktu meratah selekoh-selekoh juga berada pada tahap yang boleh diterima, tidak membuatkan badan SUV ini berbuai-buai.

Dari segi dimensi, Haval H6 HEV membawakan saiz yang jauh lebih besar berbanding SUV popular segmen C, iaitu Honda CR-V dan Proton X70.

Jarak antara roda yang panjang juga menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas untuk memuatkan lima orang pada satu-satu masa.

Tidak cukup dengan itu, Haval H6 HEV menyediakan ruang kargo sebesar 560 liter, atau sehingga 1,485 liter apabila tempat duduk baris kedua nisbah 60:40 itu dilipat.

Susun atur papan pemuka juga agak kemas, namun kombinasi tiga warna (hitam, putih dan rose gold) itu mungkin kurang digemari oleh sesetengah pihak.

Terdapat skrin kluster sebesar 10.25 inci (dengan pilihan tema yang agak terhad), diikuti skrin infohibur sebesar 12.3 inci yang turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

Dengan pakej spesifikasi serta harga jualan bermula bawah RM145,000, Haval H6 HEV mungkin sekali mampu menjadi satu pembelian yang cukup berbaloi, terutama bagi mereka yang tidak memiliki bajet untuk membeli SUV hibrid harga cecah RM200,000.

Lebih banyak perincian dan pandangan bakal kami kongsikan sekiranya ada peluang untuk memandu uji Haval H6 HEV ini dengan lebih mendalam pada masa akan datang.

Spesifikasi Haval H6 HEV:

Enjin: empat silinder sebaris, 1.5 liter turbo
Kuasa: 150 PS/230 Nm
Motor elektrik: 130 PS/300 Nm
Kuasa keseluruhan: 243 PS/530 Nm
Kotak gear: Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua-kelajuan
Pecutan 0-100 km/j: 7.7 saat
Kelajuan maksimum: 175 km/j

MG HS 2024 – SUV segmen C, enjin 1.5L turbo, dua varian, harga anggaran RM130k-RM150k

Selain model sedan fastback MG5, SAIC Motor Malaysia turut melancarkan sebuah lagi model baharu, iaitu SUV segmen C MG HS 2024.

Untuk pasaran Malaysia, MG HS boleh didapati dalam dua varian utama, iaitu HS Standard dan HS Lux.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Kuasa

MG HS dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo TGI dengan kuasa 162 PS @ 5,600 rpm dan daya kilas 250 Nm @1,700-4,400 rpm.

Kuasa itu disalurkan ke roda menerusi transmisi klac berkembar automatik (DCT) tujuh nisbah kelajuan.

Untuk keseronokan pemanduan, terdapat Super Sport Mode yang menyediakan respons pendikit yang lebih pantas, penukaran gear pada RPM yang lebih tinggi dan talaan stereng yang lebih jitu.

 

2. Luaran

Secara standard, MG HS mendapat ciri seperti lampu LED automatik, DRL, lampu belakang LED, rel bumbung, spoiler belakang, serta rim aloi bersaiz 17 inci.

Sementara varian Lux pula mendapat ciri tambahan seperti rotor brek berliang berserta angkup merah, bumbung panorama, pintu tailgate berkuasa, dan rim aloi belahan berlian 18 inci.

 

3. Kabin

Ruang kabin MG HS dilengkapi dengan upholsteri balutan kulit hitam, tempat duduk pemandu larasan enam tahap (sokongan lumbar manual), diikuti dengan tempat duduk penumpang larasan empat tahap.

Terdapat juga skrin Multi Info Display bersaiz tujuh inci, skrin infohibur 10.1 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan iklim zon tunggal, penapis udara PM2.5, corong pendingin hawa baris kedua serta kamera undur.

Varian Lux pula mendapat ciri tambahan seperti skrin kluster 12.3 inci, MG iSMART, kamera keliling 360 darjah, kawalan iklim dua zon, sistem pencahayaan ambien 64 warna, tempat duduk sports, paddle shifter, pedal sports, penyeka kaca sensitif hujan serta enam pembesar suara.

Ruang kargo sebesar 463 liter dan boleh dibesarkan sehingga 1,287 liter.

 

4. Keselamatan

Varian Standard dilengkapi dengan enam beg udara, brek ABS, Pengagihan Daya Brek Elektronik, Kawalan Dinamik Kenderaan, Kawalan Brek Selekoh, Perlindungan Olengan Aktif, Bantuan Mula Mendaki dan Kawalan Menurun Cerun.

Sementara varian Lux pula mendapat kelengkapan MG PILOT yang merangkumi Amaran Pelanggaran Hadapan, Kawalan Jelajah Adaptif, Bantuan Kesesakan Trafik, Amaran Keluar Lorong, Bantuan Kekal Lorong, Pengesanan Titik Buta, Bantuan Penukaran Lorong, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Amaran Bukaan Pintu.

 

5. Harga

Untuk pasaran Malaysia, MG HS 2024 dijual pada harga anggaran bermula bawah RM130,000 hingga RM150,000.

BAIC X55 diperlihatkan, dua varian, nadi 1.5 turbo 188 PS, harga anggaran dari RM120 ribu

BAIC Malaysia membawakan dua buah SUV untuk ‘bertempur’ dalam segmen yang sudah sedia padat di sini.

Selain model SUV off-road BJ40 Plus, BAIC turut memperlihatkan sebuah lagi model SUV dengan rupa paras yang lebih moden, iaitu BAIC X55 II.

BAIC X55 II merupakan sebuah SUV di dalam segmen C yang bakal memberikan cabaran secara terus kepada model-model seperti Mazda CX-5, Honda CR-V dan Proton X70.

Berikut merupakan perincian ringkas X55 II yang bakal dijual secara rasmi kelak:

 

1. Dimensi

BAIC X55 membawakan ukuran sepanjang 4,620 mm, lebar 1,886 mm, tinggi 1,680 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,735 mm.

Selain itu, X55 menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 160 mm.

 

2. Suspensi

Secara standard, BAIC X55 didatangkan dengan tetapan suspensi topang MacPherson di hadapan, diikuti dengan suspensi multi-link bebas pada gandar belakang.

 

3. Enjin

X55 dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo dengan hamburan kuasa 188 PS dan daya kilas 305 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh nisbah kelajuan.

Empat mod pemanduan disediakan iaitu Eco, Sport, Comfort dan Smart.

 

4. Luaran

X55 mempunyai ciri seperti rekaan lampu LED terpisah, struktur jeriji nipis, lampu belakang LED dengan grafik yang agak tajam, rim aloi aluminium bersaiz 19 inci, serta spoiler bumbung terbelah.

Unik untuk sebuah SUV dalam segmen C ialah ciri pemegang pintu yang tertanam dalam badan.

 

5. Dalaman

Ruang kabin X55 ini dilengkapi dengan skrin kluster instrumen sebesar 10 inci, skrin infohibur 10 inci, sokongan Wi-Fi, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, slot USB, kawalan iklim dua zon serta sistem pencahayaan ambien.

Menariknya, ia turut didatangkan dengan tempat duduk hadapan yang agak sporti dengan larasan berkuasa elektrik.

Ciri keselamatan pula termasuklah enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek Kecemasan, dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

Dua varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu Standard dan Premium, di mana harga jualan anggaran bermula dari RM120 ribu hingga RM140 ribu.

 

BAIC X55 2024