Tag Archives: suzuki jimny

Suzuki Jimny 6×4 ini boleh jadi alternatif kepada Mercedes-AMG G63 6×6

Ini bukanlah imej janaan komputer, akan tetapi sebuah projek sebenar Suzuki Jimny enam tayar yang boleh dibeli untuk koleksi peribadi.

Suzuki Jimny 6×4 ini pada asalnya merupakan sebuah Jimny tiga pintu tahun 2019 yang diimport terus dari Jepun.

Idea untuk menghasilkan alternatif kepada AMG G63 6×6 ini tercetus setelah pemilik asalnya melihat gambar janaan komputer di alam maya.

Jadi, sebuah kedai kecil Mocho Fabrication di Broadway, England ditugaskan untuk mengubah Jimny 3 pintu menjadi sebuah Jimny enam tayar yang mampu membuatkan banyak kepala tertoleh melihatnya.

Dengan menggunakan komponen asli daripada Suzuki, pihak pembangun berjaya menambah panel kustom pada bahagian belakang termasuklah gandar ketiga, sepasang fender flare dan tayar ketujuh (tayar simpanan) untuk disesuaikan dengan penggayaan Jimny yang asal.

Keseluruhan luaran Jimny 6×4 ini dilayangkan dengan warna Nardo Grey.

Untuk ruang kabin pula, pihak bengkel telah memadankan trim dua tona hitam/kelabu cair pada tempat duduk dan panel pintu, diikuti dengan sistem infohibur jenama Kenwood.

Menurut keterangan dari laman eBay, Jimny 6×4 ini mempunyai jarak perbatuan sekitar 11,075 km sahaja, masih lagi cantik macam baru keluar dari bilik pameran.

Cuma sayang sekali, Jimny yang nampak gagah ini masih lagi bergantung kepada enjin 1.5 liter aspirasi semula jadi (NA) menghasilkan kuasa 103 hp dan 134 Nm.

Ia masih lagi mengekalkan sistem pacuan empat roda (4WD) yang asal, dipadankan dengan kotak gear automatik.

Akan tetapi, pemilik Jimny ini merancang untuk menawarkan kit naik taraf turbo Garret termasuklah manifold dan intercooler yang mampu meningkatkan kuasa kuda kepada 170 hp dan 270 Nm.

Mahukan SUV alternatif kepada AMG G63 6×6?

Harga yang diminta bermula dari £45,000 (RM213,211) sahaja. Jauh lebih murah jika anda mahukan sebuah SUV 6×6 yang sangat bergaya di atas jalan raya.

Suzuki Jimny dengan dua edisi khas untuk Malaysia – Rainforest dan Black Edition, dari RM169k

NAZA Eastern Motors Sdn Bhd hari ini mendedahkan dua edisi terhad bagi Suzuki Jimny, iaitu Rainforest dan Black Edition.

Kedua-dua edisi ini eksklusif untuk pasaran Malaysia sahaja, dan hadir dengan penggayaan serta kemasan unik.

Berikut adalah kelengkapan bagi setiap edisi:

Suzuki Jimny Rainforest

 

  • Rak bumbung
  • Gril depan dengan kemasan camouflage
  • Mud flap depan dan belakang
  • Decal badan
  • Kemasan camouflage pada kabin

Suzuki Jimny Black Edition

  • Rak bumbung
  • Penutup tayar ganti belakang dengan kemasan karbon
  • Gril kemasan karbon
  • Kemasan dalam unik pada beberapa bahagian

Terdapat juga naik taraf percuma untuk Black Edition iaitu tempat duduk balutan kulit Nappa. Sementara itu, visor pintu dan mud flap disertakan pada kedua-dua model.

Ciri lain dikekalkan pada Suzuki Jimny. SUV kecil ini dikuasakan oleh enjin 1.5-liter naturally-aspirated dengan output 100hp dan 130Nm tork.

Kuasa ini disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 4-kelajuan dan sistem pacuan empat-roda ALLGRIP PRO, low range transfer gear, dan sistem brek LSD Traction Control.

Suzuki Jimny Rainforest ditawarkan pada harga RM168,900 manakala Black Edition dengan harga RM171,900.