Tag Archives: Suzuki Motor Sdn Bhd

Suzuki GSX-8S dilancarkan di Malaysia – harga dari RM50,800

SELAIN V-Strom 800DE, Suzuki Motor Sdn Bhd (SMSB) turut melancarkan satu lagi model menarik ke pasaran Malaysia iaitu Suzuki GSX-8S.

Jentera naked saiz pertengahan ini membuat kemunculan sulungnya di EICMA 2022 dan hadir ke pasaran motosikal tempatan sebagai model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

Ia dijual pada harga RM50,800 untuk 50 unit pertama, bersama jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Pelanggan boleh memilih dari tiga warna yang ditawarkan iaitu Pearl Cosmic Blue, Pearl Tech White dan Metallic Mat Black No. 2/Glass Sparkle Black.

Sama seperti V-Strom 800DE, GSX-8S dikuasakan oleh enjin 776 cc parallel twin DOHC baharu yang mempunyai susun atur aci engkol 270 darjah dan teknologi Suzuki Cross Balancer.

Kuasa yang dihasilkan oleh enjin berkenaan dikawal menerusi sistem elektronik yang terdiri daripada Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.), pendikit elektronik Ride-by-Wire, Suzuki Traction Control System, Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) dan Low RPM Assist.

Untuk Traction Control, terdapat tiga mod dengan sensitivi yang berbeza iaitu Mode 1, Mode 2 dan Mode 3. Bukan itu sahaja, penunggang juga boleh memilih mod Off untuk mendapatkan kawalan sepenuhnya ke atas pendikit.

Selain itu, terdapat juga quickshifter dua arah yang membolehkan penunggang menaikkan atau menurunkan gear dengan lancar tanpa menggunakan klac.

Untuk sistem suspensi, GSX-8S menggunakan fork terbalik 41 mm dan penyerap hentak tunggal, kedua-duanya keluaran Kayaba, manakala tugas membrek pula diserahkan kepada cakera 310 mm di depan dan 240 mm di belakang, berserta angkup Nissin.

Satu lagi kelengkapan yang tersedia adalah skrin TFT LCD berwarna lima inci yang memaparkan pelbagai jenis informasi termasuk speedometer, tachometer, posisi gear dan status quickshifter.

Suzuki V-Strom 800DE masuk pasaran Malaysia pada harga RM60,800

SUZUKI Motor Sdn. Bhd. (SMSB) telah melancarkan motosikal adventure baharu ke pasaran tempatan iaitu Suzuki V-Strom 800DE. Ia hadir sebagai model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

Bersempena dengan pelancaran ini, SMSB menawarkan harga istimewa bermula dari RM60,800 tetapi promosi ini adalah untuk 50 unit pertama sahaja. Ia didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Diperkenalkan buat pertama kali di EICMA 2022, V-Strom 800DE menampilkan enjin parallel twin bersesaran 776 cc dengan susun atur aci engkol 270 darjah dan sistem Suzuki Cross Balancer.

Enjin ini dikatakan mempunyai 84.3 hp pada 8,500 rpm dan 78 Nm pada 6,800 rpm, disalurkan ke roda belakang oleh transmisi enam kelajuan dengan Suzuki Clutch Assist System (SCAS) untuk penukaran gear yang lebih lancar.

Untuk sistem suspensi, V-Strom 800DE menggunakan sistem keluaran Showa dengan stroke dan jarak gerak (travel) yang lebih panjang pada bahagian depan dan belakang – 220 mm.

Rim yang digunakan pula adalah jenis lidi berukuran 21 inci di depan dan 17 di belakang, sekaligus memberikan motosikal ini jarak lega tanah setinggi 220 mm.

Selain itu, ia dilengkapi dengan tangki bahan api besar berkapasiti 20 liter untuk memberikan keyakinan terutamanya untuk tunggangan jarak jauh.

Antara sistem elektronik yang terdapat pada V-Strom 800 DE adalah Suzuki Intelligent Ride System (S.I.R.S.) dengan Suzuki Drive Mode Selector (SDMS), Quickshifter dua arah, pendikit elektronik Ride-by-Wire dan Suzuki Traction Control dengan mod Gravel.

Turut disertakan adalah mod Rear ABS Cancel yang sesuai digunakan ketika menunggang di atas permukaan tidak berturap. Semua sistem elektronik tersebut boleh diakses menerusi paparan TFT LCD berukuran lima inci.

Untuk pasaran Malaysia, V-Strom 800DE boleh didapati dalam dua warna iaitu Champion Yellow No. 2 dan Glass Mat Mechanical Gray.