Tag Archives: Tan Chong

Subaru tamatkan program CKD di Asia Tenggara, jual unit CBU Jepun 2025

Subaru Corporation dan Tan Chong International Limited (TCIL) dalam satu kenyataan bersama mengumumkan penamatan operasi pemasangan kenderaan complete knock down (CKD) di Asia Tenggara.

Menurut kenyataan tersebut, kedua-dua pihak percaya model perniagaan CKD yang diamalkan pada masa ini tidak lagi mampan untuk tempoh jangka masa panjang.

“Bermula tahun depan, pasaran CKD di Thailand, Vietnam, Malaysia dan Kemboja akan berubah kepada model complete build up (CBU) yang diimport sepenuhnya dari Jepun.”

 

 

Di Malaysia, Subaru menerusi Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) memasang model generasi kedua Subaru XV untuk pasaran domestik dan eksport di kilang Segambut.

Model generasi keempat Subaru Forester sebelum ini turut dipasang di fasiliti tersebut, sebelum operasinya dipindahkan ke kilang pemasangan di Thailand.

TCIL dan Subaru Corporation percaya keputusan strategik ini akan memastikan kejayaan yang berterusan Subaru di dalam pasaran yang dinamik, selain komited dalam menawarkan nilai yang luar biasa kepada pelanggan, rakan kongsi serta pihak berkepentingan.

 

Direct Lending, Tan Chong perkenal pelan ansuran servis kereta patuh syariah

Direct Lending telah mengumumkan kerjasama bersama Tan Chong Motor Holdings Berhad bagi memperkenalkan pelan ansuran servis kereta sepenuhnya digital yang patuh Shariah, di pusat perkhidmatan Nissan seluruh Malaysia.

Menurut Tan Chong, kerjasama ini sejajar dengan komitmen mereka untuk memberikan pemilik kereta Nissan pengalaman yang lancar di pusat perkhidmatan mereka.

Menerusi kerjasama ini, pelanggan Tan Chong kini boleh membuat semakan kelayakan kewangan dan pengesahan dokumen secara dalam talian dan mendapatkan pembiayaan segera berbanding pembiayaan kewangan tradisional.

Ini akan membolehkan pelanggan meningkatkan fleksibiliti dalam menguruskan perbelanjaan servis dan penyelenggaraan kereta mereka dengan tempoh pembayaran balik sehingga 12 bulan.

Pemohon boleh mendapatkan pembiayaan segera dalam tiga langkah mudah iaitu mengisi butiran, menghantar kad pengenalan berserta penyata bank bagi tiga bulan terkini dan mengakhiri proses dengan membuat pembayaran pertama, menetapkan kadar pembayaran bulanan dan menandatangani perjanjian pembiayaan. Keseluruhan proses ini dijalankan secara digital melalui telefon pintar.

Sebagai permulaan, perkhidmatan Direct Lending boleh didapati di 10 pusat perkhidmatan Nissan Tan Chong yang terpilih. Kemudahan ini akhirnya akan dikembangkan di semua pusat perkhidmatan Nissan Tan Chong seluruh negara.

Hui Yik Seong, Pengasas Direct Lending berkata, “Kami amat berbesar hati kerana dapat menawarkan sebuah pelan ansuran yang mematuhi prinsip Shariah, yang memberi manfaat kepada semua orang, termasuk pelanggan Tan Chong Motor Holdings Berhad.”

“Keselamatan pelanggan merupakan keutamaan kami. Dengan menjalin kerjasama dengan Direct Lending, kami dapat memastikan bahawa pelanggan kami mempunyai fleksibiliti kewangan untuk menyelenggara kenderaan mereka supaya berada dalam keadaan optimal, seterusnya menyumbang kepada pemanduan yang lebih selamat,” kata Daniel Ho Wai Ming, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Chong.

Pelan ansuran servis kereta Direct Lending merupakan kemudahan pembiayaan patuh Shariah yang disokong sepenuhnya oleh Amanie Advisors, sebuah firma Penasihat Kewangan Islam global yang terkemuka, memastikan kebolehcapaiannya untuk semua. Setakat tahun 2023, syarikat itu telah melakukan lebih daripada 130,000 penilaian berhubung kelayakan pembiayaan kewangan.

Warna baharu untuk Nissan X-Trail dan Serena sempena Tahun Baharu Cina

EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) mengalu-alukan kedatangan Tahun Baharu Cina 2022 dengan promosi untuk Nissan X-Trail 2.0L Mid dan Serena 2.0L S-Hybrid Premium Highway Star.

Mengikut kalendar, tahun ini merupakan tahun Harimau Air dan untuk itu, ETCM menawarkan kadar faedah rendah 1.88 peratus untuk model-model terpilih. Mereka yang membeli dan mendaftar kereta baharu juga berpeluang memenangi baucar Lazada bernilai sehingga RM50,000.

Nissan X-Trail dilengkapi dengan sistem keselamatan termaju Nissan Intelligent Mobility (NIM) yang merangkumi ciri seperti Forward Collision Warning, Cruise Control, Lane Departure Warning, Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert.

Kini, ia hadir dengan warna baharu Monarch Orange untuk varian X-Trail 2.0L Mid.

Nissan Serena pula menampilkan warna dwi-tona Radiant Red baharu dengan bumbung hitam. MPV ini menawarkan penggunaan bahan api terbaik dalam kelasnya iaitu 14.2km/liter.

Ia hadir dengan pelbagai ciri praktikal seperti dua pintu gelungsur berkuasa Hands-free, Dual Back Door, 7 soket USB, Intelligent Around View Monitor (I-AVM), Intelligent Moving Object Detection (I-MOD), dan sambungan telefon pintar dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Menurut Nissan, kedua-dua warna baharu untuk X-Trail dan Serena adalah stok model tahun 2022.

Sebagai tambahan, pelanggan yang memandu uji Almera Turbo baharu dalam tempoh kempen berpeluang memenangi baucar Watsons bernilai RM500.

Untuk maklumat lajut, layari www.nissan.com.my atau hubungi 1-800-88-3838.

Tan Chong Motor lancar kempen vaksinasi pekerja

TAN Chong Motor Holdings Berhad (TCMH) melancarkan Program Vaksinasi Covid-19 TC pertamanya untuk pekerja-pekerja di seluruh negara baru-baru ini. Ia selaras menyokong usaha kerajaan dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Dengan peningkatan jumlah dos vaksin harian di seluruh negara, Kumpulan Tan Chong memulakan penglibatan di bawah pelbagai program vaksinasi termasuk Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Sehingga kini, 70 peratus daripada pekerja-pekerja Tan Chong di seluruh negara telah divaksinkan (sama ada dos 1 atau dos 2) dan juga mengesahkan slot janji temu.

Program Vaksinasi Covid-19 TC akan memastikan semua pekerja dan ahli keluarga pekerja divaksinkan sepenuhnya sebagai langkah penting ke arah kekebalan kawanan serta pemulihan ekonomi negara.

Program ini akan dilancarkan mulai Ogos 2021 melalui klinik tempatan atau di premis Tan Chong.

“Dalam perjuangan bersama menangani pandemik COVID-19, kesihatan dan keselamatan rakan sekerja, pelanggan dan masyarakat setempat tetap menjadi keutamaan kami,” kata Encik Daniel Ho, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Chong Motor Holdings Bhd.

“Kami berharap, program vaksinasi ini dapat mencapai pemberian vaksin sepenuhnya kepada kalangan tenaga kerja menjelang akhir September serta memberi perlindungan dengan harapan mereka dapat kembali bekerja dengan selamat.”

Tambahnya, walaupun banyak cabaran akan dihadapi, Kumpulan Tan Chong tetap akan berusaha untuk membina daya tahan dan mengatasi segala kesulitan dengan kerjasama daripada pihak berkepentingan.

Nissan kini di Lazada, tempah kenderaan serendah RM250

EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) melancarkan Nissan Flagship Store di platform e-dagang terkemuka Lazada.

Orang ramai kini boleh menempah kenderaan Nissan di aplikasi itu dengan harga serendah RM250.

Sebagai langkah promosi, 55 pelanggan pertama membuat tempahan bakal menerima mesin kopi Nescafe bernilai RM598 secara percuma.

Pengarah Penjualan dan Pemasaran ETCM Christopher Tan berkata, pihaknya sentiasa peka dengan tren semasa selain memahami perkembangan teknologi digital.

“Kami sangat gembira untuk mengembangkan model Nissan kami di Lazada, menjadikannya tersedia untuk semua orang yang lebih senang membeli-belah.

“Dalam wabak Covid-19 yang mencabar ini, digitalisasi bergerak dengan pantas dan kami yakin langkah dapat meningkatkan perkhidmatan ditawarkan,” katanya.

Antara model kenderaan dijual di Lazada termasuk Almera 1.0L, Navara, X-Trail dan Serena S-Hybrid.

Terdahulu, ETCM mengumumkan terdapat tawaran hebat bagi model Nissan Almera 1.0L Turbo baharu.

Model itu kini dilengkapi dengan pakej aksesori bernilai RM5,500 selain tawaran pembiayaan flexi serendah RM540 sebulan.

Terdapat juga promosi bagi Nissan Almera 1.0L Turbo VL untuk penjawat awam yang dijual pada harga RM 71,906.

Selain itu, Nissan Navara 4×4 2.5L Turbo Double-Cab Pick-up turut ditawarkan dengan harga serendah RM950 sebulan.

Pelanggan meminati model X-Trail juga boleh mendapatkan kenderaan itu dengan pakej aksesori Impul atau Aero Edition bernilai sehingga RM5,600.

Tidak terkecuali, model Serena S-Hybrid juga mempunyai tawaran hebat iaitu perkhidmatan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun.

Kenali ciri menarik Nissan Navara 2021

MINGGU lalu Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) mengumumkan pengenalan Nissan Navara baharu di pasaran negara ini.

Model yang tidak asing lagi di Malaysia, Nissan Navara baharu mempunyai beberapa keistimewaan ditampilkan khas untuk pengguna jalan raya.

Ditampilkan dengan lima varian, jom kita teliti satu persatu keunikan Nissan Navara Baharu!

Salah sebuah model kenderaan keluaran syarikat Nissan. - Foto oleh Tan Chong Group

Nissan Navara Baharu: Lasak, gaya dan pintar

Terdapat enam varian bagi Nissan Navara Baharu kali ini iaitu 2.5L PRO-4X Auto, 2.5L VL Auto, 2.5L V Auto, 2.5L SE Auto, 2.5L SE Manual dan 2.5L Single Cab Manual.

ETCM menerusi satu kenyataan media mengumumkan harga bagi model Nissan Navara Baharu bermula serendah RM91,900 hingga RM142,200.

Antara ciri menarik terdapat pada model Nissan Navara kali ini termasuk penggunaan dua enjin output berbeza.

Pelanggan boleh membuat pilihan untuk menggunakan:-

  • Enjin Turbo-diesel YD25 4-silinder sebaris DOHC dengan output tinggi yang dipadankan bersama Transmisi Auto tujuh kelajuan dan Mode Manual atau;
  • Enjin Turbo-diesel YD25 4-silinder sebaris DOHC dengan output sederhana, dipadankan bersama Transmisi Manual enam kelajuan

Nissan Navara Baharu (kecuali Single Cab) dilengkapi suspensi belakang jenis Multilink dengan Dual-Rate Coil Springs (Rear Multilink Suspension with Dual-Rate Coil Springs bagi mengurangkan pergerakan badan kenderaan.

Selain itu, Sistem Electronic Locking Rear Differential baharu pula berfungsi mengunci kedua-dua roda belakang untuk membolehkannya berpusing pada kelajuan sama jika tersekat di laluan berpasir atau berlumpur.

Ciri Tailgate Assist turut disediakan bagi memudahkan pintu ruang kargo belakang dibuka dan ditutup.

EnGear juga tertarik dengan penggunaan Kaca Laminasi Akustik yang dapat menyingkirkan bunyi pada cermin utama dan cermin tingkap hadapan.

Ruang dalam premium menambah keyakinan pemanduan.

Ciri keselamatan Nissan Navara Baharu

Tidak dinafikan Nissan Navara Baharu dilengkapi ciri keselamatan tinggi.

Amat berbaloi dengan harga ditawarkan, model ini dilengkapi sistem keselamatan tinggi seperti:-

  • Vehicle Dynamic Control
  • Traction Control System
  • Active Brake Limited Slip Differential
  • Hill Start Assist
  • Hill Descent Control
  • Anti-Lock Braking System
  • Electronic Brake Distribution
  • Brake Assist

Berbaloi atau tidak?

Pada pandangan EnGear, ciri-ciri terdapat pada Nissan Navara Baharu agak menarik dan bersesuaian dengan harga ditawarkan.

Namun, tidak adil jika EnGear memberi review menyeluruh selagi belum memandu uji Mother Trucker ini.

Justeru, nantikan artikel seterusnya pengalaman EnGear ‘menguji’ jentera terbaharu Nissan ini di masa akan datang.

Bagaimanapun, tahniah Nissan untuk pengenalan model baharu Navara 2021!