Tag Archives: tanah mendap

Tanah mendap di Lebuh Raya KL-Karak, pengguna dinasihat ‘exit’ ke bandar Bentong

LEBUHRAYA Pantai Timur baru sahaja mengeluarkan amaran kejadian mendapan tanah (sinkhole) di KM 66.1 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, arah timur dan barat Bentong.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan laluan kiri dan kanan lebuh raya itu terhalang.

Bagi pengguna dari arah Kuantan menuju ke Kuala Lumpur, mereka diarahkan keluar ke Persimpangan Bentong Timur dan masuk semula ke Persimpangan Bentong Barat.

Sementara itu, pengguna dari Kuala Lumpur ke Kuantan pula diarahkan keluar ke Persimpangan Bentong Barat dan masuk semula ke Persimpangan Bentong Timur.

Menurut Sinar Harian, kejadian tanah mendap itu berlaku kira-kira jam 8.34 malam pada Selasa. Aliran trafik di lokasi dilaporkan sesak.

Anih Berhad akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian.

Tanah mendap akibatkan Jambatan Jalan Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas runtuh

MENDAPAN tanah menyebabkan sebahagian jambatan di Jalan Forest City-Lebuh Tanjung Pelepas sepanjang 25 meter dekat Iskandar Puteri runtuh, lapor Bernama.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelemat (BPP) Iskandar Puteri Pegawai Bomba Kanan II Hairulnizam Mohd Noh, sebanyak tujuh anggota dan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 2 petang.

“Setibanya di lokasi, didapati telah berlaku kejadian tanah mendap yang melibatkan kawasan jalan raya utama sepanjang 25 meter.

“Pasukan keluaran operasi telah membuat pemantauan bagi memastikan keadaan sekitar selamat. Selanjutnya, kawalan lalu lintas diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan kejadian itu tidak melibatkan mangsa.

Sementara itu, Kosmo melaporkan pengurusan Forest City akan membina jalan alternatif sepanjang 1 km bagi memudahkan pergerakan keluar masuk antara lokasi kejadian.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pembinaan jalan berkenaan dijangka akan mengambil masa selama 24 jam untuk disiapkan.

Pihaknya menjangkakan laluan itu boleh mula digunakan pada 26 Julai nanti.