Tag Archives: Tanjung Malim

Kilang EV Proton dijangka siap akhir 2025, kapasiti pengeluaran 20,000 unit setahun

Hari ini berlangsungnya upacara pecah tanah bagi pembinaan fasa pertama kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) Proton yang terletak di fasiliti berteknologi tinggi Tanjung Malim.

Dengan pelaburan bernilai RM82 juta, fasa pertama kilang pemasangan EV ini dijangka siap pada akhir 2025 dengan kapasiti pengeluaran awal sekitar 20,000 unit setahun.

Ia akan menjadi lokasi pemasangan pelbagai jenis model kenderaan tenaga baharu (NEV) untuk pasaran tempatan dan eksport berdasarkan platform GMA (Global Modular Architecture) yang dimulakan dengan model Proton e.MAS7.

Pelbagai teknologi pembuatan pintar akan digunakan untuk memastikan kilang ini bersedia untuk pengeluaran kenderaan NEV seperti teknologi robotik, pengurusan kilang berasaskan awan, Internet of Things (IoT) dan teknologi berkaitan IR 4.0.

Dalam masa yang sama, kilang baharu Proton ini dijangka akan mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan baharu untuk komuniti tempatan.

Proton juga sudah mempunyai perancangan untuk fasa kedua kilang pengeluaran sebagai persediaan untuk pemintaan EV yang semakin meningkat di dalam dan luar negara, dengan kapasiti pengeluaran akan dinaikkan kepada 45,000 unit setahun.

Menurut Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata, “PROTON memulakan peralihannya untuk menjadi OEM yang menawarkan model ICE dan EV apabila kami menubuhkan PRO-NET untuk menjual kenderaan pintar sebelum melancarkan Proton e.MAS 7.

“Dengan pengalaman yang kami kumpul sejak beberapa tahun lalu dalam semua aspek kenderaan ini dan keperluan pelanggan, jadi hari ini kami mengambil langkah seterusnya untuk merealisasikan impian kami menghasilkan dan membangunkan model EV di Malaysia.

“Kenderaan yang dikeluarkan di kilang baru ini akan memenuhi keperluan pelanggan di pasaran tempatan dan eksport, serta menjadi pendorong kepada pertumbuhan pasaran EV.

“Setelah siap, pengeluaran di kilang baru ini akan tertumpu pada Proton e.MAS 7 serta tawaran NEV masa hadapan apabila PROTON mengembangkan rangkaian modelnya. Akhirnya, kami berharap kejayaan kami akan mewujudkan ekosistem automotif yang moden dan berkemampuan untuk menggalakkan lebih banyak OEM mempertimbangkan Malaysia dan AHTV sebagai pangkalan serantau bagi EV,” ujarnya lagi.

DRB-Hicom, Geely tandatangani dua MoU dengan MIDA, MARii jadikan AHTV hab global NxGV

DRB-HICOM Berhad dan Zhejiang Geely Holding Group telah menandatangani dua perjanjian untuk membangunkan Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim, Perak menjadi hab global untuk Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV) dan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).
Perjanjian pertama yang ditandatangani dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan memberikan tumpuan kepada kerjasama untuk menarik pelaburan khususnya dalam pembangunan AHTV, dengan sasaran untuk memupuk pertumbuhan, keupayaan dan daya saing industri automotif negara.
Tumpuan utama kerjasama ini adalah untuk menggalakkan transformasi industri automotif tempatan dan Industri 4.0 bagi membantu Malaysia menjadi negara peneraju EEV di ASEAN.
Ia juga bertujuan mengubah AHTV menjadi hab automotif global yang akan memberikan tumpuan kepada pengeluaran NxGV, pembuatan pintar bagi komponen automotif berteknologi tinggi, serta pangkalan eksport untuk rantaian bekalan kenderaan dan alat ganti global yang lengkap.

Perjanjian kedua yang dibuat dengan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) akan memberikan tumpuan kepada kerjasama di dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan bakat untuk AHTV.

Skop kerjasama merangkumi pembinaan pusat pengujian dan R&D bagi kenderaan NxGV, serta penubuhan Pusat Pengujian dan Homologasi Negara yang khusus untuk ujian dan homologasi EEV serta pemanduan autonomi.

Selain daripada itu, pihak yang terlibat juga bersetuju untuk membangunkan kepakaran tempatan dalam komponen kritikal seperti motor elektrik, sistem pengurusan bateri dan unit pengagihan kuasa dengan bantuan daripada Geely Holding.

Duta Besar Uzbekistan lawat kilang Proton di Tanjung Malim

KILANG Proton di Tanjung Malim baru-baru ini menjadi tuan rumah bagi lawatan Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Karomidin Gadoev, dengan tujuan untuk meneroka peluang kerjasama pada masa hadapan.

Rombongan tersebut telah dialu-alukan oleh Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton dan Yang Mulia Tengku Zainudin Tengku Jafar, Ketua Pengurusan Kawal Selia, DRB-Hicom bersama ahli kanan pengurusan kanan Proton yang lain.

Selepas lawatan ke Tanjung Malim, Duta Besar berkata, “Malaysia adalah rakan jangka panjang dan boleh dipercayai bagi Uzbekistan, kerana kita dihubungkan oleh hubungan perdagangan dan budaya berkurun lamanya, persahabatan, dan keakraban rohani. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan ekonomi dua hala antara Uzbekistan dan Malaysia semakin berkembang.”

“Pada masa ini 36 syarikat Malaysia berjaya beroperasi di Uzbekistan, dan terdapat satu syarikat Uzbekistan di Malaysia. Menjelang akhir 2024, tiga syarikat Malaysia akan memulakan aktiviti mereka di negara kita dan pada masa ini, rundingan dengan beberapa pemain industri Malaysia untuk mewujudkan projek pelaburan bersama sedang berjalan dengan lancar,” katanya lagi.

Beliau juga berpendapat bahawa terdapat potensi besar yang belum diterokai antara Uzbekistan dan Malaysia dari segi hubungan ekonomi dua hala.

Sementara itu, Roslan Abdullah pula berkata, “Sebagai OEM antarabangsa, Proton sentiasa mencari rakan kongsi untuk meluaskan jangkauan kami. Oleh itu, kami berterima kasih atas kunjungan Duta Besar Uzbekistan dan delegasinya dan berharap akan ada beberapa perkembangan positif untuk dilaporkan pada masa hadapan.”

Geely bakal buka universiti di Tanjung Malim, agaknya kursus apa yang ditawarkan?

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan bahawa Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd (Geely) berhasrat untuk membina sebuah universitinya sendiri di Tanjung Malim.

Menurut Saarani, sudah menjadi kelaziman bagi Geely untuk membina sebuah universiti di kawasan perusahaannya dan pengeluar kenderaan dari China itu mahu meneruskan amalan tersebut di Tanjung Malim.

Geely yang terlibat dengan projek Automotive High Tech Valley (AHTV) dengan nilai pelaburan RM32 bilion di kawasan tersebut bakal melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang automotif menerusi universiti berkenaan.

Tambah beliau lagi, pembukaan universiti berkenaan bakal melahirkan bakat-bakat muda dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan juga teknologi automotif.

“Selain daripada syarikat Proton (Proton Holdings Bhd.) telah bersetuju pindah operasi keseluruhannya dari Shah Alam, Selangor ke Proton City, ia ditokok tambah dengan pelaburan bernilai RM32 bilion yang akan dibawa masuk oleh Geely melalui AHTV.

“Jadi mereka (Geely) datang bukan sahaja membawa pelaburan untuk pembangunan pusat perindustrian AHTV tetapi berhasrat membangunkan sebuah universiti,” katanya.

Mengenai tempoh pembinaan universiti itu, Saarani berkata perkara tersebut masih belum ditentukan namun Geely sudah meminta kerajaan untuk menyediakan tempat bagi tujuan berkenaan.

“Belum ada jangka masa yang konkrit, namun idea sudah ada dan (Geely) minta sediakan tempat dan kita sudah cadangkan tempat,” katanya yang turut menegaskan, pembinaan universiti tersebut bakal membuka pelbagai peluang pekerjaan bagi golongan muda seperti dalam bidang akademik.

Geely akan labur USD10 bilion di Tanjung Malim – Anwar Ibrahim

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa Geely akan membuat pelaburan sebanyak USD10 bilion (RM45.6 bilion) untuk menjadikan Tanjung Malim sebagai kota automobil terbesar di rantau ini.

Menurut Anwar, hasrat gergasi automotif dari China itu, yang dinyatakan menerusi surat yang disampaikan kepada beliau baru-baru ini, akan membuka ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini.

“Ini pertama kali saya nyatakan Geely yang bersama-sama mengeluarkan kereta dengan Proton telah menulis surat sebanyak 10 halaman kepada saya,” katanya.

“Syarikat itu memaklumkan mahu meneruskan untuk menjadikan Tanjung Malim sebagai kota automobil kereta yang terbesar di rantau ini dan akan memulakan (pelaburan) sebanyak AS$10 bilion atau RM40 bilion,” tambah beliau lagi.

“Untuk apa semua ini…untuk saya ambil komisen atau hadiah? Atau untuk menjamin ekonomi kita naik dan ribuan anak kita akan mendapat kerja,” katanya.

Anwar juga berkata bahawa kerajaan Arab Saudi dan syarikat minyak dan gas (O&G) Aramco dari negara itu akan menumpukan pelaburan dan perkembangan operasinya di Malaysia.

Gambar oleh: Malay Mail

“Ketua Pegawai Eksekutif Aramco Amin Nasser berjumpa saya dan memaklumkan bahawa Aramco sekarang senang dengan dasar dan pimpinan kerajaan dan membuat keputusan untuk menjadikan Malaysia hab perkembangan O&G bagi Arab Saudi di Asia Tenggara.

“Kebetulan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menunaikan haji (baru-baru ini), dan baginda duduk di sebelah Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Al Saud dan memberitahu pelaburan Arab Saudi untuk Asia tertumpu pusatnya di Malaysia,” katanya.

Warga emas tunggang Honda EX5 maut ditimpa pokok tumbang

Sebatang pokok yang tumbang di Taman Universiti, Tanjung Malim menyebabkan seorang warga emas maut.

Kejadian berlaku sekitar jam empat petang semalam.

Menurut laporan Bernama, mangsa dikenali sebagai Chin Kock Heng.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, mangsa ditimpa pokok ketika menunggang sebuah motosikal.

“Anggota bomba tiba di lokasi kejadian mendapati sebatang pokok tumbang menghalang jalan raya dan menghempap seorang penunggang motosikal,” memetik satu kenyataan.

Chin disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya kemudian diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

Anggota bomba turut melakukan pembersihan dan pemotongan pokok dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Operasi pembersihan selesai sekitar jam 5.32 petang.

Tiada lagi CampPro CFE, Proton dijangka hasil enjin 1.5 Turbo di Malaysia

SAPURA Industrial mendedahkan Proton bakal menghasilkan enjin 1.5 liter tiga-silinder atau dikenali sebagai Global Engine Petrol 3 (GEP3).

Perkara itu dimaklumkan Sapura Industrial menerusi laporan tahunan 2021.

Menerusi laporan berkenaan, Sapura Industrial mengesahkan menerima surat penganugerahan membekalkan berberapa komponen enjin GEP3 kepada Proton.

Antara komponen itu termasuk penyerap getaran kilasan, serta aci sesondol bagi injap kemasukan dan ekzos.

Enjin GEP3 dijangka menggantikan sepenuhnya enjin 1.6 turbo CampPro CFE.

Penggunaan enjin GEP3 membuka peluang buat Proton memasuki semula pasaran eksport yang mengenakan standard emisi lebih ketat.

Setakat ini, enjin GEP3 digunakan pada model X59 dan X70 yang dieksport ke pasaran Pakistan.

Proton sudah menggunakan enjin GEP3 dalam dua versi di negara ini iaitu suntikan bahan api pelbagai titik menjana 150 PS (148 hp) dan tork maksima 226 Nm untuk X50.

Sementara itu, versi 177 PS (175 hp) dan 255 Nm dipadankan pada X50 varian tertinggi Flagship serta X70 1.5 T-GDI.

Dua enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear klac-berkembar jenis basah tujuh-kelajuan oleh CEVT (China Euro Vehicle Technology).

Pemasangan enjin GEP3 dijangka akan dihasilkan di kilang milik Proton dekat Tanjung Malim, Perak.

Proton bina kilang penghentakan badan kereta baharu, labur RM200 juta

Proton Holdings Bhd (Proton) melabur lebih RM200 juta bagi membina kilang penghentakan badan kereta baharu di Tanjung Malim, Perak.

Projek dijangka siap menjelang suku ketiga 2022 akan menempatkan jentera hentakan ‘Superlarge’ bagi meningkatkan lagi kebolehan hentakan syarikat.

Perkembangan ini merupakan sebahagian rancangan Proton menambah tahap penggunaan komponen tempatan bagi model sedia ada dan akan datang.

Selain itu, ia juga membolehkan pengeluaran panel badan yang lebih besar.

Proton juga telah membelanjakan lebih RM1.2 bilion untuk barisan pengeluaran baharu pada 2019.

Memetik kenyataan media, Proton yakin mampu mengeluarkan pelbagai model serta produk bertaraf tinggi selain mempunyai teknologi baharu.