Tag Archives: TC Subaru

TC Subaru tawar penjimatan sehingga RM31k, cabutan bertuah sempena Tahun Baru Cina

TC Subaru Sdn Bhd, pengedar rasmi kenderaan Subaru di Malaysia, mengalu-alukan kedatangan tahun baru 2025 serta sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi dengan pelbagai tawaran dan hadiah menarik.

Dari 6 Januari hingga 28 Februari 2025, pelanggan berpeluang menikmati penjimatan sehingga RM31,000 untuk model Subaru terpilih, serta menyertai cabutan bertuah di mana mereka dijamin menang sama ada rebat tunai RM1,888 dengan setiap tempahan atau pemasangan dashcam HD.

TC Subaru juga menjemput orang ramai untuk mengunjungi bilik pameran Subaru di seluruh negara untuk melihat dengan lebih dekat model-model terkini termasuk Forester, XV, BRZ, WRX dan Outback.

Dilancarkan pada September tahun lalu, Outback boleh didapati dengan enjin 2.4-liter turbo (249 PS/350 Nm) atau enjin 2.5-liter NA (185 PS/245 Nm), kedua-duanya dipadankan dengan transmisi Lineartronic CVT.

Selain itu, crossover wagon itu dijuga didatangkan dengan Symmetrical All-Wheel Drive (SAWD) dan sistem Subaru EyeSight 4.0 yang terdiri daripada fungsi seperti sistem brek pra-pelanggaran, stereng kecemasan autonomi, kawalan jelajah adaptif, fungsi pengekalan tengah lorong, serta pengelakan keluar lorong.

Setiap kenderaan Subaru didatangkan dengan waranti dan pakej servis komprehensif selama lima tahun.

TASKL 2024: Subaru BRZ, WRX tampil liveri motif Songket dan Bunga Raya

TC Subaru Sdn Bhd selaku pengedar eksklusif kenderaan jenama Subaru di Malaysia bakal memeriahkan acara pameran Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2024 dengan membawakan dua model kenderaan dihiasi liveri istimewa yang menerapkan elemen rekaan tempatan.

Liveri istimewa yang dipadankan pada Subaru BRZ dan WRX itu direka oleh Motorsport Playground yang diilhamkan daripada gabungan  budaya kejuruteraan Jepun dan unsur-unsur warisan Malaysia seperti cetakan Songket dan motif Bunga Raya yang menggantikan bunga Sakura.

 

Untuk makluman, Subaru sebelum ini menyertai cabaran time attack di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang menggunakan jentera Subaru BRZ dan WRX yang memiliki spesifikasi standard kilang.

Dengan menggunakan kepakaran TD Racing, kedua-dua kereta itu menjalani persediaan yang diperlukan termasuklah penjajaran asas dan pemeriksaan minyak sebelum membuat cubaan time attack.

Dipandu oleh pelumba professional Freddie Ang, Subaru BRZ bertransmisi manual berjaya mencatatkan masa 02:42.211 manakala Subaru WRX CVT pula sekitar 02:43.472 untuk pusingan penuh.

TC Subaru turut bekerjasama dengan jenama pakaian tempatan Pestle & Mortar Clothing (PMC) menawarkan koleksi pakaian jalanan eksklusif yang boleh dibeli di TASKL 2024 pada 8 hingga 10 November ini bertempat di Malaysian International Trade and Exhibition
Centre (MITEC.

Subaru Outback XT 2024 kini di Malaysia, nadi boxer 2.4L turbo, 249 PS, 350 Nm, dari RM310,390

Setelah sekian lama sepi, TC Subaru selaku pengedar rasmi kenderaan jenama Subaru di Malaysia akhirnya memperkenalkan model crossover wagon baharu, iaitu Subaru Outback XT 2024.

Subaru Outback XT ini dikuasakan oleh enjin empat silinder bentangan mendatar 2.4 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 249 PS dan daya kilas 350 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada semua roda menerusi kotak gear CVT Subaru Lineartronic  Transmission (SLT) dan sistem pacuan Symmetrical AWD, di mana pecutan 0-100 km/j boleh diselesaikan dalam masa 7.5 saat.

Pemilik boleh memilih dua mod pemanduan SI-Drive iaitu Intelligent dan Sport. Terdapat juga mod pemanduan off-road X-Mode dengan pilihan Snow/Dirt dan Deep Snow/Mud.

Dari segi ukuran, Subaru Outback XT membawakan dimensi sepanjang 4,860 mm, tinggi 1,680 mm, lebar 1,855 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,745 mm.

Sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah crossover wagon, Outback XT menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 213 mm.

Kelengkapan luaran yang dimuatkan pada Outback XT termasuklah rim 17 inci, emblem XT, lampu utama LED, lampu kabus LED, rel bumbung, plastik pelindung badan keliling, serta spoiler belakang.


Untuk ruang kabin, Outback XT membawakan kemasan dua tona, meter analog berserta skrin MID kecil, skrin infohibur tengah sebesar 11.6 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk balutan kulit Nappa, serta penggunaan bahan sentuh lembut pada sesetengah tempat.

Ruang kargo Outback XT adalah sebesar 561 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,848 liter apabila tempat duduk baris kedua nisbah 60:40 dilipat.

Secara standard, Subaru Outback XT dilengkapi dengan Subaru EyeSight 4.0 yang terdiri daripada fungsi seperti sistem brek pra-pelanggaran, stereng kecemasan autonomi, kawalan jelajah adaptif, fungsi pengekalan tengah lorong, serta pengelakan keluar lorong.

Diimport sepenuhnya dari Jepun, Subaru Outback XT Touring EyeSight dijual pada harga bermula dari RM310,390, sementara Outback 2.5-T (enjin 2.5L NA, 185 PS/245 Nm) dijual pada harga RM280,390.