Tag Archives: teaser

Volvo ES90 2026 debut Mac ini, guna platform 800V, jarak gerak 700 km

Selepas EX90 dan EX30, Volvo nampaknya sudah bersedia untuk melancarkan sebuah lagi model kenderaan elektrik, kali ini dalam bentuk badan sedan ES90.

Dibina berdasarkan senibina elektrik 800 voltan, Volvo ES90 didakwa mampu menawarkan jarak gerak sejauh 700 km berdasarkan data kitaran WLTP, atau 86 km lebih jauh berbanding jarak gerak EX90.

Dengan senibina 800V itu tadi, ia membolehkan Volvo ES90 mencapai tempoh masa pengecasan yang lebih singkat.

Menggunakan pengecasan DC 350 kW, bateri ES90 boleh dicas 10-80 peratus dalam masa 20 minit sahaja.

Berdasarkan gambar acah yang dibekalkan, Volvo ES90 membawakan perkadaran bentuk badan sedan tiga kotak, namun dengan garis bumbung yang lebih aerodinamik dan melandai ke belakang.

Antara ciri lain yang boleh dikesan termasuklah unit lampu LED tambahan pada bahagian cermin belakang, cermin sisi fizikal yang lengkap dengan unit kamera, serta perumah modul LIDAR pada bahagian bumbung.

Selain daripada LIDAR, Volvo ES90 akan dilengkapi dengan pelbagai komponen termasuklah lima unit radar, lapan kamera, 12 penderia ultrabunyi serta Safe Space Technology yang disokong oleh kepintaran buatan (AI).

Volvo ES90 juga merupakan model Volvo pertama yang akan dilengkapi dengan sistem Nvidia Drive AGX Orin berkembar untuk keupayaan perkomputeran yang paling canggih.

Difahamkan, Volvo juga akan mengemas kini penawaran sedan ICE Volvo S90 sebagai alternatif kepada mereka yang masih lagi ragu-ragu terhadap EV – pendekatan sama yang diguna pakai untuk model EX90 dan XC90 sebelum ini.

 

Berdasarkan gambar yang tertiris di media sosial, Volvo S90 facelift akan membawakan muka hadapan yang telah direka semula, mirip kepada perubahan yang wujud pada XC90 facelift.

Lebih banyak informasi bakal diketahui menjelang pengenalan rasmi ES90 pada bulan hadapan.

Volkswagen Golf GTI Clubsport baharu akan muncul 31 Mei ini

VOLKSWAGEN telah menyiarkan imej teaser bagi Golf GTI Clubsport baharu, yang akan didedahkan sepenuhnya kepada umum pada 31 Mei depan.

Walaupun masih dibalut pelekat samaran, hot hatch ini dilihat mempunyai lampu LED baharu, serta bampar depan dan belakang yang direka semula. Ia juga didatangkan dengan logo VW yang bercahaya serta spoiler yang besar untuk menjana downforce maksimum.

Golf GTI Clubsport akan didatangkan standard dengan rim aloi Queenstown berukuran 19 inci yang direka berinspirasikan rim Detroit yang diperkenalkan pada Golf Mk5.

Walau bagaimanapun, sebagai alternatif, pelanggan boleh mendapatkan rim tempaan Warmenau 19 inci dengan berat hanya 8 kg setiap satu.

Imej ruang dalaman tidak disiarkan namun menurut Volkswagen, model ini didatangkan dengan stereng sport baharu yang dibalut kulit, serta sistem infotainmen baharu yang dikatakan lebih intuitif. Turut disertakan adalah sistem bantuan suara IDA dengan fungsi Chat GPT.

Perubahan mekanikal juga masih menjadi misteri namun Volkswagen mendakwa yang Golf GTI Clubsport baharu ini akan menjadi model GTI pacuan roda hadapan yang paling berkuasa setakat ini.

Sebagai rujukan, Golf GTI Clubsport Mk8 yang diperkenalkan pada 2020 mempunyai 300 PS dan 400 Nm, membolehkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam bawah enam saat.

Apa yang kami tahu, model Clubsport baharu akan didatangkan dengan differential lock pada gandar depan dan mod pemanduan Special yang ditala khas mengikut litar Nurbugring Nordschleife. Kawalan casis adaptif (DCC) pula ditawarkan sebagai aksesori tambahan.

Kia EV3 bakal didedahkan sepenuhnya pada 23 Mei

KIA telah menyiarkan gambar teaser bagi kenderaan elektrik (EV) mereka yang seterusnya iaitu EV3. Ia akan didedahkan sepenuhnya pada 23 Mei depan sebagai SUV elektrik bersaiz kompak yang akan diposisikan di bawah EV5.

Untuk pengetahuan, EV3 pernah dipertontonkan menerusi model konsep Concept EV3 pada Oktober tahun lalu. Gambar-gambar teaser dari Kia menunjukkan ia akan mengekalkan sebahagian besar rekaan luarannya untuk produksi.

Kia Concept EV3

Seperti EV9, Kia mengaplikasikan falsafah ‘Opposites United’ untuk mereka bentuk EV3 dan ini boleh dilihat dengan jelas menerusi fender dan pintu tailgate yang berkotak.

EV3 juga boleh dilihat menampilkan signatur lampu Star Map pada bahagian depan dan belakang, serta tiang C yang dicat warna hitam bagi memberikan efek seperti bumbung terapung.

Gambar ruang dalaman masih belum disiarkan namun begitu, kami menjangkakan rekaan dan susun atur yang tidak jauh berbeza dengan model-model EV Kia yang sedia ada.

Perincian teknikal juga masih menjadi tanda tanya namun mengikut laporan, EV3 menggunakan platform E-GMP dengan seni bina 400V dan bukannya 800V seperti EV6 dan EV9.

Menurut Kia, EV3 akan memasuki pasaran tahun ini.

Lexus LBX diacah – Toyota Yaris Cross versi mewah?

BUAT masa ini, model terkecil dalam barisan Lexus ialah UX, iaitu sebuah crossover yang menggunakan platform GA-C serta beberapa model Toyota seperti C-HR dan Corolla Cross.

Namun, ini mungkin berubah tidak lama lagi dengan kehadiran model serba baharu yang dikenali sebagai Lexus LBX.

Spesifikasi mengenai model ini masih belum diumumkan namun media antarabangsa melaporkan bahawa ia akan berkongsi platform GA-B dengan Yaris Cross.

Toyota Yaris Cross (Eropah)

Perkara ini tidak mustahil memandangkan Lexus masih belum mempunyai penawarannya yang tersendiri dalam segmen B.

Bukan itu sahaja, penggunaan huruf ‘X’ pada namanya secara tidak langsung mengesahkan bahawa model misteri ini adalah sebuah crossover atau SUV.

‘LB’ masih belum pernah digunakan oleh mana-mana model keluaran Lexus sebelum ini, namun ini mungkin merujuk kepada platform GA-B yang digunakan dan juga pasaran yang disasarkan iaitu pasaran segmen B.

Jika benar, LBX berkemungkinan besar akan ditawarkan dengan trenkuasa hibrid yang sama seperti Yaris Cross yang terdiri daripada enjin petrol 1.5-liter, sebuah motor elektrik kecil dan transmisi jenis CVT.

Dari segi reka bentuk pula, gambar-gambar teaser rasmi yang disiarkan menunjukkan LBX mempunyai elemen-elemen tipikal Lexus seperti gril honeycomb seperti RX baharu, lampu nyalaan siang berbentuk anak panah dan jalur lampu LED melintang di belakang.

Apa-apa pun, kita tunggu kemunculan sulung LBX pada 5 Jun ini.

Honda Accord 2023 teaser – reka bentuk lebih kemas, skrin sentuh terbesar setakat ini

SEDAR tak sedar, Honda Accord yang ada ketika ini (generasi ke-10) sudah berada dalam pasaran sejak 2017. Ini bermakna sudah tiba masanya sedan segmen D itu digantikan dengan model generasi baharu.

Sebelem model generasi ke-11 itu didedahkan sepenuhnya pada bulan November ini, Honda terlebih dahulu menyiarkan tiga imej teaser yang menampakkan sebahagian reka bentuk luaran dan dalaman sedan itu.

Imej luaran menunjukkan Accord baharu mempunyai bahagian depan yang lebih kemas dan bersegi, dengan gril berbentuk heksagon dan lampu utama yang tajam. Gril tersebut dihiasi dengan motif tiga segi, manakala lampu utama tersebut mempunyai DRL pada bahagian atas.

Tidak seperti sebelum ini, bahagian bawah bampar depan kini mempunyai bukaan udara dengan tiga palang yang disusun secara melintang. Sekali imbas, elemen-elemen ini membuatkan Accord baharu mirip HR-V.

Sementara itu, bahagian belakang pula menunjukkan perubahan yang lebih ketara. Lampu berbentuk pengepil kertas telah digantikan dengan lampu melintang yang kelihatan seperti mempunyai efek ‘smoked’.

Untuk ruang kabin, Honda hanya mendedahkan skrin berukuran 12.3 inci yang dikatakan skrin paling besar pernah ditawarkan pada model Honda setakat ini. Menurut syarikat itu, skrin tersebut dilengkapi dengan sistem infohibur Google yang menawarkan ketersambungan ‘on-the-go’.

Dari segi teknikal pula, Accord generasi baharu akan dikuasakan oleh trenkuasa hibrid. Perincian mengenai trenkuasa ini tidak dinyatakan namun menurut Honda, ia “lebih responsif” dan “seronok untuk dipandu”.