Tag Archives: teknologi

Hyundai Ioniq 5 N bakal mendapat gear palsu, siap dengan bunyi rev limiter

HYUNDAI kini sedang membangunkan versi N untuk model elektrik pertama mereka. Kenderaan yang memenangi banyak anugerah kereta terbaik itu bakal mendapat ‘jajan’ menjadikannya lebih berprestasi tinggi. Ia dikatakan berkongsi komponen dengan Kia EV6 GT.

Disebabkan peminat tegar kereta belum bersedia untuk melupakan jentera sports dengan sensasi enjin sebenar, Hyundai akan menampilkan bunyi tiruan.

Dalam satu temuramah dengan CarExpert, Penasihat Teknikal Eksekutif Hyundai, Albert Biermann berkata idea ini adalah untuk memberikan “sentakan dan gegaran downshift yang sama seperti dalam kereta-kereta N ICE kami”.

Dia menambah, “Ianya akan sangat mirip dengan rasa dan bunyi hot hatch i30 N dengan DCT.”

Berkenaan itu, Ioniq 5 N akan dilengkapi dengan teknologi yang dipanggil Virtual Grin Shift (VGN) yang boleh diaktifkan dengan menekan butang di roda stereng. Pemandu mesti menarik kedua-dua paddle untuk menghidupkan “mod pertukaran gear maya” untuk ‘menukar gear’.

VGN disokong oleh N Sound Plus yang akan memberikan bunyi-bunyi yang biasa kita dengar pada kereta berenjin petrol. Kemaskini over-the-air akan datang pula bakal memasukkan bunyi-bunyi tambahan, malah pemilik juga boleh menambah bunyi mereka sendiri.

Hyundai dilaporkan sedang memperhalusi bunyi-bunyi ini, termasuklah bunyi bila meter rpm menendang redline.

Satu lagi teknologi yang bakal diperkenalkan ialah mod drift dengan penghantaran kuasa lebih ke roda belakang. Mereka juga merancang untuk fungsi brek lebih kuat bagi sistem regenerative braking.

Untuk spesifikasi, kita boleh menjangkakan setup dua motor, yang mana Albert mendedahkan bakal memberikan Ioniq 5 N sekitar 600hp. Tiada maklumat mengenai tork, tetapi EV6 GT mempunyai 740Nm.

Gambar oleh: Motor1

Volkswagen dengar kata anda, akan kembali guna butang fizikal dalam kenderaan

BEBERAPA tahun kebelakangan ini, kita dapat lihat yang pengeluar kereta mula mengurangkan butang-butang fizikal dalam kereta, menggantikannya dengan panel kapasitif sesentuh.

Panel sebegini sememangnya nampak canggih dan futuristik, ia tidaklah begitu praktikal. Kadang-kadang semasa memandu, panel sebegini lebih sukar digunakan.

Volkswagen nampaknya mula menyedari hakikat ini, dan jangan risau, kita ada berita baik. CEO VW, Thomas Schäfer minggu lepas mendedahkan jenama itu akan bergerak ke arah “keringkasan baharu” untuk kenderaan.

Dalam satu siaran di laman LinkedIn, dia menulis, “Mengembalikan roda stereng dengan butang fizikal, berbanding butang kapasitif sesentuh. Itu yang pelanggan mahu dari VW.”

Buat masa ini, panel sesentuh digunakan hampir pada kesemua model, termasuklah Golf GTi, Golf R, dan Tiguan Allspace (Elegance dan R Line).

Di kiri dan kanan modul beg udara di stereng, anda akan jumpa panel kapasitif sesentuh ini yang membolehkan anda mengawal pelbagai fungsi kenderaan. Ia boleh ditekan atau digosok.

Terdapat juga bar yang sensitif kepada sentuhan yang boleh melaras tahap audio, menggantikan suis rocker atau bebola skrol. Ia kedengaran cool, tetapi tidak begitu mudah digunakan.

Selain di stereng, anda juga akan jumpa panel kapasitif sesentuh ini di lokasi lain seperti di bawah skrin infotainmen, juga untuk melaras fungsi seperti tahap audio.

Diharapkan lebih banyak pengeluar akan kembali kepada butang fizikal selepas ini. Panel kapasitif sesentuh boleh digunakan, tetapi mungkin terhad kepada kawalan yang tidak begitu kritikal sahaja.

Sistem EBS pada Airbus Helicopters petanda hibrid untuk enjin pesawat?

AIRBUS Helicopters baru-baru ini berjaya membuat penerbangan ujian untuk Engine Back-up System (EBS) pada pesawat Flightlab miliknya.

Airbus H130 Flightlab. Imej oleh: Rotorhub

Ujian dengan kerjasama French Civil Aviation Authority DGAC itu mungkin akan membuka jalan ke arah sistem janaan kuasa hibrid bagi helikopter. Dalam pada masa yang sama, sistem EBS ini akan menambah baik keselamatan penerbangan dalam jangka masa pendek.

Sasaran utama kempen ini bertujuan meningkatkan keselamatan bagi pesawat satu enjin dengan memberikan bantuan elektrik kecemasan jika berlaku kegagalan turbin.

Flightlab atau pesawat Airbus H130 ini telah dilengkapi dengan motor elektrik berkuasa 100kW yang dipasang pada kotak gear, dan ia mampu membekalkan kuasa elektrik selama 30 saat jika berlaku kegagalan enjin.

Ini membolehkan juruterbang mendapat lebih masa untuk bertindak balas serta mengekalkan kelajuan rotor, EBS akan memberikan pendaratan lebih selamat dan lancar ke darat.

Di samping untuk keselamatan, inisiatif ini juga bertujuan meningkatkan prestasi enjin. Berat maksima semasa berlepas akan dapat ditambah, melebihi berat sistem EBS itu sendiri. Jadi ini memberikan kapasiti kargo lebih banyak untuk pesawat.

“Penerbangan EBS ini merupakan satu langkah pertama yang penting ke arah sistem kuasa hibrid di masa depan dan kami sudah pun menantikan fasa kedua projek ini dengan lebih tenaga dan kuasa pada pesawat,” kata Tomasz Krysinski, Ketua Kajian dan Inovasi di Airbus Helicopters.

Sistem ini serupa untuk hibrid kereta dimana walaupun kereta akan mempunyai berat lebih tinggi, prestasi tambahan yang ditawarkan adalah lebih baik dan berbaloi dengan pertambahan itu.

Sebagai contoh, BMW 330e mempunyai prestasi lebih baik dari 320i, dan begitu juga Volvo S60 T8 PHEV yang lebih berkuasa dari varian T6.

Novabot sebuah mesin pemotong rumbut yang mampu bekerja sendiri

SEKILAS pandang, objek ini kelihatan seperti sebuah kereta futuristik bersaiz mini walaupun hanya mempunyai dua roda.

Namun, tahukah anda ia sebenarnya adalah mesin pemotong rumput yang dilengkapi dengan teknologi autonomi? Ini bermakna ia boleh beroperasi dengan sendiri tanpa sebarang bantuan manusia.

Dikenali sebagai Novabot, mesin pemotong rumput ini mempunyai nadi utama iaitu sistem NovaVision yang membolehkan ia mengesan dan mengenal pasti lokasi, jenis permukaan dan objek yang berada di sekelilingnya.

Semua ini dilakukan dengan data daripada beberapa buah sensor pada bahagian hadapan serta kamera 360-darjah.

Sebaik sahaja ia diaktifkan menerusi aplikasi telefon pintar, Novabot akan mula memotong rumput secara automatik, sambil mengelak dan mengalihkan haluannya apabila objek asing atau halangan dikesan di hadapannya.

Jangan risau jika permukaan halaman rumah anda tidak rata kerana ia boleh menaiki permukaan curam sehingga 45 darjah dengan bantuan tayar off-road.

Lebih menarik lagi, ketinggian bilah pemotongnya boleh dinaikkan dan diturunkan antara 20 hingga 70mm bergantung pada panjang rumput.

Di samping itu, algoritma CoreMind yang dikuasakan oleh cip 5 Tera Operations Per Second (TOPS) berfungsi seperti otak yang membantu Novabot memeta haluannya ketika memotong rumput.

Ini membolehkan ia bergerak secara bebas dari satu permukaan ke satu permukaan yang lain, serta menghasilkan potongan yang lurus dan kemas seperti di padang bola sepak.

Bilah pemotongnya terletak di bahagian bawah dan digerakkan oleh sebuah motor jenis brushless.

Kuasa pula dibekalkan oleh pek bateri lithium-ion berkapasiti tinggi yang membolehkan ia memotong rumput sehingga 2,000 kaki persegi dengan satu cas penuh.

Anda tidak perlu mengecasnya kerana ia akan kembali ke stesen pengecas dengan sendiri apabila kuasa bateri berada pada tahap 5 peratus.

Tidak cukup dengan itu, Novabot juga mempunyai satu lagi fungsi yang tidak terdapat pada mana-mana mesin pemotong rumput yang lain.

Pada waktu malam, ia boleh dijadikan sebagai robot keselamatan yang bertindak meronda sekeliling kawasan kediaman, tidak ubah seperti seorang pengawal. Amaran akan diberikan sekiranya terdapat penceroboh. Canggih, bukan?

Bukan itu sahaja, ia juga kalis air IPX6 dan mempunyai tahap bunyi kurang dari 60dB, jadi anda boleh tidur nyenyak sambil mesin ini menjalankan tugasnya.

Buat masa ini, Novabot boleh didapati menerusi laman web Indiegogo. Ia ditawarkan pada harga bermula dari USD1,299 (RM5,437) untuk pembeli terawal, dengan penyerahan dijangka bermula pada Julai tahun hadapan.

Kereta EV tidak perlu mempunyai kapasiti jarak pemanduan terlalu tinggi – BMW

DALAM membeli kenderaan elektrik (EV), jarak pemanduan dengan satu cas penuh akan menjadi satu faktor utama. Rangkaian pengecasan juga semakin berkembang walaupun tidak sebanyak stesen minyak, jadi adalah penting bagi kita memastikan kereta mampu sampai ke tempat mengecaj sebelum kehabisan bateri.

Sebab itulah pengeluar sedang giat membangunkan kenderaan EV yang mampu menawarkan jarak pemanduan sejauh mungkin. Ada yang kini mencecah 1,000km.

Namun tidak bagi BMW, nampaknya. Menurut ketua projek BMW i4, David Ferrufino dalam satu temubual oleh WhichCar, jarak sehingga 1,000km tidak menjadi sasaran mereka dengan kenderaan EV.

Ferrufino berkata jarak maksimum bergantung kepada segmen kenderaan itu. Dalam hal pengeluar Jerman itu, kenderaan EV bandar BMW i3 tidak memerlukan kapasiti sehingga 600km.

Setakat ini, teknologi bateri BMW mampu memberikan jarak pemanduan sejauh 590km mengikut kitaran WLTP dan 480km menurut EPA.

Pendirian Ferrufino ini berlandasakan hakikat bahawa BMW juga sedang melabur untuk menambahbaik rangkaian pengecasan mereka. Ini akan menjadikan perjalanan jauh lebih praktikal tanpa kenderaan mereka mempunyai kapasiti jarak teralu tinggi.

“Kami bukan sahaja mempunyai kemajuan dalam teknologi bateri, tetapi juga rangkaian pengecasan awam – yang kini sedang berkembang,” katanya.

“Perjalanan jauh di Eropah dari Norway ke Itali sudahpun menjadi satu pengalaman menarik jika dilakukan dengan kereta EV.”

Ferrufino menambah bahawa kelajuan pengecasan juga perlu lebih baik. Dalam kes i4, ia didakwa mampu mengecas dari 10 hingga 80 peratus dalam 31 minit menggunakan pengecas DC 200kW.

Kamera iPhone boleh rosak jika terdedah pada gegaran motosikal – Apple

APPLE baru menyiarkan satu kenyataan yang secara asasnya supaya jangan memasang iPhone kita pada motosikal. Pendedahan kepada gegaran yang dihasilkan oleh enjin motosikal berkuasa tinggi boleh merosakkan sistem kamera iPhone.

Model-model iPhone terkini mempunyai beberapa sistem kamera yang memberikan hasil gambar jelas. Sistem ini termasuklah Optical Image Stabilisation (OIS) dan Close-Loop Autofocus yang dikuasakan oleh komponen fizikal.

OIS berfungsi dengan sebuah gyroskop mengesan sebarang pergerakan yang tidak diperlukan dan lensa yang menyingkirkannya, lantas mendapat imej lebih jelas.

Optical Image Stabilisation pada Apple iPhone. Sumber: CNET

Ciri ini sudah wujud sejak iPhone 6 Plus dan ianya bahagian penting untuk kebanyakan kamera pada telefon pintar moden dan flagship.

Menurut Apple, Closed-Loop AF “menahan kesan graviti dan gegaran untuk mengekalkan fokus tepat dalam imej kaku, video dan panorama.” iPhone mempunyai pengesan magnetik dalaman yang mengukur graviti dan gegaran, jadi posisi lensa dilaras sebetulnya.

Mereka berkata sistem-sistem ini telah diuji untuk ketahanan, tetapi nampaknya gegaran berlebihan untuk sesetengah tempoh akan memberi kesan kepada prestasi OIS dan Closed-Loop AF, menjurus kepada imej lebih kabur.

Enjin motosikal berkuasa tinggi menghasilkan gegaran kuat yang dipindahkan ke casis dan bar hendal, tempat di mana kebanyakan penunggang memasang telefon pintar mereka.

Apple mencadangkan pengguna mengelakkan telefon mereka dari terdedah kepada gegaran sebegitu.

Kenderaan dengan enjin lebih kecil atau elektrik (EV) seperti kapcai dan skuter mungkin menghasilkan gegaran lebih rendah, Apple tetap mencadangkan agar pengguna memasang pemegang yang mempunyai penyerap gegaran.

Tesla mahu guna laser untuk bersihkan cermin depan, biar betul?

TESLA benar-benar berjaya memperoleh paten untuk ideanya menggunakan laser bagi membersihkan kotoran dari kenderaan. Lebih tepat lagi, menggunakan laser sebagai pembersih cermin depan.

Kira-kira dua tahun lepas, Tesla dilaporkan sedang membangunkan teknologi laser ini untuk pembersihan cermin depan.

Pada masa permohonan paten itu, Tesla menulis seperti berikut: “Satu sistem pembersihan kenderaan yang merangkumi optik sinaran yang memancarkan laser pada bahagian cermin kenderaan, litar pengesan kotoran, dan litar kawalan.”

“Litar itu melaras beberapa parameter laser untuk memancarkannya tepat pada bahagian tertentu cermin kenderaan, dan mampu mengawal tahap pancaran laser berdasarkan beberapa parameter.”

Paten itu bertajuk, “Nadi (denyutan) laser untuk pembersihan kotoran yang terkumpul pada bahagian cemrin kenderaan dan komponen photovoltaic.”

Pada tajuk paten itu juga ada menerangkan penggunaan denyutan laser untuk membersihkan kotoran dari panel solar dan pada bumbung.

Prototaip Cybertruck tidak mempunyai sebarang penggilap cermin, jadi bila Tesla memfailkan paten ini, ada yang merasakan konsep trak pikap ini akan menggunakannya.

Walaubagaimanapun, Tesla juga dilaporkan membangunkan penggilap cermin elektromagnetik, yang juga agak futuristik tapi jauh lebih realistik berbanding pancaran laser.

Apa pendapat anda mengenai teknologi ini? Mungkinkan laser akan menjadi pengganti wiper atau penggilap cermin dalam masa terdekat?

‘Krisis’ cip semikonduktor sehingga 2022, bagaimana nasib industri kereta?

FIRMA Moody’s Analytics menjangkakan ‘krisis’ bekalan cip semikonduktor global terus melanda industri tertentu sehingga tahun depan.

Kekurangan berpunca oleh banyak faktor termasuk cabaran penghasilan cip selain permintaan daripada pelbagai sektor industri.

“Proses pembuatan setiap generasi cip sangat rumit. Ini bermaksud menghasilkan bekalan baharu untuk mana-mana generasi cip adalah sesuatu yang mencabar.

“Oleh kerana cip dari generasi yang berlainan dihasilkan secara berbeza, tumpuan kepada cip tertentu mungkin hanya dapat mengurangkan kekurangan bagi pengguna cip berkenaan.

“(Bagaimanapun) tidak semestinya dapat mengatasi kekurangan untuk pasaran secara keseluruhan,” jelas Moody’s Analytics.

Cip semikonduktor banyak digunakan dalam proses pembuatan kenderaan khusus bagi kereta.

Ribuan cip digunakan bagi membina sebuah kereta dan ini menyebabkan komponen itu mendapat permintaan tinggi.

Sebelum, terdapat rungutan daripada pengeluar kenderaan dan pengguna mengenai masalah kekurangan bekalan cip.

Ia menyebabkan berlaku kelewatan pengeluaran kenderaan sekaligus mewujudkan rungutan dalam kalangan pengguna.

Situasi lebih memburuk apabila seluruh dunia berdepan pandemik Covid-19 yang menyebabkan kelembapan ekonomi.

Mercedes akan ‘berhijrah’ jadi elektrik sepenuhnya termasuk AMG, Maybach dan G-Class

MERCEDES-BENZ semalam membentangkan strategi mereka untuk masa depan, yang memperlihatkan pengeluar Jerman itu bersedia untuk ke arah elektrik sepenuhnya menjelang akhir dekad ini.

Ini bermakna tiada lagi Mercedes dengan enjin pembakaran dalaman (ICE), tetapi jangan risau, perubahan ini bukanlah mendadak. Ia juga bergantung kepada pasaran.

Mercedes-Benz EQS. Gambar: Mercedes

Ini susulan dari pengenalan strategi Electric First pada Oktober lepas yang menyaksikan mereka melancarkan empat model elektrik berasaskan platform Electric Vehicle Architecture (EVA) – EQS, EQE, EQS SUV, dan EQE SUV.

Sub-jenama AMG, Maybach dan G-Class juga akan menerima teknologi elektrifikasi.

Sebagai permulaan, Mercedes akan menawarkan pilihan elektrik bateri untuk semua segmen menjelang 2022. Langkah ini sudahpun bermula di beberapa pasaran dengan model seperti EQA, EQB, EQC, EQS dan EQV.

Langkah dari ‘EV-first’ kepada ‘EV-only’ akan lebih intensif bermula 2025, dengan kereta-kereta baharu yang menggunakan elektrik sahaja.

Mercedes-Benz EQS. Gambar: Mercedes

Dengan kata lain, tiada lagi model dengan enjin ICE. Mercedes tidak akan menunggu industri, sebaliknya mereka yang akan menjadi pengorak langkah.

Britta Seeger berkata dalam pembentangan: “Hingga akhir-akhir ini, kami menjangkakan pembangunan dalam pasaran EV global. Kini, kami percaya minat pelanggan akan berubah lebih cepat. Kenderaan EV akan menguasai pasaran mewah menjelang 2030.”

Tiga platform EV baharu

Gambar: Mercedes

Dalam pembentangan sama, Mercedes juga mengesahkan tiga platform termasuk MB.EA (Mercedes-Benz Electric Architecture) untuk kereta saiz sederhana hingga besar.

Selain itu, AMG.EA akan turut serta untuk kenderaan prestasi, manakala VAN.EA untuk van dan kenderaan komersial.

Pengeluar itu tidak menyatakan bila ICE akan dihentikan dalam barisan tawaran mereka, tapi pastinya tidak begitu lama. Pembangunan enjin ICE juga akan dikurangkan dengan drastik.

“Pastinya, tiada siapa dapat mengetahui bila enjin ICE terakhir akan dijual, kerana ia bergantung kepada pelanggan dan situasi pasaran mereka,” ulas Seeger.

Mercedes-Benz melabur lebih 40 juta Euro untuk EV antara 2022 hingga 2030. Mereka mensasarkan 50 peratus kenderaan jualan baharu terdiri dari model-model dengan elektrifikasi (hibrid, plug-in hybrid dan EV) menjelang 2025, peningkatan 25 peratus dari sasaran tahun lepas.