Tag Archives: terbabas

Inilah dia unit pertama Xiaomi SU7 Ultra terbabas dalam litar

Ini bukanlah kali pertama berita kemalangan melibatkan sedan elektrik buatan Xiaomi dilaporkan.

Jika anda masih ingat, tahun lepas sebuah Xiaomi SU7 Max dilapor terbabas di dalam litar disebabkan sistem brek yang tidak sesuai digunakan.

Menurut Xiaomi, sedan elektrik tersebut tidak dihasilkan untuk pemanduan serius di dalam litar.

Bagaimana pula dengan sedan pantas Xiaomi SU7 Ultra?

Menurut kata Xiaomi, SU7 Ultra dengan spesifikasi 1,526 hp dan tanda harga RMB529,900 (RM324 ribu) disahkan sesuai untuk kegunaan dalam litar lumba.

Namun, dalam tempoh beberapa hari selepas kumpulan kecil pertama SU7 Ultra diedarkan kepada pemiliknya, salah satu daripadanya dilapor terbabas di dalam litar lumba.

Dalam video rakaman yang muncul di laman media sosial Weibo, sedan tersebut dipandu melebihi 120 km/j di atas seksyen jalan lurus.

Walau bagaimanapun, pemandu kereta tersebut brek terlalu lewat menyebabkan SU7 Ultra itu terbabas dan melanggar tembok penghadang yang dibuat daripada tayar.

Akibatnya, bahagian hud, bampar hadapan, fender dan unit lampu utama remuk teruk. Mujur beg udara berfungsi dengan baik untuk memastikan pemandu kekal selamat.

Menurut pengasas dan CEO Xiaomi Auto, Lei Jun berkata, pemilik SU7 Ultra perlu memberikan tumpuan penuh pada aspek keselamatan, dan menyarankan mereka untuk menjalani latihan formal sebelum memasuki litar.

Biarpun Xiaomi SU7 Ultra mempunyai kuasa mencecah 1,526 hp dan 1,770 Nm, angka tersebut dihadkan kepada 900 hp dengan kelajuan maksimum 140 km/j untuk jarak pemanduan 300 km terawal.

Dalam kuasa penuh, SU7 Ultra mampu memecut sepantas 1.98 saat dari 0-100 km/j sebelum mencapai kelajuan tertinggi 359 km/j.

Pemandu CR-Z kantoi berlumba di Genting Highlands selepas video tular

Tindakan seorang lelaki yang membuat laporan polis memaklumkan kereta yang dipandunya hilang kawalan di KM 14.7 Genting Highlands nyata tidak berhasil apabila video aksi pemanduannya turut tular di media sosial, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, lelaki berusia 27 tahun itu membuat laporan polis di Balai Polis Goh Tong Jaya, Hulu Selangor pada jam 11.05 pagi 23 Februari 2025 (Ahad).

Pihak polis turut menyedari satu video berdurasi 12 saat yang tular di media sosial memaparkan kereta yang sama dipandu secara melulu sehingga terbabas.

Pemandu tersebut telah dihubungi semula oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Bentong untuk memberikan keterangan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supt. Zaiham Mohd Kahar turut memohon mana-mana pihak tampil untuk memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.

 

@mrcc05 Boss sini tak boleh parking yer 😂 #gentinghighlands #honda #crz #vtec #kseries #initiald #viralvideo ♬ 原聲 – jz12122 – Marcus