Tag Archives: tesla cybertruck

Tesla Cybertruck meletup di hadapan hotel Trump di Las Vegas

Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan tujuh lagi cedera apabila sebuah Tesla Cybertruck tiba-tiba meletup di luar Trump International Hotel di Las Vegas, Nevada.

Menurut laporan, letupan itu berlaku sejurus selepas trak pikap elektrik itu diparkir di hadapan lobi hotel tersebut pada pagi Rabu.

Polis berkata kejadian itu menyebabkan seorang yang berada di dalam trak itu maut manakala tujuh lagi cedera.

Setakat ini punca letupan masih belum diketahui dan polis masih menyiasat sama ada ia berpunca daripada trak itu sendiri atau pun faktor luaran.

Bagaimanapun, terdapat laporan yang mengatakan bahawa Cybertruck itu sedang membawa mercun ketika letupan itu terjadi. Laporan tersebut berkata penyiasat sedang berusaha mendapatkan motif dan sama ada letupan itu disengajakan atau pun tidak.

Susulan kejadian, semua tetamu yang menginap di Trump International Hotel telah dipindahkan ke Resorts World Las Vegas.

Sementara itu, dalam ciapannya di X, CEO Tesla Elon Musk berkata,”Seluruh pasukan senior Tesla sedang menyiasat perkara ini sekarang. Kami akan menyiarkan maklumat lanjut sebaik sahaja kami mengetahui punca. Kami tidak pernah melihat perkara seperti ini.”

Tesla Cybertruck kini bertugas sebagai kereta peronda Polis Dubai

Pasukan Polis Dubai sememangnya sangat terkenal dengan barisan kereta peronda yang paling pantas atas muka bumi ini, terdiri daripada bermacam-macam kereta eksotik yang mahal seperti Bugatti Veyron dan Lamborghini Aventador.

Dengan kewujudan model-model pantas yang telah dipamerkan sebelum ini, sudah pasti ramai yang ternanti-nantikan model pantas terbaharu yang bakal ditampal dengan liveri hijau Polis Dubai.

 

 

Sayang sekali, pendatang terbaharu dalam armada kereta peronda Polis Dubai nampaknya bukanlah sebuah supercar atau hypercar, sebaliknya mereka membuat keputusan untuk menggunakan sebuah trak pikap berkuasa elektrik Tesla Cybertruck.

Tidak seperti kebanyakan kereta peronda Polis Dubai, MPV Cybertruck ini dipadankan dengan warna putih yang tradisional, diikuti dengan liveri hijau yang lebih ringkas pada bahagian sisi.

 

Menurut Polis Dubai, Tesla Cybertruck ini kebanyakan masa akan diletakkan di kawasan tumpuan utama pelancong seperti pusat membeli belah untuk dijadikan sebagai prop penggambaran.

Spesifikasi kereta peronda Cybertruck ini tidak didedahkan, namun dalam varian yang paling tinggi Cyberbeast, ia dilengkapi dengan motor elektrik berkuasa sehingga 845 hp, dengan jarak gerak sejauh 515 km untuk sekali cas penuh.

 

Dongfeng Concept Pickup 2024 – ‘Tesla Cybertruck’ buatan China, 1035 hp!

Jika anda merasakan rekaan luaran Tesla Cybertruck terlalu bersegi dan tidak selamat untuk digunakan, anda tidak keseorangan.

Dongfeng cuba untuk menghilangkan trauma yang dialami oleh para peminat trak pikap dengan memperlihatkan model Concept Pickup 2024 bersempena dengan acara Beijing Auto Show tahun ini.

 

Dibina berdasarkan platform papan selaju EV, Concept Pickup ini dikatakan mampu menghamburkan kuasa setinggi 1,305 hp, jauh lebih bertenaga berbanding varian CyberBeast Tesla Cybertruck.

Daripada sudut luaran, tidak dapat dinafikan Concept Pickup ini banyak diinspirasikan daripada Tesla Cybertruck.

Namun, jika dibandingkan dengan rekaan Cybertruck yang agak bersegi, Concept Pickup Dongfeng ini membawakan rekaan yang lebih lembut, dengan kemasan panel badan yang lebih sedap mata memandang dan garisan bumbung yang lebih rata.

 

Terdapat juga bar lampu LED yang bertenggek di atas bumbung, kehadiran ruang storan pada bahagian hadapan, bukaan pintu jenis suicide, tempat pemijak sisi boleh lipat, serta rekaan rim aerodinamik.

Dongfeng memperlihatkan kegunaan sebenar bahagian bed belakang trak pikap ini dengan memuatkan struktur khemah pop-out.

Susun atur dan rekaan ruang kabin pula nyata lebih moden dan menerapkan pendekatan yang lebih minimalis.

 

Terdapat roda stereng berbentuk segi empat, diikuti skrin lebar memenuhi bahagian atas papan pemuka, tempat tangan berpaut pada penghujung, rekaan lantai yang rata, serta kerangka tempat duduk dipercayai diperbuat daripada bahan gentian karbon.

Buat masa ini, pihak Dongfeng masih belum memutuskan sama ada Concept Pickup ini bakal direalisasikan atau dikekalkan sebagai model konsep.

 

Tesla Cybertruck akhirnya dapat mod off-road dengan pengunci differential

TESLA Cybertruck telah membuat kemunculan di Malaysia baru-baru ini selepas beberapa bulan berada dijual di seluruh dunia. Tetapi ia tidak mempunyai beberapa ciri utama sebuah trak pikap (itu pun jika anda mahu guna Tesla Cybertruck ini seperti sebuah trak pikap).

Apa pun, kemas kini perisian tidak lama lagi akan memberikan Cybertruck pengunci differential dan beberapa ciri off-road lain untuk membolehkan anda memandunya di laluan mencabar.

Ciri ini dinamakan Off-Road Mode, yang akan menambah baik pengendalian di batu-batu, kerikil, salji tebal, dan pasir.

Pengunci differential itu boleh didapati di model dwi-motor pacuan semua-roda. Model tiga motor pula boleh dikunci differential depannya, sementara differential belakang memasuki mod Overland.

Trail Assist pula membantu kelancaran di kelajuan perlahan di atas permukaan tidak rata supaya pemandu boleh fokus kepada kawalan stereng.

Terdapat juga Baja Mod yang boleh membantu keseimbangan dan pengendaliannya jika pemandu menetapkan Stability Assist pada tahap Minimal. Ia berfungsi dengan kawalan naik dan menuruni bukit.

Tetapi bukan semua kemas kini adalah untuk fungsi off-road. Tesla juga memperbaiki kebolehan trak ini untuk mengagak beban dan melaraskan suspensi adaptif dengan sesuai.

CyberTent Mode pula mengimbangi suspensi supaya trak ini kekal tegak walaupun ia berada di permukaan senget. Ini membolehkan anda tidur di atas permukaan rata (sekiranya anda mahu tidur di dalam Cybertruck). Ia juga membiarkan lampu dan soket kuasa dihidupkan.

Kemas kini terbaharu Cybertruck ini diumumkan oleh Tesla di laman X (Twitter) mereka.

Tesla Cybertruck dipanggil semula kerana kemungkinan pedal minyak tersangkut

TESLA sedang menjalankan recall (panggilan semula) untuk trak pikap elektrik (EV) Cybertruck mereka. Ini kerana pad plastik di atas pedal minyaknya boleh tertanggal dan tersangkut pada trim semasa pedal ditekan, memberikan risiko perlanggaran.

Recall itu dibuat oleh NHTSA (National Highway Traffic Safety Administration) hari ini selepas laporan-laporan media sosial menunjukkan pad pada pedal trak pikap EV itu longgar.

Tetapi pemilik-pemilik Cybertruck mendakwa menekan brek semasa pedal minyak itu ditekan akan mematikan input pedal minyak.

Pegawai NHTSA berkata dalam satu laporan bahawa “menekan pedal brek akan mematikan tork pacuan, termasuk jika menekan kedua-dua pedal, dan jika pedal brek terus ditekan ia akan menghentikan kenderaan sama cepat seperti pedal minyak tidak ditekan.”

Keseluruhan unit Cybertruck terlibat dalam recall ini, iaitu 3,878 unit yang dikeluarkan dari 13 november hingga 4 April. Selepas laporan media sosial itu tular, Tesla dikatakan telah menghentikan pengeluaran Cybertruck.

Punca kepada masalah ini ialah sabun. Ya, sabun!

Ia digunakan untuk memudahkan pad itu melekat pada pedal minyak semasa proses pemasangan. Dan ini didapati sebagai “perubahan tidak diluluskan” dalam proses pemasangan itu.

Disebabkan sabun ini, pad itu tidak melekat dengan begitu baik pada pedal, menyebabkannya mudah tertanggal.

Untuk menyelesaikan isu ini, Tesla akan menggantikan atau membaiki pedal minyak itu tanpa sebarang kos.

Trak yang dikeluarkan selepas 17 April telah diberikan komponen baharu dengan nombor siri baharu. Cybertruck yang belum diserahkan kepada pelanggan akan dibaiki dulu pedalnya ini terlebih dahulu.

Tukul besi Tesla CyberHammer kini boleh dibeli di laman eBay, harga RM26k

Selain daripada pelbagai jenis aksesori yang berkaitan dengan kereta, pemilik dan peminat Tesla juga boleh mendapat aksesori yang agak pelik dan aneh menerusi kedai dalam talian rasmi syarikat tersebut.

Antaranya ialah pengecas peranti pintar berbentuk seakan ‘stall’ Tesla Supercharger, wisel, pemacu USB, selimut, serta kotak khas untuk kucing mencakar.

Tahukah anda, Tesla Amerika Syarikat baru sahaja menyenaraikan barang baru yang lebih aneh berupa tukul besi, sayang sekali ia langsung tidak boleh dibeli oleh mana-mana pihak.

 

 

Tukul besi Tesla CyberHammer yang dimaksudkan itu sebaliknya hanya akan ditawarkan secara eksklusif sebagai hadiah penghargaan kepada pemilik Tesla yang mempunyai kredit rujukan sebanyak 35,000.

Untuk membuatkannya lebih eksklusif, Tesla hanya akan menawarkan tukul besi itu sebanyak 800 unit terhad.

Tidak mengejutkan apabila Tesla CyberHammer itu mempunyai rekaan yang diinspirasikan daripada Tesla Cybertruck.

Malah, ia juga turut mempunyai ukiran nama ‘Franz’, merujuk kepada ketua pereka Franz von Holzhausen yang melemparkan tukul besi ke arah Cybertruck sewaktu acara pengenalan pada November 2019.

Bagi pemilik Tesla yang tidak mempunyai kredit rujukan yang mencukupi, pergi sahaja ke laman eBay, di mana tukul tersebut boleh didapati pada harga serendah $2,500 (RM11,800), yang paling mahal kini mencecah sehingga $5,500 (RM25,960).

 

Kempen panggil pertama buat Tesla Cybertruck, masalah lampu amaran pada skrin terlalu kecil!

Baru beberapa bulan keluar dari kilang, Tesla Cybertruck kini berdepan dengan kempen panggil semula yang pertama.

Menurut agensi National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA), hampir 2.2 juta kenderaan Tesla yang dibina antara 2012 hingga 2024 dipanggil semula kerana masalah lampu amaran pada skrin papan pemuka yang terlalu kecil.

 

 

“Lampu amaran Brake, Park dan Antilock Brake System (ABS) dipaparkan dengan saiz fon yang tidak sesuai. Oleh sebab itu, kenderaan yang terjejas gagal untuk memenuhi syarat nombor 105 “Hydraulic and Electric Brake System” dan 135, “Light Vehicle Brake System” yang ditetapkan dalam undang-undang Federal Motor Vehicle Safety Standard.

Difahamkan, kempen panggil semula ini melibatkan kesemua 2,193,869 unit Tesla yang dijual di pasaran Amerika Syarikat.

Disebabkan Tesla menggunakan skrin bagi menggantikan meter analog, pemilik tidak perlu membawa kenderaan mereka ke bengkel Tesla, sebaliknya hanya perlu menunggu kemaskini over-the-air (OTA).

 

Ini Tesla Cybertruck khas untuk kucing, sebenarnya kotak pasir

PEMINAT Tesla mempunyai banyak pilihan untuk meletakkan logo jenama kegemaran mereka. Kebanyakan orang mungkin pilih barangan seperti topi atau kemeja-T, tetapi e-shop rasmi Tesla di China mempunyai produk unik iaitu kotak pasir untuk kucing!

Menariknya, kotak pasir yang biasa digunakan untuk kucing membuang najis mereka ini mempunyai bentuk Cybertruck. Mungkin ini boleh dikatakan Tesla Cybertruck untuk kucing?

Kotak pasir Cybertruck ini diperbuat dari kadbod sepenuhnya dengan bentuk bersegi dan permukaan rata diinspirasikan dari trak pikap EV tersebut.

Kadbod tebal dengan lima lapisan itu kalis lembapan dan sesuai untuk si bulus anda mencakar atau menggaru. Sementara itu bahagian badan terbuka dengan tiga lapisan cukup kukuh untuk kucing anda duduk berehat di atasnya.

Kotak pasir Cybertruck ini mempunyai kapasiti 15kg (33 pound), dikira lebih dari mencukupi untuk menutupi bau-bau kurang menyenangkan dari sisa kucing.

Kotak pasir Tesla Cybertruck ini dijual pada harga RM56.67 dan memerlukan sedikit kerja untuk memasangnya.

Di laman e-shop yang sama di China juga, terdapat barangan lain seperti batang besi dengan logo Tesla yang boleh digunakan untuk dipanaskan dan dicop pada kayu atau daging burger.

Tempahan Tesla Cybertruck kini lebih 1.9 juta unit! Tempoh menunggu lima tahun

TESLA Cybertruck baru dimulakan pengeluarannya dan hingga kini, terdapat lebih 1.9 juta tempahan. Memandangkan Tesla merancang untuk mengeluarkan sehingga 375,000 unit Cybertruck setiap tahun, ini bermakna tempoh menunggu kini mencapai lima tahun.

Tetapi mungkin ada juga antara mereka yang membuat tempahan akan membatalkan pembelian memandangkan bayaran tempahan cuma USD100 (RM456).

Cybertruck kini dikeluarkan di kilang Giga Texas dan mungkin akan dipasang juga di Giga Mexico apabila kilang itu siap dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Menarik juga untuk dilihatkan sama ada Tesla Cybertruck akan ditawarkan di pasaran luar selain Amerika Syarikat (AS). Buat masa ini, anda yang berada di Eropah dan Asia boleh membuat pra-tempahan trak EV itu.

Cuma isunya ialah saiz Cybertruck yang besar dan berat itu akan menimbulkan beberapa masalah. Contohnya, sesetengah negara Eropah akan terpaksa mengklasifikasikan trak itu sebagai kenderaan komersil atau semi.

Dalam satu temu bual bersama Earnings Call, Elon Musk memetik akan ciri inovatif pada Cybertruck, dimana ianya tidak seperti kenderaan lain yang ada di jalan raya sekarang.

“Saya ingin tekankan bahawa Cybertruck mempunyai banyak teknologi baharu padanya, memang banyak. Ia tidak nampak seperti kenderaan biasa kerana ia memang bukan kereta biasa,” katanya.

Cybertruck mencatat satu juta pra-tempahan pada Mei 2021, bermakna tempahan meningkat hampir sekali ganda dalam tempoh dua tahun.