Tag Archives: Tesla

Tesla mahu guna laser untuk bersihkan cermin depan, biar betul?

TESLA benar-benar berjaya memperoleh paten untuk ideanya menggunakan laser bagi membersihkan kotoran dari kenderaan. Lebih tepat lagi, menggunakan laser sebagai pembersih cermin depan.

Kira-kira dua tahun lepas, Tesla dilaporkan sedang membangunkan teknologi laser ini untuk pembersihan cermin depan.

Pada masa permohonan paten itu, Tesla menulis seperti berikut: “Satu sistem pembersihan kenderaan yang merangkumi optik sinaran yang memancarkan laser pada bahagian cermin kenderaan, litar pengesan kotoran, dan litar kawalan.”

“Litar itu melaras beberapa parameter laser untuk memancarkannya tepat pada bahagian tertentu cermin kenderaan, dan mampu mengawal tahap pancaran laser berdasarkan beberapa parameter.”

Paten itu bertajuk, “Nadi (denyutan) laser untuk pembersihan kotoran yang terkumpul pada bahagian cemrin kenderaan dan komponen photovoltaic.”

Pada tajuk paten itu juga ada menerangkan penggunaan denyutan laser untuk membersihkan kotoran dari panel solar dan pada bumbung.

Prototaip Cybertruck tidak mempunyai sebarang penggilap cermin, jadi bila Tesla memfailkan paten ini, ada yang merasakan konsep trak pikap ini akan menggunakannya.

Walaubagaimanapun, Tesla juga dilaporkan membangunkan penggilap cermin elektromagnetik, yang juga agak futuristik tapi jauh lebih realistik berbanding pancaran laser.

Apa pendapat anda mengenai teknologi ini? Mungkinkan laser akan menjadi pengganti wiper atau penggilap cermin dalam masa terdekat?

Pengeluaran Tesla Cybertruck ditunda ke hujung 2022

ELON Musk telah mengesahkan bahawa pengeluaran Tesla Cybertruck akan ditunda, kini hingga ke hujung 2022.

Garis masa penyerahan trak EV itu menjadi perhatian ramai, bukan kerana popularitinya, tetapi juga disebabkan perlumbaan menghasilkan trak pikap elektrik terutamanya di pasaran Amerika Syarikat (AS).

Cybertruck sebelum ini dilihat sebagai yang pertama dalam pasaran, namun kini akan sedikit ketinggalan.

Bila Tesla mula mendedahkan Cybertruck pada 2019, mereka berkata akan mula memasarkannya pada penghujung 2021. Tetapi tahun lepas, sudah terdapat tanda-tanda ia akan ditunda.

Pertamanya, Tesla baru sahaja menyiapkan rekaan kejuruteraan trak pikap elektrik itu.

CEO Elon Musk juga menyatakan Tesla akan menghadapi beberapa cabaran dalam membawa Cybertruck ke produksi disebabkan beberapa ciri seperti badan exoskeleton besi yang memerlukan proses pembuatan baharu sepenuhnya.

Dalam satu laporan kewangan suku kedua 2021 Tesla, mereka melaporkan bahawa hanya akan memulakan pengeluaran Cybertruck selepas Model Y di Gigafactory Texas.

Produksi Model Y sepatutnya bermula hujung tahun ini, jadi ini bermakna Cybertruck hanya akan mula dikeluarkan paling cepat tahun depan.

Menurut laporan oleh Electrek, Musk mengesahkan pengeluaran Cybertruck tidak akan bermula hingga penghujung 2022.

Tambah Musk, terdapat begitu banyak teknologi baharu dalam pembangunan trak pikap elektrik itu yang akan menyukarkan proses pengeluarannya.

Tetapi beliau sempat berkata: “Ia akan menjadi satu projek istimewa. Seperti glitch dalam filem The Matrix. Seperti Neo mempunyai sebuah kereta.”

Anak Malaysia ini dilantik sebagai instruktor robotik di Tesla!

JANGAN pandang rendah dengan bakat anak tempatan, kerana negara kita juga mempunyai kepakaran yang diiktiraf dunia.

Seorang pelajar Malaysia baru-baru ini dilantik oleh Tesla sebagai instruktor robotik dan kini bekerja di ibu pejabat syarikat teknologi itu di California, Amerika Syarikat (AS). Bagaimana beliau lakukannya?

Menurut perkongsian sorang pengguna Facebook, Richard Ker, Cik Fakhirah Khairuddin melanjutkan pelajarannya di Kejuruteraan Aeroangkasa di University of California San Diego (ditaja oleh MARA).

Fakhirah yang juga bekas pelajar MRSM (Maktab Rendah Sains) Kota Putra (Ulul Albab), kemudian mengambil Sarjana dalam Kejuruteraan Mekanikal di University of California, San Diego (ditaja oleh UC).

Menurut Richard lagi, mendapat pekerjaan di Tesla tidak mudah tetapi Fakhirah mempunyai pengalaman teknikal yang luas seperti:

  • Pernah bekerja sebagai Jurutera Pembangunan Propulsi di University of California; dimana beliau menulis kod Matlab untuk mengkaji konduksi haba enjin roket.
  • Memenangi tempat pertama di Northrop Grumman System Engineering Challenge 2019 bersaing dengan 50 pasukan lain; projek beliau adalah lengan robotik!
  • Ketua pasukan dan menerajui penyelidikan dan pembangunan Projek Hexacopter bersama University of California, San Diego.
  • Merekacipta quadcopter, casing sensor dan gear pendaratan di Solidworks, mempersembahkan konsep baharu melalui ujian cetakan 3D dan memperbaiki reka bentuk melalui lelaran.

Tidak hairanlah Tesla mengambil Fakhirah untuk bekerja bersama mereka! Beliau kini tinggal di Fremont, California dan bekerja sebagai pengajar Jurutera Teknik Latihan Robotik di Tesla, mengajar tentang robotik FANUC dan robot Kuka kepada jurutera dan juruteknik.

Tahniah Cik Fakhirah! Bukan biasher-biasher ni!

Semoga pencapaian ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai kita di sini lebih berminat kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.

SCS hasilkan kenderaan EV mampu milik, sasar golongan pendapatan rendah

SUDAH tiba masa kenderaan elektrik (EV) mampu milik dihasilkan bagi memenuhi permintaan pasaran membabitkan golongan berpendapatan rendah.

Ini kerana kebanyakan kenderaan EV dihasilkan syarikat pengeluar kenderaan mewah termasuk BMW, Porsche, Tesla dan Mercedes-Benz.

Syarikat tempatan, System Consultancy Services (SCS) berkata kebanyakan kenderaan EV terlalu mahal dan tidak mampu dimiliki kebanyakan individu.

Jelas Pengerusi Eksekutif SCS Datuk Khalilur Rahman Ebrahim, syarikat itu sedang berusaha menghasilkan EV mampu milik agar digunakan secara meluas.

“SCS ingin hasilkan EV yang lebih sesuai untuk golongan B40 kerana dengan itu kadar penggunaan EV lebih menyeluruh,” katanya.

Khalilur berkata demikian pada sesi webinar anjuran sektor automotif Eurocham, semalam.

SCS sebelum ini menghasilkan prototaip EV yang boleh dipasangkan di kenderaan berenjin biasa.

Ia bertujuan memudahkan pemilik menukar kenderaan menjadi EV dengan menggunakan kit SCS.

Bagaimanapun, setakat ini SCS masih belum mengumumkan kos bagi kit EV.

Tesla kian tertekan, siasatan sistem ADAS diteruskan

TESLA terus berdepan tekanan berikutan siasatan terhadap fungsi Advanced Driver-Assistance System (ADAS) bagi kenderaannya.

Penguatkuasa California melakukan siasatan sama ada Tesla bersalah atau tidak kerana mengiklankan ADAS sebagai sistem kenderaan pandu sendiri, lapor Market Watch.

Sebelum ini, Tesla dikatakan mendakwa ADAS diklasifikasikan sebagai sistem autopilot.

Ia menyebabkan sebilangan pemilik Tesla berdepan kerugian apabila kenderaan milik mereka mengalami kemalangan akibat kegagalan ADAS.

Terdapat juga kemalangan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian di Amerika Syarikat.

Pada April, satu kemalangan ngeri membabitkan kenderaan Tesla berlaku di Houston.

Kemalangan melibatkan model Tesla S 2019 mengorbankan dua nyawa.

Memetik laporan media antarabangsa, kemalangan berlaku ketika kenderaan itu berada dalam mod tanpa pemandu atau autopilot.

Kedua mangsa maut di tempat kejadian selepas kenderaan itu melanggar sepohon pokok sebelum terbakar.

Pihak berkuasa mengesahkan, tiada individu duduk di tempat pemandu ketika kemalangan berlaku.

Saham Tesla menurun, Musk bukan lagi individu kedua terkaya dunia

PENGASAS Tesla, Elon Musk hilang kedudukannya sebagai individu kedua terkaya di dunia.

Agensi berita Sputnik melaporkan ia susulan penurunan 2.2 peratus saham syarikat kenderaan elektrik itu.

Musk kehilangan $3.16 juta atau bersamaan RM3,033,420.00 susulan penurunan saham syarikatnya.

Sebelum ini, Musk dilaporkan berkata syarikatnya tidak lagi menerima sebarang bayaran dalam bentuk mata wang digital.

Kenyataan menerusi laman media sosial Twitter itu memberi impak negatif dengan menyaksikan penurunan saham Tesla.

Tindakan Musk pada masa sama menyaksikan harga Bitcoin menjunam lebih dari 10 peratus kepada sekitar $42,200.

Ini bukan kali pertama kenyataan Musk di media sosial telah mempengaruhi pasaran perdagangan.

Pada 13 Mei lalu, harga Bitcoin ditutup setelah Musk mengumumkan Tesla berhasrat berhenti menerima mata wang kripto.

Tesla tanpa pemandu rempuh pokok, dua individu maut

SATU kemalangan ngeri membabitkan kenderaan teknologi tinggi Tesla berlaku di Houston, Amerika Syarikat.

Kemalangan melibatkan model Tesla S 2019 mengorbankan dua nyawa.

Memetik laporan media, kemalangan berlaku ketika kenderaan itu berada dalam mod tanpa pemandu atau autopilot.

Kedua mangsa maut di tempat kejadian selepas kenderaan itu melanggar sepohon pokok sebelum terbakar.

Pihak berkuasa mengesahkan, tiada individu duduk di tempat pemandu ketika kemalangan berlaku.

Setakat ini, tiada maklum balas rasmi daripada Tesla berhubung kemalangan berlaku.

Beberapa kemalangan direkodkan sebelum ini membabitkan kenderaan syarikat itu sekaligus menimbulkan perdebatan dalam kalangan pengguna.