Tag Archives: thailand super series

Dua pelumba Malaysia menang podium di Thailand Super Series Round 3

MITCHELL Cheah dan Naquib Azlan memperoleh kedudukan podium di perlumbaan Round 3 bagi Thailand Super Series Super Compact Class yang diadakan di Chang International Circuit itu.

Cheah dan Naquib mulanya tamat di tempat kedua keseluruhan dalam Race 1 pada Sabtu, sebelum meneruskan cabaran yang lebih mendebarkan dalam Race 2 semalam (Ahad). Pelumba berentap hingga ke selekoh terakhir di pusingan akhir dalam perlumbaan satu jam itu.

Walaupun terpaksa bermula dari grid kelapan, Naquib pantas memotong dalam pusingan pertama. Dia hampir ke tempat pertama dalam pusingan pertama tetapi bersentuh dan terbabas menyebabkan keretanya terkeluar dari litar.

Dia masuk semula perlumbaan di tempat ketujuh dan berada di posisi keempat selepas 12 minit. Kemudian dia berentap untuk posisi ketiga tetapi satu lagi perlanggaran menyebabkannya terkeluar dari litar, kali ini dengan Honda CRZ.

Naquib berada dalam pit selama 27 minit sebelum Cheah menyambung perlumbaan di tempat ketujuh. Cheah pula terus mara dengan pantas dan dengan berbaki satu pusingan, berjaya berada di tempat kedua di belakang pelumba Thailand, Norrarat Apivart.

Kedua-dua mereka bertukar tempat kedua beberapa kali dalam pusingan terkahir dan bila keluar di selekoh akhir, Cheah berada sedikit di depan tetapi kelebihan kelajuan lurus berada di pihak Norrarat. Pelumba Thailand itu melepasi garisan penamat hanya 0.121 di depan Cheah.

Ini diikuti oleh Thanaroj dan Thanapattra dari YK Motorsports dengan Honda CRZ, 7.9 saat di belakang.

“Ianya satu pertarungan menakjubkan hingga ke garisan penamat. Kami sedar kami mempunyai kereta yang lebih pantas di bahagian teknikal litar tetapi Norratrat mempunyai kelebihan di jalan lurus,” kata Cheah.

“Tetap menarik untuk menamatkan hujung minggu perlumbaan dengan dua podium,” tambahnya.

Naquib Azlan, Amer Harris raih tempat kedua perlumbaan debut kelas GT4 Thailand Super Series

Pelumba muda Naquib Azlan dan Amer Harris yang mewakili pasukan Wing Hin Motorsports telah berjaya meraih kedudukan kedua dalam perlumbaan Thailand Super Series kelas GT4, biarpun membuat kemunculan kali pertama dalam siri tersebut.

Jentera Toyota GR Supra GT4 yang digunakan oleh dua pelumba itu merupakan antara yang terpantas di kalangan empat GR Supra GT4 dalam kelas tersebut.

Pasangan pelumba Naquib dan Amer berjaya menghabiskan perlumbaan satu jam dengan perbezaan 4.5 saat di belakang juara Mercedes-AMG GT dan mengalahkan dua jentera Porsche 718 Cayman GT4 RS Clubsport.

Menurut Naquib, “mendapat tempat kedua masih lagi merupakan keputusan yang kuat buat kami berdua serta pasukan. Masih banyak lagi potensi yang perlu diteroka pada jentera baru ini, namun kami gembira dapat mencari garis dasar yang baik untuk bermula, dan berjaya mendapat kedudukan podium di tanah air, Malaysia.

“Matlamat kami adalah untuk mencapai kedudukan teratas, dan kami berhasrat untuk ke arah itu secara beransur-ansur.

Daripada dua perlumbaan pusingan 3 yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, satu daripadanya terpaksa dibatalkan kerana keadaan cuaca basah yang ekstrem.

Pusingan 4 Thailand Super Series akan kembali dianjurkan di Malaysia pada 6-8 September ini dengan tiga perlumbaan dijadualkan pada hujung minggu tersebut.

Menurut Prinsipal Pasukan Wing Hin Motorsports, William Loh berkata, “ini merupakan perlumbaan pertama yang kami sertai, dan masih terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan, serta data yang boleh dikumpul dan dinilai.

“Kedua-dua pelumba kami percaya mereka mampu berikan yang lebih baik. Kami berharap agar dapat kembali lebih kuat dalam tiga perlumbaan seterusnya.

Wing Hin Motorsports yang sebelum ini pernah memenangi Sepang 1000KM Endurance Race turut bertanding dalam kelas Super Compact Thailand Super Series.

Peralihan kepada kelas perlumbaan GT4 bukan sahaja selari dengan matlamat untuk bersaing pada tahap yang lebih tinggi, malah ia juga mampu membantu membangun dan menyediakan peluang kepada pelumba muda Malaysia untuk bersinar di peringkat antarabangsa.

 

Hayden Haikal juara Thailand Super Series 2024 dalam kelas GT4!

HAYDEN Haikal terus mengharumkan nama negara, kali ini berjaya menjuarai kelas GT4 di perlumbaan Thailand Super Series Championship. Lebih menarik lagi, perlumbaan ini merupakan penyertaan pertamanya memandu Mercedes-Benz AMG GT4 tersebut!

Kemenangan Hayden Haikal ini turut memberikan pasukan Racing Aurora (sebuah pasukan Malaysia) kemenangan pertama GT4 di peringkat antarabangsa.

Pemandu berusia 19 tahun itu menamatkan perlumbaan lebih satu jam itu di litar Chang International Circuit yang mempunyai jarak 4.554km. Hayden melepasi garisan penamat 26 saat di depan pemandu tempat kedua, K. Kantadhee yang memandu Porsche Cayman GT4 RS Clubsport.

Hayden menyertai perlumbaan Super Series Supercar GT4 27 minit selepas ia bermula, mengambil alih tugas rakan sepasukannya, Peter Hackett semasa pertukaran pemandu di tengah-tengah perlumbaan. Pada masa itu, Kantadhee berada di depan sejauh 8 saat.

Selepas beberapa ketika, Kantadhee yang memandu untuk AAS Motorsport itu terpaksa berada di pit kerana mekanik perlu membuang balutan yang rosak di bonet depan jenteranya.

Dua pelumba lain yang juga memandu Porsche Cayman GT4 RS Clubsport telah dikenakan penalti stop-and-go 2 saat kerana melanggar had masa minima semasa hentian pit.

Hayden yang tidak menyedari akan insiden-insiden ini terus mara ke posisi depan, jauh dari pesaing lain.

“Menggalas dua tanggung jawab (bersaing dalam Super Eco dan GT4 Class) dan tamat dengan kemenangan pertama saya dalam GT4 merupakan satu perasaan menakjubkan,” kata Hayden.

“Saya berterima kasih kepada Peter (Hackett), Racing Aurora, dan para penaja kerana merealisasikan semua ini,” tambahnya.