Tag Archives: Tiggo 8 Pro

Chery Malaysia tawar diskaun eksklusif untuk atlet Olimpik, Paralimpik

Chery Malaysia mengumumkan penawaran diskaun eksklusif sehingga 50% untuk model-model keluarannya bagi meraikan pencapaian atlet Malaysia di Sukan Olimpik dan Paralimpik di Paris baru-baru ini.

Menurut syarikat itu, pemenang pingat emas layak mendapat diskaun 50% untuk Tiggo 8 Pro, Omoda 5, dan Omoda E5.

Pemenang pingat perak dan atlet yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir dan akhir pula akan menikmati diskaun 30% sehingga untuk model-model yang sama.

Selain itu, semua atlet Malaysia yang layak bersaing di Sukan Olimpik dan Paralimpik di Paris akan menikmati diskaun 15% untuk rangkaian kenderaan Chery yang sama.

Chery Malaysia dalam satu kenyataan berkata, ini merupakan penglibatan pertamanya dalam menyokong sukan Malaysia sejak kemasukannya ke pasaran tempatan.

“Sebagai pemain baru dalam landskap automotif Malaysia, kami amat berbesar hati dapat menyokong para atlet tempatan Malaysia.

“Ketabahan, keazaman, dan semangat juang mereka memberi inspirasi kepada kita semua, dan kami berharap dapat terus memberi galakan kepada semua atlet sukan Malaysia,” kata Michael Chew, Naib Presiden Chery Malaysia.

Chery turut menekankan kepentingan untuk menyokong atlet kurang upaya, yang telah menunjukkan prestasi luar biasa serta telah mencerminkan semangat ketahanan dan kecemerlangan di sukan Paralimpik baru-baru ini.

Syarikat automotif itu berharap dapat melihat lebih ramai lagi atlet Malaysia layak ke Sukan Olimpik Musim Panas 2028, mencerminkan kekuatan negara yang semakin berkembang dalam sukan di peringkat global.

“Kami amat berbangga dengan keputusan kontinjen Malaysia di Paris. Kejayaan mereka memberi tumpuan kepada kuasa dedikasi, kerja keras, dan kebanggaan negara.

“Sukan memegang tempat istimewa dalam hati setiap rakyat Malaysia, menyatukan dan membangkitkan rasa bangga apabila kita bersama sebagai satu pasukan, satu negara.

“Di Chery Malaysia, kami memahami kuasa transformatif sukan dan kami komited sepenuhnya untuk memupuk bakat tempatan, memastikan atlet Malaysia mendapat sokongan yang diperlukan untuk menyerlah di pentas dunia,” tambah Michael.

Chery Tiggo 8 Pro, bila nilai bertemu persepsi – Pandu uji

SUDAH setahun rupanya Chery Tiggo 8 Pro berada dalam pasaran Malaysia secara rasmi. Walaupun kami baru sahaja ambil unit pandu uji untuk penilaian, SUV segmen-D ini sebenarnya tidak asing buat Engear, kerana kami pernah memandu uji secara ringkas semasa awal kedatangan Chery ke Malaysia pada penghujung 2022.

Antara waktu itu hingga sekarang, entah kenapa kami memfokus kepada Omoda 5 dan Omoda E5. Tetapi sudah tentu belum terlambat untuk menguji Tiggo 8 Pro secara mendalam. Malah hingga kini, kami masih menerima pertanyaan mengenainya sama ada di DM media sosial atau semasa bersembang di kedai kopi.

Pakej cukup menarik, paling berbaloi?

Antara daya tarikan utama yang membuatkan anda memasukkan Tiggo 8 Pro dalam senarai ialah harganya yang cukup menarik. ’Hanya’ RM159,800 untuk sebuah SUV segmen-D tujuh tempat duduk.

Dan ia langsung tak terasa murah. Anda dapat semua kelengkapan bertaraf tinggi seperti enjin 2.0-liter turbo, tiga mod pemanduan, lampu LED penuh depan dan belakang, rim 19-inci, sepasang panel paparan lebar 24.6-inci yang mempunyai dua skrin, kemasan kayu dan krom, tempat duduk kulit, tombol gear elektronik, sambungan Apple Carplay dan Android Auto, dan pakej ADAS penuh.

Bukan itu sahaja, apa yang anda dapat lihat dan sentuh semuanya terasa premium dan lebih pada harganya, sebagai contoh kemasan kayu dan krom pada papan pemuka serta panel pintu, suis dan tombol dengan pergerakan cukup sedap, dan permainan lampu kabin.

Jika anda bawa kenalan membelek secara terperinci Chery Tiggo 8 Pro ini, kemudian beritahu ia berharga RM240,000 pun, rasanya orang masih boleh percaya.

Tidak cukup dengan itu, Tiggo 8 Pro ini boleh dilengkapi dengan pemijak sisi automatik dengan tambahan RM2,999. Ia terbuka secara automatik setiap kali anda membuka pintu, sama seperti Range Rover yang berharga tiga atau empat kali ganda darinya.

Ini ialah sebuah SUV segmen-D bukan-nasional paling murah, malah lebih murah dari sesetengah SUV segmen-C. Ini membuatkan penulis tertanya-tanya bagaimana mereka mampu menjual pada harga ini. Tiada untung langsungkah?

Persepsi jenama

Tetapi, tidak dinafikan ada satu isu besar yang memberi imbangan kepada nilai cukup baik pada pakej yang ditawarkan di atas, iaitu persepsi jenama.

Kita semua tahu Chery dari mana dan bagi anda yang sama umur dengan penulis membesar mendengar lagu Limp Bizkit dan memakai Adidas Superstar di hujung minggu, anda pasti tahu ini bukan kali pertama Chery hadir ke Malaysia.

Walaubagaimanapun, anda harus tahu industrialisasi di China berkembang begitu pesat. Mereka bermula lebih lewat dari kita Malaysia, tetapi lihat sahaja kemajuan teknologi mereka hari ini. Dan perkara ini juga menunjukkan kesan kepada industri permotoran.

Rasanya anda akan bersetuju jika penulis katakan kenderaan-kenderaan dari China bukan lagi boleh kita gelakkan dari dulu. Mereka kini serius dalam industri, berlumba-lumba ingin menjadi terbaik, dan berkembang cukup pesat.

Contoh lain, lihat pada industri telefon bimbit. Selain jenama mereka, terdapat jenama global terkemuka yang membuka kilang pengeluaran di China dan adakah kualitinya berbeza dengan pengeluaran dari negara-negara lain?

Jika anda benar-benar berminat dengan kenderaan seperti Chery Tiggo 8 Pro, bab persepsi jenama memang suatu perkara yang tidak dapat anda elakkan.

Ehem, Proton X90 macam mana?

Oh ya, bila bercakap mengenai Tiggo 8 Pro, anda tak boleh elakkan dari berbincang juga mengenai Proton X90. Harga cukup dekat, dari RM123,800 untuk Standard hingga RM152,800 untuk Flagship.

Enjin berbeza, dimana X90 mempunyai powertrain 1.5-liter turbo direct-injection (TGDI) bersama sistem hibrid, manakala Tiggo 8 Pro dengan 2.0-liter turbo. Output sudah tentu berbeza, X90 dengan 177hp dan 255Nm, sementara Tiggo 8 Pro sebanyak 257hp dan 390Nm tork.

Kedua-dua SUV ini dalam segmen yang sama, saiz hampir sama, dan kedua-duanya mampu memuatkan tujuh penumpang.

Yang mana perlu pilih? Sukar untuk beri keputusan kerana penulis sendiri belum pernah memandu X90, tetapi rakan penulis pernah mengujinya beberapa kali, anda boleh baca laporan di sini.

Dari segi reka bentuk, bagi penulis Tiggo 8 Pro lebih segak keseluruhan dan mempunyai perincian lebih cantik. Cuma anda sudah tentu dapat lebih nilai untuk X90, harganya lebih rendah kerana mempunyai kelebihan status kereta nasional (walaupun kedua-dua SUV ini direka dan dibangunkan di China).

Okay, X90 mungkin tidak 100 peratus dibangunkan di China kerana jurutera Proton ada memberikan input mereka untuk talaan suspensi. Sebab itu juga Proton X90 mendapat suspensi belakang multi-link berbanding Geely Haoyue.

X90 juga mempunyai kelebihan harga cukai jalan yang lebih rendah, tetapi jika anda perlukan kuasa dan sering membawa ramai penumpang, mungkin anda sanggup berbelanja lebih dan memilih Tiggo 8 Pro.

Rasa solid dan berkualiti

Lebih menarik lagi, Chery Tiggo 8 Pro terasa sangat solid, kukuh, dan berkualiti. Sama ada semasa membelek perincian di luar badan, duduk sahaja di dalam kabin, atau memandunya, semua aspek ini memberikan anda rasa premium.

Di bahagian luar contohnya, ada logo depan yang menyala, pemijak sisi automatik seperti dinyatakan awal tadi, dan kemasan krom yang cukup-cukup sahaja, tidak melebih. Kabinnya juga lapang, dan tempat duduk depan sangat empuk.

Saat pertama penulis duduk di tempat duduk pemandu semasa mengambil Tiggo 8 Pro ini, terasa seperti berada dalam kereta yang dua kali ganda harganya. Kemudian papan pemuka dan konsol tengahnya tinggi, mengukuhkan rasa premium SUV ini. Dalam pada masa yang sama, segala butang dan suis mudah dicapai.

Untuk pemanduan pula, penulis rasakan ia mempunyai lebih dari cukup kuasa untuk pemanduan harian. Penulis memperoleh keyakinan yang baik untuk mengendalikan Chery Tiggo 8 Pro ini walaupun di selekoh tajam.

Cuma sterengnya sedikit ringan, tetapi pedal minyak dan transmisi semua cukup responsif dan mempunyai talaan yang baik. Dari segi penggunaan bahan api, penulis merekodkan sekitar 9.9km per liter, dikira sangat okey dengan saiz dan gaya pemanduan Tiggo 8 Pro ini.

Sudah tentu penggunaan bahan api sebegini tidak begitu sesuai untuk pemanduan harian dalam bandar, melainkan anda mampu. Tetapi ia sempurna untuk membawa keluarga bersiar-siar hujung minggu keluar dari bandar.

Secara keseluruhan, pakej yang ditawarkan oleh Chery Tiggo 8 Pro cukup menarik dengan padanan saiz, kelengkapan, dan harga. Ini membuatkan penulis tidak sabar melihat model-model Chery yang akan datang. Mungkin kita akan pandu uji pula Tiggo 7 Pro yang dilancarkan baru-baru ini.

Spesifikasi Chery Tiggo 8 Pro

Harga: RM159,800
Enjin: 2.0-liter turbo petrol
Kotak gear: Automatik dwi-klac 7-kelajuan
Kuasa: 257hp @ 5,500rpm
Tork: 390Nm @ 2,000rpm

Chery Malaysia capai 10,000 unit kenderaan CKD dalam tempoh 8 bulan

CHERY Auto Malaysia mencapai pengeluaran unit ke-10,000 kenderaan mereka untuk kilang CKD hasil kerjasama dengan Inokom Corporation Sdn Bhd.

Pencapaian ini diperoleh dalam tempoh hanya lapan bulan selepas bermulanya operasi di kilang Inokom di Kulim, Kedah yang berkeluasan 200 ekar itu.

Menurut siaran media oleh Chery, ini menandakan komitmen mereka untuk pertumbuhan dan kecemerlangan industri automotif tempatan.

Chery Auto Malaysia dan Inokom Corporation memulakan kerjasama mereka pada Mei 2023 dan kumpulan pertama Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro yang dipasang CKD telah diserahkan kepada pelanggan pada Ogos lepas.

Model Tiggo 7 Pro yang akan dilancarkan Chery tidak lama lagi juga telah dimulakan pemasangannya di kilang itu pada bulan ini. Sementara itu, Omoda E5 yang merupakan model EV akan menyusul selepas itu.

Dengan permintaan yang meningkat dengan penerimaan pasaran yang baik, Chery Auto Malaysia meningkatkan operasi mereka dengan memperkenalkan barisan pemasangan kedua bagi menambah kecekapan operasi kilang itu.

Pertambahan ini akan melonjakkan kapasiti dan menampung permintaan yang meningkat dari kalangan pengguna Malaysia. Mereka juga akan mengekalkan standard dan kawalan kualiti produk serta perkhidmatan.

“Fokus kami sentiasa untuk menyerahkan produk selamat dan boleh diharap untuk pelanggan kami,” kata Leo Chen, Presiden Chery Auto Malaysia.

Chery Tiggo 8 Pro kini dengan pilihan Aurora Green – warna Raya, terhad 120 unit sahaja

KAMI tidak pasti sama ad aini dirancang atau kebetulan, tetapi menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, Chery Malaysia memperkenalkan Tiggo 8 Pro dengan warna baharu Aurora Green.

Warna ini nampak sangat bersesuaian dengan tema perayaan ini dan terhad kepada 120 unit sahaja. Warna ini juga pastinya suatu penambahan menarik terhadap pilihan sedia ada iaitu Dark Black dan Khaki White.

Chery Tiggo 8 Pro ialah SUV tujuh tempat duduk, dilancarkan di pasaran Malaysia pada Julai tahun lepas dengan harga RM159,800 untuk varian tunggal Premium.

Tiggo 8 Pro mempunyai dimensi 4,722mm panjang, 1,860mm lebar, dan jarak roda 2,710mm. Ia mempunyai kapasiti kargo 193 liter jika tempat duduk barisan ketiga dinaikkan, tetapi boleh meningkat hingga 892 atau 2,101 liter jika tempat duduk barisa ketiga dan kedua diturunkan.

Di bawah but depan Tiggo 8 Pro ialah enjin 2.0-liter 4-silinder turbo yang menjana 250hp dan 390Nm tork. Enjin GDI ini dipadandakan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan, dan output disalurkan ke roda depan. Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

Ciri luaran Chery Tiggo 8 Pro termasuklah gril “Galaxy”, lampu depan dan belakang LED, logo menyala, dan rim 19-inci dibaluti tayar 235/50.

Kelengkapan dalam kabin pula terdiri dari skrin melintang besar bersaiz 24.6-inci. Ia merangkumi skrin instrumen untuk pemandu dan infotainmen untuk hiburan dan fungsi lain.

Chery Tiggo 8 Pro juga dilengkapi dengan sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara, lampu ambien, tempat duduk berkuasa dengan pemanas dan penyejuk, sistem pendingin hawa dwi-zon, bumbung panoramik, pengecas tanpa-wayar, dan sambungan Apple CarPlay serta Android Auto.

SUV ini didatangkan dengan ciri keselamatan ADAS seperti Lane Departure Warning/Keeping, Blind Spot Detection, Door Opening Warning, Rear Cross Traffic Alert, Front Collision Warning, dan Autonomous Emergency Braking.

Kesemua Chery Tiggo 8 Pro di Malaysia dilindungi dengan jaminan 7-tahun/150,000km dan servis percuma 5-tahun dengan upah percuma.

Anda juga boleh menambah pakej jaminan sebanyak RM2,000 untuk Pakej Extended Warranty Chery, yang menyediakan jaminan selama 10-tahun atau 1,000,000KM untuk enjin.

Selain itu, Chery Malaysia kini menawarkan Pakej Extra Peace of Mind, yang merangkumi jaminan lanjutan enjin kenderaan selama 10-tahun atau 1,000,000KM dan 7-tahun penyelenggaraan servis, semua ini hanya dengan RM11,600.

Chery Malaysia siapkan kelompok pertama pemeriksaan pra-penghantaran di Kulim

CHERY Malaysia mengumumkan bahawa ia telah berjaya menyiapkan kelompok pertama Pemeriksaan Pra-Penghantaran (Pre-Delivery Inspection atau PDI) di kilang pemasangannya di Kulim, Kedah.

Pencapaian ini merupakan bukti komitmen Chery Malaysia terhadap kualiti dan pemasangan, selain penting bagi memastikan pengalaman pemilikan yang tiada tandingan untuk pelanggan mereka.

Menurut syarikat itu, penyepaduan prosedur PDI terus ke dalam barisan pengeluaran kilang pemasangan tempatannya (CKD) menandakan detik penting dalam usahanya untuk mendapatkan jaminan kualiti.

Dengan menjalankan pemeriksaan dan ujian yang teliti sebelum kenderaan meninggalkan kilang, Chery Malaysia
menyasar untuk menghantar kenderaan yang bukan sahaja memenuhi tetapi juga melangkaui jangkaan pelanggan.

“Kejayaan ini adalah kemuncak kerja keras dan usaha gigih kumpulan pemasangan Chery Malaysia di kilang CKD, kami akan terus berusaha untuk menetapkan standard industri baharu bagi memenuhi tahap kualiti antarabangsa.” kata Leo Chen, Naib Presiden Eksekutif Chery Malaysia.

Tambah beliau lagi, komitmen Chery Malaysia terhadap kualiti meliputi setiap aspek proses pembuatan dan pemasangannya.

“Kesediaan barisan pengeluaran dan pemasangan untuk PDI adalah bukti perancangan teliti serta bukti pelaburannya dalam teknologi dan proses termaju.

“Penambahan PDI dalam proses pengeluaran CKD mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai jenama yang semakin meningkat dalam industri automotif Malaysia. Inisiatif ini sejajar dengan misi Chery Malaysia untuk menetapkan standard baharu bagi kualiti, keselamatan dan kepuasan pelanggan,” kata Chen.

Chery Malaysia jual 3,000 unit kenderaan dalam masa 10 hari

CHERY Malaysia mengumumkan bahawa ia berjaya menjual 3,000 unit kenderaan dalam tempoh 10 hari selepas jenama itu dilancarkan secara rasmi.

Pada 7 Julai lalu, Chery Malaysia menandakan kehadiran semulanya ke negara ini menerusi pelancaran dua model crossover iaitu Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro.

Kedua-dua model tersebut didatangkan dengan jaminan selama tujuh tahun dan servis percuma selama lima tahun. Apa yang menarik, 3,000 pelanggan pertama akan menerima jaminan enjin sehingga 10 tahun atau satu juta km secara percuma.

Bagaimanapun, pelanggan yang masih mahukan pakej jaminan lanjutan enjin itu boleh mendapatkannya pada harga mampu milik iaitu RM2,000.

Menurut syarikat itu, pencapaian luar biasa ini menjadi bukti yang menunjukkan permintaan pasaran yang kukuh dan keyakinan pelanggan pada produk yang ditawarkannya.

Setakat ini, Chery Malaysia mempunyai 23 bilik pameran yang sedia dikunjungi dan lapan lagi hampir siap menjelang hujung Ogos 2023 bagi memenuhi keperluan pelanggan.

Syarikat itu juga menyediakan 22 pusat servis yang terletak secara strategik di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Rangkaian komprehensif ini memastikan pelanggan boleh mengakses perkhidmatan jualan dan selepas jualan dengan mudah.

“Sebagai syarikat automotif yang berpengalaman tinggi dalam pembuatan dan keupayan inovatif, Chery berdedikasi untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan pengguna Malaysia,” kata Leo Chen, Naib Presiden Eksekutif Chery Malaysia.

“Kami menitikberatkan kualiti, keselamatan dan prestasi produk, terus menghasilkan inovasi dan menambah baik teknologi secara berterusan untuk terus mendahului permintaan pasaran,” katanya lagi.

Tiggo 8 Pro penanda kehadiran semula Chery ke Malaysia – 7 tempat duduk, 2.0 TGDI, RM160k

CHERY begitu giat memperkukuhkan kehadiran semula jenamanya di Malaysia dengan preview sejak hujung tahun lepas.

Kini mereka telah melancarkan secara rasmi model untuk pasaran negara ini, iaitu Tiggo 8 Pro. SUV tujuh tempat duduk ini dilancarkan serentak bersama Omoda 5. Hanya satu varian ditawarkan iaitu Premium, dengan harga RM159,800.

Kita mendapat variasi terkini yang dinamakan Chery Tiggo 8 Pro Max seperti di China, ya kami tahu namanya seperti telefon pintar terkemuka. Tetapi perkataan “Max” digugurkan untuk lebih memudahkan.

Chery Tiggo 8 Pro kali ini sedikit berbeza dari unit yang dipertonton pada Oktober lepas, dimana unit ini mendapat rekaan gril “galaxy” baharu dengan lampu LED belakang terkini. Rim juga lebih besar, kini 19-inci dengan tayar berprofil 235/50. Menarik juga ialah logo yang menyala.

Di bawah but depan Tiggo 8 Pro ialah enjin 2.0-liter 4-silinder turbo yang menjana 250hp dan 390Nm tork. Enjin GDI ini dipadandakan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan, dan output disalurkan ke roda depan. Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

Anda kagum dengan rekaan luarannya? Jemput ke dalam, Tiggo 8 Pro ini nampak begitu moden dan kontemporari dengan skrin melintang besar bersaiz 24.6-inci. Ia merangkumi skrin instrumen untuk pemandu dan infotainmen untuk hiburan dan fungsi lain.

Chery Tiggo 8 Pro juga dilengkapi dengan stereng baharu, sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara, lampu ambien, tempat duduk berkuasa dengan pemanas dan penyejuk, sistem pendingin hawa dwi-zon, bumbung panoramik, pengecas tanpa-wayar, dan sambungan Apple CarPlay serta Android Auto.

Dari segi saiz, Tiggo 8 Pro mempunyai dimensi 4,722mm panjang, 1,860mm lebar, dan jarak roda 2,710mm. Ia mempunyai kapasiti kargo 193 liter jika tempat duduk barisan ketiga dinaikkan, tetapi boleh meningkat hingga 892 atau 2,101 liter jika tempat duduk barisa ketiga dan kedua diturunkan.

Ciri keselamatan juga pada tahap agak tinggi, dengan sistem ADAS seperti Lane Departure Warning/Keeping, Blind Spot Detection, Door Opening Warning, Rear Cross Traffic Alert, Front Collision Warning, dan Autonomous Emergency Braking.

Dari segi segmen dan spesifikasi, ia merupakan pesaing kepada Proton X90 yang juga sebuah SUV tujuh tempat duduk yang direka dan dibangunkan di China. X90 dijual pada harga antara RM123,800 hingga RM152,800, cumanya X90 dipacu oleh enjin lebih kecil iaitu 1.5-liter turbo mild hybrid.

Oh ya, semua kenderaan Chery di Malaysia hadir dengan jaminan 7-tahun dan servis percuma 5-tahun. Untuk 3,000 pelanggan terawal juga, anda akan menerima jaminan enjin sehingga 10 tahun atau perbatuan 1,000,000km!

Chery buka tempahan Tiggo 7 Pro, Tiggo 8 Pro di Indonesia

CHERY secara rasminya telah membuka tempahan untuk dua modelnya iaitu Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro di Indonesia. Model-model tersebut ditawarkan dengan waranti kenderaan selama enam tahun atau 150,000 km, serta waranti enjin selama 10 tahun atau 1 juta km.

Perkara ini diumumkan pada acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2022 yang sedang berlangsung dari 11 hingga 21 Ogos.

Tiggo 8 Pro merupakan SUV tujuh tempat duduk dengan ciri-ciri premium seperti gril ‘geometric matrix diamond’ dan lampu depan LED yang direka berdasarkan falsafah ‘Life in Motion 3.0’.

Di dalam, terdapat tiga skrin iaitu panel instrumen 12.3 inci, skrin sistem infohibur dan skrin kawalan sistem pendingin hawa berukuran lapan inci. Turut disertakan adalah sistem audio dengan lapan pembesar suara jenama Sony, pencahayaan ambien pelbagai warna, bumbung panoramik dan upholsteri dwi-tona.

Tersembunyi di bawah bonet adalah enjin siri ACTECO generasi ketiga 1.6-liter TGDI yang menghasilkan 192 PS dan 290 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang menggerakkan roda depan. Transmisi yang dibangunkan oleh Chery itu dikatakan mempunyai kecekapan sehingga 96 peratus.

Tiggo 8 Pro juga didatangkan dengan sistem ADAS yang merangkumi 12 fungsi termasuk Adaptive Cruise Control (ACC), Autonomous Emergency Braking (AEB) dan Forward Collision Warning (FCW). Kamera 360 darjah turut disertakan.

Sementara itu, Tiggo 7 Pro pula merupakan ‘adik’ kepada Tiggo 8 Pro yang mempunyai lima tempat duduk. Ia didatangkan dengan gril yang lebih tajam, lampu matriks LED pintar, serta tiang C berwarna hitam yang menimbulkan efek bumbung terapung.

Di samping ciri-ciri yang ada pada 8 Pro, model ini mendapat beberapa ciri canggih seperti pintu belakang elektrik induktif, pengecasan peranti mudah alih tanpa wayar, gearshift elektronik dan fungsi arahan suara.

Ruang dalaman Tiggo 7 Pro

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan 10 fungsi ADAS termasuk Lane Keeping, Adaptive Cruise Control dan Emergency Braking. Enam beg udara dan Stability Control keluaran Bosch disertakan secara standard pada kedua-dua varian.

Seperti OMODA 5, Tiggo 8 Pro dan 7 Pro turut dirancang untuk dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Chery sedang bekerjasama rapat dengan rakan-rakan niaga tempatan ke arah mewujudkan operasi pemasangan tempatan serta pembaharuan jenamanya.