Tag Archives: tips

Kos servis Perodua Axia tak sampai RM3k untuk 100,000 km/5 tahun pemilikan

Perodua Axia adalah antara model yang paling sesuai untuk dijadikan sebagai kereta pertama. Ia tidak begitu besar, mudah dipandu, jimat minyak, dan masih boleh dikategorikan sebagai kereta mampu milik, walaupun harganya menyaksikan sedikit peningkatan untuk model generasi kedua.

Axia boleh didapati dalam empat varian – G, X, SE dan AV – dengan harga bermula dari RM38,600 hingga RM49,500. Dengan penggunaan platform DNGA, transmisi CVT dan sistem bantuan pemandu ASA 3.0, ia menawarkan nilai untuk wang yang lebih baik berbanding model generasi pertama.

Bercakap tentang wang, agaknya berapakah kos penyelenggaran Axia?

10,000 km

Servis pertama untuk Axia dilakukan pada perbatuan 10,000 km. Tiga bendaperlu ditukar iaitu minyak enjin sintentik penuh 0W-20 (RM140.50), drain plug gasket (RM3.80) dan penapis minyak enjin (RM12.50). Tiada cas buruh dikenakan, maka jumlah penuh yang perlu dibayar adalah RM156.80.

20,000 km & 60,000 km

Untuk perbatuan 20,000 km, di samping minyak enjin, drain plug gasket dan penapis minyak enjin, Perodua juga akan menukar palam pencucuh (RM45.30) dan penapis kabin (RM24.90). Ditambah dengan kos buruh (RM89) dan cukai perkhidmatan 8% (RM7.12), kos keseluruhan kali ini mencecah RM323.12.

30,000 km, 50,000 km, 70,000 km & 90,000 km

Ketika odometer mencecah angka 30,000, Perodua akan menukar minyak enjin, drain plug gasket dan penapis minyak enjin. Ditambah dengan kos buruh sebanyak RM65 dan cukai perkhidmatan (RM5.20), kos keseluruhan adalah RM277.

40,000 km & 80,000 km

Major service perlu dilakukan untuk perbatuan 40,000 km dan 80,000 km. Kali ini, anda perlu menukar minyak enjin, drain plug gasket untuk minyak enjin, penapis minyak enjin, penapis pembersih udara (RM54.30), minyak gear (RM109.50), palam pencucuh (RM45.30), bendalir brek (RM26.40) dan penapis kabin (RM24.90). Kos buruh untuk servis ini mencecah RM99, menjadikan jumlah keseluruhan RM414.62.

100,000 km

Setelah mencecah enam angka, anda perlu membelanjakan RM452.08 untuk servis yang melibatkan penukaran minyak enjin, penapis minyak enjin, drain plug gasket, palam pencucuh, penapis kabin, bendalir CVT (RM117.60), drain plug gasket CVT (RM3.80).

Konklusi

Kos keseluruhan servis berkala Perodua Axaia adalah RM2,992.36 untuk perbatuan 100,000 km/lima tahun pemilikan. Ini bermakna secara purata, pemilik perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM598.47 setahun atau RM49.87 sebulan untuk servis.

Pengiraan ini penting kerana selain bayaran ansuran, pelanggan juga perlu mengambil kira kos servis serta kos-kos lain seperti petrol, insurans dan tol sebelum membuat keputusan.

Kami kongsikan 7 tips mudah untuk perjalanan jauh

Musim cuti sekolah dan perayaan tiba lagi dan seperti yang anda tahu, ibu-bapa akan menggunakan masa ini untuk meluangkan masa bersama keluarga di kampung halaman atau di destinasi-destinasi percutian di seluruh negara.

Bagi mereka yang merancang untuk menggunakan kereta untuk ke destinasi masing-masing, ini adalah antara tips yang boleh diamalkan bagi memastikan perjalanan anda selesa dan selamat.

Rancang perjalanan lebih awal

Gambar oleh: Malay Mail

Setelah memilih destinasi, adalah penting untuk anda merancang laluan lebih awal bagi menjimatkan masa dan mengurangkan stres. Mereka yang memilih untuk menggunakan lebuh raya boleh memanfaatkan jadual perjalanan digital yang disediakan oleh PLUS.

Pastikan kenderaan berada dalam kondisi terbaik

Beberapa hari sebelum memulakan perjalanan, anda disarankan untuk memeriksa beberapa komponen asas seperti tayar, minyak enjin, lampu utama, lampu brek, brek, pendingin hawa serta pengelap cermin. Untuk lebih mudah, hantar sahaja kereta anda ke pusat servis atau bengkel untuk diperiksa oleh juruteknik terlatih.

Dapatkan rehat secukupnya

Selain kenderaan, pemandu juga perlu memastikan dirinya berada dalam keadaan sihat. Pastikan anda mendapat tidur yang secukupnya terutamanya jika anda merancang untuk bergerak awal pagi.

Tukar pemandu

Kemungkinan untuk anda berasa letih akan berkurang sekiranya anda memandu secara bergilir-gilir dengan penumpang lain. Namun pastikan pemandu ditukar di tempat yang selamat seperti hentian R&R.

Pakai pakaian yang selesa

Cara ini selalunya diamalkan oleh mereka yang sering bercuti ke luar negara tetapi ia juga sesuai untuk mereka yang menggunakan pengangkutan darat. Pakai pakaian yang sedikit longgar bagi memastikan anda bebas bergerak di dalam kereta, serta bawa bantal kecil untuk sokongan tambahan pada bahagian belakang.

Berhenti rehat setiap dua jam

Bagi mengatasi keletihan dan rasa mengantuk, anda disarankan untuk berhenti rehat setiap dua jam atau 200 km. Gunakan peluang ini untuk tidur sebentar, membuat regangan badan, atau ke tandas.

Bawa makanan ringan

Walaupun sudah mendapat tidur yang mencukupi, faktor-faktor seperti pendingin hawa yang selesa atau cuaca panas terik boleh membuatkan anda mengantuk. Kudapan seperti buah-buahan, kekacang atau gula-gula boleh membuatkan anda segar dan cergas kembali.

 

Lima tanda sistem suspensi kereta anda bermasalah

Tidak seperti enjin dan transmisi, sistem suspensi adalah antara komponen yang sering diabaikan oleh pemandu. Ini kerana ia tidak perlu diselenggara sekerap enjin dan bergantung kepada penggunaan, jarang memberikan masalah besar.

Namun perlu diingat bahawa seperti komponen-komponen lain, suspensi juga berpotensi mengalami kerosakan yang menelan belanja yang tinggi untuk dibaik pulih sekiranya anda tidak memberikan perhatian yang sewajarnya.

Bagi membantu anda untuk mengelakkan daripada dompet menipis di bengkel, di sini kami senaraikan lima tanda sistem suspensi anda sedang mengalami masalah:

Kereta bergerak ke kiri atau kanan apabila dipandu

Selain suspensi, simptom ini juga boleh berlaku sekiranya tayar kempis atau tidak sejajar. Bagaimanapun, jika tayar kereta anda berada dalam keadaan baik dan anda baru sahaja melakukan penjajaran, kemungkinan besar ia berpunca daripada suspensi yang rosak. Jangan bertangguh lagi dan segera bawa kereta anda ke bengkel.

Kereta melantun atau menjunam

Secara asasnya, suspensi direka untuk menyerap hentakan yang terhasil dari permukaan jalan yang tidak rata. Sekiranya kereta anda melantun-lantun ketika melalui bonggol atau bahagian depannya menjunam secara berlebihan ketika membrek, ini bermakna sistem suspensi anda bermasalah dan sudah tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik.

Stereng bergegar

Sistem suspensi dan sistem stereng berkait rapat antara satu sama lain. Sekiranya roda stereng anda bergegar ketika melalui jalan yang rata atau terasa longgar, ini bermakna terdapat kerosakan pada sistem suspensi.

Kereta senget sebelah apabila diparkir

Masih ingat babak lucu di kedai kereta terpakai dalam filem Senario Lagi? Secara mudahnya, itulah yang akan berlaku sekiranya salah satu daripada penyerap hentak atau spring kereta anda rosak. Biasanya ia ditemani dengan bunyi berdecit.

Bunga tayar haus tidak sekata

Apabila salah satu daripada penyerap hentak atau spring kereta anda rosak, berat kenderaan tidak lagi dapat diagihkan dengan sekata, sekali gus menyebabkan salah satu daripada tayar menanggung berat berlebihan. Kesannya, tayar tersebut akan haus lebih cepat berbanding tayar-tayar lain.

Cara-cara memanjangkan hayat pengelap cermin kereta

Kenderaan masa kini sarat dengan pelbagai jenis sistem keselamatan aktif dan pasif bagi memastikan pemandu serta pengguna jalan raya yang lain selamat.

Tetapi dalam banyak-banyak ciri keselamatan, hanya ada satu sahaja yang membolehkan anda memandu semasa hujan – pengelap cermin.

Ya, percaya atau tidak pengelap cermin merupakan sejenis sistem keselamatan pada kereta anda. Oleh itu, penjagaan komponen ini sangat penting bagi memastikan keselamatan anda dan juga pengguna jalan raya yang lain.

Tanpa berlengah lagi, berikut adalah beberapa tips memanjangkan hayat pengelap cermin kereta anda:

Jangan lap cermin semasa ia kering

Secara asasnya, pengelap cermin direka untuk menyingkirkan air atau lembapan daripada cermin penghadang angin. Jika anda menggunakannya semasa cermin kering, kotoran yang terdapat pada permukaan cermin bukan sahaja boleh merosakkan bilah getah pengelap cermin malah berpotensi mencalarkan cermin kereta anda.

Pastikan cermin sentiasa bersih

Seperti yang dikatakan, segala kotoran yang terdapat pada permukaan cermin kereta anda boleh menyebabkan kerosakan pada bilah pengelap dan juga cermin itu sendiri. Bagi mengelakkan hal ini daripada berlaku, lap cermin anda dengan kain mikrofiber dan cecair pencuci yang sesuai bagi membuang kotoran.

Pengelap cermin juga perlu dibersihkan

Selain cermin, anda juga perlu sentiasa membersihkan bilah pengelap cermin bagi memastikan ia beroperasi dalam keadaan optimum. Cara yang terbaik adalah dengan membasuh bilah pengelap dengan campuran air suam dan sabun (cecair pencuci cermin juga boleh digunakan), kemudian bilasnya dengan air bersih.

Sentiasa isi cecair pencuci cermin

Seperti namanya, cecair pencuci cermin diformulasi khas untuk membersihkan cermin daripada segala jenis habuk, kotoran dan najis binatang. Ini bermakna ia mengandungi bahan kimia khas untuk memastikan kotoran degil dapat dibuang dengan lebih mudah berbanding air biasa.

Letak kenderaan di kawasan teduh

Pendedahan kepada haba dalam tempoh yang berpanjangan boleh menyebabkan getah bilah reput lebih cepat. Jika tiada tempat yang teduh, pastikan pengelap cermin diangkat supaya ia tidak cair akibat bersentuhan dengan cermin yang panas.

Apa yang anda perlu tahu tentang titik buta

Apakah itu titik buta

Semasa memandu di jalan raya, anda sepatutnya boleh melihat dengan jelas bahagian hadapan, sisi serta belakang kenderaan.

Tetapi tahukah anda, terdapat kawasan-kawasan tertentu di sekeliling kenderaan anda yang tersembunyi dari sudut pandangan anda dan tidak boleh dilihat menerusi cermin. Kawasan ini dikenali sebagai titik buta.

Di manakah titik buta?

Setiap kenderaan mempunyai titik buta namun saiznya berbeza mengikut jenis kenderaan. Kenderaan yang lebih besar seperti trak, lori dan bas lazimnya mempunyai kawasan titik buta yang lebih besar berbanding kenderaan kecil seperti sedan dan hatchback.

Lazimnya, titik buta terletak di belakang cermin sisi dan bersebelahan dengan pintu depan dan belakang kenderaan.

Imej: GoodCar

Kenapa titik buta bahaya?

Seperti namanya, titik buta menghalang anda daripada melihat kenderaan dan pengguna jalan raya yang lain. Ini sudah tentu sangat berbahaya dan meningkatkan risiko kemalangan terutamanya jika anda menukar lorong tanpa memeriksa titik buta terlebih dahulu.

Bagaimana cara mengelakkan titik buta?

Secara asasnya, anda tidak akan dapat menghapuskan titik buta melainkan anda makhluk asing yang mempunyai sepasang lagi mata di belakang kepala anda.

Dalam erti kata lain, titik buta akan sentiasa anda tetapi sebagai pemandu, anda boleh mengurangkannya dengan mengikuti langkah-langkah berikut:

  1. Pastikan cermin pandang belakang dan cermin sisi berada dalam posisi yang betul.

Ketika mengubah suai cermin, pastikan anda duduk dalam keadaan normal di tempat duduk pemandu. Cermin pandang belakang sepatutnya menampakkan keseluruhan bahagian belakang, manakala cermin sisi pula menampakkan sebahagian kecil bahagian sisi kereta anda.

  1. Gunakan teknik SMOG ketika hendak menukar lorong.

S untuk signal – gunakan lampu isyarat semasa hendak menukar lorong
M untuk mirrors – periksa cermin sisi dan cermin pandang belakang
O untuk over your shoulder – toleh di sebalik bahu
G untuk go – tukar lorong sekiranya keadaan selamat

  1. Dapatkan aksesori tambahan

Anda boleh dapatkan cermin titik buta (biasanya kecil dan berbentuk bulat) untuk dilekatkan pada cermin sisi kereta anda. Jika anda mempunyai bajet lebih, anda juga boleh dapatkan sistem pemantauan titik buta sekiranya kereta anda tidak mempunyai ciri tersebut.

 

5 EV terbaik berharga antara RM200,000 hingga RM250,000

Pilihan EV dalam pasaran Malaysia agak menarik jika anda mempunyai bajet antara RM150,000 hingga RM200,000 namun bagi mereka yang rela berbelanja lebih besar, secara spesifiknya antara RM200,000 hingga RM250,000, ‘calon-calon’ yang ada lebih hebat terutamanya dari segi prestasi.

Manakan tidaknya, dua dari lima model yang kami senaraikan ini mempunyai ‘Performance’ pada namanya dan satu adalah sebuah Brabus, sekali gus mengesahkan yang prestasi pecutan adalah fokus utama dalam julat harga ini.

Tanpa berlengah lagi, jom kita lihat apakah model-model tersebut. Mana tahu, ada yang dapat memikat hati anda?

Volvo EX30 Ultra Twin Performance (RM228,888)

Jika anda boleh hidup tanpa butang fizikal, Volvo EX30, kembar kepada smart #1 dan Zeekr X, patut dipertimbangkan. Walaupun agak kecil, ia tampil gagah dan tegap, sepadan dengan tahap prestasi yang dibawakan oleh varian Ultra Twin Performance.

Seperti yang boleh dilihat pada namanya, varian ini menampilkan sepasang motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 428 PS dan 543 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat sahaja. Ia menggunakan bateri NMC 69 kWj yang sama seperti varian-varian EX30 yang lain, dengan jarak pandu sejauh 450 km – hanya 26 km lebih pendek berbanding varian Ultra.

Tesla Model 3 Performance AWD (RM243,700)

Dengan RM243,700, peminat Elon Musk boleh membuktikan kesetiaan mereka kepada CEO Tesla itu dengan mendapatkan Model 3 Performance AWD. Harganya tidak jauh berbeza dengan varian Long Range AWD (RM218,000) tetapi anda akan dapat banyak kelebihan.

Sudah tentu, kelebihan yang dimaksudkan adalah dari segi prestasi, di mana varian ini mempunyai 460 PS dan 723 Nm. Dengan pecutan 0-100 km/j dalam 3.1 saat dan kelajuan maksimum 261 km/j, ini mungkin kereta yang paling pantas yang anda boleh beli pada harga sebegini. Jarak pandunya juga tidak kurang hebat iaitu 529 km.

Tesla Model Y Long Range AWD (RM246,000)

Mereka yang tidak meminati sedan boleh mendapatkan Model Y Long Range AWD. Ia RM42,000 lebih murah berbanding varian Performance AWD, namun prestasi crossover kompak ini tidak boleh dipandang rendah.

Dua motor elektrik (satu pada setiap gandar) bergabung untuk memberikan Model Y kuasa keseluruhan mencecah 444 hp dan 559 Nm. Sudah tentu, ia tidak sepantas saudara sedannya namun bagi kebanyakan pemandu, 5.0 saat untuk mencapai 100 km/j sudah cukup memadai. Dengan bateri 78.1 kWj, ia boleh dipandu sejauh 533 km dengan satu cas penuh.

smart #1 Brabus (RM249,000)

Adakah 0-100 km/j dalam 3.9 saat cukup laju untuk anda? Jika jawapannya ya, smart #1 Brabus pasti menarik perhatian anda. Ya, ini merupakan varian tertinggi dalam barisan #1 tetapi jangan risau kerana jarak pandunya tidak begitu terjejas – ia boleh dipandu sejauh 400 km, hanya 40 km berbeza dengan varian Premium.

Selain prestasi yang mengujakan, model ini juga cukup menonjol di jalan raya dengan adanya elemen-elemen penggayaan Brabus dan bahagian-bahagian berwarna merah. Tidak cukup dengan itu, sistem suspensinya juga ditala semula untuk memberikan pengendalian yang lebih lincah di selekoh.

Hyundai Ioniq 6 Lite RWD & Plus RWD (RM219,888 & RM249,888)

Dilancarkan pada September tahun lalu, Ioniq 6 Lite RWD dan Plus RWD tampil sebagai alternatif yang lebih mampu milik berbanding varian Max RWD dan AWD.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan motor elektrik pada gandar belakang yang menghasilkan 151 PS dan 350 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 8.8 saat dan kelajuan maksimum 185 km/j, sama dengan varian-varian Max. Jarak pandu jauh lebih pendek berbanding Max RWD (614 km) dan AWD (519 km), namun pada pendapat penulis, 429 km sudah cukup memadai. Tambahan pula, anda mendapat EV dengan bentuk yang lain dari yang lain.

5 tips ringkas memandu secara defensif

Bagi mereka yang tidak pernah mendengar istilah pemanduan defensif atau defensive driving, ia sebenarnya merujuk kepada teknik atau amalan yang dipraktikkan semasa memandu untuk mengurangkan risiko kemalangan secara amnya.

Namun memandu secara defensif tidak bermakna pemandu hanya perlu menumpukan perhatian terhadap pemanduan mereka sahaja. Seorang pemandu defensif yang baik juga perlu menjangkakan kelakuan pemandu lain dan potensi bahaya di jalan raya.

Terdapat pelbagai kursus pemanduan defensif yang disediakan namun anda sebenarnya tidak perlu berbelanja beratus-ratus atau beribu-ribu untuk mengetahui bagaimana hendak memandu secara defensif. Sebaliknya, anda hanya perlu ikuti tips-tips berikut:

1. Pastikan posisi pemanduan anda betul

Ramai di antara anda yang tidak menyedari perkara ini namun postur duduk yang betul semasa memandu adalah sangat penting. Dengan postur yang betul, anda bukan sahaja mengurangkan risiko mengalami sakit belakang dan kelesuan, malah anda sebenarnya juga boleh mengawal kenderaan dengan lebih baik sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

2. Lihat jauh ke depan

Tidak perlu diperkatakan lagi bahawa penglihatan memainkan peranan yang penting ketika memandu. Dalam pemanduan defensif, mata digunakan bukan sahaja untuk melihat tetapi untuk mengimbas keadaan jalan dan trafik. Cara terbaik adalah dengan melihat 10-15 saat di hadapan kenderaan anda. Ini membolehkan anda mengenal pasti potensi bahaya dan aliran trafik lebih awal.

3. Sentiasa perhatikan cermin

Sekali lagi, mata akan menjadi pembantu terpenting anda semasa memandu secara defensif. Selain memerhatikan keadaan jalan di depan, pastikan anda juga sentiasa memeriksa cermin sisi dan cermin pandang belakang untuk mendapatkan gambar yang jelas mengenai keadaan sekeliling kenderaan anda. Ini dapat membantu anda mengurangkan titik buta, serta membuat keputusan dan bertindak dengan cepat.

4. Jaga jarak antara kenderaan

Salah satu tabiat buruk pemandu di Malaysia adalah memandu terlalu rapat dengan kenderaan di hadapan. Perbuatan tidak bertanggungjawab ini boleh meningkatkan risiko kemalangan dengan signifikan kerana pemandu tidak mempunyai masa yang secukupnya untuk bertindak sekiranya berlaku apa-apa. Oleh itu, sentiasa tinggalkan jarak sekitar tiga saat dengan kereta di hadapan.

 5. Kurangkan gangguan semasa memandu

Ada banyak perkara yang boleh mengganggu tumpuan anda ketika berada di jalan raya. Contohnya, telefon pintar, skrin sistem infohibur, makanan dan minuman serta pelbagai lagi. Bagi memastikan anda sentiasa fokus, jangan sesekali gunakan telefon dan elakkan daripada makan dan minum ketika memandu. Jika anda perlu menggunakan sistem navigasi, pastikan destinasi dimasukkan terlebih dahulu sebelum anda memulakan perjalanan.

Perodua Bezza: berapa kos servis ‘King of the Road’?

Anda mungkin menyangka yang Perodua Myvi masih lagi ‘Raja Jalanan’ atau ‘King of the Road’. Sangkaan anda itu sebenarnya salah kerana gelaran itu sebenarnya sudah dirampas oleh Bezza, yang mencatat jualan sebanyak 56,735 unit pada tahun lalu.

Selain harga yang mampu milik dan praktikaliti (kereta kecil ini mempunyai ruang but sebesar 508 liter!), Bezza menjadi pilihan rakyat kerana kos penyelenggaraannya yang rendah.

Dalam artikel ini, kami akan kupaskan kos servis Perodua Bezza 1.3 automatik sehingga perbatuan 100,000 km atau lima tahun pemilikan:

10,000 km

Servis pertama untuk Bezza perlu dilakukan pada perbatuan 10,000 km. Ada tiga benda yang perlu ditukar iaitu minyak enjin sintentik penuh 0W-20 (RM161.10), drain plug gasket (RM3.80) dan penapis minyak enjin (RM 12.50). Tiada cas buruh dikenakan, menjadikan jumlah penuh yang perlu dibayar adalah RM177.40.

20,000 km, 50,000 km & 70,000 km

Untuk ketiga-tiga servis ini, pemilik perlu menukar tiga benda yang sama iaitu minyak enjin sintentik penuh 0W-20, drain plug gasket dan penapis minyak enjin namun kali ini, cas buruh dikenakan pada harga RM44.00. Dengan SST 8% (RM3.52), pemilik perlu membayar sebanyak RM224.92.

30,000 km & 90,000 km

Ketika odometer mencecah angka 30,000 km dan 90,000 km, Perodua akan menambah penapis kabin (RM24.20) ke dalam senarai benda yang perlu ditukar, di samping minyak enjin, drain plug gasket dan penapis minyak enjin. Ditambah dengan kos buruh sebanyak RM61 dan cukai servis 8% (RM4.88), kos keseluruhan adalah RM267.48.

40,000 km & 80,000 km

Major service perlu dilakukan untuk perbatuan 40,000 km dan 80,000 km. Kali ini, anda perlu menukar minyak enjin, drain plug gasket untuk minyak enjin, penapis minyak enjin, penapis pembersih udara (RM103.20), minyak gear (RM109.50), drain plug gasket untuk minyak gear (RM3.80) dan juga bendalir brek (RM26.40). Kos buruh untuk servis ini mencecah RM165, menjadikan jumlah keseluruhan RM598.50.

60,000 km

Benda yang perlu ditukar adalah sama dengan servis 30,000 km dan 90,000 km iaitu minyak enjin, drain plug gasket, penapis minyak enjin dan penapis kabin namun untuk servis 60,000 km, Perodua akan menggunakan 4 liter minyak enjin dan bukannya 3.5 liter seperti kebiasaannya. Kos keseluruhan adalah sama iaitu RM267.48.

100,000 km

Setelah mencecah enam angka, anda perlu membelanjakan RM480.96 untuk servis yang melibatkan penukaran minyak enjin 3.5 liter, drain plug gasket, penapis minyak enjin dan palam pencucuh (RM220.40).

Konklusi

Kos keseluruhan servis berkala Perodua Bezza 1.3 automatik adalah RM3,332.56 untuk perbatuan 100,000 km/lima tahun pemilikan. Ini bermakna secara purata, pemilik perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM666.51 setahun atau RM55.54 sebulan untuk servis.

Pengiraan ini penting kerana selain bayaran ansuran, pelanggan juga perlu mengambil kira kos servis serta kos-kos lain seperti petrol, insurans dan tol sebelum membuat keputusan.

Mengharungi air banjir: Ini apa yang anda boleh dan tidak boleh lakukan

Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh sudah pun bermula sejak November lalu dan dijangka akan berterusan hingga Mac 2025.

Dalam tempoh ini, banyak kawasan dilanda banjir akibat hujan lebat berterusan selama beberapa hari. Kami nasihat anda untuk tidak memandu di kawasan-kawasan ini namun sekiranya terpaksa juga atas sebab-sebab tertentu, berikut adalah beberapa tips berguna untuk anda:

Nilai kedalaman air banjir

Sumber gambar: BERNAMA

Benda pertama yang anda perlu lakukan sebelum mengharungi air banjir adalah menilai kedalaman air itu terlebih dahulu. Ada beberapa tanda yang anda boleh perhatikan untuk menentukan kedalaman air banjir. Contohnya, pastikan kedalaman air tidak melebihi paras tengah tayar kereta anda.

Selain itu, anda juga boleh perhatikan garis air pada objek-objek berdekatan seperti pokok, dinding atau pembahagi jalan. Perlu diingat bahawa kenderaan seperti trak pikap dan SUV mampu mengharungi air lebih dalam berbanding sedan atau hatchback.

Matikan sistem pendingin hawa

Sebelum mula memasuki air, pastikan sistem pendingin hawa kereta anda ditutup. Ini kerana kipas pendingin hawa mampu ‘menarik’ air masuk ke enjin melalui intake dan ini boleh menyebabkan kerosakan enjin yang serius sekiranya berlaku.

Bukan itu sahaja, dengan mematikan sistem pendingin hawa, enjin akan mendapat sedikit kuasa tambahan untuk membantu anda melepasi air banjir dengan lebih mudah.

Jangan pandu terlalu laju

Mungkin di antara kita yang menganggap lebih baik memandu lebih laju agar dapat melepasi kawasan banjir dengan lebih cepat. Ini sebenarnya salah. Cara terbaik adalah dengan memasuki air secara perlahan-lahan kerana cara ini dapat meminimumkan percikan air dan ombak yang terhasil, sekali gus mengurangkan risiko air masuk ke dalam kenderaan.

Selain itu, pastikan anda masuk selepas kenderaan di depan selesai mengharungi air terlebih dahulu. Sebaik sahaja keluar dari air, tekan brek beberapa kali dalam jarak yang pendek bagi mengeringkan cakera brek.

Jangan hidupkan semula enjin sekiranya kenderaan terhenti

Perlu diingat bahawa risiko untuk enjin kereta tiba-tiba terhenti ketika mengharungi air banjir sentiasa ada. Sekiranya keadaan ini berlaku kepada anda, jangan sesekali cuba untuk menghidupkan semula enjin kerana ini akan menyebabkan kerosakan yang lebih teruk.

Sebaliknya, keluar dari kenderaan secepat mungkin dan pergi ke kawasan yang selamat. Hubungi pihak insurans untuk mendapatkan perkhidmatan trak tunda dan tunggu sehingga bantuan tiba.

VIDEO: Tutorial umpil penutup nat roda Peugeot 408

Peugeot 408 membawakan format bentuk badan yang lari daripada kebiasaan, menggandingkan praktikaliti sebuah sedan serta elemen SUV/crossover dengan jarak lega bumi yang lebih tinggi.

Rojak istimewa dari Perancis yang mungkin tidak sesuai untuk selera orang kebanyakan.

Selain daripada bentuk yang terlebih berani, Peugeot 408 juga datang dengan rim Monolithe 20 inci yang membawakan rekaan yang tidak konvensional. Agak aneh juga bila dilihat sekilas pandang.

Jika diperhatikan dengan lebih teliti, rim 20 inci ini mempunyai satu struktur plastik tunggal yang menutupi lima lubang nat roda.

Cara untuk umpil plastik penutup nat ini anda boleh tonton pada pautan video dibawah:

Apakah itu hydroplaning dan cara mengelakkannya

Musim hujan tiba lagi dan melihat kepada kekerapan hujan yang turun sejak beberapa hari kebelakangan ini, sudah tentunya jalan raya sentiasa basah dan licin.

Bukan itu sahaja, kehadiran lopak-lopak air pada permukaan jalan boleh menyebebkan terjadinya fenomena yang dikenali hydroplaning jika anda tidak berhati-hati.

Sekiranya anda menjadi mangsa hydroplaning, kemungkinan untuk berlaku kemalangan sangat tinggi memandangkan anda akan hilang kawalan ke atas kenderaan anda.

Oleh itu, dalam artikel ini, kami akan membincangkan cara-cara untuk mengelakkan hydroplaning dan apa yang anda perlu lakukan sekiranya ia terjadi kepada anda.

Namun sebelum itu, fahami dulu apa itu hydroplaning. Juga dikenali sebagai aquaplaning, ia merupakan keadaan di mana tayar kehilangan sentuhan dengan permukaan jalan apabila melalui jalan yang basah.

Keadaan ini berlaku apabila tayar tidak dapat menyingkirkan air dengan cepat, menyebabkan air masuk di antara permukaan tayar dan jalan.

Ini akan menyebabkan tayar tidak dapat mencengkam jalan dengan baik dan anda pula tidak lagi boleh mengawal kenderaan anda.

Bagaimanakah hydroplaning dapat dielakkan?

Pertama sekali, pastikan tayar kenderaan anda berada dalam keadaan yang baik sebelum memulakan pemanduan. Bunga tayar yang dalam dapat mengeluarkan air dengan lebih berkesan jadi jika tayar sudah botak, kemungkinan untuk berlaku hydroplaning menjadi lebih tinggi.

Pastikan juga anda sentiasa menukar kedudukan (rotate) tayar anda agar bagi memastikan ia haus secara sekata.

Jangan lupa untuk periksa juga tekanan angin tayar anda. Tekanan angin yang terlalu tinggi akan menyebabkan permukaan sentuhan menjadi semakin kecil dan ini sudah tentu akan meningkatkan risiko hydroplaning.

Selain itu, anda boleh terus mengurangkan risiko dengan memandu lebih perlahan ketika hujan. Jika boleh, elakkan daripada melalui lopak air.

Tetapi bak kata pepatah, malang tidak berbau. Sekiranya berlaku hydroplaning ketika memandu, perkara pertama dan terbaik yang anda boleh lakukan adalah bertenang dan jangan panik.

Seterusnya, lepaskan kaki dari pedal pendikit bagi membolehkan kenderaan berhenti secara perlahan-lahan. Jangan tekan pedal brek kerana ia boleh memburukkan lagi kenderaan.

Akhir sekali, cuba kawal arah pergerakan kereta dengan memusingkan stereng secara perlahan-lahan. Jangan pusing stereng dengan agresif kerana boleh menyebabkan kereta berpusing.

Apakah itu WLTP, NEDC dan CLTC?

Apabila bercakap tentang kenderaan elektrik (EV), terdapat tiga akronim yang kita mungkin akan temui iaitu WLTP, NEDC dan CLTC.

Apakah maksud ketiga-tiga akronim ini?

Untuk pengetahuan anda, akronim-akronim ini merujuk kepada piawaian ujian yang digunakan dalam pengiraan jarak gerak EV.

Apakah pula perbezaan antara WLTP, NEDC dan CLTC? Jom kita rungkaikan satu persatu.

WLTP (Worldwide Harmonised Light Vehicle Test Procedure)

Sistem WLTP diperkenalkan pada 2017 bagi menggantikan kaedah pengujian NEDC. Ia memperkenalkan prosedur baharu yang disasarkan untuk menguji kenderaan di bawah kondisi yang lebih realistik bagi mendapatkan keputusan yang lebih hampir dengan pemanduan dunia sebenar.

WLTP mengambil kira beberapa faktor termasuk kelajuan pemanduan yang berbeza, kadar pecutan dan suhu. Salah satu perbezaan utama antara WLTP dan NEDC adalah WLTP melibatkan kitaran pemanduan yang lebih lama, julat kelajuan yang lebih luas (47-132 km/j), serta penggunaan elektronik seperti pendingin hawa, radio dan sebagainya.

Ini menjadikan WLTP lebih tepat berbanding NEDC yang cenderung untuk memberikan anggaran jarak gerak berlebihan sebanyak 25% hingga 30%.

NEDC (New European Driving Cycle)

NEDC diperkenalkan pada sekitar 1980an dan dikemas kini kali terakhir pada 1997. Ya, kaedah pengujian ini sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Bukan itu sahaja, ia juga dianggap tidak tepat kerana pengumpulan data dilakukan di dalam kondisi yang ideal di dalam makmal.

Ia merangkumi dua bahagian. Bahagian pertama yang dijalankan selama 13 minit mensimulasikan pemanduan stop-and-go di dalam kawasan bandar. Bahagian kedua pula melibatkan pemanduan pada kelajuan maksimum 120 km/j.

Oleh kerana ujian NEDC dijalankan pada kelajuan lebih rendah dan tidak mengambil kira faktor-faktor seperti penggunaan pendingin hawa dan pemanduan mendaki, ramai pengguna mendapati jarak gerak NEDC lebih tinggi berbanding apa yang mereka dapat dalam situasi dunia sebenar.

CLTC (China Light-Duty Vehicle Test Cycle)

CLTC dibangunkan oleh Pusat Teknologi & Penyelidikan Automotif China (CATARC) bagi menggantikan prosedur pengujian Eropah. Ia direka berdasarkan tabiat pemandu di China dan kondisi di negara itu, dan sering mempunyai jarak yang lebih optimistik.

Ia merangkumi tiga fasa ujian iaitu pemanduan perlahan, sederhana dan laju. Proses pengujian dilakukan selama 30 minit dan kereta dipandu sejauh 14.5 km secara keseluruhan.

Terdapat beberapa perbezaan antara WLTP dan CLTC. Salah satunya, tempoh melaju dalam ujian CLTC dikatakan dua kali ganda lebih panjang berbanding WLTP. Bukan itu sahaja, kitaran ujian CLTC melibatkan lebih banyak hentian, manakala kelajuan maksimumnya juga lebih rendah iaitu 114 km/j.

Ini sebab kenapa anda perlu elak dari beli kereta sambung bayar

Semalam tular di media sosial satu video yang menunjukkan seorang wanita memecahkan cermin sebuah Honda City ketika ia sedang ditarik oleh pihak yang dipercayai ejen penarik kereta.

Turut kelihatan dalam video berdurasi 63 saat itu seorang lelaki merosakkan kereta berkenaan menggunakan sepana.

Cerita sebenar di sebalik kejadian ini masih menjadi tanda tanya namun rata-rata netizen mendakwa kereta itu ditarik kerana pemiliknya gagal membayar ansuran bulanan selama lapan bulan.

Namun menurut pengguna Facebook, Rasis Jalil, kereta tersebut dibeli secara ‘sambung bayar’.

“Keluarga ni dah bayar pemilik asal tapi pemilik asal tak bayar ke bank. Puas dah pesan jangan beli kereta sambung bayar,” katanya.

Apakah itu sambung bayar?

Secara ringkasnya, sambung bayar adalah apabila pemilik sesebuah kenderaan yang masih membayar ansuran bulanan menjual kereta tersebut kepada pihak ketiga (pembeli) tanpa membuat pertukaran hak milik.

Pembeli akan membuat bayaran muka kepada pemilik asal dan mereka akan meneruskan bayaran ansuran seperti biasa kepada pihak bank bagi pihak pemilik asal sehingga tamat tempoh perjanjian sewa beli.

Tidak dinafikan ia memang nampak seperti situasi menang-menang kerana pemilik asal mendapat wang tunai segera, manakala pembeli pula mendapat kereta tanpa perlu membayar harga penuh.

Walau bagaimanapun, anda perlu tahu bahawa sebarang urusan sambung bayar haram dan tidak sah dari segi undang-undang.

Menurut asklegal.my, perjanjian sambung bayar adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 38 Akta Sewa Beli 1967. Akta tersebut menyatakan bahawa mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bukan itu sahaja, sambung bayar juga mempunyai pelbagai risiko yang boleh membuat anda menyesal di kemudian hari. Pertama sekali, oleh kerana kereta masih di bawah nama pemilik asal, skor kredit mereka akan terjejas sekiranya pembeli gagal membuat bayaran ansuran bulanan.

Pemilik asal juga perlu bertanggungjawab terhadap semua saman yang dikeluarkan terhadap kereta tersebut, walaupun ia dipandu oleh pembeli pada ketika itu. Lebih teruk lagi, pemilik asal boleh dituduh bersubahat sekiranya kereta tersebut terlibat dalam kes jenayah.

Bagi pembeli pula, mereka berdepan dengan risiko dianiaya pemilik asal. Walaupun mereka membayar ansuran bulanan, pemilik asal boleh menuntut balik kereta pada bila-bila masa kerana kereta masih di bawah nama mereka.

Oleh kerana sambung bayar adalah salah di sisi undang-undang, sebarang kontrak atau perjanjian antara pemilik asal dan pembeli adalah tidak sah. Ini bermakna pembeli tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik asal.

Situasi akan menjadi lebih rumit sekiranya pemilik asal meninggal dunia. Sekiranya ini berlaku, hak milik kereta akan dipindahkan kepada waris secara automatik. Pewaris boleh menuntut semula kereta dan mereka tidak diwajibkan untuk meneruskan atau mematuhi apa-apa perjanjian antara pemilik asal dan pembeli.

Tips simpan kereta untuk jangka masa panjang

Kereta adalah mesin kompleks yang direka untuk dipandu. Sekiranya ia tidak digunakan untuk tempoh jangka yang panjang, percaya atau tidak, ia akan lebih cepat rosak.

Bagi mereka yang perlu menyimpan kereta mereka untuk satu jangka masa yang panjang atas sebab-sebab tertentu seperti urusan kerja dan sebagainya, kami senaraikan beberapa tips yang berguna untuk anda:

Isi minyak

Jangan tinggalkan kereta anda dengan tangki yang kosong kerana lembapan yang terhasil boleh menyebabkan tangki bahan api berkarat. Cara yang terbaik adalah dengan mengisi minyak sehingga penuh, serta menambah aditif atau penstabil yang dapat membantu mengelakkan karat dan kakisan.

Tukar minyak hitam

Minyak enjin atau pelincir yang dibiarkan terlalu lama boleh mengakis komponen dalaman enjin. Sebelum meninggalkan kereta anda, lebih baik tukar minyak enjin terlebih dahulu dan jangan lupa untuk pandunya bagi memastikan ia meliputi semua komponen enjin.

Simpan bateri

Jika anda merancang untuk meninggalkan kereta anda tempoh yang lama, tanggalkan kabel daripada terminal (terminal negatif dahulu, diikuti dengan terminal positif) dan simpan bateri di tempat yang kering dan pastikan ia terdedah kepada cahaya matahari.

Bersihkan bahagian luaran dan dalaman

Pastikan bahagian luaran kereta anda bersih sebelum meninggalkannya kerana kotoran seperti debu, getah pokok dan najis burung boleh merosakkan cat jika dibiarkan terlalu lama. Untuk bahagian dalam, vakum karpet dan tempat duduk, serta buang sampah bagi mengelakkan daripada ‘tetamu’ yang tidak diundang seperti lipas dan tikus.

Parkir di tempat yang selamat

Tempat yang paling selamat untuk menyimpan kereta anda sudah tentulah di anjung (porch), garaj atau mana-mana sahaja tempat yang berbumbung. Elakkan daripada meletakkan kereta anda di luar rumah tetapi jika tiada pilihan lain, gunakan selimut kereta yang berkualiti.

Jangan guna brek parkir

Antara kesilapan yang paling kerap dilakukan adalah menggunakan brek parkir sebelum meninggalkan kereta untuk berbulan-bulan lamanya. Ini akan menyebabkan permukaan brek melekat pada cakera. Sebagai alternatif, guna chock atau bongkah kayu untuk menahan tayar. Pastikan juga anda parkir di tempat yang rata.

Jaga bilah pengelap cermin

Bilah getah pada pengelap cermin boleh melekat pada cermin sekiranya dibiarkan terlalu lama. Anda beberapa cara untuk mengelakkan hal ini daripada berlaku. Anda boleh membalut bilah tersebut dengan plastik atau kain, cabut bilah itu atau tegakkan sahaja pengelap cermin.

Guna jek untuk tinggikan kereta

Tayar yang ditinggalkan pada satu tempat untuk jangka masa yang panjang bukan sahaja akan kempis tetapi akan mengalami flat spot. Masalah ini boleh dielakkan dengan menggunakan jek untuk meninggikan kereta anda.

5 EV menarik berharga antara RM100,000 hingga RM150,000

FAKTOR-faktor seperti pengecualian duti, cukai jualan dan cukai jalan, serta kemasukan pelbagai model menarik ke pasaran tempatan menjadikan kenderaan elektrik (EV) semakin popular di Malaysia.

Menurut laporan Berita Harian, pendaftaran EV baharu di negara ini mencapai 10,700 unit pada separuh pertama tahun ini, menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding 4,400 unit yang dicapai pada tempoh sama tahun lalu.

EV secara umumnya adalah teknologi yang masih baru namun dengan pengecualian duti dan cukai yang disebutkan tadi, harga yang ditawarkan boleh dikatakan agak berpatutan iaitu bermula dari RM100,000.

Bagi mereka yang ingin beralih ke EV tanpa mengeluarkan belanja yang terlalu besar, di sini kami senaraikan lima EV menarik yang berharga antara RM100,000 hingga RM150,000:

BYD Dolphin

Dolphin dilancarkan di Malaysia pada Julai tahun lalu dengan dua pilihan varian iaitu Dynamic Standard Range (SR) dan Premium Extended Range (ER). Harga OTR tidak termasuk insurans bermula dari RM100,530 untuk SR dan RM125,530 untuk ER, menjadikannya pilihan yang menarik untuk mereka yang ingin mencuba keseronokan EV.

Perbezaan antara kedua varian berkenaan terletak pada jarak gerak dan pengecasan. SR menawarkan jarak gerak sehingga 410 km (kitaran WLTP), manakala ER pula mempunyai boleh dipandu sehingga 490 km dengan satu cas penuh.

GWM Ora Good Cat

Mereka yang inginkan EV dengan rekaan cukup bergaya boleh mempertimbangkan Ora Good Cat yang dibawa masuk secara rasmi oleh GWM Malaysia. Terdapat dua varian yang ditawarkan iaitu 400 Pro (RM113,800) dan 500 Ultra (RM143,800).

Ragu-ragu dengan kualiti kereta buatan China? Usah risau kerana Ora Good Cat didatangkan dengan jaminan 5 tahun/150,000 km untuk kenderaan dan jaminan 8 tahun/180,000 km untuk bateri, motor elektrik, dan unit kawalannya.

MG4

MG4 merupakan salah satu daripada dua EV yang dilancarkan oleh SAIC Motor Malaysia Sdn. Bhd pada Mac tahun ini. Ia merupakan sebuah hatchback dengan rekaan yang cukup garang, sesuai untuk golongan muda yang ingin menonjol di jalan raya.

Apa yang menarik, MG4 boleh didapati dalam varian Standard, Lux dan Lux Extended Range, dengan harga bermula dari RM103,900 hingga RM148,900. Ada satu lagi varian berprestasi tinggi bergelar XPower cuma harganya melebihi sedikit tanda RM150,000.

GAC Aion Y Plus

Dilancarkan oleh WTC Automotif di Malaysia Autoshow 2024 pada Mei lalu, Aion Y Plus adalah sebuah SUV namun rekaan ruang dalamannya yang begitu luas, ditambah pula dengan kerusi depan yang boleh dibaringkan sepenuhnya, membuatkan ia seolah-olah sebuah MPV.

Terdapat dua varian untuk dipilih iaitu Elite dan Premium, dengan harga jualan bermula dari RM119,800 hingga RM135,800. Kedua-dua varian menggunakan bateri jenis LFP (digelar Magazine Battery 2.0) berkapasiti 63.2 kWj yang menawarkan jarak gerak sejauh 490 km.

Chery Omoda E5

Satu lagi SUV elektrik yang boleh didapati pada harga bawah RM150,000 adalah Chery Omoda E5, yang dijual pada harga RM146,800. Ia secara asasnya adalah Omoda 5 versi elektrik, jadi anda sebenarnya mendapat kenderaan dengan penggayaan dan ukuran yang hampir sama cuma dengan motor elektrik yang memacu roda depan.

Omoda E5 didatangkan dengan bateri 61 kWj yang memberikan jarak pemanduan sehingga 430 km. Bateri itu boleh dicas dari 30 hingga 80% dalam masa 28 minit sahaja. Lebih menarik lagi, Chery Malaysia menawarkan penggantian bateri percuma bila Battery Health menurun kepada 70%.

Cuaca panas bahang: Tips menunggang dengan selamat

Tidak semua orang suka menunggang di atas jalan raya Malaysia, apatah lagi ditambah dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Selain hujan lebat, ada kalanya kita mungkin terpaksa berdepan dengan cuaca yang panas membahang demi mencari sesuap nasi yang halal.

Terdapat beberapa tips yang anda boleh amalkan:

1. Sediakan air sebelum pengsan

Ini ialah tips yang paling penting, kerana cuaca panas akan menyebabkan badan kehilangan kandungan air disebabkan oleh air peluh yang dirembes keluar.

Sekiranya terlalu banyak air yang dikeluarkan dari badan, ia akan menyebabkan ketidakseimbangan elektrolit.

Jadi, sebelum memulakan perjalanan, pastikan stok air minuman sentiasa ada dalam bakul motosikal/beg anda.

Cuba elakkan minum air bergula dan kafein, kerana ia akan membuatkan anda cenderung membuang air dengan kerap.

 

2. Rancang perjalanan

Tips ini sesuai diamalkan sekiranya anda perlu ke satu-satu tempat dan terpaksa menunggang di bawah sinaran mentari yang terik untuk satu jangka masa yang lama.

Seboleh-bolehnya, rancang perjalanan terlebih dahulu dan tentukan tempat yang sesuai untuk berehat seketika.

Elakkan menunggang terlalu lama ketika suhu persekitaran paling panas, ini kerana keadaan tersebut boleh mengganggu kadar tumpuan penunggang.

 

3. Pakai kelengkapan menunggang yang sesuai

Menunggang di bawah cuaca panas tidak bermakna anda perlu mengorbankan aspek keselamatan sepanjang perjalanan.

Pemilihan mesh jacket dan helmet yang mempunyai sistem aliran udara yang baik dapat membantu mengurangkan haba yang terperangkap.

Tidak dilupakan, pakai juga sarung tangan dan bandana di sekeliling lehar untuk mengurangkan kesan selaran matahari.

Pastikan juga visor helmet berada dalam keadaan baik, dan jika perlu pakai cermin mata yang dilengkapi dengan penapis sinaran UV.

 

4. Ada tanda kepenatan? Berhenti rehat!

Sekiranya anda terlalu banyak berpeluh, rasa sakit dan pening kepala, hilang tumpuan dan mengantuk, itu adalah petanda anda sudah terlalu lama menunggang di bawah cuaca panas.

Sekiranya anda kehilangan fokus, keadaan ini mampu membahayakan nyawa diri sendiri dan pengguna lain atas jalan.

 

5. Pilih laluan yang teduh

Lorong motosikal biasanya menyediakan ruang yang lebih teduh disebabkan berhampiran dengan pokok-pokok di tepi jalan, berbanding terpaksa menyelit di tengah-tengah lebuh raya.

Untuk perjalanan jauh merentas negeri dan mahu mengelak lebuh raya yang panas membahang, anda mungkin boleh mencuba laluan yang mempunyai banyak pokok dan kawasan yang lebih teduh.

 

6. Pastikan jentera berada dalam keadaan baik

Perkara yang paling utama perlu dititikberatkan ialah keadaan motosikal anda itu sendiri yang ‘tiptop’ dan bebas daripada sebarang masalah.

Sebelum membuat perjalanan, periksa dahulu beberapa bahagian yang penting termasuklah sistem brek, tayar, serta sistem penyejukan enjin.

Kenali jenis-jenis transmisi automatik, torque converter, DCT, CVT dan AMT

Tidak dapat dinafikan, memandu kereta manual memberikan kepuasan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Dengan kemampuan untuk menukar gear dengan sendiri bila-bila masa sahaja, transmisi manual akan memberikan anda rasa terkawal, keseronokan dan juga kebebasan.

Namun dengan kemajuan teknologi dan keadaan trafik yang semakin ‘menggila’ terutamanya di kawasan bandar, transmisi automatik dilihat sebagai pilihan yang lebih tepat untuk kegunaan harian. Ia bukan sahaja lebih mudah untuk dikendalikan, malah lebih lancar dan cekap.

Tahukah anda bahawa terdapat beberapa jenis transmisi automatik yang digunakan dalam kereta moden? Jom kita lihat:

Torque Converter

Ini adalah jenis transmisi automatik konvesional yang paling kerap ditemui dalam kereta. Torque converter merujuk kepada alat yang digunakan untuk menghantar kuasa dari enjin ke kotak gear dan seterusnya ke roda.

Tetapi tidak seperti klac mekanikal yang mempunyai hubungan fizikal, ia menggunakan bendalir hidraulik pekat untuk memastikan kuasa (atau tork) dari enjin sampai ke kotak gear. Bendalir inilah yang membolehkan gear ditukar dengan lancar.

Dahulunya, transmisi jenis ini tidak begitu cekap dari segi penghantaran kuasa namun dengan kajian dan pembangunan berterusan dari pengeluar, versi moden yang ada dalam pasaran hari ini lebih lancar.

Kalau tak, takkan BMW guna torque converter untuk kereta-kereta M mereka?

Dual-Clutch Transmission (DCT)

Transmisi klac berkembar atau lebih dikenali sebagai DCT mula diperkenalkan menerusi Volkswagen Golf R32 pada 2003. Seperti namanya, ia menggunakan dua klac iaitu satu untuk gear genap (2,4,6 dan seterusnya) dan satu lagi untuk gear ganjil (1,3,5,7 dan seterusnya).

Kenapa? Dalam erti kata mudah, jika anda sedang memecut dalam gear 4, DCT boleh menggunakan klac satu lagi untuk membuat persediaan untuk masuk ke gear 5. Jika anda sedang membrek dalam gear 4, ia akan bersedia untuk turun ke gear 3.

Ini membolehkan DCT menukar gear dengan pantas, tidak kira sama ada anda sedang memecut atau membrek. Bagaimanapun, ia cenderung untuk tersengguk terutamanya ketika kereta bergerak pada kelajuan rendah.

Continuously Variable Transmission (CVT)

Antara transmisi yang paling kerap menjadi bualan hari ini, CVT secara asasnya menggunakan sepasang takal berbentuk kon – satu disambungkan kepada enjin dan satu lagi kepada aci engkol. Kedua-dua takal ini pula dihubungkan antara satu sama lain dengan tali sawat.

Ini memberikan CVT nisbah gear yang tidak terkira, sekali gus membolehkan enjin kekal di dalam power band (julat kelajuan operasi di mana enjin menghasilkan kuasa paling banyak) apabila anda menekan pendikit.

Ini menghasilkan kuasa pecutan yang kuat dan lancar namun pada masa yang sama, CVT juga menghasilkan bunyi kuat yang boleh menjejaskan pengalaman pemanduan.

Automated Manual Transmission (AMT)

Juga dikenali dengan nama semi-automatic atau robotised manual gearbox, AMT secara asasnya berfungsi dan mempunyai mekanikal yang hampir sama seperti transmisi manual namun klac dioperasikan secara elektrohidraulik menggunakan actuator, sensor dan pelbagai lagi.

Ini bermakna AMT menawarkan kemudahan seperti kotak gear automatik konvensional dan pada masa yang sama membolehkan pemandu menukar gear sendiri jika mereka mahu.

Transmisi jenis ini menjadi popular sekitar 90an dan awal 2000an menerusi kereta-kereta berprestasi tinggi seperti Ferrari 355 dan BMW M3. Bagaimanapun, ia terkenal dengan isu tersengguk-sengguk dan tidak tahan lama jika kerap dilenjan.

Ini 7 ciri kereta yang paling tak berguna, tak ada pun tak apa!

SEPERTI industri-industri lain, industri automotif telah mendapat banyak manfaat daripada kemajuan teknologi. Dari dahulu hingga ke hari ini, kepelbagaian inovasi yang dibawa ke hadapan oleh para pengeluar telah menjadikan pemanduan semakin efisien, seronok dan selamat.

Namun ketika syarikat-syarikat kereta berlumba-lumba memperkenalkan teknologi terkini kepada pengguna, tidak dinafikan ada di antara rekaan yang dihasilkan tidak membawa sebarang kelebihan kepada pemanduan, malah menyusahkan serta mengganggu tumpuan pemandu.

Pada pendapat penulis, ini adalah tujuh ciri kereta yang paling tidak berguna:

Integrasi aplikasi pemesejan

Sistem seperti Apple CarPlay dan Android Auto sangat berguna jika anda inginkan akses cepat ke aplikasi navigasi seperti Waze dan penstriman muzik seperti Spotify. Tetapi fungsinya tidak terhad setakat itu sahaja – ia juga boleh membaca dan membalas mesej yang anda terima dalam aplikasi Whatsapp atau Telegram menerusi arahan suara. Ini sudah tentu akan mengganggu tumpuan pemandu.

Arahan suara

Fungsi arahan suara direka untuk membantu pemandu mengawal fungsi-fungsi tertentu kereta tanpa perlu menggunakan tangan. Bunyi macam bagus tetapi berdasarkan pengalaman penulis, ada sistem arahan suara yang sukar mengenal pasti dialek Bahasa Inggeris yang dituturkan oleh pemandu Malaysia, jadi keseluruhan proses menjadi lebih rumit dan akhirnya, pemandu tidak dapat menumpukan perhatian.

Kawalan gestur

Ini satu lagi ciri yang tidak ada kegunaan sebenar selain menjejaskan tumpuan pemandu di jalan raya. Fungsi sistem ini sama sahaja dengan arahan suara tetapi ia tidak menggunakan suara, sebaliknya pergerakan tangan untuk melakukan kerja-kerja mudah seperti menguatkan atau memperlahankan radio atau menerima panggilan. Apa salahnya guna butang dan tombol yang dah disediakan?

Meter daya G

G-Force (G untuk graviti) ialah ukuran pecutan, yang dicipta apabila objek memecut, memperlahankan atau menukar arah. Di dalam pesawat, meter daya G penting supaya juruterbang tahu yang mereka tidak melangkaui batasan semasa membuat penerbangan. Di dalam kereta? Ia hanya digunakan untuk menunjuk-nunjuk sama sesi track day.

Pengecas tanpa wayar

Kebanyakan, kalau bukan semua, kenderaan masa kini didatangkan dengan port pengecas USB Type A dan Type C bagi membolehkan penumpang mengecas peranti mereka ketika berada di dalam kereta. Kabel sudah cukup baik untuk pengecasan namun kabin boleh menjadi agak berselerak. Oleh itu, pengeluar mula meletakkan pengecas tanpa wayar di dalam kabin. Bagus cuma ia mengambil masa yang lama untuk mengecas dan selalunya, telefon akan menjadi panas.

Auto Start/Stop

Foto: bestride.com

Sistem ini direka khas untuk menjimatkan penggunaan bahan api namun cara ia beroperasi sangat mengganggu pemanduan, terutamanya ketika memandu di dalam trafik yang agak sesak. Malah, perkara pertama yang penulis lakukan apabila mengambil kereta pandu uji adalah dengan memadamkan fungsi ini. Berapa banyak sangat petrol yang dapat dijimatkan dengan sistem ini? Belum lagi sentuh bab wear and tear.

Pendingin hawa yang boleh dikawal menerusi skrin sentuh

Semakin lama, jumlah butang dan tombol fizikal yang digunakan di dalam kereta semakin berkurangan. Semua fungsi kini disepadukan di dalam sistem infohibur dan hanya boleh diakses menerusi skrin sentuh. Pendekatan ini memang berkesan dalam menghasilkan kabin yang lebih kemas tetapi sebagai pemandu, fungsi-fungsi tertentu seperti pendingin hawa masih memerlukan kawalan secara fizikal bagi membolehkan kami mengekalkan tumpuan di jalan raya.

Fahami weight transfer, anda boleh jadi pemandu lebih baik, lebih laju, lebih selamat

TOPIK kali ini sedikit teknikal, iaitu weight transfer atau perpindahan berat. Tapi sepanjang artikel ini kita akan gunakan istilah weight transfer kerana ia lebih mudah difahami oleh kaki kereta.

Tetapi apa itu weight transfer? Perpindahan berat dari mana ke mana? Dan bagaimana pula ia boleh beri kesan kepada pemanduan, sehingga boleh membezakan prestasi?

Weight transfer secara ringkasnya ialah agihan berat kenderaan semasa anda memecut, membrek, atau membelok. Ia sentiasa bertindak balas, tidak kira semasa anda memandu laju atau perlahan, sama ada anda memandu kereta prestasi atau kereta harian biasa.

Cuma weight transfer mungkin tidak terlalu kritikal pada pemanduan biasa, tetapi semasa anda memandu kereta sports, pemahaman dan kawalan weight transfer boleh menjadi perbezaan antara pemanduan lancar dan terkawal, dengan pemanduan yang boleh mencemaskan penumpang di sebelah.

Fizik di sebalik weight transfer – pusat graviti

Setiap objek mempunyai titik pusat graviti. Di sini, semua berat tertumpu. Dalam sesebuah kereta, pusat graviti biasanya terletak di sekitar tengah-tengah kereta, tetapi lokasi tepatnya bergantung kepada jenis kereta itu.

Sebagai contoh, Aston Martin DB12. Dengan konfigurasi front mid-engine dan pacuan roda-belakang, pusat gravitinya sedikit ke depan. Tetapi kereta seperti Ferrari F8 Tributo dengan rear mid-engine, pusat gravitinya agak seimbang di tengah.

Kereta-kereta dengan enjin di depan seperti Toyota Vios, Perodua Myvi, Mercedes A-Class dan Audi A5 mempunyai pusat graviti agak ke depan. Tetapi Mazda MX-5 walaupun berenjin depan, mempunyai pusat graviti di tengah kerana menggunakan pacuan roda-belakang.

Semasa anda memecut, membelok atau membrek, daya yang dikenakan membuatkan berat kereta beralih di sekitar pusat graviti. Inilah weight transfer.

Kesan pecutan terhadap weight transfer

Bayangkan anda memandu sebuah kereta sports. Semasa memecut dan pedal kaki ditekan rapat ke lantai, anda akan perasan bahagian belakang kereta ditekan menjadi rendah, dan depan mendongak. Situasi ini ialah squat, disebabkan oleh weight transfer dari depan ke belakang.

Untuk kereta pacuan roda-belakang atau pacuan semua-roda, squat ini akan menambah berat ke roda belakang, membolehkan kereta memecut dengan lebih baik. Berat yang tertumpu ke roda belakang memberikannya lebih cengkaman.

Tetapi untuk kereta pacuan roda-depan, weight transfer semasa memecut ini tidak memberikan terlalu banyak kesan.

Prinsip yang sama diaplikasikan semasa membrek. Weight transfer membuatkan berat tertumpu ke depan, dan ini juga dikenali sebagai dive.

Kemudian semasa membelok, weight transfer memindahkan berat ke sisi luar; sebagai contoh belokan ke kanan akan menyebabkan berat beralih ke bahagian kiri kereta. Weight transfer ini juga menyebabkan body roll atau olengan badan.

Pemahaman konsep ini penting dan akan membantu anda memandu dengan lebih baik, terutamanya semasa pemanduan sporti di litar.

Berikut adalah kesan lebih khusus weight transfer:

Pecutan – Semasa memecut, berat banyak berpindah ke belakang, meningkatkan cengkaman di tayar belakang tetapi ini juga mengurangkan cengkaman tayar depan, dan kereta cenderung untuk oversteer.

Membrek – Bila anda membrek, berat berpindah ke tayar depan, meningkatkan cengkaman dan prestasi brek. Kereta boleh membelok dengan lebih responsif tetapi berat yang kurang di tayar belakang boleh membuatkan kereta lebih cenderung oversteer.

Membelok – Semasa membelok, tayar bahagian luar mempunyai lebih cengkaman. Tetapi kereta masih boleh understeer atau oversteer bergantung kepada konfigurasi kereta, jenis differential, dan input dari pemandu.

Dengan mengetahui dan memahami konsep weight transfer tidak akan membuatkan anda menjadi lebih laju secara automatik.

Sebaliknya, anda harus lebih peka dengan keadaan kereta pada setiap masa. Berikan input yang linear (pecutan, brek, stereng) dan elakkan input mengejut. Input yang agresif boleh membuatkan kereta hilang keseimbangan dan tayar hilang cengkaman.

Semakin tinggi kelajuan kenderaan, anda perlu semakin lancar dan berhati-hati memberi input. Kereta akan bertindak balas dengan baik dalam hadnya, dan hasilnya, anda akan menjadi lebih laju dan lebih selamat.

Isi minyak pelincir kereta dalam enjin motosikal, kenapa tak boleh? – Sembang Engear

IDEA untuk mengisi minyak pelincir kereta ke dalam enjin motosikal bukanlah baharu. Kadang-kala kita hantar kereta untuk servis dan bengkel memulangkan lebihan minyak pelincir baharu di dalam botol, dan kita terfikir mungkin boleh guna untuk motosikal di rumah.

Gred minyak pelincir kedua-duanya sama, sebagai contoh kereta kita menggunakan minyak bergred 10W-30, dan motosikal kita pun sama.

Kelikatan suhu sejuk dan panas (mengikut piawaian SAE) dah sama, dua-dua pun tuang dalam enjin. Boleh?

Jawapan mudah ialah tidak boleh.

Tugas dan fungsi berbeza

Sebab utama kenapa tidak boleh ialah kerana dari segi tugasan. Minyak pelincir kereta dan motosikal mempunyai tugas yang sangat berbeza.

Untuk kereta, tugas minyak pelincir hanyalah untuk mengalas dua permukaan dalam enjin yang bersentuhan. Tujuan supaya komponen tidak calar dan tidak rosak.

Jika anda perasan, kereta moden sekarang menggunakan kelikatan minyak yang rendah. Sebagai contoh, Perodua Bezza menggunakan minyak bergred 0W-20, ini dikira minyak yang nipis.

Sebabnya ialah kereta zaman sekarang ditala untuk jimat minyak dan mengurangkan pencemaran udara. Minyak nipis memudahkan komponen bergerak, dan suhu enjin juga tidak tinggi macam kereta prestasi. Jadi, okey sahaja untuk pemanduan harian.

Minyak takkan menjadi terlalu panas atau cair walaupun kelikatannya rendah.

Minyak berbeza untuk sistem berbeza

Kemudian, kereta mempunyai minyak lain, sebagai contoh minyak transmisi atau kotak gear, yang sangat berbeza dari minyak enjin. Kemudian dalam sistem penyejuk ada cecair lain iaitu coolant.

Untuk kereta, sistem berbeza akan menggunakan cecair berbeza yang khusus. Minyak pelincir enjin tidak boleh digunakan dalam transmisi dan begitu juga sebaliknya.

Minyak lebih kritikal untuk motosikal

Untuk motosikal pula – terutamanya yang cc kecil – minyak enjin direka untuk lebih dari satu tugas. Minyak inilah yang melancarkan dan melindungi enjin, minyak yang sama juga diguna dalam transmisi, dan ia juga yang sejukkan enjin.

Motosikal juga biasanya rev pada tahap lebih tinggi. Enjin lebih panas, jadi perlukan gred lebih likat. Secara ringkasnya, minyak pelincir motosikal lebih kritikal, tugas lebih keras.

Saiz enjin juga lebih kecil, maka ruang untuk laluan minyak pun lebih sempit. Kerana itu anda lihat syarat atau kelayakan untuk minyak pelincir enjin kereta dan motosikal cukup berbeza.

Untuk fungsi dan tugasan khas, maka formula juga berbeza.

Sebagai contoh, walaupun kelikatan yang sama, minyak pelincir kereta mempunyai agen friction modifier. Jika dituang dalam enjin motosikal, klac boleh slip atau tergelincir, menyebabkan pemanduan tidak efisyen. Lebih buruk lagi, boleh merosakkan komponen transmisi motosikal.

Jadi, sekarang anda faham kenapa minyak pelincir kereta dan motosikal berbeza, dan kenapa tidak boleh suka-suka dituang ke tempat yang tidak betul. Janganlah kita risikokan enjin kita semata-mata untuk jimat.

Paling mudah adalah rujuk buku manual kerata atau motosikal kita. Ada simpan lagi tak? Buku manual memberikan panduan paling tepat untuk jentera kita.

Untuk motosikal biasanya ada spesifikasi lebih khusus yang tiada pada kereta. Sebagai contoh 4T untuk enjin empat-lejang, JASO MA untuk sistem klac basah, atau JASO MB untuk skuter.

Semoga artikel ini bermanfaat! Jika anda bersembang dengan rakan di kedai kopi tentang bab ini, kongsikan artikel ini untuk lebih kefahaman.