Jika anda mengikut rapat perkembangan semasa Toyota, pastinya anda sudah terbaca beberapa berita yang menyebut tentang kemunculan semula satu nama ikonik – Celica.
Desas-desus tentang kemunculan semula nama Celica telah pun berlegar di alam maya sejak bertahun lamanya.
Namun begitu, segala spekulasi tersebut akhirnya terjawab apabila naib presiden Yuki Nakajima mengesahkan berita pembangunan model baharu Celica kepada umum ketika penganjuran Rally Japan pada November 2024.
Berita tersebut diperkuatkan lagi dengan laporan terbaharu di mana pengeluar itu telah pun mendaftarkan tanda dagang “GR Celica” di pasaran Brazil bertarikh 15 Januari dan diterbitkan secara rasmi pada 4 Februari yang lalu, menurut laporan Carscoops.
Dengan kewujudan perkara tersebut, ia mencadangkan bahawa model GR Celica akan turut ditawarkan di benua Amerika Selatan bersama-sama pasaran utama seperti Eropah dan Jepun.
Walau bagaimanapun, keputusan ini akan tertakluk kepada strategi pemasaran Toyota serta sama ada enjin baharu itu bakal mematuhi peraturan emisi yang dikhususkan untuk pasaran tersebut.
Terdapat beberapa laporan yang mencadangkan GR Celica akan disumbatkan dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo, dengan janaan kuasa sekitar 400 hp dan padanan sistem pacuan semua roda GR-Four.
Enjin baharu itu sebenarnya telah pun diperlihatkan oleh Toyota pada model GR Yaris M Concept, membawakan kod G20E yang diposisikan di bahagian tengah (mid-ship).
Dua persoalan timbul: Adakah GR Yaris M Concept ini sebenarnya petunjuk konfigurasi enjin GR Celica, atau ia sebenarnya merujuk kepada sebuah lagi model, iaitu pengganti MR2?