Tag Archives: toyota gr86

Toyota GR86 Yuzu Edition hadir untuk pasaran Amerika

11 tahun yang lepas, Toyota ada membawakan sebuah kereta sports edisi istimewa di bawah jenama ‘anak muda’, iaitu Scion FR-S Release Series 1.0.

Sayang sekali, disebabkan permintaan yang tidak memberangsangkan, jenama Scion digugurkan dalam tempoh dua tahun selepas model FR-S tersebut dilancarkan.

Kini, semangat yang dibawakan oleh kereta edisi terhad itu dikembalikan semula menerusi GR86 Yuzu Edition 2026, khas untuk pasaran Amerika Syarikat.

Bermula dengan varian Premium, Toyota telah menambah Performance Package yang terdiri daripada sistem brek Brembo dan peredam SACHS pada GR86 kuning ini.

Pembeli juga boleh mendapatkan aksesori seperti kit badan dan sistem ekzos empat tip untuk penampilan yang lebih menyerlah.

Akhir sekali, bahagian luaran jentera ini diserikan dengan warna kuning Yuzu diikuti dengan rim aloi 18 inci berwarna hitam kusam.

Ruang kabin GR86 ini turut diserlahkan dengan kemasan jahitan kuning menggantikan benang merah yang terdapat pada model sedia ada.

Dari segi kuasa, GR86 Yuzu Edition ini masih kekal dengan enjin boxer 2.4 liter aspirasi semula jadi menghasilkan 228 hp dan 250 Nm, dengan pilihan transmisi manual enam-kelajuan atau automatik enam-kelajuan.

Secara standard, jentera pacuan roda belakang ini dibekalkan dengan komponen pembeza gelincir terhad (LSD) Torsen.

Tidak seperti FR-S Release Series 1.0 yang dihadkan kepada 1,500 unit, Toyota menjadikan GR86 Yuzu Edition ini lebih istimewa dengan hanya 860 unit sahaja yang akan diproduksikan.

 

Toyota GR86 Yuzu Edition 2026

Scion FR-S Release Series 1.0 2014

Autobacs Super GT, Nihon Matsuri bakal meriahkan Litar Sepang 27-28 Jun ini

Acara perlumbaan Autobacs Super GT 2025 yang akan berlangsung pada 27 dan 28 Jun ini bakal menyajikan sesuatu yang istimewa, khusus buat para peminat budaya Jepun.

Menerusi kerjasama dengan acara tahunan Nihon Matsuri, Autobacs Super GT 2025 di Malaysia bukan sahaja mempamerkan aksi perlumbaan, bahkan menampilkan festival kebudayaan dan makanan Jepun.

Menariknya, hujung minggu tersebut bakal menyaksikan pusingan pertama perlumbaan GR86 Cup Series Malaysia 2025 melibatkan 30 buah jentera lumba GR86.

Menurut Fahrizal Hasan selaku Rakan Pengurusan HARO Sports & Entertainment berkata, “Super GT terus dikenali kerana atmosfera seperti karnival. Ia merupakan salah satu acara antarabangsa yang membolehkan peminat mendekati pelumba, pasukan dan jentera kegemaran.

“Tahun ini, Super GT Malaysia Festival 2025 akan menyaksikan sambutan menarik bertemakan kebudayaan Jepun.”

Pelbagai aktiviti yang telah disusun untuk para pengunjung termasuklah sesi pit terbuka, pit walk, safari litar, serta pameran pelbagai jenis reruai dan jualan cenderahati.

Tiket masuk ke Autobacs Super GT 2025 pusingan Malaysia sudah mula dijual sejak 27 Februari yang lepas.

Untuk tempoh masa terhad, pembeli boleh mendapatkan tiket bernilai RM80 untuk K1 Grandstand, RM200 untuk Main Grandstand, dan RM2,000 untuk lounge GT Club Paddock Hospitality di laman web www.supergtmalaysia.com.

Pusingan pembukaan Super GT 2025 akan berlangsung di Okayama International Circuit pada 13 April lalu, diikuti pusingan kedua di Fuji Speedway (4 Mei), dan pusingan ketiga di Malaysia (27-28 Jun).

Pusingan kelima pula mengambil tempat di Litar Suzuka pada 24 Ogos, diikuti Sportsland Sugo (21 September), Autopolis International Racing Course (19 Oktober) dan pusingan akhir di Mobility Resort Montegi (2 November).

Super GT menampilkan barisan pelumba dan pengeluar dari Jepun (Nissan, Lexus, Toyota, Honda dan Subaru) bertempur di dalam kelas GT500 dan GT300, serta tidak ketinggalan pengeluar jenama Continental seperti Aston Martin, Lamborghini, Mercedes-Benz, Ferrari dan BMW.

Malaysia kekal menjadi satu-satunya lokasi perlumbaan di luar Jepun untuk musim perlumbaan 2025 selepas kali terakhir Super GT dianjurkan di negara Thailand pada tahun 2019.

 

SEMA 2024: Toyota GR86 Rally Legacy Concept, ada enjin GR Yaris dan AWD GR-Four!

Selain daripada barisan trak kustom, Toyota juga mempunyai satu ‘menu’ istimewa untuk dihidangkan kepada para pengunjung acara pameran SEMA 2024.

Menu istimewa yang dimaksudkan itu ialah sebuah GR86 Rally Legacy Concept yang datang dengan penampilan yang diinspirasikan daripada jentera rali Toyota Celica WRC era 90-an.

Selain daripada liveri ala Castrol, jentera GR86 ini juga dilengkapi dengan mud flap merah menyala, rim putih, sayap belakang stail Celica GT-Four, serta gugusan lampu limpah pada hud enjin.

Lebih istimewa, GR86 ini dilengkapi dengan enjin tiga silinder sebaris G16E-GTS 1.6 liter turbo yang mampu menghasilkan 300 hp dan 370 Nm, dipadankan dengan sistem pacuan semua roda GR-Four yang dipinjam daripada model GR Corolla.

Untuk memuatkan enjin dan sistem pacuan GR Corolla pada GR86 bukanlah satu tugas mudah.

Para jurutera perlu menghasilkan rekaan subrangka dan cagak enjin kustom sebelum memuatkan enjin lengkap dengan hub, spindle dan gandar Corolla untuk roda hadapan.

Selain daripada itu, GR86 ini turut dipasangkan dengan komponen pembeza belakang untuk mengekalkan nisbah gear asal.

Untuk ruang kabin, anda boleh melihat kelibat tempat duduk perlumbaan dan roda stereng Sparco, sangkar keselamatan, dan tuil transmisi perlumbaan jenis sekuential menggantikan kotak gear manual yang asal.

Dengan kemunculan GR86 Rally Legacy ini, adakah ini membawa maksud Toyota sudah bersedia untuk menawarkan model Celica kepada para peminatnya kelak?

GR86 generasi baharu dijangka ganti enjin boxer Subaru dengan nadi GR Yaris – laporan

Perubahan peraturan emisi semasa yang semakin ketat menyebabkan Toyota terpaksa memendekkan jangka hayat model pacuan roda belakang GR86 sedia ada untuk memberi laluan kepada model pengganti.

Menurut laporan dari media Jepun Best Car Web, Toyota GR86 generasi baharu akan mengenepikan enjin bentangan mendatar 2.4 liter NA Subaru dengan enjin tiga silinder sebaris G16E-GTS yang wujud pada GR Yaris dan GR Corolla.

Perubahan ‘jantung’ ini dilihat mampu menjadi pengubah permainan untuk GR86, memandangkan kereta sports Toyota yang paling tulen itu mempunyai angka kuasa kuda yang agak rendah (228 hp) jika dibandingkan dengan model pesaing.

Sebagai perbandingan, GR Yaris dan GR Corolla masing-masing mampu menghasilkan kuasa 300 hp.

Selain penukaran enjin, Toyota juga akan menambah sistem hibrid pada GR86 baharu dengan tetapan yang hampir sama dijumpai dalam model SUV off-road Land Cruiser Prado (250 Series).

Secara keseluruhan, GR86 baharu ini boleh menghamburkan kuasa melebihi 300 hp yang memacu roda belakang menerusi pilihan kotak gear manual atau automatik.

Ini bukanlah kali pertama berita tentang perubahan nadi kuasa GR86 pernah dilaporkan.

Menurut sumber yang sama tahun lalu, Toyota dikatakan akan mengenepikan platform Subaru bagi memberikan laluan kepada casis Lexus IS yang lebih pendek.

Apa yang pasti, Toyota GR86 generasi baharu dengan enjin dan tetapan hibrid itu dilihat mampu untuk merapatkan lagi jurang kuasa yang wujud dalam segmen kereta sports kompak dan dalam masa yang sama mampu menggembirakan para peminatnya di seluruh dunia.

Sekolah ini akan ajar anda memandu pantas atas salji guna GR Corolla

Bermula tahun 2025, sebuah sekolah memandu di Colorado akan menggunakan khidmat barisan kereta sports Toyota Gazoo Racing, iaitu GR Supra, GR86 dan GR Corolla untuk program pemanduan musim sejuk.

Program pemanduan berprestasi tinggi ini akan menawarkan kursus selama satu atau dua hari, di mana setiap pelajar akan diberikan tunjuk ajar memandu di atas litar yang diliputi ais dan salji di Steamboat Springs.

Barisan jentera GR itu akan disediakan dalam versi manual dan automatik bagi membolehkan pemandu dari pelbagai latar belakang merasai sendiri pengalaman mengendalikan jentera beradrenalin tinggi itu.

Namun untuk program pemanduan yang biasa, sekolah itu masih lagi mengekalkan penggunaan kenderaan pacuan semua roda Toyota seperti sedan Camry, SUV Highlander dan 4Runner.

Dibuka sejak tahun 1983, Bridgestone Winder Driving School telah bertanggungjawab memberikan tunjuk ajar kepada hampir 100,000 orang pemandu untuk lebih yakin memandu di dalam keadaan jalan cengkaman rendah.

Bagi kami, program yang bagus sebegini wajar diperluaskan kepada rakyat Malaysia terutama pemilik kereta sports dan kenderaan elektrik (EV) supaya mereka dapat mempelajari aspek pengendalian kereta-kereta berkuasa tinggi dalam pelbagai keadaan cuaca.

Walaupun di Malaysia tiada musim salji, tapi kemahiran tersebut boleh diaplikasikan untuk pemanduan atas jalan licin, memandangkan sejak kebelakangan ini negara kita kerap menerima taburan hujan yang agak tinggi.

Hakikatnya, memang ramai orang yang mampu membeli kereta pantas, tapi hanya segelintir sahaja yang mempunyai kesedaran untuk menaik taraf kemahiran diri sendiri.

Nissan sedang bangunkan kereta sports Silvia!

Masih ingatkah anda dengan kereta sports konsep Nissan IDx yang diperlihatkan sebelas tahun yang lepas?

Ia merupakan antara model konsep yang cukup mencuri tumpuan, namun sayang sekali ia tidak direalisasikan disebabkan oleh kos pembangunan yang agak mahal, ditambah pula dengan permintaan pada ketika itu yang tidak memberangsangkan.

Namun begitu, pada tahun 2024 Nissan dilapor akan membangunkan kereta sports ketiga berprestasi tinggi selepas model Z dan GT-R.

Bercakap kepada media, naib presiden strategi produk global Nissan, Ivan Espinosa berkongsi tentang perancangan untuk menghidupkan semula model ikonik Silvia, biarpun pasaran kereta sports semakin mengecil.

“Saya cuba untuk merealisasikannya. Ia bukan mudah, kerana pasaran kereta sports semakin menguncup.

Beliau mendedahkan bayangan di mana Silvia akan lahir menjadi sebuah kereta sports berelektrik (diposisikan antara Z dan GT-R) supaya model baharu ini dapat memenuhi undang-undang emisi di seberapa banyak negara yang mungkin.

Dengan cara ini, Nissan dapat meningkatkan angka produksi untuk mencapai skala ekonomi yang diperlukan.

Selain itu, Nissan juga tidak akan mengikut jejak langkah pengeluar bekerjasama untuk membangunkan kereta sports seperti Toyota GR Supra/BMW Z4, dan Toyota GR86/Subaru BRZ.

Sebaliknya, Nissan mahu bersendirian membangunkan model Silvia baharu ini tanpa bantuan daripada mana-mana pihak.

Espinosa juga yakin Nissan dapat bergerak solo membangunkan model Silvia ini, walaupun mengakui projek ini sukar dan memperlukan pelaburan yang serius.

Apa yang pasti, Nissan Silvia pada masa hadapan tidak akan menjadi satu model yang terasing, memandangkan model itu bakal berdepan saingan sengit daripada pengeluar Jepun lain.

Seperti contoh, Mazda sedang membangunkan generasi baharu MX-5, Honda pula hadir dengan kereta sports Prelude, manakala Toyota GR86 pula mungkin akan dikemaskini dengan pakej enjin hibrid.

 

Toyota GR86 2025 dapat naik taraf aspek pengendalian, dan warna hijau eksklusif!

Toyota Jepun telah mengemaskini penawaran model kereta sports coupe pacuan roda belakang Toyota GR86 untuk model tahun 2025 dengan membawakan naik taraf yang dinanti-nantikan oleh para peminatnya.

Berbanding GR86 yang telah diperkenalkan sebelum ini, Toyota mendakwa GR86 2025 mampu menawarkan pengendalian yang lebih tajam serta perasaan pemanduan yang lebih terhubung dengan jalan raya.

 

 

Berdasarkan input yang diperoleh daripada litar lumba, Toyota telah menala kembali karakteristik sistem gantungan serta kawalan stereng berkuasa elektrik (EPS) jentera ini untuk respons dan pengendalian yang lebih jitu tanpa mengorbankan aspek kestabilan.

Untuk model bertransmisi manual, kawalan pendikit telah diubah semula untuk memudahkan pemandu membuat ‘throttle blipping‘, selain menawarkan tindak balas pendikit yang lebih terus-menerus.

 

 

Para jurutera Toyota turut mengubah aspek toleransi kelajuan enjin pada model GR86 bertransmisi automatik untuk pemanduan yang lebih sporti berdasarkan maklum balas pelanggan yang terlibat dalam sukan permotoran.

Selain daripada itu, Toyota GR86 2025 telah dikemaskini dengan penambahan ciri baharu seperti sistem amaran tekanan tayar serta lampu nyalaan siang (DRL).

 

 

Bagi mereka yang mahukan sesuatu yang lebih istimewa, Toyota Jepun turut memperkenalkan GR86 edisi “RZ Ridge Green Limited” yang dihadkan sebanyak 200 unit sahaja.

Ia membawakan warna hijau eksklusif pada bahagian luaran, rim 18 inci berwarna gangsa, rotor brek berliang Brembo, penyerap hentak SACHS, kemasan upholsteri kulit dan suede dua tona berwarna hitam/tan, serta sulaman istimewa pada panel pintu.

 

Toyota GR86 edisi Ridge Green Limited dijual pada harga bermula dari ¥3,897,000 (RM114,560) dan hanya boleh dibeli menerusi sistem cabutan bertuah yang akan ditutup permohonannya pada 28 Julai ini.

Mereka yang terlepas peluang boleh mendapatkan Toyota GR86 spesifikasi standard dengan harga jualan dari ¥3,195,000 (RM93,923) untuk versi manual sementara versi auto bermula dari ¥3,293,000 (RM96,804).

 

Toyota GR86 RZ Ridge Green Limited 2025


Toyota GR86 2025

Toyota GR86: Perihal analog, kamera filem, dan kereta latihan – Pandu uji

KADANG-kadang kelakar juga bila penulis baca komen-komen seperti, “Sekarang zaman moden, mana ada orang bawa kereta manual dah,” atau “Nak sangat pandu kereta manual, tunggu lah bila ‘jem’ nanti.”

Pertama: Walaupun automatik (CVT, torque converter, dwi-klac) lebih baharu, terdapat juga transmisi manual moden. Secara mekanikal masih manual tiga pedal, tetapi dengan fungsi-fungsi canggih seperti anti-stall dan rev-matching.

 

Apa salahnya kalau tahun 2030 pun ada kereta manual? Permintaan kereta manual meningkat semula di benua Eropah dan Amerika Utara beberapa tahun kebelakangan ini.

Kedua: Tiada siapa suruh anda pandu manual dalam ‘jem’ atau kesesakan trafik. Eh tetapi kereta-kereta manual terkini sangat mudah digunakan dalam semua keadaan.

Yang memberi penat waktu ‘jem’ bukanlah sebab sedang pandu manual, sebenarnya orang potong queue, tukar lorong tanpa signal, ‘wartawan jalanan’ sibuk perlahankan kenderaan untuk tengok kemalangan, ini semua yang bikin penat sebenarnya.

Panjang pula mukadimah ya. Tetapi hari ini kami ingin ceritakan mengenai Toyota GR86.

 

Seronok pula memandu uji sebuah kereta sports ‘basic’ yang ringkas; manual, tetapi moden dan terkini. Dalam lambakan SUV mewah dan kereta elektrik (EV) zaman sekarang, terasa macam ‘bercuti’ sebentar bersama GR86.

Alkisah kamera filem dan kereta latihan

Jika dulu orang membeli kereta dengan transmisi manual untuk lebih laju. ‘Dulu’ merujuk kepada zaman 1990-an, kerana pada masa itu automatik masih baharu, memang manual kekal versi yang lebih laju. Automatik hanya untuk lebih mudah dipandu.

Tetapi tidak untuk zaman sekarang. Transmisi automatik sudah betul-betul ‘terer’, sama ada torque-converter atau dwi-klac. Dipadankan dengan TCU (transmission control unit) yang menjadi ‘otak’-nya, banyak model automatik zaman sekarang yang sama atau lebih laju dari model manual.

Sebagai contoh Porsche 911 (992) GT3 versi PDK mampu mencatatkan masa lebih pantas di litar berbanding versi manual. Jadi, kenapa ada orang masih mahu manual?

Semata-mata untuk keseronokan dan kepuasan. Ya, bukan untuk lebih laju. Kita ambil contoh kamera analog yang menggunakan filem. Kenapa masih ada permintaan sedangkan kamera digital lebih mudah digunakan? Hanya halakan sahaja, tekan, tangkap, tadaa dapat foto bertaraf profesional.

Tetapi mereka yang menggunakan kamera analog filem (atau mod manual dalam kamera digital) mahukan lebih kepuasan. Mereka mengambil masa meneliti pencahayaan, subjek, memilih mod dan tetapan, kemudian barulah petik butang tangkap gambar. Maka foto itu menjadi seni, bukan sekadar foto.

Bila menggunakan mod lebih susah dan anda dapat hasil tiptop, di sinilah lahirnya kepuasan. Begitu juga dengan Toyota GR86 manual ini. Ia akan memaksa anda melatih kemahiran memandu. Anda akan ‘bekerja’ dan ‘bersatu’ dengan kereta ini untuk mencapai prestasinya yang maksima.

Jika kereta bertindak balas cemerlang, ia sebab anda. Jika kereta kedengaran tersalah tukar gear, juga sebab anda. Amacam, ada bran?

 

Dalam erti kata lain, Toyota GR86 akan menjadi satu platform sangat sesuai untuk anda melatih kemahiran memandu sebelum beralih kepada jentera lebih berkuasa. Sebagai contoh sebelum ini anda memandu Proton Satria Neo atau Suzuki Swift Sport, anda akan selesa ‘upgrade’ kepada GR86 sebelum pergi kepada kereta seperti Porsche Cayman, BMW Z4 atau mungkin Ford Mustang dan Nissan R35.

Tetapi ini tidak bermakna GR86 sebuah jentera ‘pertengahan’. Pemandu dengan kemahiran memandu tahap tinggi juga akan dapat menikmati Toyota GR86 sepenuhnya. Tak percaya, tanya Tengku Djan.

Praktikal dipandu harian?

Salah satu sebab orang keberatan membeli kereta sports adalah kekangan praktikaliti. Untuk Toyota GR86, penulis rasakan ia cukup okey untuk digunakan seharian, tidaklah melampau sukar.

Ruang pandangan sekeliling cukup bagus, mudah untuk diparkir dan dikemudi di ruangan sempit. Kemudian pandangan depan sempurna untuk GR86 dipandu laju, anda boleh ‘meletakkannya’ tepat di selekoh sama ada mahu ‘gigit’ apex secara semula jadi atau sedikit lambat di selekoh tajam 180-darjah.

Klac juga ringan sahaja. Penulis langsung tiada masalah memandunya dalam kesesakan trafik, mungkin juga kerana kereta harian penulis juga bertransmisi manual. Tetapi hakikatnya, klac dan gear Toyota GR86 ini mudah dikendalikan, tidak memerlukan banyak masa untuk membiasakan diri. Paling penting, pedal klac jenis besi atau ‘stainless steel’ ini sedap dipijak, malah buat kita rasa ‘special’.

Oh ya, keluar masuk dengan kerap mungkin memenatkan kerana posisi memandunya yang rendah. Tetapi ini fizik! Nak selesa dan tinggi, ambil SUV sahajalah.

Beli sementara ada!

Toyota GR86 merupakan antara kereta sports jenis ini yang terakhir, kerana dunia dilihat beralih ke arah elektrifikasi. Mungkin pengganti GR86 selepas ini mendapat bantuan sistem hibrid atau hidrogen. Jadi ia akan menjadi generasi dengan janaan petrol sepenuhnya yang terakhir.

Jika anda mempunyai kemampuan, belilah sementara ada. Juga ia menghargai hasil produk Akio Toyoda yang mengasaskan Gazoo Racing dan menjadikan Toyota satu jenama lebih bersukan atau ‘motorsport’ seperti hari ini.

Bagi penulis juga, Toyota GR86 menepati ciri kereta sports sejati yang klasik. Ia mempunyai prestasi pecutan yang cukup mengujakan, ditemani dengan bunyi sporti (walaupun ada janaan pembesar suara), dan paling penting, mempunyai respon dan maklum balas yang memberikan anda keyakinan dan kepuasan semasa memandu.

Kelemahan? Mestilah ada. Selain dari harganya yang masih di luar kemampuan penulis (ini hanya peribadi), kecekapan bahan apinya bagi penulis masih agak rendah. Dalam erti kata lain, bacaan penggunaan petrolnya tidak begitu menjimatkan walaupun dalam pemanduan biasa.

Ditambah pula enjin ini sangat digalakkan disuap dengan RON97, jadi bajet petrol anda perlu ditambah jika mahu memiliki GR86. Inilah pengorbanan untuk kereta sports!

Jika hendak beli, baik auto atau manual? Bila orang bertanya soalan ini untuk GR86 (dan GT86 sebelum ini), penulis terus terang katakana ambil manual untuk pengalaman maksima. Ya, GR86 dengan automatik cukup laju dan mengujakan juga, transmisi itu pun mantap dan ‘bijak’.

Tetapi dengan automatik, pengalaman GR86 anda seolah-olah terbantut 50 atau 60 peratus sahaja. Ambil manual untuk ‘unlock’ pengalaman maksima. Ia seperti Satria Neo atau Swift Sport automatik, lebih baik ambil Myvi sahaja jika anda mahu mudah dipandu.

You are missing the point, bak kata omputih.

Spesifikasi Toyota GR86

Harga: RM295,000 (RM305,000 automatik)
Enjin: 2.4-liter naturally-aspirated, 4-silinder, bentangan boxer
Kotak gear: Manual 6-kelajuan (atau automatik 6-kelajuan)
Kuasa: 234hp @ 7,000rpm
Tork: 250Nm @ 3,700rpm

Toyota GR86 40th Anniversary Limited rai legasi Corolla AE86

40 tahun yang lalu, Toyota telah melancarkan Corolla AE86 yang tidak disangka-sangka telah memberikan impak besar terhadap budaya kereta sport JDM.

Bagi meraikan peristiwa penuh makna itu, Toyota telah melancarkan model edisi istimewa GR86 yang dikenali sebagai ’40th Anniversary Limited’.

Seperti namanya, model ini akan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad iaitu 200 unit sahaja dan semuanya akan dijual di Jepun menerusi sistem loteri.

Model ini menggunakan varian RZ sebagai asas dan didatangkan dengan beberapa penambahbaikan yang melibatkan aspek kosmetik dan juga prestasi.

Dari segi penampilan, GR86 40th Anniversary Limited didatangkan dengan set pelekat berwarna hitam pada bahagian bawah pintu yang menampilkan tulisan “40th” dan “Since 1983”.

Ia juga boleh dibezakan dengan versi standard menerusi spoiler ducktail dalam warna Crystal Black Silica dan rim aluminium 18 inci berwarna Dark Grey Metallic. Ada dua sahaja pilihan warna sahaja iaitu Crystal White Pearl dan Spark Red.

Di dalam, anda akan menemui tulisan “40th” dan “Since 1983” yang sama pada panel pintu dan karpet, serta upholsteri berwarna merah dan hitam.

Sekarang, ke bahagian yang lebih penting iaitu prestasi. Model ini dilengkapi dengan penyerap hentak jenama Sachs untuk pengendalian yang lebih mantap dan cakera brek Brembo bagi memastikan ia boleh berhenti dengan lebih cepat.

Kedua-dua komponen ini bagaimanapun masih ditawarkan sebagai aksesori tambahan untuk pemilik varian SZ dan RZ.

Sayangnya, enjin boxer 2.4-liter empat silindernya tidak diberi sebarang naik taraf bermakna ia masih menghasilkan 234 hp pada 7,000 rpm dan 250 Nm pada 3,700 rpm.  Ia dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan yang menggerakkan roda belakang.

Sebagai sebahagian daripada kemas kini untuk model tahun 2024, Toyota telah menambah sistem ADAS Subaru Eyesight pada semua varian manual.  Bukan itu sahaja, Vehicle Stability Control (VSC) dan pendikit elektronik juga telah dioptimumkan.

Harga jualan GR86 40th Anniversary Limited bermula dari 3.822 juta yen (RM120,921) untuk versi manual dan 3.92 juta yen untuk versi automatik (RM124,022).

Toyota GR86 Trueno Edition bawa livery dwi-tona Initial D

TOYOTA dengan program Gazoo Racing mereka sememangnya berjaya menaikkan imej jenama untuk menampakkan bahawa mereka serius dengan sukan permotoran. Kemudian ini dizahirkan pula dengan produk-produk dengan semangat yang sama seperti GR Corolla, Yaris, dan Supra.

Begitu juga GR86, kereta sports coupe dua-pintu yang menawarkan casis seimbang, bunyi yang mantap serta kepuasan pemandu yang maksima. Terbaharu, Toyota GR86 Trueno Edition dihasilkan dengan warna hitam putih, mengembalikan kita ke tahun 1984.

Tahun itu adalah dimana Sprinter Trueno original dikeluarkan, atau lebih dikenalik sebagai AE86. Keret aini juga dipopularkan oleh siri anime Initial D. Bolehlah diibaratkan GR86 ini sebagai AE86 Trueno versi moden. Amacam?

GR86 Trueno Edition didatangkan dengan rim 18-inci baharu, lencana “TRUENO” di bampar depan dan belakang, dan grafik hitam pada panel pintu yang sepadan dengan warna hud depan.

GR86 ini juga tidak mengenakan rupa Trueno semata-mata, sebaliknya mendapat sedikit penambahan prestasi. Performance Pack pada GR86 ini memberikan suspensi Sachs dan brek Brembo. Oh ya, pemilik GR86 biasa juga boleh menambah Performance Pack ini kepada kereta mereka jika mahu.

Bahagian lain tidak berubaha pada GR86. Ia dikuasakan enjin 2.4-liter boxer 4-silinder naturally-aspirated yang menjana 232hp dan 250Nm tork. Enjin ini dipadankan dengan pilihan kotak gear automatik dan manual, kedua-duanya 6-kelajuan.

Pecutan 0-100 boleh dibuat dalam 6.3 saat, dan GR86 turut dilengkapi LSD di belakang.


GR86 Trueno Edition akan dihasilkan sebanyak 860 unit sahaja. Tiada harga didedahkan, tetapi GR86 yang dilancarkan di Malaysia pada Februari lepas ditawarkan pada harga bermula RM296k untuk manual dan RM306k untuk automatik.