Tag Archives: Toyota Hilux Champ

Toyota Hilux Champ versi SUV bakal dijual di Indonesia, harga anggaran RM111 ribu

Toyota Hilux Champ merupakan trak versi bajet yang dihasilkan oleh Toyota sebagai satu alternatif yang lebih mampu milik kepada trak pikap saiz pertengahan Hilux.

Selain menjadi kuda kerja, Hilux Champ juga sebenarnya berpotensi menjadi sebuah kereta penumpang – juga sebagai satu alternatif kepada Toyota Fortuner.

Di Indonesia, Hilux Rangga (nama lain bagi Hilux Champ) versi SUV akan ditawarkan secara rasmi oleh Toyota Astra Motor, dengan konfigurasi tiga baris, tujuh tempat duduk.

Kerja-kerja pembinaan badan SUV baharu itu akan dikendalikan oleh syarikat New Armada.

Boleh dikatakan seksyen hadapan SUV ini masih lagi mengekalkan reka bentuk asal Hilux Rangga, namun segalanya berubah bermula dari tiang B ke belakang.

Elemen rekaan bersegi banyak menguasai bahagian sisi dan belakang Hilux Rangga SUV, dan jika anda perasan struktur bumbung Rangga SUV adalah lebih tinggi berbanding Hilux Rangga versi trak pikap.

Di bahagian belakang, terdapat perkataan RANGGA pada pintu tailage, diikuti dengan unit lampu yang lebih asas rekaannya.

Ruang kabin Rangga SUV menampilkan susunan tempat duduk 2+3+2 yang dibaluti bahan seakan kulit.

Disebabkan kehadiran tempat duduk baris ketiga, ruang kargo adalah sedikit terhad, walaupun saiz keseluruhan lebih besar berbanding trak pikap.

Model Rangga SUV ini akan mula dijual di Indonesia pada tahun hadapan, dengan harga jualan anggaran bermula dari bawah Rp 400,000,000 (RM111 ribu).

Sebagai perbandingan, trak pikap Hilux Rangga paling murah mempunyai tanda harga Rp 188,700,000 (RM53 ribu), sementara Toyota Fortuner yang lebih besar saiznya berharga dari Rp 573,700,000 (RM160 ribu).

 

Toyota Hilux Champ diubah jadi motorhome, harga dari RM254k di Thailand

Di pasaran Thailand, syarikat Carryboy mula menawarkan pakej motorhome spesifikasi penuh untuk pemilik model trak pikap Hilux Champ yang mementingkan aspek keselesaan semasa mengembara.

Modul yang sama juga sebenarnya boleh dimuatkan pada trak pikap yang lebih besar seperti Toyota Hilux dan Mitsubishi Triton.

Bergantung kepada spesifikasi yang dipilih, motorhome ini mampu memuatkan sehingga enam orang pada satu-satu masa.

Ia menyediakan ruang tamu yang boleh diubah menjadi tempat tidur, selain kemudahan lain seperti sistem pencahayaan LED, ruang storan, peti sejuk 80 liter, dapur memasak, TV 32 inci dan unit pendingin hawa.

Di bahagian luar, Carryboy turut memasang tempat pemijak sisi berkuasa elektrik, bumbung awning dan opsyen dapur memasak yang boleh ditarik keluar.

Terdapat tangki air bersih sebesar 100 liter untuk kegunaan bilik air dan tandas.

Motorhome ini turut didatangkan dengan bateri berkapasiti 9,600 Wh yang boleh dinaik taraf kepada 19,200 Wh atau 28,800 Wh untuk mereka yang mahu bertahan di luar grid untuk tempoh masa yang lebih lama.

Pemilik juga boleh memanfaatkan cuaca panas dengan memasang panel solar pada bumbung untuk memanjangkan tempoh hayat bateri.

Kuasa enjin masih lagi standard, di mana nadi diesel 2.4 liter itu berupaya menjana kuasa setinggi 148 hp dan 343 Nm yang memacu roda belakang menerusi kotak gear automatik.

Namun begitu, pihak Carryboy turut menawarkan opsyen naik taraf sistem gantungan dengan penyerap hentak baharu yang dapat meninggikan lagi jarak kelegaan tanah Hilux Champ.

 

Untuk mereka yang mahukan pakej lebih ringkas, Carryboy menawarkan Touring Package, merangkumi modul belakang yang menempatkan ruang storan tersusun, serta khemah bumbung yang boleh membuatkan dua orang dewasa.

Harga untuk Touring Package ini bermula dari THB 450,000 (RM57,298) untuk modul belakang, serta TBH 32,500 (RM4,138) untuk khemah bumbung.

Yang mana mahukan pakej motorhome yang lebih lengkap itu tadi boleh menyediakan wang bermula dari THB 1,997,000 hingga THB 2,389,000 (RM254k-RM304k).

Walaupun menggunakan nama Hilux, Hilux Champ sebenarnya memiliki saiz yang lebih kecil, dan diposisikan di bawah model trak pikap tersebut sebagai satu alternatif yang lebih ringkas dan mampu milik (harga dari THB 459,000 atau RM58,444).

Toyota Hilux Champ dilancarkan di Thailand, trak pikap basic berharga dari RM61k

TRAK pikap Toyota IMV 0 yang dipertontonkan dalam bentuk konsep di Thailand pada Disember tahun lalu, kini telah secara rasminya dilancarkan di pasaran Thailand sebagai Hilux Champ.

Toyota Motor Thailand menawarkan lapan gred Hilux Champ untuk memenuhi pelbagai jenis gaya penggunaan dan keperluan perniagaan.

Kesemua lapan gred didatangkan dalam bentuk single cab dengan dua pintu dan dua tempat duduk. Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan jarak roda pendek atau panjang, dengan ukuran panjang dari 4,970 mm hingga 5,300 mm.

Apa yang menarik, dek Hilux Champ mempunyai lubang bolt bagi membolehkan pemilik memasang aksesori kustom dengan mudah.

Toyota Motor Thailand berkata terdapat lebih 100 pengeluar aksesori yang boleh memenuhi keperluan pelanggan yang ingin mengubahsuai trak mereka.

Dari segi reka bentuk, Hilux Champ mengekalkan reka bentuk trak pikap bajet IMV 0 dengan bahagian hadapan ala Land Cruiser, rim kompang berwarna hitam dan lampu halogen (lampu LED ditawarkan sebagai opsyen).

Ruang dalamannya pula ringkas, dengan sistem pendingin hawa, dua pemegang cawan, outlet kuasa dan beberapa ruang storan. Paparan infohibur dan sistem multimedia tidak disediakan.

Untuk pasaran negara itu, Hilux Champ boleh didapati dengan tiga pilihan enjin iaitu petrol 1TR-FE 2.0-liter dengan 137 hp/183 Nm, petrol 2TR-FE 2.7-liter dengan 164 hp/245 Nm dan turbodiesel 2GD-FTV 2.4-liter dengan 148 hp/343 Nm.

Enjin 1TR-FE hanya ditawarkan dengan transmisi manual lima kelajuan, manakala dua enjin lagi boleh didapati dengan transmisi automatik enam kelajuan. Ketiga-tiga enjin adalah pacuan roda belakang, tiada varian 4WD ditawarkan buat masa ini.

Harga jualan Hilux Champ bermula dari 459,000 baht (RM61,285) hingga 577,000 baht (RM77,040). Model ini dipasang di kilang pengeluaran Toyota di Rayong.