Tag Archives: toyota vios

Toyota Vios, masih lagi berbaloi dibeli tahun 2025? – Pandu Uji

Pembeli di Malaysia yang mahukan sedan segmen B sangat bertuah, kerana kita dihidangkan dengan beberapa model menarik seperti Honda City, MG5, Nissan Almera, Proton Persona serta tidak ketinggalan Toyota Vios.

Ia merupakan satu segmen yang cukup tepat dan sesuai untuk mereka yang mahu menaik taraf kenderaan harian yang lebih besar setelah puas menggunakan hatchback bajet yang kecil.

Ada kabin yang selesa untuk seisi keluarga, ruang kargo yang cukup besar, serta bermacam-macam teknologi moden, seiring dengan perkembangan semasa.

Paling penting, kos cukai jalan saban tahun yang masih lagi berada di dalam julat kemampuan setiap pembeli.

Sedan Toyota Vios telah pun dilancarkan secara rasmi pada tahun 2023, tapi pada ketika itu mungkin ramai yang masih belum dapat menerima reka bentuk yang agak agresif itu.

Namun, Vios ternyata kian mendapat tempat di hati netizen, di mana untuk tahun 2024 ia menjadi salah satu daripada 10 model paling popular di Malaysia, hanya beza 1,900 unit sahaja di belakang Honda City.

Setelah dua tahun berlalu, adakah Vios masih lagi berbaloi untuk dimiliki untuk tahun 2025? Kalau anda tanya kami, jawapannya: Ya!

Ada lima perkara yang buatkan kami rasa Vios sesuai dipertimbangkan oleh anak muda.

 

1. Penampilan luar nampak lebih mahal

Jika dulu-dulu, Vios mempunyai penampilan sedan yang biasa-biasa sahaja. Malah ada satu generasi Vios itu dikaitkan dengan haiwan dugong, disebabkan rekaannya yang agak bulat.

Namun, Vios generasi baharu ini tampil lebih garang dan mengingatkan kita kepada sedan Toyota yang lebih besar seperti Corolla dan juga Camry.

Perasan tak, muka depan Vios ini terlebih awal membawakan pendekatan elemen rekaan ala ikan yu kepala tukul, sebelum Toyota mempopularkannya menerusi model Prius dan Crown?

Reka bentuk sedan fastback, rim 17 inci, diffuser, elemen aerodinamik serta padanan kit badan juga sedikit sebanyak menyumbang kepada rupa paras agresif sedan ini

Lebih penting, Vios tidak perlu lagi rasa rendah diri kerana ia kini boleh boleh duduk sebaris dengan dua sedan yang kami senaraikan itu tadi.

 

2. Lebih seronok dipandu

Vios bukan sekadar membawakan kulit luar baharu, ia kini menggunakan asas daripada platform serba baharu menerusi kerjasama dengan Daihatsu.

Platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA-B) yang dikongsi bersama model Perodua Alza/Toyota Veloz itu ternyata membawakan manfaat yang besar dari segi pengendalian dan keselesaan.

Pendek kata, Vios sekarang dah lebih sedap dipandu berbanding Vios terdahulu!

Penulis mencuba sendiri gandingan talaan stereng, suspensi, dan casis yang harmoni itu semasa pulang ke kampung halaman baru-baru ini.

Dinamik pemanduan yang lebih baik ini disumbangkan oleh respons stereng yang lebih tepat, serta menawarkan lebih banyak maklum balas dalam apa jua keadaan.

Amat mudah untuk menjangkakan pergerakan badan sedan ini terutama apabila dipandu sedikit agresif, ditambah pula dengan talaan suspensi yang agak bagus untuk memastikan kereta ini stabil di laluan berselekoh.

Ada kalanya, penulis rasa terlalu seronok meratah setiap selekoh yang wujud sebelum diingatkan semula oleh amaran bunyi sistem pengelakan keluar lorong (LDW) yang ada pada Vios.

Bagaimana pula dengan prestasi enjin?

Seperti yang anda maklum, Vios menggunakan enjin 1.5 liter berkuasa 104 hp dan 138 Nm – atas kertas nampak kurang berkuasa berbanding model pesaing.

Ya, kami akui masih wujud bunyi bising enjin yang masuk ke dalam ruang kabin apabila nadi tersebut dikerah, tapi ia hanyalah bersifat sekali sekala. Tapi kalau kaki kanan berat, itu cerita lain.

Kebanyakan masa, Vios tidak mempunyai masalah untuk mencapai kelajuan yang diinginkan, bahkan untuk naik ke kawasan pergunungan juga bukanlah satu masalah besar.

Ini kerana Vios sebenarnya telah ditala untuk penggunaan bahan api yang lebih ekonomi, di mana Toyota mendakwa ia mampu mencapai kadar penggunaan bahan api 5.2 liter/100 km.

Satu perkara yang berjaya meletakkan Vios satu tangga lebih baik berbanding sebuah pesaing jenama tempatan.

Pengalaman penulis pulang ke kampung halaman yang terletak di titik tengah Semenanjung tempoh hari nampaknya tidak memerlukan pengisian bahan api yang kerap.

 

3. Keselesaan nombor satu

Selain faktor pemanduan, apa yang membuatkan Vios rasa lebih mahal ialah persekitaran ruang kabin yang cukup senyap sepanjang perjalanan.

Talaan suspensi standard yang diberikan pada Vios bukan sahaja membuatkan ia sedap dipandu, akan tetapi cara ia beroperasi untuk memastikan segala kekasaran dan gegaran hasil sentuhan tayar dan permukaan jalan berada pada tahap yang minimum.

Hasilnya, ruang kabin yang selesa dan senyap, bahkan bunyi bising angin juga sukar untuk didengari pada kelajuan lebuh raya yang normal.

Satu kekurangan ketara Vios ialah tempat duduk larasan manual, baik untuk pemandu dan juga penumpang hadapan.

Cuma bagi kami, kelemahan ini boleh dimaafkan kerana dimensi kusyen yang sangat menyokong postur tubuh badan penumpang, terutama pada bahagian bawah peha.

Untuk mereka yang gemar melakukan perjalanan jauh, ia merupakan satu ciri yang sangat penting untuk memastikan keselesaan sepanjang pemanduan, jadi badan tidaklah rasa terlalu penat.

Rekaan ruang kabin Vios juga merupakan satu anjakan besar yang dibawakan oleh Toyota untuk membezakannya dengan Vios lama.

Penggunaan bahan dan kemasan warna yang nampak lebih mahal, serta susun atur papan pemuka yang lebih ringkas juga berjaya membuatkan Vios nampak lebih premium, walaupun pada hakikatnya ia banyak berkongsi komponen dengan model Daihatsu.

Seperkara yang penulis perasan, walaupun terdapat jurang panel (panel gap) pada papan pemuka, sukar untuk kami mengesan gegaran yang wujud tatkala sedan ini melepasi laluan yang tidak rata, menunjukkan kualiti pemasangan yang cukup baik dari kilang.

Cuma penulis berharap tombol kawalan pendingin hawa itu boleh dipertingkatkan penampilannya supaya lebih selari dengan imej premium papan pemuka yang cuba dibawakan.

Kualiti angin sejuk yang dihasilkan Vios ini bukanlah satu benda main-main, sememangnya sangat efektif untuk memastikan kabin kekal selesa melihatkan keadaan suhu Malaysia yang panas terik di siang hari.

 

4. Ciri moden pada Vios

Selari dengan perkembangan semasa, Vios juga tidak boleh lari daripada menampilkan beberapa ciri yang lebih canggih berbanding model pesaing.

Salah satu daripadanya ialah skrin kluster digital dengan beberapa pilihan paparan grafik yang boleh diubah. Kalau tak suka dengan paparan analog, boleh pilih paparan meter sekaan GR Corolla.

Vios juga ada dilengkapi dengan sistem kamera 360 darjah untuk menjadikannya lebih rasa mahal berbanding model pesaing.

Imej paparan yang terhasil juga cukup jelas, sangat membantu para pemilik untuk memastikan tubuh badan Vios yang cantik ini tidak dicalarkan oleh sebarang bendasing, terutama di kawasan sempit.

Akhir sekali, Vios dilengkapi dengan sistem brek parkir elektronik (EPB), lengkap dengan fungsi Auto Hold. Fungsi yang sangat membantu terutama ketika terperangkap dalam kesesakan trafik.

Ciri keselamatan Vios juga bukan calang-calang, ia ada sistem pra-pelanggaran (PCS) yang sangat efektif mengelakkan pelanggaran yang tidak disengajakan, kawalan jelajah adaptif (ACC), serta amaran pergerakan hadapan (FDA) untuk mengejutkan pemandu yang terleka di persimpangan lampu isyarat.

Ciri amaran keluar lorong (LDW) juga berfungsi dengan baik, di mana penulis amat suka dengan notifikasi seakan bunyi amaran yang juruterbang biasa dengar di kokpit kapal terbang.

Tidak ketinggalan, sistem pemantauan titik buta (BSM) serta amaran lintasan trafik belakang (RCTA) untuk memastikan pemanduan seharian kekal selamat sepanjang masa.

 

5. Kelemahan yang boleh dimaafkan

Seperti yang anda tahu, Vios juga mempunyai beberapa kelemahan, seperti ketiadaan tayar simpanan dan tempat duduk belakang yang tidak boleh dilipat.

Menurut Toyota, kebanyakan pengguna tidak menggunakan kedua-dua fungsi tersebut, jadi ia tidak ditawarkan pada Vios baharu.

Ketiadaan tayar simpanan membolehkan ruang simpanan tersembunyi yang lebih besar tersedia pada bahagian belakang.

Bagaimana pula dengan hal tempat duduk belakang itu tadi?

Dua tahun lepas, Ketua Jurutera Pembangunan Vios, Kamino Hideyuki mendedahkan ketiadaan mekanisme lipatan tempat duduk belakang telah digantikan dengan palang pendakap untuk menjadikan casis Vios baharu ini lebih tegar.

Secara keseluruhan, Vios ini lebih ringan 110 kg berbanding model terdahulu. Bak kata orang puteh: Weight reduction bro!

Bagi kami, dua kelemahan ini masih boleh dimaafkan, kerana manfaat pemanduan dan pengendalian yang jauh lebih baik wujud pada Vios ini berbanding model terdahulu.

Secara kesimpulannya, Toyota Vios merupakan sebuah sedan segmen B yang masih lagi berbaloi untuk dipertimbangkan dan dimiliki bagi tahun 2025, jika anda mempunyai bajet sekitar RM100 ribu dan mahu menaik taraf kepada kenderaan yang lebih besar dan praktikal.

Lebih penting, Vios kini sebuah kereta yang lebih seronok untuk dipandu!

 

Spesifikasi Toyota Vios

Enjin: empat silinder sebaris, 2NR-VE, 1.5 liter aspirasi semula jadi
Kuasa: 104 hp @ 6,000 rpm
Daya kilas: 138 Nm @ 4,200 rpm
Transmisi: D-CVT tujuh-kelajuan
Suspensi: Topang MacPherson/torsion beam
Harga: RM96,600

Pusingan akhir Vios Challenge musim ke-7 di Litar Sepang hujung minggu ini

Sedar ataupun tidak, Vios Challenge musim ketujuh yang dianjurkan oleh Toyota Gazoo Racing kini semakin menghampiri penghujungnya pada akhir minggu ini.

Perlumbaan Vios Challenge musim ketujuh ini dilihat lebih mencabar dan sukar untuk diduga dengan pengenalan jentera lumba Vios generasi keempat yang dipandu oleh 34 orang pelumba dari tiga kategori berbeza: Super Sporting, Sporting dan Rookie.

Bermula pada Ogos tahun lepas, Vios Challenge musim ketujuh menampilkan tiga pusingan dan enam perlumbaan individu yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM630,000.

Kelas Super Sporting bakal menyaksikan pertempuran antara pelumba hebat seperti Naquib Azlan (Axle Sport), juara bertahan Mitchel Cheah (Prima TD Racing), Freddie Ang (Telagamas), Amer Harris (Laser Motor Racing) dan Hayden Haikal (TD Racing).

Juara keseluruhan bakal membawa pulang hadiah RM80,000, diikuti RM60,000 di tempat kedua dan RM40,000 di tempat ketiga.

Dalam Kelas Sporting, terdapat beberapa calon yang bakal dinobatkan sebagai juara termasuklah Elson Lew (BAE Racing by ES Young), Kenneth Koh (PCM Group Racing), serta Shafiq Samsudin (Race Rally KL).

Kategori ini menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM60,000, RM40,000 dan RM20,000 kepada juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga.

Sementara itu, Kelas Rookie yang menampilkan pemandu muda di bawah program GAZOO Racing Young Talent Development turut menyaksikan persaingan hebat antara Adam Mikail (18 tahun) yang mencatatkan tiga kemenangan, diikuti Brandon Ho (22 tahun) yang meraih empat kedudukan podium, serta Raja Amirul Syauqat (21 tahun) yang berjaya menduduki tempat kedua dan ketiga dalam dua perlumbaan terakhir.

Acara perlumbaan akhir Vios Challenge musim ketujuh akan berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang akan menjadi acara tertutup namun ia bakal disiarkan secara langsung di semua platform media sosial UMW Toyota Motor.

Selain acara perlumbaan, Toyota Malaysia juga bakal memperkenalkan tiga model berprestasi tinggi, iaitu GR Corolla facelift, Corolla GR Sport serta GR Yaris facelift.

 

Wing Hin rangkul kemenangan Idemitsu Super Endurance Thailand dalam kemunculan pertama

BARU menyertai perlumbaan Idemitsu Super Endurance 600 Southeast Asia Trophy, pasukan Wing Hin Motorsports dari Malaysia telah muncul juara dalam kelasnya.

Dalam perlumbaan di Chang International Circuit di Thailand itu, kesemua tiga kereta berjaya menamatkan perlumbaan yang terdiri dari keseluruhan 64 kereta.

Toyota Vios #483 yang dipandu oleh Boy Wong dan Dannies Ng menjuarai D4 Class dan tamat di tempat ke-9 keseluruhan.

Toyota Yaris #338 dipandu Naquib Azlan dan Mitchell Cheah tamat di tempat ketiga dalam D3 Class, manakala Toyota Yaris #339 dipandu Amer Harris dan Nabil Azlan di tempat ketujuh dalam D3 Class.

Kemenangan dalam perlumbaan ini juga menandakan tiga kejayaan buat Wing Hin Motorsports di Thailand tahun ini. Mereka sebelum ini menjuarai D5 Class di Idemitsu Super Endurance 400 Minutes (September) dan Idemitsu Super Turbo Championship Junior.

“Hujung minggu ini menyaksikan kami berlumba dalam D4 Class bagi segmen enjin dan D3 Class untuk keseluruhan dan kami sangat teruja dengan keputusan walaupun terdapat banyak cabaran di litar,” kata prinsipal pasukan Wing Hin Motorsports, William Loh.

“Menamatkan tahun ini dengan kemenangan Class, dan kesemua tiga kereta dalam kelompok 20 teratas menjadi penamat yang hebat untuk musim ini. Kami pasti akan kembali, malah lebih berdaya saing,” katanya.

Netizen berdebat video Proton S70 vs Toyota Vios vs Honda City – ini penerangan asas teknikal

PROTON telah mendedahkan sedan terbaharu mereka iaitu S70 dan seperti dijangka, ia mencetuskan hype dan perbualan hangat di media sosial, group-group sembang, malah di kedai kopi.

Proton S70 merupakan sedan pertama kelahiran hasil kerjasama syarikat nasional itu dengan Geely, selepas tiga model SUV sebelum ini iaitu X70, X50, dan X90.

Menurut Proton, S70 dibangunkan dari platform segmen-B (pesaing Vios, City, Almera) tetapi dengan penawaran saiz segmen-C (dalam liga Civic dan Corolla).

Walaubagaimanapun, bukan itu yang hendak kami ceritakan, kerana anda semua sudah tahu. Sebaliknya, berkenaan perdebatan antara netizen berkenaan Proton S70 vs Toyota Vios vs Honda City.

Dalam satu perkongsian netizen di group Toyota Vios 4th Gen 2023 di Facebook, seorang ahli memuatnaik tangkap layar dari video pandu uji oleh Bobby Ang, berkenaan pengendalian S70 berbanding Vios dan City.

Dari gambar itu, Bobby Ang membalas komen berkata, “Ya, kedua-dua Vios dan City mengatasi S70 dalam belokan dan pengendalian. Keselesaan saya rasa S70 jauh lebih baik.”

Rata-rata netizen ‘melompat’ dengan kenyataan itu, seolah-olah tidak boleh menerima hakikat bahawa handling (pengendalian) Honda atau Toyota lebih baik dari Proton (dalam segmen yang sama).

Penulis bukan mahu menyebelahi sesiapa, malah penulis juga pemilik Proton, model R3 lagi. Tetapi kita harus ingat, Proton sekarang bukan lagi yang dulu, malah normal untuk sesebuah pengeluar berubah dan berevolusi.

Jika dilihat model-model terkini Proton juga, rata-ratanya lebih terarah kepada keselesaan dan mungkin aspek premium, jadi apa salahnya? Tiada yang pelik. Proton masih tidak meninggalkan terus R3, cuma ia bukan fokus utama mereka buat masa ini.

Komen tanpa pemahaman teknikal?

Sementara itu, penulis tertarik untuk mengulas mengenai konsep asas mengenai dinamik sesebuah kereta, berdasarkan komen-komen di siaran itu.

“Boleh tengok masa drag race berapa banyak kereta itu ‘menunduk’ semasa membrek, dari situ boleh agak body roll (olengan)”.

Harus diketahui, berapa banyak kereta menunduk semasa membrek atau mendongak semasa memecut tidak boleh dikaitkan dengan olengan badan (body roll). Ini kerana olengan badan dikawal oleh anti-roll bar (bar anti-oleng).

Jika kereta A lebih banyak menunduk semasa membrek berbanding kereta B, tidak bermakna olengan badan kereta A di selekoh lebih banyak. Jika kereta A menggunakan anti-roll bar lebih tebal dan keras, ia pasti mempunyai olengan badan kurang berbanding kereta B di selekoh yang sama.

“Dia tak pernah bawa City ke? Membuang weh kereta itu.”

Apa yang dimaksudkan dengan ‘membuang’? Adakah bermaksud banyak olengan badan di selekoh, atau mudah hilang cengkaman?

Lagi sekali, olengan badan bergantung kepada bar anti-oleng dan faktor-faktor lain seperti penyerap hentak. Dan kereta yang mempunyai banyak olengan badan tidak bermaksud pengendaliannya tidak bagus, kerana ia bab yang rumit dan kompleks.

Jika ‘membuang’ tadi merujuk kepada hilang cengkaman, makai a bergantung kepada banyak faktor juga; jenis tayar, saiz tayar, keadaan permukaan jalan, berat kereta, suhu persekitaran. Dan adakah dakwaan ‘membuang’ itu dibuat selepas ujian terkawal di tempat dan masa yang sama?

“Serius? Walaupun selepas Proton menala semula pengendalian untuk disesuaikan dengan jalan raya Malaysia.”

Difahamkan Proton telah memberikan input dan ‘perisa’ mereka sendiri untuk S70 ini berbanding kereta asal, Geely Emgrand. Menurut Proton, sebanyak 75,000 jam dengan perjalanan sejauh 1.2 juta km telah dihabiskan untuk penalaan suspensi.

Tetapi itu tidak bermakna ia ditala dan dibangunkan untuk menjadi paling sporti dan paling dinamik. Mungkin ia ditala untuk lebih keselesaan, atau untuk keseimbangan.

Kenapa mesti bila Proton memberikan input sendiri, ia perlu mengalahkan City dan Vios dalam bab pengendalian? Salahkah kalau Proton mahu sedan itu selesa dan terasa lebih premium?

Gambar oleh: Practical Motoring

Apa pun, bab pengendalian, kualiti, dan kepuasan pemanduan ini suatu topik yang luas dan rumit. Ada kereta kurang 200hp dengan olengan badan yang banyak seperti Mazda MX-5 lebih terasa mantap pengendaliannya dari supercar mid-engined lebih 600hp dengan badan flat semasa di selekoh.

Ada juga kereta yang berkuasa, laju, tetapi masih selesa kerana menggunakan suspensi aktif atau adaptif.

Akhir sekali, kita harus faham kenapa pengeluar menala kereta sebegitu, tidak semua mempunyai matlamat yang sama. Kita pula haruslah menjadi pengguna bijak, berdebat guna otak dan bukan emosi kerana taksub sesuatu jenama.

Toyota Gazoo Racing S6R3 catat lebih 10,000 pengunjung, empat juta penonton

MUSIM keenam bagi Toyota Gazoo Racing Festival melabuhkan tirainya hujung minggu lalu dengan meraikan para peminat, pasukan, dan pelumba yang menjadikan siri itu sebagai salah satu perlumbaan one-make paling utama di negara ini.

Pusingan finale selama dua hari itu yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang mencatatkan lebih 10,000 pengunjung dan sejumlah empat juta penonton online.

Malah UMW Toyota Motor Sdn Bhd juga dikurniakan anugerah oleh Motorsports Association of Malaysia (MAA) atas usaha mereka mempromosikan sukan permotoran kepada orang awam dan menyumbang kepada pembangunan bakat-bakat baharu dalam bidang ini.

“Format one-make race akan dikekalkan dan ditambah baik untuk masa depan. Ini bagi mengekalkan objektif kami yang bukan sahaja menjadikan perlumbaan ini adil dan bergantung kepada kemahiran, tetapi juga menjadikan sukan permotoran lebih mudah disertai dari segi kos,” kata Datuk Ravindran, Presiden UMW Toyota Motor.

Sejumlah 45 pemandu berentap dalam kesemua kelas perlumbaan iaitu Super Sporting, Sporting, Rookie, dan Promotional. Kesemua pelumba menggunakan peluang pusingan akhir ini untuk merebut takhta juara Season 6 dalam kelas masing-masing.

Toyota Gazoo Racing Festival pusingan akhir ini dibuka untuk orang awam dan menyajikan pelbagai aktiviti di dalam dan luar litar.

Selain aksi perlumbaan, pengunjung juga dapat bersama selebriti dalam sesi meet and greet, selain melawati pelbagai gerai makanan serta jualan Tempatan Fest.

Pusingan akhir ini menyaksikan aksi pertama bagi jentera lumba GR Vios Challenge generasi baharu dalam kelas Promotional. Bermula Season 7, kesemua pasukan dalam kelas-kelas lain juga akan menggunakan jentera lumba baharu ini.

Jentera lumba GR Vios Challenge generasi baharu dengan platform DNGA bakal bersaing dalam Season 7

JENTERA lumba GR Vios Challenge generasi terbaharu didedahkan secara rasmi semalam di Litar Antarabangsa Sepang, diasaskan dari Toyota Vios 2023 dengan platform DNGA (Daihatsu New Global Architecture).

Dipersembahkan dalam pusingan akhir Festival Toyota Gazoo Racing yang berlangsung hujung minggu ini (30 September hingga 1 Oktober 2023), GR Vios itu bakal digunakan sepenuhnya oleh semua pelumba dan pasukan Vios Challenge Season 7 tahun depan.

Tetapi untuk perlumbaan hujung minggu ini, para pelumba selebriti dalam Promotional Class menjadi kumpulan pertama ‘merasmikan’ GR Vios baharu itu di litar.

GR Vios ini akan terus menggunakan enjin 1.5-liter yang kita sudah sedia kenal, dengan kotak gear manual 5-kelajuan. Tetapi dengan platform DNGA baharu, ia membawakan sebuah pelantar yang lebih tegar, stabil, serta aerodinamik lebih baik untuk para pelumba.

Penambahbaikan di bahagian casis memberikan pengendalian jauh lebih baik menurut Toyota, menjadikan Vios ini lebih stabil di selekoh, lebih responsif dari imput pemandu, dan mampu mencatatkan pusingan masa lebih pantas.

Selain enjin dan kotak gear manual yang dikira sama dengan kereta yang dijual bilik pameran, naik taraf di bahagian lain menjadikan Toyota Vios ini sebuah jentera lumba yang kompetitif. Antaranya adalah roll-cage 6-poin, tempat duduk lumba, dan tali pinggang 6-poin yang mematuhi piawaian FIA.

Vios ini juga mendapat sistem ekzos perlumbaan, suspensi talaan lumba, LSD (limited-slip differential), dan beberapa kelengkapan lain. Perincian adalah seperti di bawah:

Semua pasukan dan individu yang menyertai Vios Challenge kini boleh membeli kereta baharu untuk perlumbaan Season 7 tahun depan.

Selama enam musim perlumbaan setakat ini, GR Vios Challenge telah menjadi siri perlumbaan sedan one-make yang utama, menarik bukan sahaja pelumba berpengalaman malah menjadi medan bangkitnya bakat-bakat baharu dalam sukan permotoran negara ini.

Bagi pasukan dan pemandu yang ingin membuat pendaftaran Season 7 serta pembelian kereta baharu, bolehlah menghubungi Race Management di talian 016-367 3300 (Janet).

Toyota Gazoo Racing pusingan akhir untuk Season 6 saji pelbagai aktiviti menarik

ANDA mahu mencari aktiviti unik bertemakan motorsport tapi mesra keluarga hujung minggu ini? Mungkin anda boleh datang ke Toyota Gazoo Racing (TGR) Festival di Litar Antarabangsa Sepang. Hujung minggu ini merupakan pusingan akhir untuk musim keenam bagi siri perlumbaan Vios Challenge.

Festival ini percuma dan dibuka untuk semua orang, dengan dua hari perlumbaan pada Sabtu dan Ahad kemudian pelbagai aktiviti menarik di kawasan luar litar.

Antaranya adalah persembahan konsert, sesi ‘meet and greet’ dengan selebriti TGR, dan akan berlangsung juga Tempatan Fest yang menghimpunkan gerai-gerai makanan, aksesori vintej, street wear, dan seni.

“Finale musim ini diadakan khas sebagai penghargaan kepada anda semua dan meraikan para peminat yang menjadi tunjang kepada kejaraan festival TGR,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K.

“Selama enam musim perlumbaan, lebih 18 juta penonton (di lokasi) dan online telah menonton siri perlumbaan ini, menjadikannya salah satu siri perlumbaan ‘one make’ yang utama di Malaysia.”

Untuk perlumbaan hujung minggu ini, para peminat bakal menyaksikan penampilan sulung jentera lumba berasaskan Toyota Vios generasi baharu dengan platform TNGA yang dilancarkan awal tahun ini.

Kereta-kereta itu akan dipandu oleh sembilan pelumba selebriti dalam Promotional Class sebelum digunakan untuk semua kategori pada Season 7 tahun depan.

Vios baharu dikuasakan oleh enjin 1.5-liter dengan kotak gear manual 5-kelajuan, tetapi menampilkan platform lebih tegar dan stabil, selain aerodinamik yang diperbaharui. Ini menjadikannya lebih mantap di selekoh, lebih responsif kepada input pemandu dan mampu mencatat catatan masa lebih pantas.

Para pelumba memburu mata kejuaraan

Sementara itu, di litar akan memperlihatkan 45 pelumba dalam pelbagai kategori (Super Sporting Class, Sporting Class, Rookie Class, dan Promotional Class), menggunakan peluang terakhir mengejar kejuaraan Season 6.

Untuk hadir ke festival ini di Litar Sepang nanti, anda perlu mendaftar di www.toyota.com.my/tgrmalaysia untuk mendapatkan pas kemasukan.

Buat anda yang tidak dapat hadir, masih dapat menonton secara langsung di www.toyota.com.my/tgrmalaysia dan semua media sosial Toyota Gazoo Racing di Facebook, Instagram dan Youtube.

Toyota Vios 1.5 G makin moden, sedap lenjan, berbaloi? – Pandu uji

SEGMEN-B sedan merupakan satu kategori cukup kritikal di negara kita kerana kereta-kereta ini dikira mampu milik dan menjadi kenderaan utama banyak keluarga.

Jadi, penting untuk pengeluar bersikap sensitif dengan pengguna kerana sedikit ‘kelainan’ boleh mengundang kritikan. Tetapi letakkan ciri-ciri premium atau baharu dalam segmen ini, dan pengeluar boleh mendapat pujian melangit selama beberapa minggu, selagi berita pelancaran itu hangat.

Toyota Vios 2023 yang dilancarkan pada Mac lepas merupakan generasi baharu sepenuhnya, serba-serbi dan luar dalam baharu. Mantap? Ini kita akan bincangkan kemudian.

Tiga masalah besar

Tetapi jika anda mencari atau membuat kajian mengenai kereta dalam segmen ini, anda akan ketahui bahawa Toyota Vios baharu mempunyai dua masalah besar – tempat duduk belakang tidak boleh dilipat, dan tiada tayar ganti.

Mengapa? Baik, untuk tempat duduk belakang tidak boleh dilipat, pasukan pembangunan Toyota Vios berkongsi kepada media bahawa menurut kajian pasaran mereka, kebanyakan pengguna tidak menggunakan fungsi ini.

KEBANYAKAN. Adakah anda termasuk dalam golongan ini, atau anda golongan minoriti yang akan merungut? Jadi untuk itu, mereka tidak masukkan fungsi ini, dan hasilnya kereta 10kg lebih ringan kerana tiada mekanisma lipatan.

Untuk tayar ganti pula, mereka berkata ianya bagi memberikan ruang simpanan lebih besar. Jika anda lihat di bawah lantai but, terdapat ruang simpanan Styrofoam untuk barangan-barangan kecil. Ketiadaan tayar ganti juga mengurangkan lagi berat kereta.

Secara keseluruhan, Vios generasi baharu ini kira-kira 110kg lebih ringan dari model sebelumnya. Varian 1.5 G kali ini hanya seberat 1,035kg.

Sebenarnya ada masalah ketiga iaitu kuasa enjin yang lebih rendah. Berbanding Vios dahulu yang mempunyai 105hp dan 140Nm dari enjin 1.5-liter 2NR-FE, Vios baharu dipacu oleh enjin 2NR-VE dengan output 104hp dan 138Nm tork.

Angka ini menurun sebanyak 1hp dan 2Nm, secara jujurnya kita takkan dapat rasakan perbezaan. Tetapi memandangkan anda tidak boleh lupa akan fakta ini, ketahuilah juga dengan berat yang lebih ringan seperti dinyatakan tadi, Vios baharu sebenarnya mempunyai nisbah kuasa-kepada-berat yang lebih baik berbanding sebelum ini.

Jadi, secara keseluruhan dan secara teori juga, Vios baharu pasti lebih menjimatkan. Menurut Toyota, Vios mempunyai kecekapan sehingga 5.2 liter per 100km atau 19.2km per liter.

Untuk isu besar seperti tempat duduk tidak boleh dilipat dan ketiadaan tayar ganti, kita harus lihat begini: Toyota mungkin berada dalam dilemma memilih sama ada menghadap ramai orang merungut minyak tidak jimat, atau beberapa orang merungut tempat duduk tidak boleh dilipat dan tiada tayar ganti.

Kami juga rasa kecekapan penggunaan bahan api lebih penting untuk kereta sebegini. Maka, marilah kita ke bab seterusnya.

Makin upmarket

Satu aspek penting bagi kereta sedan segmen-B ialah gaya dan penampilan. Untuk ini, Toyota Vios baharu tidak mengecewakan.

Rupa keseluruhannya boleh dikatakan semakin ‘atas’ atau upmarket. Muka depan kini seperti sedan Toyota lebih besar (Toyota dan Corolla), rim lebih besar 17-inci (varian G), dan rekaan bumbung belakang ala fastback yang memang menjadi trend sekarang.

Rupa depan dengan lampu LED sepet masih sukar untuk penulis hadam, tetapi yang penting bagi penulis ia memberikan imej segar, jauh berbeza dari sebelum ini. Rim lebih besar pula bukan sahaja sepadan dengan bentuk keseluruhan, tetapi juga membawa impak positif kepada pengendalian.

Rasa upmarket ini dibawa ke dalam, dimana binaan papan pemuka Vios kini tampak moden dan tidak murah. Jika sebelum ini penuh dengan plastik keras kelabu, Vios 2023 ini mempunyai sentuhan-sentuhan lembut, tona warna berbeza yang memberikan tekstur.

Pada masa yang sama, susunan butang dan suis juga masih kemas, mudah dicapai, dan lebih sedap dipegang. Selain itu, paparan instrumen kini digital sepenuhnya, dan brek parkir elektronik hadir secara standard.

Satu sentuhan menarik bagi penulis ialah permukaan terletaknya suis tingkap di panel pintu kiri dan kanan. Ia berwarna hitam glos seperti kebanyakan kereta, tetapi ia tidak kosong, sebaliknya terdapat tekstur berlian dan permukaan ini senget sedikit ke dalam.

Ini solusi yang mudah dilakukan dan tidak memerlukan kos mahal, tetapi efektif dalam menambah rasa premium dan mahal dalam Vios. Perkara ini penting kerana banyak pembeli kereta sebegini baru menaik taraf dari kereta bajet.

Anda sudah pandu Myvi sejak mula bekerja dan kini sudah berkeluarga serta dinaikkan pangkat, jadi anda naik taraf kepada Vios. Contoh situasi biasa, bukan?

Oh ya, kami tahu disebabkan Vios dibina dari pelantar DNGA (Daihatsu New Global Architecture) ia berkongsi papan pemuka dengan model seperti Axia dan Alza. Jadi salah satu cara meletakkan Vios di posisi lebih atas ialah kelengkapan Android Auto dan Apple Carplay tanpa-wayar.

Rupa padu, pemanduan padu?

Untuk pemanduan, mungkin tidak ramai antara pembeli Vios yang menitik beratkan aspek ini walaupun UMW Toyota telah menggunakan kereta ini untuk acara Vios Challenge selama beberapa tahun.

Pun begitu, hakikatnya Toyota Vios serba baharu ini telah mengalami peningkatan dari segi dinamik pemanduan, sama ada anda perlu atau tidak. Perkara pertama penulis rasai ialah stereng yang lebih tepat talaannya, dan lebih banyak ‘feel’ serta maklum balas.

Ia tidak terasa berat yang tidak perlu, tetapi cukup-cukup sahaja untuk rasa semula jadi. Ini membuatkan Vios baharu ini lebih seronok dikemudi sama ada pandu perlahan dalam bandar atau mengambil selekoh dengan kelajuan tiga angka.

Profil tayar 205/50 dan rim 17-inci ini juga menyumbang kepada rasa stereng lebih baik, ia bukan sekadar nampak cantik. Cuma pastinya kos penggantian tayar akan meningkat, jadi ini satu perkara yang anda harus ingat. Kira-kira RM380 hingga RM400 juga untuk sebiji tayar saiz ini.

Nak kereta sedap, kena la labur sikit, bukan? Paling penting, ‘kesedapan’ ini datang dari R&D kilang sendiri, bukannya kaki kereta ‘buat pandai’.

Casis juga kini lebih tegar dan mantap, hasil penggunaan DNGA. Semasa mengambil selekoh S sambil membrek turun dari Genting Highlands, dapat dirasakan suspensi dan tayar bekerja dengan lebih konsisten dan jelas, hasil casis kereta yang tegar.

Kuasa cukup? 104hp dan 138Nm tork lebih dari cukup walaupun naik ke puncak Genting Highlands. Kotak gear D-CVT baharu dengan gabungan gear fizikal dan tali sawat membantu keseluruhan kuasa sampai ke roda depan dengan cekap. Anda rasa kereta betul-betul ada 104hp, seperti tiada pembaziran kuasa.

Bunyi enjin akan tetap masuk ke dalam kabin apabila diperah melebih 4,000rpm, ini perkara biasa. Tetapi bila rpm sudah duduk stabil dan anda meluncur di kelajuan tetap, Vios ini cukup senyap, malah selesa dipandu jauh.

Malah bila disesah lagi, kita akan mula sampai kepada had enjin, tayar, dan kotak gear. Tayar yang dibekalkan ialah Continental PremiumContact 7, bukanlah tayar prestasi, jadi ia mula menyerah kalah bila anda tidak cukup lancar dengan input belokan. Ini bukan bermakna tayar ini tidak bagus, ianya tayar sempurna dengan kegunaan harian Vios.

Enjin dan kotak gear juga bekerja keras mengikut rentak penulis memecut dan mendaki, kemudian brek masuk selekoh, kemudian pecut semula. TCU cuba memberikan nisbah gear terbaik mengikut kelajuan, rpm, dan input kaki kanan. Tetapi tiada masalah dari segi casis.

Maklumat tambahan, Toyota sudah mempunyai unit untuk kegunaan Vios Challenge berdasarkan platform baharu ini. Sudah tentu ia menggunakan tayar semi-slick dan transmisi manual, jadi mungkin musim depan kita akan dapat lihat bagaimana prestasi Vios generasi baharu ini dalam perlumbaan sebenar.

Bukan perlumbaan di Litar Antarabangsa Genting ya. Sentiasa berhati-hati di jalan raya awam!

Tidak dilupakan juga ciri keselamatan, Vios kini datang standard dengan Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi sistem seperti Pre-Collision System, Lane Departure Warning, dan Front Departure Alert.

Varian G ini mendapat tambahan Lane Keeping Control, Auto High Beam, dan Adaptive Cruise Control. Bagi penulis, anda ambil sahaja Vios varian G ini kerana tiga ciri di atas sangat berguna dalam pemanduan seharian. Harga juga tidak jauh berbeza jika dibahagikan dalam ansuran bulanan.

Kesimpulannya, Toyota Vios 2023 sememangnya satu anjakan besar dalam segenap segi berbanding kereta yang digantikannya. Ia kini lebih moden dan dinamik untuk dipandu, dan paling penting membuatkan anda rasa ia mempunyai nilai lebih baik untuk wang.

Spesifikasi Toyota Vios 1.5 G

Harga: RM95,500
Enjin: 1.5-liter 4-silinder 2NR-VE
Kotak gear: D-CVT dengan 7-kelajuan maya
Kuasa: 104hp @ 6,000rpm
Tork: 138Nm @ 4,200rpm

Tiada unsur mistik dalam kes budak 6 tahun pandu kereta sendiri

POLIS menolak dakwaan bahawa terdapat unsur mistik yang mendorong seorang kanak-kanak memandu kereta sehingga kemalangan di Langkawi baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari, kanak-kanak berusia enam tahun itu didapati mengetahui cara memandu kenderaan dan mampu menunjukkannya kepada pihak polis ketika siasatan.

Shariman berkata, kanak-kanak itu juga mengetahui fungsi pedal minyak dan gear automatik, selain memiliki keyakinan dan menunjukkan bagaimana cara untuk menurunkan brek tangan.

Malah, dia juga boleh menunjukkan dengan betul cara menghidupkan enjin dan berjaya menghidupkannya apabila diminta pegawai penyiasat.

Sumber gambar: Media sosial

“Pemeriksaan terhadap rakaman kamera papan pemuka atau dashcam kenderaan menunjukkan pemanduannya tidak stabil, kadang kala memasuki lorong bertentangan dan ada ketika ke kiri dan ke kanan,” katanya.

“Justeru, kita menolak sebarang unsur mistik dalam kes kemalangan ini seperti mana yang didakwa dan ditularkan oleh pihak tertentu menerusi pelbagai medium media sosial.

“Kanak-kanak terbabit dibawa ibu bapa mereka ketika memberi keterangan di Balai Polis Trafik Langkawi, jadi polis telah menemubual awal mereka sebagai sebahagian siasatan,” katanya.

Beliau berkata, dalam proses temubual itu, kanak-kanak lelaki itu mampu menunjukkan cara bagaimana dia memandu pada malam kejadian, memberi penerangan fungsi gear D dan R kepada pegawai penyiasat.

“Malah dia mengaku telah berjaya mengundur kereta terlebih dahulu sebelum memandu keluar rumah pada pada malam kejadian.

“Difahamkan jarak rumah ke kedai yang ingin dituju oleh dua beradik itu adalah lima kilometer (km), tapi separuh jalan mereka kemalangan,” katanya.

Isu ujian perlanggaran: Jualan Toyota Yaris Ativ (Vios) di Thailand dihentikan sementara

TOYOTA Motor Corp dilaporkan menghentikan jualan dan penghantaran Yaris Ativ di Thailand buat sementara waktu. Semakan di laman web Toyota Thailand juga mendapati model sedan segmen-B itu tiada dalam senarai jualan.

Pengumuman ini dibuat selepas Daihatsu Motor Co., Ltd secara umum mengaku dan memohon maaf kerana ‘menipu’ ujian perlanggaran keselamatan. Terdapat modifikasi khas dilakukan pada unit yang diuji itu.

Menurut laporan oleh Reuters, CEO Toyota Asia, Masahiko Maeda berkata dalam satu sidang media di Bangkok, masalah itu berlaku disebabkan tekanan ke atas Daihatsu untuk memendekkan tempoh pembangunan Yaris Ativ.

“Masalah sebegini sudah tentu tidak akan berlaku sekiranya pembangunan dilakukan dalam keadaan sepatutnya,” kata Maeda.

“Saya rasa hakikat bahawa perkara ini masih berlaku bermaksud terdapat sebarang bentuk tekanan di bahagian pembangunan,” katanya. Dia turut menambah saiz kenderaan itu yang lebih besar memberi cabaran kepada Daihatsu yang pakar dalam pembuatan kereta kecil.

Lebih 88,000 unit kenderaan kompak, kebanyakannya dijual di bawah jenama Toyota telah terkesan oleh ‘salah laku’ Daihatsu ini.

Majoriti kenderaan yang terlibat termasuklah 11,000 Perodua Axia yang dikeluarkan di Malaysia bermula Februari, 76,000 Toyota Yaris Ativ yang dikeluarkan di Thailand bermula Ogos 2022, dan terdapat kenderaan yang dijual di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Qatar, Bahrain, dan Oman.

Di Malaysia, Yaris Ativ dikenali sebagai Toyota Vios 2023 yang dilaporkan tidak terlibat dengan insiden itu.

Daihatsu berkata penghantaran Yaris Ativ hanya akan kembali selepas ujian perlanggaran baharu dibuat dan disahkan.

Satu laporan terkini berkata syarikat itu sedang bekerjasama dengan kerajaan Thailand untuk mengembalikan jualan Yaris Ativ yang dikeluarkan di kilang Chachoengsao.

Kanak-kanak enam tahun kemalangan pandu Toyota Vios, mahu ke kedai beli mainan

SEORANG kanak-kanak berusia enam tahun telah terbabit kemalangan selepas memandu kereta Toyota Vios milik keluarganya di Jalan Bukit Tangga malam tadi.

Kanak-kanak terbabit dikatakan memandu sejauh 2.5km dari rumah bersama adiknya berusia tiga tahun untuk ke kedai, membeli mainan.

Video kemalangan terbabit tular tengah malam tadi, orang ramai terkejut apabila mengetahui kenderaan terbabit dipandu kanak-kanak berkenaan tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Toyota Vios yang dipandu. Sumber: Facebook

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, mengesahkan kejadian dalam video tular itu berlaku di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, berhampiran Kampung Titi Chanwang jam 11:15 malam.

Beliau berkata, dalam kejadian itu kereta terbabit dilaporkan dipandu seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun manakala adik lelakinya berusia tiga tahun menjadi penumpang.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dari arah Kampung Ulu Melaka menghala ke Kampung Nyiur Chabang telah terbabas dan melanggar tiang lampu berhampiran Kampung Titi Chanwang.

“Susulan itu, pemandu kereta luka di dahi manakala penumpang tidak cedera,” katanya dalam kenyataan.

Shariman berkata, kereta terbabit dipercayai dipandu kanak-kanak terbabit dari kediaman mereka di Kampung Padang Mengkuang, Mukim Ulu Melaka sejauh 2.5km tanpa pengetahuan ibu bapa.

”Kes disiasat bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

MIROS akan nilai tahap keselamatan Perodua Axia walau tiada aduan

INSTITUT Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengesahkan ia akan menjalankan penilaian ke atas Perodua Axia susulan laporan pemalsuan ujian keselamatan oleh Daihatsu Motor Co Ltd di Jepun, walaupun belum menerima sebarang aduan berkaitan keselamatan dari pemilik model itu.

Bercakap kepada Free Malaysia Today, Pengerusi MIROS, Prof Dr Wong Shaw Voon berkata, “Kami tidak menerima sebarang aduan, namun kami akan meneliti dakwaan Perodua.”

Ini susulan kenyataan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad yang menyatakan model itu selamat untuk dipandu dan tiada panggilan semula akan dibuat.

Pengeluar kenderaan itu juga tidak akan menghentikan penghantaran kenderaan model baharu ini kepada pelanggan.

Axia merupakan salah satu daripada empat model yang terlibat dalam “ketidakaturan prosedur” ujian keselamatan yang dilakukan oleh Daihatsu. Tiga model lagi ialah Toyota Vios, Toyota Agya dan satu lagi model yang belum dilancarkan.

Semalam, UMW Toyota Motor mengeluarkan kenyataan bahawa penjualan Toyota Vios 2023 akan diteruskan kerana tiada isu dari segi standard keselamatan dan kualiti kenderaan berkenaan.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, “Bagi pelanggan yang telah menempah Toyota Vios serba baharu atau berminat untuk membelinya, kami ingin memberi jaminan bahawa model berkenaan mematuhi semua peraturan keselamatan dan tiada kompromi terhadap kualitinya.”

Daihatsu mengaku ‘menipu’ dalam ujian perlanggaran keselamatan

DAIHATSU telah mengaku akan ‘kesalahan’ dalam ujian keselamatan perlanggaran yang dibuat untuk pematuhan piawaian melibatkan empat model. Ini merangkumi Perodua Axia 2023, Toyota Vios (dikenali sebagai Yaris Ativ di beberapa pasaran seperti Thailand), Toyota Agya, dan sebuah model yang belum dilancarkan.

Anak syarikat Toyota itu mengakuinya dalam satu kenyataan, dan menambah bahawa lebih 88,000 unit berkenaan setakat ini telah terjual di Malaysia, Thailand, Indonesia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, dan Mexico. Penghantaran baharu telah dihentikan.

“Kami benar-benar minta maaf kerana mengkhianati kepercayaan pelanggan dan pemegang saham kami dan kerana mengakibatkan kesulitan serta kerisauan,” tulis kenyataan oleh Daihatsu itu.

Sementara itu, Toyota juga mengeluarkan kenyataan berasingan. “Kesalahan Daihatsu melibatkan hal keselamatan, iaitu aspek paling penting bagi kenderaan.

“Kami menganggap ini sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima kerana ia mengkhianati kepercayaan pelanggan-pelanggan kami,” kata Akio Toyoda, Pengerusi Ahli Lembaga Toyota.

“Kami akan bermula dengan membuat siasatan terperinci dengan mengumpul data bagi memahami situasi, menentukan penyebab sebenar, dan bekerja keras mengelakkan ia dari berulang.

“Kami juga akan secepat mungkin memaklumkan kepada umum perkara-perkara yang kami temui sepanjang siasatan kami,” tambah Akio.

Menurut Reuters, kenderaan yang terlibat dikatakan telah dimodifikasi dengan “lekuk” untuk mengurangkan risiko dalam ujian agar bahagian dalam pintu tidak pecah dengan serpihan tajam dan mencederakan penumpang jika beg udara sisi diaktifkan dalam perlanggaran.

Modifikasi ujian itu tidak menjadi sebahagian dari kenderaan produksi.

Toyota berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan kemalangan atau kecederaan membabitkan perubahan bahagian sisi itu.

Juga masih belum jelas siapa bertanggungjawab mengubah pintu itu untuk ujian perlanggaran, seberapa ramai dalam Daihatsu yang tahu akan perkara ini, dan sama ada terdapat pihak atasan yang meluluskan perubahan ini.

Toyota Vios 2023 dipandu uji di Pulau Langkawi – Ini pandangan awal kami

PERCAYA atau tidak, tahun ini merupakan tahun ke-20 Toyota Vios berada di pasaran Malaysia. Sedan segmen B ini merupakan salah satu model terpenting bagi UMW Toyota Motor, dengan jualan melebihi setengah juta unit dalam tempoh tersebut.

Bagaimanapun, adil jika dikatakan bahawa kehadiran Vios dalam segmen berkenaan sentiasa ‘dibayangi’ oleh pesaing terdekatnya iaitu Honda City. Adil juga jika penulis katakan bahawa taruhan Toyota ini hanya mampu mengekori pesaingnya itu dari belakang sejak beberapa tahun yang lalu.

Untuk tahun 2023, Vios telah memasuki generasi keempat dengan pembaharuan yang menyeluruh bagi membolehkan ia memberi saingan yang lebih sengit kepada City. Mampukah ia berbuat demikian?

Baru-baru ini penulis diterbangkan ke Pulau Langkawi untuk menguji Vios serba baharu ini. Ini adalah pendapat ringkas penulis mengenai model berkenaan:

Reka bentuk jauh lebih menonjol

Tidak dinafikan lagi, Vios generasi keempat tampil lebih segar berbanding model-model generasi terdahulu. Malah, dengan rekaan yang serba tajam serta bukaan gril yang begitu besar, ramai yang mengatakan ia kelihatan tidak ubah seperti ‘baby Camry’.

Apa yang lebih menarik, buat pertama kali dalam sejarahnya, Vios didatangkan dengan rekaan garis bumbung fastback yang secara tidak langsung membuatkannya kelihatan lebih premium.

Bodykit didatangkan standard

Buat sementara ini, Vios generasi keempat ditawarkan dalam varian 1.5E dan 1.5G. Kedua-duanya didatangkan standard dengan kit badan yang merangkumi skirting depan, sisi dan belakang, diffuser serta spoiler. Ya, walaupun anda membeli varian 1.5E, anda masih akan mendapat kit badan yang bergaya ini.

Tidak cukup dengan itu, ia juga mempunyai beberapa komponen aerodinamik yang berfungsi termasuk penjana vortex pada bampar hadapan dan belakang.

Ruang kabin lebih premium

Jujur penulis katakan bahawa penulis terasa seperti berada di dalam sebuah kereta Perodua apabila pertama kali masuk ke dalam Vios. Ini kerana terdapat beberapa bahagian yang dikongsikan antara dua jenama ini termasuk stereng.

Namun ini tidak bermakna yang kualiti ruang dalaman Vios jatuh. Tidak sama sekali. Malah, dengan penggunaan bahan-bahan berkualiti seperti balutan kulit dan sentuhan lembut pada papan pemuka, ia terasa lebih premium berbanding sebelum ini.

Rekaan dalaman yang lebih ergonomik

Antara kekurangan terbesar Vios generasi terdahulu adalah konsol tengah yang langsung tidak ergonomik. Perkara ini nampaknya telah diperbaiki dengan ruang penyimpanan barang yang terletak di hadapan tuil gear.

Bukan itu sahaja, rekaan konsol tengah secara keseluruhannya lebih ringkas dan kemas menerusi penggunaan brek parkir elektronik dan dengan model ini, anda juga mendapat banyak pemegang cawan dan juga corong pendingin hawa belakang.

Kelengkapan? Macam-macam ada

Dengan varian 1.5G, anda sudah tentu mendapat tahap kelengkapan tertinggi yang sepadan dengan harganya. Ini termasuk skrin sentuh 9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto versi wayarles, serta kluster instrumen digital TFT 7 inci.

Selain itu, terdapat juga ciri-ciri lain seperti pengecas wayarles, pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna (macam kereta Jerman!) dan sistem Toyota Safety Sense dengan fungsi ADAS yang lengkap.

Sentuhan DNGA yang menjadi

Penggunaan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) bukan sahaja memberikan Vios generasi keempat reka bentuk yang lebih segak, malah ia juga membuatkan sedan ini lebih mantap di jalan raya.

Ia bukanlah suatu rahsia yang kekuatan DNGA adalah dari segi ‘ride and handling’, dan ini sudah dirasakan pada model-model DNGA yang lain termasuk Perodua Alza dan Toyota Veloz.

Sama sahaja ceritanya dengan Vios serba baharu ini. Pemanduannya terasa lebih lincah di selekoh, disumbangkan oleh talaan stereng dan juga pengurangan berat sebanyak 110 kg berbanding model sebelum ini.

Dari segi keselesaan, sistem suspensi dan kerangka Vios serba baharu ini boleh dikatakan cemerlang di permukaan jalan yang rata dan tidak rata. Walaupun berdepan dengan jalan yang beralun-alun ketika mendaki Gunung Raya, setiap lantunan diserap dengan begitu baik.

Gandingan enjin dan transmisi yang serasi

Vios dikuasakan oleh enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder Dual VVTi yang menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 138 Nm pada 4,200 rpm. Ia bukanlah angka yang menggunung tingginya, namun talaan transmisi D-CVT membuatkan model ini mampu memecut lebih cepat dari yang disangka.

Tidak dinafikan, efek ‘rubber band’ masih boleh dirasakan terutamanya apabila pedal ditekan dengan agresif ketika mendaki namun ia tidaklah begitu serius. Bunyi ngauman juga boleh didengar dengan jelas namun dalam situasi pemanduan biasa, trenkuasa ini sebenarnya agak senyap.

Menariknya, Vios kini mempunyai tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan mod baharu iaitu Power. Jika anda memerlukan tindak balas yang responsif, tekan sahaja butang Drive pada sebelah kanan stereng.

Kekurangan? Pasti ada

Bagi penulis, tidak ada kereta yang benar-benar sempurna. Untuk Vios, secara keseluruhannya ia merupakan sedan yang lengkap dari pelbagai aspek namun ini tidak bermakna ia tidak mempunyai kekurangan.

Pertama, tempat duduk belakang tidak boleh dilipat. Menurut jurutera Vios, ini kerana kapasiti but 475 liter sudah dianggap cukup besar untuk kegunaan seharian. Bukan itu sahaja, bumbung fastback juga menjadikan ruang kepala agak terhad.

Kekurangan yang kedua adalah ketiadaan tayar ganti. Pengurangan berat serta penjimatan ruang adalah antara sebab yang diberikan namun penulis secara peribadi merasakan ia adalah antara kelengkapan yang wajib disertakan. Lainlah kalau model ini didatangkan dengan rim 20 inci.

Konklusi

Terima kasih kepada platform DNGA dan talaan kotak gear yang mantap, Toyota Vios generasi keempat membawakan perubahan yang amat ketara jika dibandingkan dengan model generasi sebelum ini.

Bagi penulis, rekaan luaran dan dalamannya lebih menyerlah, manakala pemanduannya juga bertambah baik. Dari segi kelengkapan pula, ia mempunyai segalanya yang diperlukan oleh pemilik dalam segmen ini. Namun adakah ia berbaloi dengan harga yang ditawarkan? Semuanya terpulang kepada anda.

Toyota Vios 2023 dilancarkan di Malaysia – 2 varian, harga bermula RM90,000

KEMAS KINI: Harga jualan rasmi Toyota Vios adalah RM89,600 bagi 1.5E dan RM95,500 bagi 1.5G.

TIDAK sampai sebulan selepas tempahannya dibuka, Toyota Vios 2023 kini dilancarkan ke pasaran Malaysia. Majlis pelancaran rasmi bakal berlangsung pada Isnin (20 Mac 2023), jam 8.00 malam.

Untuk pasaran tempatan, Vios serba baharu ini ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5E dan 1.5G, dengan harga anggaran bermula dari RM90,000 hingga RM96,000. Harga rasmi akan kami kongsikan selepas majlis pelancaran tersebut.

Kedua-dua varian menampilkan enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder Dual VVTi yang menghasilkan 106 PS dan 138 Nm. Seperti Veloz, enjin ini digandingkan dengan transmisi jenis D-CVT dan mempunyai mod pemanduan Eco, Normal dan Power.

Dari segi penampilan, Vios dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) ini diberikan perubahan reka bentuk yang menyeluruh dengan rekaan lampu yang tajam, bukaan gril yang besar serta buat pertama kalinya, garis bumbung gaya fastback yang lebih rendah.

Sedan segmen B ini juga didatangkan standard dengan kit badan yang merangkumi skirting, diffuser dan spoiler, serta rim aloi berukuran 17 inci dengan tayar bersaiz 205/50 untuk varian 1.5G dan 16 inci untuk 1.5E.

Untuk pengetahuan anda, kedua-dua varian tidak mempunyai tayar gantian. Ia digantikan dengan kit pembaikan tayar.

Lampu hadapan LED automatik berserta lampu nyalaan siang LED adalah standard, begitu juga dengan lampu belakang LED. Bagaimanapun, hanya varian 1.5G mendapat lampu isyarat jenis sequential.

Terdapat lima warna untuk dipilih iaitu Silver Metallic, Nebula Blue Metallic, Spicy Scarlet, Attitude Black dan Platinum White Pearl.

Seperti bahagian luaran, ruang dalaman juga menampilkan reka bentuk baharu sepenuhnya, dengan stereng sama seperti yang terdapat pada Perodua Ativa dan panel kawalan pendingin hawa digital Veloz. Satu lagi ciri baharu yang diberikan adalah corong pendingin hawa belakang.

Dari segi kelengkapan, kedua-dua varian mendapat skrin sentuh berukuran 9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto versi wayarles, namun kluster instrumen digital TFT 7 inci hanya tersedia untuk varian 1.5G.

Varian teratas itu juga didatangkan dengan sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna, brek parkir elektronik dan paddle shifter. Pengecas wayarles yang terletak di dalam kotak simpanan konsol tengah disertakan secara standard pada kedua-dua varian.

Untuk sistem bantuan pemandu pula, terdapat Toyota Safety Sense yang merangkumi Lane Departure Prevention, Lane Departure Warning, Front Departure Alert, Pre-Collision System, Lane Keeping Control, Adaptive Cruise Control dan Auto High Beam.

Panoramic View Monitor 3D, Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert turut disertakan. Untuk varian 1.5E, tiga ciri tidak diberi iaitu Lane Keeping Control, Auto High Beam dan Adaptive Cruise Control.

Ciri-ciri keselamatan lain termasuklah enam beg udara, cagak ISOFIX, Immobiliser dan Vehicle Telematics System dengan langganan percuma selama tiga tahun. Perakam video digital belakang ditawarkan secara opsyen.

Hayden Haikal galas cabaran negara di Thailand

PELUMBA muda, Hayden Haikal bakal mengetuai cabaran Malaysia serta membuat penampilan sulungnya dalam kejohanan Idemitsu Super Turbo Championship di Litar Antarabangsa Chang, Buriram bermula hari ini hingga Ahad ini.

Merupakan tahun keduanya bertanding di peringkat antarabangsa dan di Thailand, pelumba berusia 18 tahun itu akan mengemudi jentera Toyota Vios dalam kelas D4 untuk kereta berenjin NA hingga 1,550 cc.

Tahun lalu, Hayden dinobatkan sebagai naib juara keseluruhan dalam satu lagi kejohanan yang diadakan di negara itu iaitu Thailand Super Eco Saloon Car Series.

Hayden Haikal beraksi dalam kejohanan Thailand Super Eco Saloon Car Series

Untuk kejohanan ini, Hayden akan mewakili pasukan Wing Hin Motorsports, bertemankan sebuah jentera Vios super touring yang dilengkapi dengan transmisi sequential lima kelajuan.

“Saya amat berbangga kerana telah diberi kepercayaan oleh pasukan untuk mengetuai cabaran mereka di Thailand. Ini tahun kedua saya bersaing di Thailand, ia adalah siri serba baharu dan ia sangat kompetitif. Pasukan bagaimanapun yakin bahawa kami boleh memberi impak,” kata Hayden.

Pusingan 1 dan 2 akan melibatkan perlumbaan sembilan lap pada hari Sabtu dan 11 lap di litar sepanjang 4.554 km itu.

Kejohanan Idemitsu Super Turbo Championship terdiri daripada enam pusingan, di mana Pusingan 3 dan 4 dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 21 Mei, manakala Pusingan 5 dan 6 dari 16 hingga 18 Jun 2023.

“Litar Antarabangsa Chang adalah litar berkelajuan tinggi. Anda tidak boleh melakukan kesilapan kerana pemandu lain akan segera mencabar anda. Ia mempunyai laluan lurus yang sangat panjang dan selekoh 90 darjah yang bagi saya paling mencabar,” tambah Hayden.

Perlumbaan akan diadakan pada Sabtu (11 Mac) dari jam 4.45 petang hingga 5.05 petang (waktu Malaysia) dan Ahad (12 Mac) dari jam 2.55 petang hingga 3.20 petang.

Ayuh sama-sama kita saksikan dan berikan sokongan kepada anak muda ini menerusi penstriman secara langsung di https://www.superturbothailand.com/2018/superturbo/!

Pemandu dakwa stereng kereta tiba-tiba tersekat sebelum terbabas

SUAMI kepada wanita yang meninggal dunia dalam kemalangan di Persiaran Raja Muda, Shah Alam mendakwa stereng Toyota Vios yang dipandunya tersekat sehingga menyebabkan beliau hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pokok.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, siasatan dijalankan mendapati kereta yang dinaiki empat beranak itu dari Bulatan Bestari menghala ke Bulatan Mestika.

“Siasatan awal mendapati, pemandu berumur 43 tahun itu mendakwa stereng kenderaannya tiba-tiba tersekat.

“Akibat daripada itu, mangsa mendakwa gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kejadian mengakibatkan seorang wanita berusia 29 tahun yang merupakan isteri mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua anaknya mengalami kecederaan ringan.

Sumber gambar: Twitter @redzuanNewsMPB

“Mayat wanita berkenaan dibawa ke Hospital Shah Alam untuk dibedah siasat. Pemandu dan kedua-dua anaknya masing-masing berumur dua tahun dan lapan bulan turut dibawa ke hospital sama bagi rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697,” katanya.

Nissan Almera 1.0 Turbo paling berani dalam kelasnya – Pandu uji

PASARAN sedan segmen-B dengan julat harga RM80,000 hingga RM110,000 adalah antara yang paling kompetitif di Malaysia, setiap pelancaran produk pastinya menarik minat pembaca dan rakyat negara ini.

Tiga pengeluar utama segmen ini pastinya Toyota, Honda dan Nissan, dengan masing-masing mempunyai daya penarik tersendiri.

Uniknya untuk Nissan dengan Almera baharu ini, ia satu-satunya model dengan enjin turbo! Tetapi ia bukan yang pertama, kerana beberapa tahun dulu Volkswagen pernah menawarkan Polo sedan atau Vento dengan enjin 1.2 TSI turbo.

Enjin kecil, moden, prestasi mantap

Hadir dengan tiga varian dan harga bermula betul-betul bawah RM80,000, enjin 1.0-liter turbo 3-silinder merupakan satu-satunya pilihan janaan kuasa, termasuklah varian tertinggi VLT yang kami pandu uji ini.

Kita pada hari ini tidak boleh lagi melihat kemampuan enjin sesebuah kenderaan berdasarkan cc, sebaliknya lihat kepada outputnya. Walaupun bersesaran 999cc atau 1.0-liter, enjin Almera ini menjana 99hp dan 152Nm tork.

Nilai kuasanya adalah hampir sama enjin 1.5-liter naturally-aspirated seperti pada Perodua Myvi atau Toyota Vios, tetapi nilai torknya pada 152Nm adalah jauh lebih tinggi.

Ditambah pula dengan beratnya yang hanya sekitar 1,114kg, Nissan Almera ini sangat seronok dipandu dan pecutannya terasa mudah dan bersahaja. Sedar-sedar dah sampai kelajuan lebuhraya.

Malah Almera juga mampu membantu kelancaran trafik kerana ia mampu memecut susur masuk ke lebuhraya dengan cepat menyamai trafik lorong utama, jadi kenderaan di lorong-lorong utama tidak perlu membrek.

Tidak seperti kereta lain yang lembap atau sesetengah pemandu Malaysia yang malas menekan minyak seolah-olah risau enjin bekerja keras, sanggup mengganggu kelancaran trafik. Tetapi bila di taman perumahan atau bila diacah, pandai pula tunjuk hebat tidak bertempat. Eh maaf penulis ‘terluah perasaan’ pula.

Oh ya, dengan kuasa dan pecutan agak mantap, paling mengagumkan penulis ialah tahap penjimatan yang diberikan, jimat seperti Perodua Bezza!

Rupa jauh lebih segak dan dinamik

Kita tidak boleh abaikan rupa dan rekaan luar Nissan Almera baharu ini, kerana cukup berbeza berbanding generasi dahulu. Beza 180 darjah, ibarat langit dan bumi.

 

Almera generasi terkini tampak cukup segak, dinamik, tengok rupa pun sudah dapat rasakan ia seronok dipandu. Berbeza sekali dengan Almera sebelumnya yang nampak bulat-bulat dan comel.

Standard tinggi untuk keselamatan

Selain berani membawa masuk enjin turbo untuk pasaran segmen ini, pujian juga harus diberikan kepada Edaran Tan Chong Motor kerana menawarkan Autonomous Emergency Braking sebagai standard untuk semua varian.

Ini pastinya meletakkan penanda aras yang tinggi untuk segmen ini, diharapkan pengeluar lain juga boleh ikut selepas ini.

Ingin tahu lebih lanjut mengenai ulasan pandu uji Nissan Almera 1.0 Turbo? Jemput tonton video di bawah ini, penat kami buat!

Spesifikasi Nissan Almera 1.0 Turbo VLP

Harga: RM91,310.00
Enjin: 1.0-liter 3-silinder turbo
Kotak gear: CVT Xtronic
Kuasa: 99hp @ 5,000rpm
Tork: 152Nm @ 2,600rpm