Tag Archives: trak elektrik

JAC i40 kini di Malaysia, trak elektrik 141 hp, 300 Nm, jarak gerak 300 km, dari RM156k

R&A Greentech Solutions Sdn Bhd, sebuah subsidiari di bawah Sendok Group memperkenalkan sebuah lagi trak komersial berkuasa elektrik, JAC i40 untuk pasaran tempatan.

JAC i40 boleh didapati dalam empat binaan badan, iaitu kargo kayu, kotak peti sejuk, kotak corrugated serta van kotak standard.

Dari segi dimensi, i40 membawakan ukuran sepanjang 5,300 mm, lebar 1,750 mm, tinggi 1,990 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,100 mm serta berat kasar kenderaan (GVW) sekitar 3,700 kg.

Ia dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 141 hp dan daya kilas 300 Nm, di mana sumber kuasa diperoleh daripada pek bateri berkapasiti 63.75 kWh.

Jarak gerak adalah sekitar 230 km mengikut data WLTP, atau sehingga 300 km pada kelajuan maksimum 60 km/j.

JAC i40 menyokong pengecasan AC (20-100 peratus dalam masa 8.5 jam, serta pengecasan pantas DC 90 kW membolehkan bateri dicas 20-80 peratus dalam masa 40 minit sahaja.

Untuk ruang kabin, JAC i40 membawakan ciri seperti skrin kluster TFT lima inci, skrin tengah sebesar tujuh inci dengan sokongan Bluetooth dan kamera undur, serta tombol rotari di bahagian tengah.

Ciri keselamatan termasuklah ABS, EBS, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Kestabilan Elektronik, serta Sistem Amaran Kelajuan Rendah untuk Pejalan Kaki.

Untuk pasaran Malaysia, harga jualan JAC i40 bermula dari RM155,600 (atas jalan tanpa insurans) untuk versi asas, dan boleh mencecah RM223,800 untuk versi kotak peti sejuk.

Tresa Motors lancar trak elektrik bersegi VO.2, jarak gerak 600 km, kuasa sehingga 24,000 Nm!

Usah betulkan atau ‘refresh’ skrin PC/peranti pintar anda.

Ini kerana gambar trak yang dipaparkan dalam artikel ini bukanlah imej janaan komputer sebuah Tesla Cybertruck yang telah diubah menjadi sebuah trak komersial.

Tresa Motors, syarikat OEM yang berasal dari India baru-baru ini memperlihatkan model trak elektrik terbaharu VO.2 yang merupakan versi naik taraf daripada VO.1 yang telah muncul pada tahun lepas.

 

 

Model trak VO.2 ini – biarpun dengan rekaan yang agak bersegi – menampilkan beberapa teknologi canggih seperti Unit Perkomputeran Berpusat yang dikuasakan oleh NVIDIA, serta Sistem Telemetri Termaju yang akan memantau lebih 500 poin penting untuk analisis prestasi, kecekapan dan keselamatan.

Selain daripada itu, trak VO.2 ini menampilkan tetapan stereng posisi tengah, tempat duduk yang lebih selesa, serta pelbagai pilihan panel badan yang boleh disesuaikan.

 

 

Dari segi kuasa, Tresa VO.2 ini menggunakan platform motor elektrik Axial Flux Motor Platform Flux 350 yang mempunyai julat kuasa antara 201 hp-469 hp, dan daya kilas setinggi 24,000 Nm di mana ia mempunyai had laju setinggi 120 km/j.

Motor elektrik itu memperoleh kuasa daripada pek bateri modular 800V 50 kWh yang dikenali sebagai Meg50, dengan sistem penyejukan aktif dan penarafan kalis air IP69.

Sistem bateri modular itu boleh disesuaikan bergantung kepada keperluan pengguna, di mana dalam versi 300 kWh (6x Meg50) ia menyokong pengecasan sepantas 20 minit dari 10-80 peratus SoC dan mampu mencapai jarak gerak sejauh 600 km untuk sekali cas penuh.

 

Volvo Trucks lancar trak FM Low Entry, model pertama wujud dalam versi elektrik sahaja

Volvo Trucks terus komited dalam menawarkan barisan trak berkuasa elektrik menerusi pengenalan model baharu Volvo FM Low Entry.

Ia juga merangkap model pertama Volvo Trucks yang hanya ditawarkan dalam versi elektrik sahaja.

Tidak seperti trak FM yang lain, FM Low Entry dioptimasikan untuk pemanduan yang lebih cekap dan selamat di dalam bandar, dengan menawarkan jarak penglihatan yang baik serta keupayaan untuk mengangkut muatan yang berat.

 

 

Menyumbang kepada manfaat tersebut ialah rekaan kabin FM Low Entry itu sendiri yang agak rendah dan diposisikan lebih ke hadapan, selain tangga injak masuk yang lebih rendah untuk mencipta persekitaran kerja yang lebih ergonomik.

Tidak menghairankan apabila Volvo FM Low Entry ini memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh London 5-star Direct Vision Standard.

Selain itu, ia juga turut dilengkapi dengan sistem stereng dinamik (Volvo Dynamic Steering) yang mampu mengurangkan gegaran sewaktu mengemudi jentera berat ini, serta Camera Monitor System.

 

 

Terdapat tiga opsyen tempat duduk yang ditawarkan dalam ruang kabin FM Low Entry, iaitu Pemandu, Pemandu + 1 Penumpang, atau Pemandu + 3 Penumpang.

Tidak kira apa jua konfigurasi yang ditetapkan, kedudukan tempat duduk penumpang yang diletakkan di belakang kabin mampu mengurangkan titik buta dan menyumbang kepada medan penglihatan yang lebih luas.

Secara standard, Volvo FM Low Entry dikuasakan oleh motor elektrik berkuasa 330 kW (443 hp) dengan empat pek bateri berkapasiti 360 kWh, di mana jarak gerak mampu mencecah sejauh 200 km – bergantung kepada beban muatan, corak pemanduan, suhu, topografi dan sebagainya.

 

 

Volvo FM Low Entry juga turut menyokong pengecasan AC sehingga 43 kW, atau pengecasan pantas DC sehingga 250 kW.

Terdapat dua spesifikasi ketinggian kabin (berdiri) yang ditawarkan iaitu Sleeper Cab (1,575 mm) atau Extended (1,945 mm), serta lima konfigurasi gandar yang tersedia iaitu 4X2, 6X2, 6X4, 8X2 dan 8X4.

Volvo FM Low Entry ini akan mula dijual di Eropah, termasuklah pasaran Turki dan Korea Selatan pada suku pertama 2024, sementara produksi dijadualkan bermula pada suku kedua.