Tag Archives: trak off-road

Jetour pamer model prototaip trak pikap F700 secara rahsia di Shanghai

Bertempat di Auto Shanghai 2025, Jetour ada mempamerkan sebuah model konsep trak pikap saiz penuh F700 yang nampak futuristik.

Kenapa kami katakan ia futuristik?

Sebab F700 Concept ini menampilkan bukaan pintu stail ‘coach’ seperti yang wujud pada model mewah Rolls-Royce atau pintu jenis suicide dengan ketiadaan tiang B di tengah.

Tidak ramai yang tahu, Jetour sebenarnya ada mempamerkan model prototaip F700 yang lebih mirip kepada versi produksi sebenar di hotel Hilton Shanghai Hongqiao yang menjadi tempat penginapan media global.

Sayang sekali, kami tidak dibenarkan untuk mengambil gambar model trak pikap yang gagah perkasa itu, memandangkan semua alat perakam dan telefon pintar perlu ditinggalkan di luar kotak gergasi tersebut.

Apa yang kami boleh simpulkan ialah F700 merupakan G700 versi trak pikap dengan reka bentuk badan yang berkotak dan struktur muka depan yang hampir sama.

F700 juga berkongsi platform yang sama dengan SUV ladder-frame G700.

Berdasarkan kertas spesifikasi yang diletakkan bersebelahan model tersebut, F700 dijana dengan nadi hibrid 2.0 liter TGDI yang dipadankan dengan transmisi hibrid (DHT) dan dua motor elektrik (satu untuk setiap gandar).

F700 ini turut dilengkapi dengan pek bateri berkapasiti 34.13 kWh.

Casis trak pikap ini disokong dengan suspensi jenis double-wishbone depan dan belakang serta sistem pacuan empat roda (4WD).

Dengan penambahan bed di bahagian belakang, F700 memiliki dimensi yang lebih panjang (5,495 mm) berbanding G700 (5.1 meter), dengan jarak antara roda 3,350 mm.

Setakat ini, model F700 masih lagi di dalam peringkat pembangunan, di mana versi produksi sebenar mungkin akan diperlihatkan kepada umum dalam masa terdekat.

Jetour G700