Kereta berprestasi tinggi, enjin pembakaran dalaman, dan transmisi manual.
Ini merupakan resipi yang akan cuba dikekalkan oleh Toyota Gazoo Racing untuk tempoh masa yang lebih lama, bermakna satu berita yang cukup baik untuk golongan peminatnya di seluruh dunia.
Dalam satu laporan oleh CarSales AU, eksekutif Toyota Australia Sean Hanley berkata, “enjin pembakaran dalaman dan transmisi manual akan terus dikekalkan untuk jangka masa yang panjang”.
Pendekatan ini tidaklah bermakna Toyota mengenepikan terus teknologi moden untuk model pantas Gazoo Racing.
Toyota sebelum ini meneroka kemungkinan untuk menggantikan petrol dengan hidrogen untuk enjin pembakaran dalaman, malah turut diuji secara terperinci menerusi penglibatan di dalam perlumbaan besar.
Buat masa ini, Toyota sudah mempunyai empat buah model berprestasi tinggi (GR Yaris, GR Supra, GR86 dan GR Corolla) di mana keluarga jentera pantas itu bakal disertai oleh barisan model baharu sperti GR GT3, Celica dan juga MR2 berdasarkan pelbagai info yang diperoleh.
Terdapat juga laporan di mana Toyota sedang bekerjasama dengan Mazda untuk membangunkan kereta sports dengan enjin enam silinder sebaris – adakah ini pengganti kepada GR Supra sedia ada?
Apa pun yang bakal ditawarkan kelak oleh Toyota, Hanley mahu sub-jenama Gazoo Racing akan datang lebih dikenali kerana “bunyi, bau dan rasa daripada enjin pembakaran dalaman”.
Porsche merupakan salah satu daripada sebilangan pengeluar kereta sports yang masih lagi setia menawarkan model bertransmisi manual.
Di sesetengah pasaran, anda masih lagi boleh mendapatkan 718 manual, namun untuk keluarga 911 pilihan tersebut kini terhad kepada varian GT3 dan Carrera T sahaja.
Biarpun disifatkan sebagai transmisi yang hampir pupus, pengarah GT Model Line Porsche Andreas Preuninger berpendapat adalah penting untuk beliau terus berjuang bagi mempertahankan transmisi manual di Porsche.
Memetik laporan Motor1, Preuninger berkata, “Dari sudut pandangan peribadi, adalah sangat penting untuk mempunyai sebuah model manual.
“Saya lebih gemar manual, dan tidak kisah untuk menukar gear sendiri terutama di dalam litar, walaupun sebetulnya saya tahu (kotak gear) PDK lebih pantas,” ujarnya lagi.
Preuninger juga tidak berpendapat undang-undang emisi yang lebih ketat bakal membunuh kotak gear manual.
“(Manual) lebih ringan, jadi ia menyumbang kepada pengurangan emisi dan penggunaan bahan bakar yang lebih cekap, dan anda juga mempunyai lebih banyak kuasa pada roda disebabkan rintangan kuasa pada kotak gear manual lebih rendah berbanding PDK,” ujarnya.
“Dalam dunia sebenar, kereta manual kurang menggunakan gasolin, dan kurang menghasilkan emisi berbanding PDK. Itu adalah fakta.”
Untuk mereka yang terlepas kapal, Toyota sebelum ini mengemaskini penawaran model hot hatch GR Corolla 2025 dengan menambah pilihan transmisi automatik lapan nisbah kelajuan sebagai alternatif kepada model bertransmisi manual.
Trend peralihan kepada model automatik yang biasa kita lihat sebelum ini nampaknya sukar untuk menjangkiti para peminat GR Corolla.
Menurut laporan CarBuzz, Toyota menjangkakan 80 peratus pembeli akan memilih model GR Corolla manual, manakala selebihnya akan membeli model yang dilengkapi Direct Automatic Transmission (DAT).
Ini membuktikan pembeli GR Corolla merupakan golongan peminat yang masih mendambakan pengalaman pemanduan setulen mungkin.
Ada sedikit perbezaan antara transmisi auto yang wujud pada GR Corolla berbanding model GR Supra dan GR86.
Menurut Toyota, kotak gear GR Corolla akan menggunakan input daripada pedal brek dan pendikit untuk mengira masa optimum untuk membuat penukaran gear.
GR Corolla versi auto juga kini didatangkan dengan fungsi launch control yang tidak tersedia pada model manual.
Hot hatch Civic Type R FL5 nampaknya tidak akan menjadi model kereta sports Honda terakhir yang dilengkapi dengan transmisi manual.
Ini kerana dalam berita terbaharu yang muncul dari negara Matahari Terbit, Honda dilapor akan menawarkan Prelude dengan gandingan unit rangkaian kuasa hibrid dan transmisi manual.
Menurut sumber yang dipetik oleh Best Car, jurutera Honda akan memadankan enjin hibrid 2.0 liter yang diambil daripada model Accord, dan digandingkan dengan kotak gear manual enam nisbah kelajuan daripada Civic RS.
Ia juga dikatakan mempunyai fungsi rev-match yang sama wujud pada model Civic Type R!
Sekiranya berita ini benar-benar menjadi kenyataan, Honda Prelude bakal menjadi model hibrid Honda yang pertama dipadankan dengan kotak gear manual setelah model CR-Z hibrid ditamatkan pengeluarannya pada tahun 2016.
Pada model Accord e:HEV, enjin 2.0 liter kitaran Atkinson hibrid itu mampu menjana kuasa setinggi 204 hp dan 335 Nm yang disalurkan kepada roda menerusi transmisi e-CVT.
Honda Prelude dikatakan bakal menggunakan asas daripada Honda Civic, dengan jarak antara roda kekal 2,735 mm namun panjang keseluruhan cuma sekitar 2,480 mm, lebih pendek berbanding Civic.
Honda Prelude ini akan membuat kemunculan rasmi pada separuh kedua tahun 2025.
Ucapkan selamat datang kepada roadster bertransmisi manual yang paling berkuasa di dunia, Hennessey Venom F5-M.
Dibina berdasarkan model Venom F5 Roadster, Venom F5-M menggunakan nadi bentangan V8 6.6 liter turbo berkembar yang mampu menghasilkan kuasa sekitar 1,817 hp dan daya kilas 1,618 Nm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi manual enam nisbah kelajuan, berbanding kotak gear AMT tujuh kelajuan pada model asal.
Menurut Hennessey, Venom F5-M ini memerlukan “tumpuan pemandu yang maksimum” dan dalam masa yang sama menjanjikan “pengalaman pemanduan yang lebih ekstrem dan mendalam”.
Bagi membezakan model ini dengan mana-mana model F5 Roadster standard, Hennessey telah memadankan sirip aerodinamikyang agak panjang (1,400 mm) yang menghiasi ruangan dek belakang.
Untuk ruang kabin, F5-M Roadster ini didatangkan dengan kotak pedal baharu, tuil penukaran gear aluminium/gentian karbon dengan shift gate yang diperbuat daripada aluminium bilet.
Turut dibawakan sama ialah roda stereng stail yoke yang menampilkan pelbagai jenis butang fungsi untuk kegunaan pemandu.
Hanya 12 unit sahaja Hennessey Venom F5-M yang akan diproduksikan, dan dengan harga sekitar $2.65 juta (RM11.51 juta) untuk satu unit.
Tidak menghairankan apabila kesemua unit sudah pun habis terjual sebelum ia sempat didedahkan kepada umum, menunjukkan betapa bernilainya jentera ini di mata peminatnya.
Toyota pada mulanya memperkenalkan GR Yaris dan GR Corolla dengan transmisi manual, namun pengeluar itu kini melengkapkan lagi penawaran hot hatch tersebut dengan kotak gear automatik DAT – lebih cekap dan penukaran gear lebih pantas.
Dengan kehebatan teknologi yang tidak pernah berhenti berkembang, kereta berprestasi tinggi kini tidak lagi memerlukan teknologi kotak gear manual yang konvensional untuk beroperasi dengan lebih cekap.
Permintaan terhadap kereta bertransmisi manual pula kian menurun saban tahun, dan ada di antara pengeluar yang terus menghentikan penawaran kereta manual disebabkan peratusan jualan yang terlalu kecil.
Usah risau, masih lagi ada pihak yang prihatin dengan keperluan anda untuk terus memijak pedal klac dalam era moden ini, dan ini adalah senarai kereta berprestasi tinggi yang masih lagi dilengkapi dengan kotak gear manual:
1. Aston Martin Valour
Kereta sports buatan Britain ini hanya dihasilkan sebanyak 110 unit sahaja untuk satu dunia, diinspirasikan daripada model Vantage V8 ikonik era 70 dan 80-an.
Dengan enjin V12 5.2 liter turbo berkembar yang mampu menjana kuasa 705 hp, ia dipadankan dengan transmisi manual enam nisbah kelajuan serta pembeza gelincir terhad mekanikal.
2. Gordon Murray Automotive T.33 & T.50
Dua jentera berprestasi tinggi yang dihasilkan oleh Gordon Murray Automotive ini didatangkan dengan enjin V12 Cosworth 4.0 liter aspirasi semula jadi.
Kuasa 615 PS/451 Nm (atau 663 PS/467 Nm pada T.50) itu disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear manual Xtrac enam nisbah kelajuan.
3. Koenigsegg CC850
Secara teknikalnya, CC850 tidaklah didatangkan dengan kotak gear manual.
Sebaliknya, ia menggunakan transmisi LST, atau Light Speed Transmission dengan sembilan nisbah kelajuan yang menghantar kuasa 1,201 PS/1,385 Nm ke roda belakang.
Namun, CC850 turut mempunyai ciri yang dinamakan sebagai Engage Shifter System, di mana pemandu boleh mensimulasikan kotak gear manual enam gear menggunakan pedal klac fizikal!
4. Pagani Utopia
Secara teori, ini ialah kereta berprestasi tinggi dengan kotak gear manual yang paling mahal anda boleh beli atas muka bumi.
Pagani Utopia datang dengan enjin V12 Mercedes-AMG berkuasa 864 PS dan 1,100 Nm dipadankan dengan kotak gear manual Xtrac tujuh nisbah kelajuan.
Sayang sekali, kesemua unit produksi Utopia telah pun habis terjual.
Honda Amerika Syarikat telah mengemaskini penawaran bagi varian Civic Si 2025, menampilkan beberapa perubahan bersifat kosmetik, casis yang lebih sporti dan paling penting, mengekalkan penawaran transmisi manual!
Ia mungkin sekali boleh disifatkan sebagai alternatif kepada Civic Type R yang lebih mampu milik, namun sayang sekali harga jualan Civic Si meningkat sebanyak $850 (RM3,972) kepada $29,950 (RM140 ribu).
Dari segi kuasa, Civic Si 2025 masih lagi mengekalkan nadi empat silinder sebaris 1.5 liter menghasilkan kuasa sekitar 200 hp dan 260 Nm, memacu roda hadapan seperti biasa.
Apa yang pasti, aspek pengendalian jentera ‘Civic Type R murah’ ini telah dipertingkatkan, di mana ia kini mendapat casis yang lebih tegar termasuklah tiang B dan sokongan ambang pintu baharu.
Komponen peredam suspensi juga telah ditentukur semula, di mana Honda menjanjikan peningkatan dari segi kekakuan kilasan dan lenturan.
Bagi mereka yang mahukan lebih keseronokan pemanduan, Honda turut menambah baik fungsi rev-match terutama apabila menukar gear dua kepada gear satu.
Dari segi kosmetik, apa yang dibawakan pada Civic Si 2025 adalah sama saja dengan Civic 2025 facelift sedia ada.
Cuma, Civic Si 2025 telah diberikan set rim rekaan jejari berkembar berwarna hitam kusam yang lebih sporti.
Ruang kabin juga turut mendapat skrin paparan infohibur sebesar 9 inci yang kini menyokong Google Assistant, selain sokongan sambungan peranti pintar Apple CarPlay dan Android Auto secara standard.
Untuk skrin kluster digital 10.2 inci, terdapat grafik eksklusif untuk model Civic Si tersedia termasuklah takometer digital, lampu indikasi penukaran gear, tolok boost, serta meter daya G.
Akhir sekali, Civic Si 2025 dilengkapi dengan sepasang tempat duduk sports yang memegang erat pemandu dan penumpang hadapan, selain fungsi pemanas terbina secara standard.
Berita kurang enaknya sejak diperkenalkan pada tahun 1984, varian sporti Honda Civic Si hanya menjadi model eksklusif untuk beberapa pasaran tertentu seperti Amerika Syarikat (dan Jepun untuk beberapa ketika), tidak seperti hot hatch Civic Type R yang lebih meluas pasarannya.
Ini kerana Pagani baru sahaja melancarkan sebuah model Huayra versi istimewa yang akan muncul di acara Goodwood Festival of Speed tahun ini, dan ya, ia merupakan model Huayra pertama yang dilengkapi dengan kotak gear manual!
Pagani Huayra Epitome – melambangkan puncak bagi segala Pagani – dihasilkan untuk seorang pelanggan terlebih kaya yang memang mahukan sebuah Huayra dengan transmisi manual.
Kotak gear Xtrac tujuh nisbah kelajuan itu menggunakan sistem klac tiga cakera yang terkini untuk pemindahan tork daripada enjin bentangan V12 Mercedes-AMG 6.0 liter turbo berkembar berkuasa 852 hp dan 1,100 Nm dengan lebih berkesan.
Secara teknikalnya, Huayra Epitome memiliki kuasa yang hampir sama dengan Huayra Utopia, membolehkannya mencapai kelajuan tertinggi 350 km/j.
Para jurutera Pagani turut menala kembali aspek gantungan Huayra Epitome ini bagi menghasilkan kesan olengan dan pitch yang lebih rendah berbanding model standard Huayra.
Namun begitu, terdapat juga mod “Super Soft” bagi membolehkan pemilik menikmati pemanduan yang lebih menenangkan jiwa di jalanan dan akan dimatikan secara automatik pada kelajuan 150 km/j.
Bahagian luaran Epitome ini telah mendapat sedikit sentuhan rekaan terutama pada bahagian bampar depan dan belakang, sistem pencahayaan LED, serta struktur jeriji yang lebih besar untuk aliran udara yang lebih berkesan.
Di bahagian belakang pula terdapat sayap yang besar, diikuti dengan diffuser dan empat corong ekzos titanium yang mampu menghasilkan runut bunyi yang mengujakan.
Jika anda lihat dengan lebih dekat, warna biru yang digunakan pada panel badan Huayra Epitome ini sebenarnya merupakan anyaman gentian karbon yang sebenar.
Akhir sekali, Huayra Epitome ini dipadankan dengan set rim berwarna emas dan aksen berwarna serupa pada beberapa tempat.
Menurut Pagani, divisyen Grandi Complicazioni mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk menghasilkan rekaan Epitome, dan tambahan 10 bulan untuk disiapkan.
Sayang sekali, rekaan yang cantik ini hanya akan dihasilkan sekali sahaja, bermakna anda perlu mencari alternatif lain untuk menikmati sebuah Huayra Epitome – mungkin sekali mendapatkannya dalam bentuk diecast.
Belum pun sempat menikmati usia dua tahun, penjualan kereta sports Toyota GR Supra bernadikan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter untuk pasaran Amerika Syarikat telah pun ditamatkan pada bulan ini.
Dalam satu siaran media, Toyota USA mengesahkan model GR Supra 2025 hanya boleh didapati dengan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo berkuasa 382 hp dan 499 Nm sahaja.
Mujur pembeli masih lagi boleh mendapatkan GR Supra 2025 dengan pilihan transmisi manual enam nisbah kelajuan, atau automatik lapan nisbah kelajuan.
Toyota memperkenalkan GR Supra dengan nadi 2.0 liter turbo (255 hp/400 Nm) pada tahun 2022 sebagai alternatif yang lebih murah, namun langkah tersebut dilihat tidak membantu meningkatkan prestasi jualan yang sedia perlahan.
Sepanjang tahun 2023, Toyota hanya berjaya menjual sebanyak 2,652 unit GR Supra secara keseluruhan (gabungan model manual dan automatik).
Berbalik semula kepada GR Supra 2025, Toyota menawarkan kelengkapan yang hampir sama dengan model tahun 2024, seperti tempat duduk sport balutan kulit/kemasan Alcantara atau opsyen kulit berwarna perang, skrin sentuh 8.8 inci, pengecasan peranti pintar tanpa wayar, serta sistem audio JBL 500 watt dengan 12 pembesar suara.
Kesemua model dibekalkan dengan balutan getah Michelin Pilot Super Sport, kawalan cengkaman TRAC, Sistem Pra-pelanggaran, Amaran Keluar Lorong, Kawalan Kestabilan Kenderaan, Bantuan Suluhan Tinggi Automatik, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), serta Kawalan Jelajah tradisional.
Sementara model AT pula didatangkan dengan fungsi Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC).
Harga jualan juga meningkat daripada $56,495 (RM266,487) pada tahun lalu kepada $57,345 (RM270,496), sementara model 3.0 Premium pula kini berharga $60,495 (RM285,355).
Berdasarkan semakan ringkas di internet, Toyota GR Supra 2.0 liter masih lagi dijual di pasaran Jepun, namun model tersebut hanya boleh didapati dengan padanan transmisi automatik sahaja.
Mereka yang mahukan kotak gear manual perlu mendapatkan GR Supra dengan nadi enam silinder sebaris.
Sedan segmen C Volkswagen Jetta generasi ketujuh telah terjual di beberapa pasaran utama di dunia sejak dari tahun 2018 lagi.
Versi facelift kali pertama diperlihatkan pada bulan Ogos 2021 sebagai model tahun 2022 dengan membawakan perubahan yang minima, namun kemaskini facelift kali kedua yang muncul kali ini tampil dengan rekaan yang lebih malar segar.
Untuk pasaran Amerika Syarikat, Volkswagen Jetta 2025 dijual pada harga bermula dari $21,995 (RM103,530).
Apa yang berubah?
1. Muka hadapan lebih anggun
Tidak seperti model Jetta pra-facelift yang nampak agak berserabut, Volkswagen cuba untuk membawakan imej sedan yang lebih ringkas pada Jetta 2025.
Ia membawakan struktur jeriji yang minimalis, diikuti dengan rekaan unit lampu LED yang jauh lebih bergaya dan garang.
Terdapat opsyen untuk menambah bar lampu LED melintang penuh pada bahagian tersebut.
Selain itu, struktur bampar hadapan juga kini membawakan rekaan yang lebih sporti.
2. Hilang identiti Audi pada belakang
Jika anda perasan, Jetta pra-facelift ada membawakan sedikit pengaruh elemen rekaan Audi terutama pada unit lampu belakang.
Untuk versi facelift kali kedua ini Jetta 2025 membawakan rekaan trunk baharu yang dilengkapi dengan bar pencahayaan nipis menghubungkan unit lampu utama kiri dan kanan.
Secara standard, Jetta 2025 boleh dipadankan dengan set rim baharu bersaiz 17 dan 18 inci bergantung kepada varian yang dipilih.
3. Ruang kabin
Boleh dikatakan perubahan pada ruang kabin tidaklah begitu dramatik, namun ia tetap ditambah baik dengan kehadiran skrin infohibur sebesar lapan inci menggantikan skrin 6.5 inci pada model terdahulu.
Sistem kawalan iklim Climatronic Touch dua zon kini menampilkan butang kawalan yang lebih moden.
Bergantung kepada varian, pembeli boleh menikmati ciri-ciri seperti pengecasan peranti pintar tanpa wayar, radio satelit SiriusXM, serta pilihan upholsteri tempat duduk leatherette dua tona, fabrik Molekular, atau pilihan balutan kulit Vienna berlubang dengan kemasan jahitan kontras.
4. Jetta 2025 masih lagi tawar kotak gear manual!
Volkswagen mengekalkan penawaran enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo dengan hamburan kuasa 158 hp yang dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan.
Mereka yang mahukan penukaran gear manual boleh mendapatkan varian Jetta GLI dengan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 228 hp dan 349 Nm, atau opsyen transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.
Varian GLI juga agak istimewa kerana dibekalkan dengan sistem brek yang lebih besar, pembeza gelincir terhad kawalan elektronik, peredam adaptif dan sistem ekzos sports.
5. IQ.DRIVE sebagai ciri standard
Kesemua varian Jetta didatangkan dengan kelengkapan keselamatan IQ.DRIVE yang menawarkan Front Assist, Travel Assist, Adaptive Cruise Control, Lane Assist, Emergency Assist, Rear Traffic Alert dan Active Blind Spot Monitor.
6. Ada logo lebuh raya pada bampar
Selain daripada rupa paras yang lebih sporti dengan kehadiran aksen berwarna merah, satu lagi ciri unik yang wujud pada Volkswagen Jetta GLI 2025 ialah kewujudan logo lebuh raya pada bahagian bampar hadapan.