Mitsubishi Triton generasi baharu masih lagi belum dilancarkan di Malaysia namun di Thailand, trak pikap itu sudah pun mendapat model edisi terhad yang dikenali sebagai Black Edition.
Dibangunkan berasaskan varian Double Cab Plus Ultra AT, Triton Black Edition ditawarkan dengan dua pilihan warna luaran iaitu Graphite Grey dan White Diamond.
Tidak kira warna apa yang dipilih, model ini didatangkan dengan kemasan berwarna hitam pada gril Dynamic Shield, pelindung lampu kabus, rim aloi 18 inci, cermin sisi, pemegang pintu dan pemegang tailgate.
Sementara itu, pemijak sisi dan bampar belakang pula diberikan aksen titanium untuk penampilan yang lebih menyerlah.
Untuk ruang kabin pula, penampilan serba hitam pada tempat duduk, panel pintu dan papan pemuka dikonstraskan dengan jahitan dan pelapik bumbung berwarna putih.
Antara kelengkapan yang disertakan adalah skrin sentuh sembilan inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, dan sistem ADAS yang merangkumi ciri-ciri seperti Forward Collision Mitigation System (FCM), Blind Spot Warning (BSW), Lane Change Assist (LCA), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan pelbagai lagi.
Triton Black Edition dikuasakan oleh enjin turbodiesel Hyper Power 2.4-liter empat silinder yang menghasilkan 184 PS dan 430 Nm. Model ini hanya boleh didapati dengan transmisi automatik enam kelajuan.
Harga jualan bermula dari 1,027,000 baht (RM132,666). Menurut Mitsubishi, model ini akan ditawarkan dalam bilangan yang terhad namun angka sebenar tidak didedahkan.