Tag Archives: triumph daytona 660

Triumph Malaysia lancar Daytona 660, Tiger 900 & Scrambler 1200, dari RM49,500

Bertempat di Malaysia Autoshow 2024 yang berlangsung baru-baru ini, Didi Group selaku pengedar dan pengimport sah motosikal jenama Triumph telah melancarkan barisan model baharu untuk tahun 2024.

Mendahului senarai model ialah Triumph Daytona 660, sebuah sport bike kelas pertengahan (middleweight) yang menjanjikan prestasi mengujakan serta tunggangan yang dinamik.

Ia dikuasakan enjin tiga silinder sebaris 660 cc berkuasa 95 PS dan 69 Nm, dibantu dengan kerangka sports yang ringan, fork USD Showa, suspensi belakang Showa, serta tiga mod tunggangan (Sport, Rain, Road).

Untuk pasaran Malaysia, Triumph Daytona 660 dijual pada harga bermula dari RM49,500.

Selain daripada model Daytona 660, Didi Group turut melancarkan dua model motosikal, iaitu Tiger 900 dan juga Scrambler.

 

 

Triumph Tiger 900 2024 dilancarkan dengan tiga varian utama, iaitu Tiger 900 GT, GT Pro dan Rally Pro.

Ia turut dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 888 cc dengan hamburan kuasa 108 PS dan 90 Nm, peningkatan kuasa sebanyak 13 peratus dan jimat bahan api sehingga 9 peratus.

Selain menawarkan ciri-ciri yang moden dan selesa, Tiger 900 didatangkan dengan pelbagai ciri keselamatan termasuklah cornering ABS, kawalan cengkaman, IMU, mod tunggangan, serta sistem amaran nyahpecutan kecemasan.

Tiger 900 GT boleh didapati pada harga bermula RM72,900, sementara Tiger 900 GT Pro pula dari RM82,100 dan Tiger 900 Rally Pro dari RM85,900.

 

 

Akhir sekali, barisan model Triumph Scrambler dengan penawaran dua varian, iaitu Scrambler 1200 X dan Scrambler 1200 XE.

Scrambler 1200 dijana dengan enjin kembar selari bersudut 270 darjah bersesaran 1,200 cc dengan kuasa 90 PS dan 110 Nm yang ditala untuk prestasi tunggangan atas jalan raya serta kembara laluan off-road.

Berbanding varian X, Scrambler XE mendapat ciri unik seperti tetapan suspensi boleh laras Marzocchi depan dan belakang, sistem brek Brembo Stylema, diikuti dengan kluster instrumen TFT berwarna penuh.

Harga jualan Scrambler 1200 X bermula dari RM80,900 manakala Scrambler 1200 XE pula dari RM88,900.

Triumph buka tirai 2024 dengan Daytona 660 – 94hp, 69Nm

Triumph Motorcycles membuka tirai 2024 dengan pelancaran Triumph Daytona 660 baharu. 

Daytona 660 menandakan kelahiran semula model ‘sportbike’ Daytona yang sebelum ini telah pun ditamatkan pengeluaran menerusi Daytona 765 Moto2 Edtiion pada 2021. 

Menariknya, meskipun dikuasakan unit tiga silinder 660cc yang sama terdapat pada Trident 660, enjin tersebut telah dinaik taraf dari pelbagai segi termasuk camshaft, crankshaft, cylinder dan sistem ekzos baharu. Hasilnya, Daytona 660 ini menawarkan 94hp dan 69Nm berbanding 81hp dan 64Nm. 

Meskipun begitu, Daytona 660 ini masih lagi berkongsi kebanyakan komponen dari Trident 660 termasuk kerangka utama, suspensi Showa SFF BP 41mm (tidak boleh laras) dan monoshock Showa pra-beban (boleh laras) selain dari panel meter digital dan TFT. 

Bagaimanapun, pakej brek pada Daytona 660 telah dinaik taraf kepada kaliper radial 4-pot berkembar depan dengan cakera brek 310mm. 

Dalam pada itu, kapasiti tangki adalah 14L (sama dengan Trident 660) dan berat bersih diletakkan pada 201kg. 

Menurut Triumph, Daytona 660 ini hadir dengan tiga mod menunggang yang merangkumi Road, Sport dan Rain serta fungsi traction control dan ABS. Sistem quickshifter pula adalah ciri tambahan (optional).