Diperkenalkan kali pertama kepada dunia pada awal bulan ini, Triumph Trident 660 baharu kini sudah pun memasuki pasaran Malaysia dengan harga jualan bermula dari RM46,900.
Model tahun 2025 ini tampil dengan pelbagai penambahbaikan yang melibatkan teknologi berfokuskan penunggang, sistem suspensi dan juga pilihan warna dan grafik.
Sebagai maklum balas kepada permintaan pelanggan, Trident 660 kini tampil standard dengan Optimised Cornering ABS, Traction Control, Triumph Shift Assist dan Cruise Control.
Sementara itu, paparan TFT berwarna dengan sambungan Bluetooth kini dilengkapi dengan sistem navigasi dan kefungsian telefon bagi memudahkan lagi penunggang.
Di samping pendikit ride-by-wire dan mod tunggangan Road dan Rain yang sedia ada, Trident 660 turut mendapat mod ketiga iaitu Sport yang memberikan prestasi yang lebih responsif.
Untuk sistem suspensi, fork Showa 41 mm pada bahagian depan kini dinaik taraf dengan redaman ‘piston besar’ Showa SFF-BF yang memberikan keselesaan dan kawalan yang lebih tinggi.
Untuk bahagian belakang, Trident 660 menggunakan penyerap hentak monoshock RSU dengan pelarasan pra-muatan, juga dari Showa. Turut disertakan adalah sistem brek Nissin dengan cakera berkembar 310 mm dan tayar Michelin Road 5.
Akhir sekali, Triumph memperkenalkan tiga pilihan warna dan grafik baharu untuk Trident 660 iaitu Cosmic Yellow, Cobalt Blue dan Diablo Red. Ia diserlahkan lagi dengan trim Sapphire Black dan jalur berwarna putih.
Selain itu, terdapat juga top yoke dan pedal brek baharu yang diperbuat daripada aluminium tempaan.
Tiada perubahan untuk enjin. Seperti sebelum ini, Trident 660 dikuasakan oleh enjin tiga silinder DOHC bersesaran 660 cc yang menghasilkan 81 PS pada 10,250 rpm dan 64 Nm pada 6,250 rpm.