Tag Archives: tunggang uji

Moda Sporter S, ini ulasan dan pandangan awal kami – Tunggang Uji

Bulan ini sahaja, kita sudah dihidangkan dengan beberapa buah model skuter yang agak menarik untuk pasaran tempatan.

Salah satu daripadanya ialah Moda Sporter S, sebuah skuter yang membawakan penampilan yang diinspirasikan daripada superbike ternama.

Berharga RM17,888, Moda Sporter S ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 250 cc menghasilkan 24.8 hp dan 22.5 Nm.

Pertengahan bulan Januari yang lalu, kami telah dijemput oleh pihak Moda Malaysia untuk merasai sendiri tunggangan skuter maxi Moda Sporter S.

Laluan sepanjang lebih 30 km di sekitar Litar Antarabangsa Sepang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu menyediakan lokasi yang mencukupi untuk kami menilai sendiri prestasi skuter buatan anak tempatan.

Adakah ia berbaloi untuk dibeli dan dimiliki?

Dari sudut pandang pertama, Moda Sporter S sememangnya membawakan penampilan yang lebih sporti berbanding pesaing yang ada di pasaran, ditambah pula dengan elemen yang diinspirasikan daripada superbike idaman jenama Itali.

Lihat saja pada lampu hadapan berkembar LED, diikuti dengan brek cakera berkembar pada roda hadapan, liveri perlumbaan yang agresif, diikuti dengan bentuk ekor belakang yang nampak tajam itu.

Ia didatangkan dengan skrin paparan TFT 6.2 inci yang mudah untuk dibaca di bawah sinaran matahari yang terik, sementara pelana pula diberikan kusyen yang agak empuk.

Penghadang angin juga boleh dilaras ketinggiannya secara manual.

Memulakan perjalanan, enjin 250 cc silinder tunggal itu tidak memberikan sebarang masalah untuk menghamburkan kuasanya mengikut pulasan hendal di mana respons yang diberikan cukup baik terutama untuk geng pulas habis.

Posisi tunggangan juga cukup selesa, di mana ruang kaki yang disediakan agak luas, memudahkan penunggang melaraskan kedudukan kaki mengikut keperluan.

Ada beberapa rakan media mengadu balutan bahan pada pelana itu sedikit licin, namun penulis tidak berdepan dengan masalah tersebut, mungkin sekali fabrik seluar yang digunakan itu tidak mudah menyebabkan penunggang rasa tergelincir.

Selain tayar yang mencengkam, talaan suspensinya juga cukup baik untuk membolehkan kami menikmati tunggangan yang lebih agresif terutama di kawasan berselekoh.

Cuma, anda perlu bersabar sekiranya terpaksa menempuh laluan yang ada banyak lubang dan jalan yang tidak rata, disebabkan talaan suspensinya yang agak sporti itu.

Ada di kalangan rakan media melaporkan mereka berjaya mencapai kelajuan purata melebihi had laju kebangsaan, dan penulis sememangnya mengakui perkara tersebut.

Yang penulis risaukan ialah bar hendal yang dirasakan agak ringan dan tunggangan dirasakan tidak stabil apabila mencapai kelajuan tiga angka, walaupun skuter ini sebenarnya agak berat.

Pada kelajuan yang tinggi itu juga, cermin sisi dilihat bergegar dengan agak kuat, jadi sukar untuk kami yang pentingkan keselamatan ini untuk melihat kehadiran kenderaan dari arah belakang.

Satu perkara positif yang harus penulis tekankan ialah operasi sistem brek hadapan cakera berkembar yang cukup padu untuk memastikan skuter ini berhenti dengan selamat.

Selain itu, skuter ini didatangkan dengan ciri keselamatan seperti sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran dan kawalan cengkaman (TCS) secara standard.

Ulasan tunggang uji yang lebih mendalam akan kami kongsikan sekiranya diberikan peluang untuk membawa pulang skuter ini untuk tempoh masa yang lebih panjang.

 

Suzuki Gixxer 250, jentera ringkas untuk berseronok – Tunggang Uji

Pemilihan jentera streetfighter mampu milik yang bertepatan dengan jiwa merupakan satu perkara yang tidak boleh dipandang enteng.

Silap haribulan, anda mungkin terpaksa menjual kembali motosikal tersebut disebabkan ia tidak menetapi cita rasa peribadi.

Untungnya bagi para pemegang lesen B2 di Malaysia, kita disajikan dengan bermacam-macam jenis model motosikal di bawah sesaran 250 cc, baik dari negara Jepun, Sweden, India malah motosikal buatan China pun ada!

Suzuki Gixxer 250 telah pun memasuki pasaran Malaysia pada penghujung tahun lepas, dengan tag harga yang agak mencuri tumpuan – sekitar RM14,500.

Mungkin ketibaannya agak lewat, namun penulis berpendapat Suzuki Gixxer 250 mampu menjadi pencabar sengit kepada model-model 250 cc yang ada di luar sana.

Berikut merupakan ulasan ringkas kami setelah beberapa hari bercinta dengan jentera Suzuki Gixxer 250 ini:

 

1. Gaya streetfighter yang.. biasa-biasa je

Jika dibandingkan dengan pesaing lain dalam pasaran, Gixxer 250 tidaklah mempunyai rupa paras yang agresif.

Lampu utama LED berbentuk oval dengan pencahayaan tiga lapis itu memang nampak moden, cuma ia tidak diseimbangkan dengan lampu membelok LED, hanya guna mentol sahaja.

Samalah juga halnya dengan bahagian belakang.

Namun begitu, aspek pencahayaan motosikal ini cukup cemerlang ketika ditunggang pada waktu malam.

 

2. Posisi tunggangan yang lebih asli

Satu perkara yang penulis gemar pada mana-mana motosikal naked ialah posisi tunggangan yang lebih mesra tulang belakang.

Almaklumlah, usia dah masuk 30 siri, jadi posisi tunggangan yang sporti bukanlah satu pilihan untuk perjalanan merentas daerah dan negeri.

Jadi dengan Gixxer 250, ia menawarkan postur tunggangan yang lebih natural terima kasih kepada bar hendal yang lebih tegak, ditambah pula dengan tinggi pelana 795 mm yang lebih mesra individu kurang inci dan dimensi kusyen yang agak lebar.

Kesannya, lebih selesa untuk tunggangan jarak jauh.

Posisi tempat pemijak kaki juga memuaskan, cuma kedudukannya yang hampir dengan topang sisi membuatkan kaki kiri rasa terganggu saat mahu mengeluarkan topang sisi.

 

3. Kuasa kuda yang seronok untuk diperah

Secara standard, Suzuki Gixxer 250 dibekalkan dengan enjin 249 cc silinder tunggal yang mampu menjana kuasa 26.7 hp @ 9,300 rpm dan daya kilas 22.2 Nm @ 7,300 rpm.

Bunyi dia mungkin tidak seagresif pesaing-pesaing lain, namun berdasarkan pengalaman, Gixxer 250 ini mampu menawarkan tunggangan yang agak lincah dan bertenaga, terutama apabila memasuki julat pertengahan putaran enjin.

Untuk kegunaan dalam bandar memang tidak menjadi sebarang masalah, malah penulis juga seronok menunggang jentera ini merentas daerah untuk menghirup angin Selat Melaka.

Kotak gear enam nisbah kelajuan itu sayang sekali tidak diberikan ciri klac assist & slipper, namun usah risau kerana setiap penukaran gear dirasakan begitu lancar sepanjang perjalanan.

Gixxer 250 juga didatangkan dengan lampu indikasi penukaran gear yang akan memberikan peringatan kepada penunggang.

 

4. Jentera mesra selekoh

Tidak tergerak di hati untuk menguji kelajuan tertinggi jentera ini, memandangkan Gixxer 250 ini sebenarnya lebih seronok ditunggang di laluan-laluan yang jauh dari lebuh raya.

Walaupun datang dengan tetapan standard fork teleskopik konvensional dan penyerap hentak tunggal, akan tetapi tetapan inilah yang membuatkan Gixxer 250 sesuai dengan keadaan jalan raya di Malaysia.

Segala gegaran dan ketidakrataan jalan diserap dengan baik, dan masih lagi mampu mengekalkan kestabilan pergerakan sewaktu melayan selekoh-selekoh.

Tayar standard saiz 110/70 depan dan 150/60 di belakang juga sedikit sebanyak membantu Gixxer 250 ini melekat baik pada lapisan aspal jalan, diikuti dengan sistem brek ABS dua saluran yang membantu aspek pemberhentian jentera ini dengan lebih berkesan.

Atas kertas memang boleh nampak kekurangan yang wujud pada jentera ini, namun tidak saat anda membawanya keluar dari garaj untuk menikmati laluan yang sebenar.

 

5. Selesa? Ya!

Salah satu perkara yang membuatkan penulis berpuas hati dengan Gixxer 250 ialah keberkesanan sistem penyejukan enjin itu sendiri.

Secara standard, Gixxer 250 datang dengan sistem sejukan minyak/udara Suzuki Oil Cooling System (SOCS) untuk memastikan kaki kiri dan kanan kekal rasa selesa sepanjang perjalanan.

Sangat berbeza dengan sebuah lagi jentera 250 cc yang penulis pernah tunggang uji sebelum ini, di mana tenaga haba yang terhasil itu boleh membuatkan kaki rasa terbakar walaupun sekadar menempuh perjalanan jarak dekat.

Tapi tidak pada Gixxer 250, di mana penulis dapat membuat perjalanan yang lebih jauh berbanding kebiasaan tanpa perlu berhenti dengan kerap semata-mata untuk menyejukkan kaki.

 

6. Tidak banyak jajan tambahan

Dengan harga jualan sekitar RM14,500, Suzuki Gixxer 250 memang mempunyai beberapa kekurangan yang nyata.

Ciri yang anda mahukan seperti fork hadapan jenis terbalik, ciri penukaran gear pantas, lampu membelok LED, skrin paparan TFT berwarna dan sistem mula tanpa kunci memang tiada langsung dalam senarai spesifikasi jentera ini.

Apa yang anda akan dapat ialah sebuah jentera 250 cc mesra lesen B2 yang agak ringkas, namun masih lagi boleh digunakan untuk berseronok ketika ulang alik ke tempat kerja, atau menikmati oksigen segar bersama rakan-rakan di hujung minggu menuju ke kedai Lemang To’ Ki.

Dengan tangki bahan api sebesar 12 liter, ia sudah mencukupi untuk memastikan anda mencapai jarak tunggangan sejauh 400 km sebelum perlu singgah ke stesen minyak berikutnya.

Kesimpulannya, Suzuki Gixxer 250 mampu menawarkan pengalaman tunggangan dan pengendalian yang baik, dan dalam masa yang sama mengekalkan aspek keselesaan pada julat harga yang lebih mampu milik.

Baik beli motor lain? Itu terpulang kepada pendapat peribadi. Yang pasti, ini antara jentera 250 cc yang sangat seronok untuk ditunggang.

 

Spesifikasi ringkas Suzuki Gixxer 250

Enjin: silinder tunggal 249 cc sejukan udara/minyak
Kuasa: 26.7 hp @ 9,300 rpm
Daya kilas: 22.2 Nm @ 7,300 rpm
Transmisi: Enam nisbah kelajuan
Tangki bahan api: 12 liter
Tinggi pelana: 795 mm

 

Suzuki SV650 – “Monster” yang kurang diberi perhatian

SUZUKI SV650 merupakan salah satu daripada enam motosikal baharu yang dibawa masuk oleh pengedar baharu jenama itu (Suzuki Malaysia Sdn Bhd) pada Ogos tahun lalu.

Dalam video tunggang uji terbaharu, Mr Rocket mendakwa bahawa model naked itu kurang diberi perhatian jika dibandingkan dengan dua model saiz pertengahan Suzuki yang lain iaitu GSX-S750 dan V-Strom 650XT. Agak-agak kenapa ya?

Tidak pasti kenapa, namun SV650 tidak wajar dipandang rendah kerana ia mempunyai beberapa kelebihan untuk membolehkannya bersaing dalam pasaran Malaysia. Pertama sekali, ia merupakan antara model paling mampu milik dalam segmennya dengan harga bermula dari RM37,289.

Bukan itu sahaja, Mr Rocket juga mendakwa ia membuatkan penunggang kelihatan lebih kacak. Malah, dengan bingkai dan rim berwarna merah, tidak mustahil ada yang menyangka bahawa ia adalah Ducati Monster.

Dalam erti kata lain, SV650 sesuai untuk mereka yang inginkan Monster tetapi tidak mampu untuk mengeluarkan belanja yang besar untuk memiliki jentera dari Itali itu. Bak kata orang, ada gaya pun sudah memadai.

Tambah penunggang uji Engear itu, sifat SV650 yang “basic” dan “raw” secara tidak langsung membuka ruang kepada pemilik untuk memodifikasi jentera ini mengikut selera masing-masing. Sebagai contoh, fork teleskopik depan boleh ditukarkan dengan fork daripada GSX untuk prestasi redaman yang lebih mantap.

Selain itu, sistem ekzos juga boleh ditukar dengan unit aftermarket yang sudah tentu akan menghasilkan ‘ngauman’ yang akan menjadi halwa telinga. Namun, Mr Rocket menganggap bahawa bunyi yang dihasilkan oleh sistem ekzos standard itu sudah cukup bagus.

Sebaik sahaja mula menunggangnya, motosikal ini tidak selebar yang disangka, dengan rekaan ergonomik yang membuatkan penunggang terasa lebih santai dan selesa. Ini, menurut Mr Rocket, memudahkan penunggang untuk menyelit antara kenderaan lain dan mengambil selekoh.

Mengenai enjin V-twin-nya pula, kuasa yang dihamburkan disifatkan lain dari yang lain. Ini kerana penghantaran tork pada julat rendah membuatkan SV650 terasa begitu berkuasa dan responsif. Disebabkan ini, model ini mungkin tidak begitu sesuai untuk dikategorikan sebagai motosikal pemula atau “beginner’s bike”.

Ini ada benarnya kerana ramai penunggang, terutamanya mereka yang baru mendapat Lesen B, menyangka bahawa motosikal kapasiti pertengahan boleh dijadikan sebagai motosikal pemula. Pada pendapat penulis, lebih baik bermula dengan motosikal 250 cc dan apabila sudah cukup berpengalaman, barulah naik taraf kepada model berkapsiti lebih besar.

Nak dengar ulasan lanjut Mr Rocket mengenai SV650? Jom tonton video di bawah: