Tag Archives: UMW Toyota Motor

UMW Toyota Motor jual 8,349 unit kenderaan pada Julai 2023, naik 25.8 peratus

UMW Toyota Motor mengakhiri Julai 2023 dengan cemerlang apabila mencapai jualan sebanyak 8,349 unit, iaitu 8,200 unit bagi Toyota dan 149 unit bagi Lexus. Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 25.8 peratus berbanding Julai 2022.

Pencapaian ini juga menyaksikan angka jualan bagi tempoh Januari hingga Julai 2023 meningkat kepada 57,008 unit, iaitu 8.5 peratus lebih tinggi berbanding 52,548 unit yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor berkata pertumbuhan berterusan dalam jualan syarikat itu merupakan bukti daya tarikan kereta Toyota kepada pembeli yang menghargai prestasi dan kebolehpercayaan.

Datuk Ravindran K.

“Untuk memperluaskan lagi pengalaman memandu Toyota kepada lebih ramai pengguna, kami berbesar hati untuk menjadikan pemilikan Toyota lebih mudah diakses dengan pertumbuhan pusat jualan dan servis kami, serta perkhidmatan Extra Mile kami bersama-sama dengan promosi bulanan yang memudahkan pembelian dan pemilikan Toyota,” katanya.

Pelanggan di Penampang, Sabah kini mempunyai akses yang lebih baik kepada perkhidmatan Toyota dengan perkembangan Armada KK Automobile. Merupakan pengedar Toyota sejak 2005 lagi, cawangan ini kini dinaik taraf dari 1S kepada 3S.

Pusat baharu itu dibuka di Mile 6, Jalan Penampang, menawarkan kemudahan pusat jualan dan servis kepada pelanggan di sekitar Penampang dan Kota Kinabalu. Ia dilengkapi dengan 18 ruang servis bagi memenuhi keperluan pemilik Toyota.

Sementara itu di Semenanjung Malaysia, pelanggan di Muar, Johor kini boleh mengunjungi pusat 4S Toyota baharu yang dibuka oleh E.S. Yang Motor, pengedar Toyota sejak 1994.

Terletak di Jalan Dato’ Haji Kosai, pusat baharu itu menggabungkan pusat 1S, 2S dan Body & Paint yang sebelum ini dibuka secara berasingan. Ia mempunyai 14 ruang servis dan 20 ruang kerja khusus untuk Body & Paint.

Pada bulan Julai, UMW Toyota Motor menawarkan promosis bulanan 100 peratus pinjaman untuk pembelian kereta Toyota serba baharu. Untuk setiap pembelian, pelanggan boleh memilih pelan ansuran bulanan serendah RM628 untuk Toyota Yaris.

Pada masa yang sama, pelanggan juga boleh menikmati promosi yang menawarkan rebat tunai sehingga RM10,000 apabila mereka membeli Toyota Camry.

Toyota Alphard, Vellfire serba baharu dibuka untuk tempahan, harga bermula RM438k

DALAM laporan prestasi jualannya bagi bulan Jun 2023, UMW Toyota Motor turut mengumumkan pembukaan tempahan bagi Toyota Alphard dan Vellfire generasi baharu.

Untuk pasaran Malaysia, syarikat itu akan menawarkan Alphard 2.4T Executive Lounge dan Vellfire 2.5. Kedua-dua model ini boleh ditempah di semua bilik pameran sah Toyota di seluruh negara dengan harga anggaran RM538,000 untuk Alphard dan RM438,000 untuk Vellfire.

Terdapat empat warna yang ditawarkan iaitu Platinum White Pearl, Precious Metal, Precious Leo-Blond (Alphard sahaja) dan juga Black.

Berbeza dengan pasaran Jepun di mana Alphard ditawarkan dengan enjin 2.5-liter NA atau hibrid, Alphard untuk pasaran Malaysia dikuasakan oleh enjin turbo 2.4-liter DOHC yang dipadankan dengan transmisi automatik Direct Shift lapan kelajuan.

Sementara itu, Vellfire pula menampilkan enjin 2.5-liter (tidak pasti sama ada NA atau hibrid) dengan transmisi Super CVT-i tujuh kelajuan denan teknologi Sports Sequential Shiftmatic.

Menurut UMW Toyota Motor, model ini dilengkapi dengan Front Performance Brace yang dikatakan mampu memberikan pecutan yang lebih lancar serta pengendalian yang mantap dan stabil.

Selain itu, kedua-dua model itu juga akan didatangkan secara standard dengan lampu LED sepenuhnya, lampu isyarat berjujukan pada bahagian depan dan belakang, upholsteri kulit, trim kayu dan bumbung kaca panoramik.

Turut disertakan adalah sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna, lampu membaca panel instrumen digital TFT berukuran 12.3 inci dengan gandingan paparan head-up, serta fungsi pemanas dan ventilasi pada tempat duduk depan dan barisan tengah.

Sebagai tambahan, tempat duduk kapten pada Alphard mempunyai fungsi urutan. Terdapat juga ciri Hybrid Long Slide yang membolehkan tempat duduk barisan kedua di dalam Alphard dan Vellfire digelongsor sehingga 480 mm.

Semua tempat duduk di dalam kedua-dua model MPV ini turut dilengkapi dengan struktur anti-getaran yang bertindak untuk mengurangkan rasa impak ketika melalui jalan yang tidak rata.

Dari segi keselamatan, Alphard dan Vellfire menampilkan Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri-ciri seperti Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert (LDA), Road Sign Assist (RSA) dan Adaptive High-beam System (AHS).

Toyota Innova Zenix dilancarkan di Malaysia sebagai MPV premium – harga dari RM165k

SELEPAS dilancarkan di Indonesia pada November tahun lalu, Toyota Innova Zenix serba baharu kini memasuki pasaran Malaysia pula.

Di sini, Innova Zenix boleh didapati dalam dua varian iaitu 2.0V dengan lapan tempat duduk dan 2.0 HEV dengan tujuh tempat duduk. Harga jualan (on-the-road tidak termasuk insurans) bermula dari RM165,000 untuk varian 2.0V dan RM202,000 untuk HEV.

Seperti yang anda mungkin sudah tahu, Innova Zenix dibina di atas platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang menggantikan kerangka jenis ladder frame pada model generasi terdahulu.

Ia mempunyai ukuran panjang 4,760 mm, lebar 1,850 mm, tinggi 1,795 mm, bermakna ia sedikit lebih panjang dan lebar berbanding model sedia ada. Bukan itu sahaja, ukuran tapak roda turut bertambah sebanyak 100 mm dari 2,750 mm sebelum ini kepada 2,850 mm.

Dibangunkan sebagai model premium, Innova Zenix didatangkan standard dengan lampu LED pada bahagian depan dan belakang, lampu nyalaan siang LED, dan rim 18 inci dengan tayar berukuran 255/50.

Untuk pasaran Malaysia, terdapat lima warna yang boleh dipilih iaitu Metallic Gray, Attitude Black, Avantgarde Broze, Silver dan Platinum White Pearl. Sebagai tambahan, UMW Toyota Motor turut menawarkan warna Super White untuk pelanggan fleet.

Masuk ke dalam, anda akan menemui skrin sentuh berukuran 10.1 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, paparan multi-info bersaiz tujuh inci, dan sistem pendingin hawa automatik dengan corong pada barisan kedua dan ketiga.

Menariknya, penumpang pada barisan kedua boleh mengubah suhu dan kelajuan kipas menerusi panel kawalan yang terdapat pada bahagian belakang kotak konsol. Selain itu, terdapat empat port pengecas USB (dua di depan, dua di belakang) dan dua soket 12V.

Sebagai model tujuh tempat duduk, Innova Zenix 2.0 HEV mendapat kerusi kapten pada barisan kedua dan juga bumbung suria panoramik.

Innova Zenix 2.0V dikuasakan oleh enjin petrol M20A-FKS 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 174 PS dan 205 Nm. Kuasa disalurkan ke roda depan oleh transmisi jenis Direct Shift CVT dengan 10 kelajuan.

Sementara itu, Innova Zenix 2.0 HEV pula menampilkan gabungan enjin M20A-FXS 2.0-liter empat silinder, sebuah motor elektrik, bateri jenis Ni-Mh dan transmisi e-CVT.

Gandingan ini memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 186 PS. Selain tiga mod pemanduan standard, varian hibrid ini juga mempunyai mod EV yang membolehkan kereta dipandu menggunakan kuasa elektrik sahaja dalam jarak dekat.

Untuk sistem suspensi, Innova Zenix menggunakan topang MacPherson pada bahagian depan dan torsion beam pada bahagian belakang. Toyota mendakwa sistem suspensi ini ditala khusus mengikut keadaan jalan raya di Malaysia.

Untuk sistem keselamatan pula, kedua-dua varian dilengkapi dengan Toyota Safety Sense (TSS) 3.0 yang menggunakan sensor kamera dengan sudut pengesanan yang lebih luas dan jarak pengesanan lebih jauh.

TSS 3.0 merangkumi sistem-sistem keselamatan aktif seperti Pre-Collision System, Dynamic Radar Cruise Control, Auto High Beam, Lane Departure Alert, Lane Tracing Assist dan Road Sign Assist.

Turut disertakan adalah Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert, Vehicle Stability Control, Hill Start Control, Emergency Stop Signal, Tyre Pressure Monitoring System dan enam beg udara.

Seperti model-model lain yang ditawarkan oleh UMW Toyota Motor, Innova Zenix didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Untuk varian 2.0 HEV, ia juga mendapat jaminan berasingan selama lapan tahun, tanpa had perbatuan untuk pek bateri, inverter dan Power Management Control.

Jualan UMW Toyota Motor meningkat 8 peratus pada Mei

UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan prestasi jualan mereka bagi bulan Mei 2023, di mana syarikat itu berjaya menjual sebanyak 7,875 unit kenderaan Toyota dan 129 unit kenderaan Lexus.

Angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 8,004 unit, 8 peratus lebih tinggi berbanding 6,767 unit yang dicatatkan pada April 2023.

Bagi jualan semasa bagi 2023 (YTD), jualan terkumpul UMWT telah mencecah sebanyak 39,990 unit dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, menunjukkan pertumbuhan sebanyak 8 peratus berbanding 36,972 unit yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Bulan Mei 2023 juga menyaksikan UMWT mengambil pendekatan proaktif dalam memenuhi tanggungjawabnya untuk menyediakan solusi pengangkutan rendah karbon bagi memenuhi keperluan rakyat Malaysia.

Sebagai contoh, syarikat itu membawa masuk beberapa unit contoh model kenderaan elektrik Toyota bZ4X untuk menjalankan penyelidikan pasaran dan penilaian teknikal dengan keadaan jalan raya tempatan.

Langkah ini selaras dengan strategi Toyota yang mensasarkan untuk mencapai neutraliti karbon dengan menawarkan pelbagai jenis pilihan, termasuk kenderaan elektrik bateri (BEV), kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV) dan kenderaan elektrik hibrid (HEV).

Dalam perkembangan lain, Lexus baru-baru ini membuka bilik pameran mesra eko pertamanya di Klang, membuktikan komitmennya dalam mengurangkan jejak karbon dan mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.

Pengedar rasmi, PCM Klang Motor pula menawarkan peluang kepada pemilik Toyota untuk menaik taraf kenderaan mereka kepada model Lexus menerusi program tukar-beli mereka.

Selain itu, Lexus RX generasi kelima telah dilancarkan dalam varian RX 350 Luxury, pada harga RM468,888 tidak termasuk insurans.

Akhir sekali, UMWT mengadakan promosi Toyota Extra Mile pada bulan ini di mana pelanggan berpeluang menikmati promosi bernilai sehingga RM8,000. Corolla ditawarkan dengan ansuran bulanan bermula RM1,108, manakala Vios pula boleh dimiliki dari RM688 sebulan.

Toyota Innova Zenix sudah tiba di Malaysia, bila tarikh pelancarannya?

NAMPAKNYA Toyota Innova Zenix bakal menjadi model seterusnya yang akan dilancarkan oleh UMW Toyota Motor.

Ini kerana sebanyak enam unit MPV itu telah dikesan di atas treler oleh RiderATH baru-baru ini, menandakan pelancarannya yang mungkin akan berlangsung tidak lama lagi.

Innova Zenix dilancarkan buat pertama kali di Indonesia pada November tahun lalu, di mana ia dikenali sebagai Kijang Innova Zenix. Terdapat lima varian, dengan harga bermula dari 419 juta rupiah (RM122,057) hingga 601 juta rupiah (RM175,118).

Innova Zenix dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-C bagi menggantikan platform jenis ladder frame IMV yang terdahulu. Ia boleh didapati dengan tujuh atau lapan tempat duduk.

Dengan platform tersebut, Innova Zenix mempunyai ukuran panjang 4,755 mm, lebar 1,850 mm dan tinggi 1,795 mm, iaitu 20 mm lebih panjang dan lebar berbanding model generasi terdahulu.

Ukuran tapak roda pula adalah 2,850 mm, 100 mm lebih panjang berbanding sebelum ini dan 35 mm lebih panjang berbanding tapak roda Proton X90.

Di Indonesia, Innova Zenix boleh didapati dengan dua pilihan enjin iaitu petrol dan hibrid. Versi petrol menggunakan enjin 2.0-liter empat silinder M20A-FKS yang menghasilkan 174 PS dan 205 Nm. Enjin ini dipadankan dengan CVT.

Versi hibrid menampilkan gabungan enjin Dynamic Force 2.0-liter empat silinder M20A-FXS dengan 152 PS dan 187 Nm, dan sebuah motor elektrik dengan 113 PS dan 205 Nm. Gabungan ini menghasilkan 186 PS yang disalurkan ke roda depan menerusi transmisi jenis e-CVT.

Ciri-ciri lain yang terdapat pada Kijang Innova Zenix dan mungkin akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia termasuklah skrin infohibur berukuran 10 inci, kerusi ottoman untuk tempat duduk barisan kedua, skrin infohibur berkembar pada bahagian belakang kerusi pemandu dan penumpang depan, serta sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense 3.0.

Apa pendapat anda mengenai Toyota Innova Zenix? Adakah ia pilihan yang lebih baik berbanding Proton X90?

Toyota Vios akan terus dijual, tiada isu dari segi keselamatan

UMW Toyota Motor dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa penjualan Toyota Vios serba baharu akan diteruskan kerana tiada isu dari segi standard keselamatan dan kualiti kenderaan berkenaan.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, “Bagi pelanggan yang telah menempah Toyota Vios serba baharu atau berminat untuk membelinya, kami ingin memberi jaminan bahawa model berkenaan mematuhi semua peraturan keselamatan dan tiada kompromi terhadap kualitinya.”

Ini berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Daihatsu Co Ltd. pada 28 April 2023 yang mengetengahkan “ketidakaturan prosedur” dalam ujian yang melibatkan empat model iaitu Toyota Vios, Perodua Axia, Toyota Agya dan satu lagi model yang belum dilancarkan.

Ujian seterusnya telah mengesahkan bahawa Vios memenuhi pensijilan UN-R95 dan tidak ada keperluan untuk sedan itu dipanggil semula.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami pelanggan dan kami ingin memberi jaminan kepada semua keselamatan dan kualiti kenderaan kami. Komitmen kami terhadap keselamatan pelanggan kami sentiasa dan kekal yang paling utama,” katanya.

UMW Toyota Motor catat prestasi positif bagi suku pertama 2023

UMW Toyota Motor menutup tirai suku pertama tahun 2023 dengan catatan jualan sebanyak 9,026 unit bagi jenama Toyota dan 110 unit bagi Lexus pada bulan Mac, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,136 unit.

Angka tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 131 unit berbanding 9,297 unit yang dicatatkan pada bulan Februari.

Walau bagaimanapun, jumlah jualan keseluruhan (YTD) untuk tiga bulan pertama tahun ini mencecah 25,219 unit, 12 peratus lebih tinggi berbanding 22,447 unit yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Bagi anda yang terlepas, bulan Mac menyaksikan pelancaran Toyota Vios serba baharu, model sedan segmen B yang terus kekal menjadi antara model terlaris dalam pasaran kenderaan nasional sejak ia mula diperkenalkan pada 2003.

Model generasi keempat ini menggunakan platform DNGA (Daihatsu New Global Architecture) yang membawakan prestasi lebih hebat dan teknologi terkini, menjadikan ia pilihan tepat untuk pelanggan.

Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor berkata, “Toyota Vios serba baharu mewakili komitmen kami untuk memberikan pelanggan kami kenderaan dan pengalaman pemilikan yang terbaik.”

Bersempena dengan bulan Ramadan, UMW Toyota Motor menawarkan promosi bernilai sehingga RM8,000 untuk model-model terpilih, pembiayaan pinjaman 100 peratus Toyota Service Savers dengan ansuran bulanan serendah RM22.

Para pemilik Toyota juga boleh mengharapkan perjalanan pemilikan kereta yang lebih lancar dengan perkhidmatan selepas jualan Extra Mile yang menjanjikan pengalaman luar biasa.

Kos servis Toyota Vios 2023 sehingga perbatuan 100,000 km

SEPERTI yang anda sedia maklum, Toyota Vios 2023 telah dilancarkan ke pasaran Malaysia baru-baru ini.

Untuk model generasi keempat, sedan segmen B itu ditawarkan dalam dua varian sahaja iaitu 1.5E pada harga RM89,600 dan 1.5G yang berharga RM95,500.

Model serba baharu itu membawakan pembaharuan menyeluruh yang melibatkan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA), serta trenkuasa yang menampilkan gandingan enjin 2NR-VE 1.5-liter Dual VVTi dan transmisi D-CVT.

Dalam artikel ini, kami akan menunjukkan kos penyelenggaran atau servis Vios serba baharu untuk perbatuan sehingga 100,000 km.

Servis pertama – 1,000 km

Untuk 1,000 km pertama, servis melibatkan minyak enjin sintetik 4 liter (RM139), cecair pencuci cermin hadapan (RM3), pembasmi kuman Noviruclean 3471 (RM12.11), penapis minyak hitam (RM38.60) dan gasket palam (RM2.80).

Jika diikutkan, jumlah sebenar adalah RM195.51 namun dengan harga pakej, pelanggan hanya perlu membayar sebanyak RM185 atau RM215 jika memilih minyak enjin sintetik penuh.

10,000 km-30,000 km, 50,000 km-70,000 km & 90,000-100,000 km

Untuk makluman anda, UMW Toyota Motor menawarkan beberapa pakej servis untuk Vios. Bagi perbatuan 10,000 km, 20,000 km, 30,000 km, 50,000 km, 60,000 km, 70,000 km, 90,000 km dan 100,000 km, ia ditawarkan di bawah pakej Advance.

Servis untuk perbatuan-perbatuan ini sama sahaja seperti servis 1,000 km. Ia melibatkan penukaran minyak enjin, cecair pencuci cermin hadapan, pembasmi kuman, penapis minyak hitam gasket palam. Cuma, tidak seperti servis pertama itu, pelanggan akan dikenakan kos buruh (RM97.50) dan cukai perkhidmatan 6 peratus (RM5.85).

Jumlah akhir yang perlu dibayar oleh pelanggan adalah RM298.86, namun dengan harga pakej Advance, harga dikurangkan kepada RM295. Mereka yang memilih minyak enjin sintetik penuh perlu membuat bayaran tambahan sebanyak RM30.

Bagaimanapun, untuk servis 100,000 km, pelanggan perlu menukar minyak CVT (RM280, harga pakej termasuk gasket, palam, kos buruh dan cukai perkhidmatan), dan palam pencucuh iridium (RM270, 4 biji).

40,000 km & 80,000 km

Servis untuk 40,000 km dan 80,000 km ditawarkan di bawah pakej Advance Plus. Secara umumnya, komponen yang ditukar sama sahaja seperti pakej Advance, cuma dengan penambahan bendalir brek (RM40) dan penapis pembersih udara (RM118.35).

Selain itu, kos buruh juga meningkat kepada RM130. Untuk servis 40,000 km, pelanggan hanya dikenakan bayaran sebanyak RM485 atau RM515 jika memilih minyak enjin sintetik penuh.

Untuk servis 80,000 km pula, pelanggan perlu menggantikan penapis minyak pada harga RM270.75. Ia melibatkan dua komponen iaitu penapis (RM258.15) dan cincin O (RM12.60).

Maklumat lanjut mengenai kos penyelenggaran Vios serba baharu boleh didapati di laman web UMWT.

Toyota Vios 2023 dibuka untuk tempahan di Malaysia, harga dari RM90k

UMW Toyota Motor telah mengumumkan bahawa tempahan untuk Toyota Vios serba baharu kini sudah pun dibuka di semua wakil pengedar bertauliah di Malaysia.

Model generasi keempat itu akan ditawarkan dalam dua varian, dengan harga anggaran RM90,000 bagi varian 1.5E dan RM96,000 bagi varian 1.5G.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Vios kini dibina berasaskan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang turut digunakan oleh Perodua Ativa/Daihatsu Rocky/Toyota Raize dan Perodua Alza/Toyota Avanza/Daihatsu Xenia.

Saiz sedan segmen B itu lebih besar berbanding sebelum ini, dengan ukuran panjang 4,425 mm, lebar 1,740 mm lebar dan tinggi 1,480 mm tinggi. Jarak roda turut bertambah sebanyak 70 mm jika dibandingkan dengan model terdahulu, menjadikan ukuran terkini 2,620 mm.

Kedua-dua varian Vios dikuasakan oleh enjin 1.5-liter DOHC Dual VVT-i yang dipadankan dengan transmisi jenis CVT dengan Sequential Shiftmatic. Trenkuasa ini ditemani tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Power.

Dari segi reka bentuk, Vios kini tampil dengan rekaan yang lebih tajam dan bersegi, serta mempunyai gril yang lebih besar yang diisi dengan palang mendatar. Apa yang lebih menarik, UMW Toyota Motor menggelar model baharu ini sebagai sebuah fastback.

Berdasarkan risalah rasmi yang disiarkan, Vios didatangkan dengan rim aloi 17 inci, dan boleh didapati dalam lima warna iaitu Silver Metallic, Nebula Blue Metallic, Spicy Scarlet, Attitude Black dan Platinum White Pearl.

Di dalam, anda akan menemui ciri-ciri seperti paparan audio berukuran 9 inci, Android Auto dan Apple CarPlay wayarles, Panoramic View Monitor 3D, brek parkir elektronik, paddle shifter dan corong pendingin hawa belakang.

Untuk sistem bantuan pemandu pula, terdapat Toyota Safety Sense yang merangkumi Lane Departure Prevention, Lane Departure Warning, Front Departure Alert, Pre-Collision System, Lane Keeping Control, Adaptive Cruise Control dan Auto High Beam.

Ciri-ciri lain seperti Blind Spot Monitor dan Rear Cross Traffic Alert turut disertakan. Pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan pakej Tech Up yang mengandungi perakam video digital belakang pada harga RM380.

Melihat kepada senarai harga yang disertakan, UMW Toyota Motor turut menawarkan pakej Toyota Service Savers dengan tempoh/perbatuan selama 3 tahun/60,000 km (RM2,060) atau 5 tahun/100,000 km (RM3,220).

Setiap pembelian Vios didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan, perkhidmatan 24SEVEN Road Assist dan langganan percuma selama tiga tahun untuk Vehicle Telematics System.

UMW Toyota Motor jual 6,786 unit kenderaan pada Januari 2023

UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan prestasi jualannya bagi bulan Januari 2023, di mana syarikat itu berjaya menjualn 6,771 unit kenderaan Toyota dan 15 unit kenderaan Lexus, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,786 unit.

Datuk Ravindran K, Presiden UMW Toyota Motor berkata syarikatnya juga memulakan tahun baru dengan cemerlang apabila merangkul anugerah Platinum di Putra Brand Awards untuk kali keempat berturut-turut.

“Ditambah pula dengan gelaran Jenama Automotif Bukan Nasional No.1 dengan merekodkan jualan melebihi 100,000 unit tahun lalu, kami amat berterima kasih kepada pelanggan kami atas sokongan berterusan mereka dan kami lebih komited untuk pergi ‘Extra Mile’ untuk ‘Move Your World’ dan memberikan pengalaman pemilikan luar biasa,” tambah beliau.

Walaupun sambutan Tahun Baru Cina sudah berakhir, pelanggan masih boleh menikmati pelbagai tawaran hebat daripada UMWT.

Sebagai contoh, Vios dan Yaris kini boleh dimiliki dengan ansuran bulanan masing-masing serendah RM598 dan RM558, di samping promosi bernilai sehingga RM5,490. Bukan itu sahaja, juga terdapat promosi Toyota Service Savers dari hanya RM22 sebulan.

UMWT turut melancarkan kejohanan golf profesional Toyota Tour, yang merupakan hasil daripada perkongsian hak penamaan dengan Persatuan Profesional Golf Malaysia (PGM).

Kejohanan ini akan diadakan di Saujana Golf & Country Club dari 8 hingga 11 Mac, dengan hadiah berjumlah RM230,000. Ia akan disusuli dengan lapan lagi kejohanan tertutup di kelab-kelab golf premium terkemuka, setiap satu menawarkan hadiah berjumlah RM210,000.

Toyota Tour akan menutup tirainya dengan Toyota Championship di Kuala Lumpur Golf & Country Club dari 14 hingga 17 November. Acara yang diadakan secara bersama dengan Asian Development Tour (ADT) itu menawarkan hadiah bernilai RM350,000.

Toyota sasar kemenangan di Sepang 1000KM hujung minggu ini

SELEPAS membuat kemunculan sulungnya pada Sepang 1000KM edisi 2020, Toyota kini menetapkan sasarannya untuk memenangi perlumbaan ketahanan berprestij itu menerusi model Vios.

Untuk tahun ini, Sepang 1000KM akan berlangsung selama lebih sembilan jam di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 17 hingga 20 November 2022.

UMW Toyota Motor dan Gazoo Racing Malaysia akan berentap dalam kelas MTC dan SP2. Dua pelumba akan menggalas cabaran dalam kelas MTC untuk merebut gelaran juara keseluruhan, manakala 15 pelumba dari kelas SP2 akan bersaing dalam Gazoo Racing Vios Enduro Cup yang terbuka untuk semua generasi model yang bertanding dalam Vios Challenge dan siri Vios Sprint Cup.

Saingan tahun lalu menyaksikan Toyota menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan keempat dalam kelas MTC. Hayden Haikal dan Timothy Yeo berjaya melepasi garisan penamat di kedudukan pertama dan tiga pusingan di hadapan pesaing terdekat mereka namun malangnya pasangan tersebut dikenakan penalti yang menyebabkan mereka jatuh ke kedudukan keempat keseluruhan dan ketiga dalam kelas MTC.

Sementara itu, gandingan kedua Toyota iaitu Boy Wong dan Dannies Ng yang memandu Vios berjaya menamatkan saingan di tempat keempat dalam kelas MTC dan keenam keseluruhan. Tiga buah Toyota juga berjaya menduduki lima kedudukan teratas daripada 39 penyertaan.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata Gazoo Racing Vios Enduro Cup bakal menjadi acara penutup kepada musim perlumbaan yang sangat berjaya buat Toyota.

Perlumbaan itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 dengan juara keseluruhan akan membawa pulang RM10,000. Naib juara akan mendapat RM8,000, manakala pemenang tempat ketiga, keempat dan kelima masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM6,000, RM4,000 dan RM2,000.

Slot penyertaan Gazoo Racing Vios Enduro Cup adalah terhad. Untuk pendaftaran, pasukan dan pelumba yang berminat boleh menghubungi wakil Pengurusan Perlumbaan UMW Toyota Motor, Janet di talian 016-367 3300.

Vios Challenge musim ke-5 tutup tirai dengan 3.1 juta penonton dalam talian

Vios Challenge musim kelima menutup tirainya baru-baru ini dengan cemerlang apabila mencatatkan capaian 3.1 juta penonton dalam talian, satu rekod baharu untuk siri perlumbaan ‘one make’ itu.

Bukan itu sahaja, pusingan akhir penuh drama yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang menyaksikan kemunculan empat juara baharu dalam empat kelas yang dipertandingkan.

Dalam kelas Super Sporting yang disertai oleh barisan pemandu profesional, Mitchell Cheah dari Prima Pearl TD Racing kekal tenang untuk menghabiskan perlumbaan 7.3 saat di hadapan Freddie Ang dari Telagamas Toyota. Tempat ketiga pula menjadi milik Eddie Lew dari Laser Motor Racing.

Bagaimanapun, keputusan ini tidak menjejaskan kedudukan Hayden Haikal (Axle Sport) sebagai juara keseluruhan kelas Super Sporting bagi musim kelima.

Sementara itu, tempat pertama dalam kelas Rookie menjadi milik Muizzudin Musyafa, dengan Sharique Zulqarnain dan Nabil Azlan masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga. Walaupun menamatkan saingan di tempat ketiga, ia sudah cukup bagi Nabil untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan kelas Rookie.

Dalam kelas Sporting pula, Naquib Azlan yang mewakili Axle Sports mendominasi Perlumbaan 1 dan 2 pada hujung minggu lalu untuk membawa pulang gelaran juara keseluruhan kelas dengan jurang mata yang lebar. Setelah bergelar juara bagi kelas Rookie tahun lalu dan Sporting tahun ini, Naquib menetapkan sasaran untuk merebut kejuaraan kelas Super Sporting pula pada musim depan.

Saingan dalam kelas Promotional yang disertai oleh barisan selebriti tempatan juga tidak kurang hebatnya. Perlumbaan 2 menyaksikan Khai Bahar muncul juara, meninggalkan Ahirine Ahirudin di tempat kedua dan Nabil Ahmad di tempat ketiga.

Bagaimanapun, gelaran juara keseluruhan menjadi milik Nabil yang memiliki kelebihan enam mata di hadapan pesaing terdekatnya iaitu Zizan Razak.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata, “Kami telah menempuh perjalanan yang jauh selama lima musim Toyota Gazoo Racing Festival dan Vios Challenge sejak ia diadakan pada 2017. Pada mulanya, kami ingin mengubah fikiran bahawa kereta Toyota hanya untuk golongan yang matang.

Kami ingin menghasilkan kereta yang lebih baik serta menjadikannya menarik untuk golongan pembeli yang lebih muda dan hari ini, telah berlaku peralihan yang sepenuhnya. Sudah tentu, kami juga ingin memberikan sumbangan besar kepada sukan permotoran Malaysia.”

Tidak seperti sebelum ini, pusingan finale Vios Challenge musim kelima merupakan acara eksklusif yang terbuka kepada hanya 2,000 pengunjung. Keseluruhan bumbung paddock utama Litar Sepang ditukarkan menjadi tapak festival, dengan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung serta konsert oleh selebriti TGR, K-Clique, Ella dan Dolla.

Toyota Veloz – 5,200 tempahan diterima, pelancaran tidak lama lagi

UMW Toyota Motor  (UMWT) mengumumkan bahawa mereka telah menerima 5,200 tempahan untuk Toyota Veloz. Jika anda masih ingat, MPV tujuh tempat duduk itu dibuka untuk tempahan pada 24 Jun lalu.

Tarikh pelancaran Veloz masih belum diumumkan, namun menurut UMWT, kembar kepada Perodua Alza itu akan membuat kemunculan rasminya di pasaran Malaysia “tidak lama lagi”.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata, “Pengenalan Toyota Veloz akan menjadi detik penting bagi kami dan kami yakin ia akan menjadi popular di kalangan rakyat Malaysia dengan tawaran premium bernilai untuk wang, ciri-ciri canggih dan sudah tentu, kualiti dan kebolehpercayaan Toyota yang terkenal.”

Seperti Alza, Veloz dibina menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan dikuasakan oleh enjin 1.5-liter 4-silinder 2NR-VE dengan Dual VVT-i. Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi D-CVT yang memacu roda depan.

Ditawarkan dalam varian tunggal dengan harga jangkaan sekitar RM95,000, ia didatangkan standard dengan lampu LED, rel bumbung, brek parkir elektronik, paparan multi-info berukuran tujuh inci, paparan audio sembilan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto serta sistem keselamatan Toyota Safety Sense.

Prestasi jualan Ogos

Dalam pada itu, UMWT turut mengumumkan prestasi jualannya bagi bulan Ogos 2022, di mana mereka berjaya menjual sebanyak 8,961 unit kenderaan Toyota dan 130 unit kenderaan Lexus, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,091 unit. Angka ini menunjukkan peningkatan berbanding 6,637 unit yang direkodkan pada Julai 2022.

Sementara itu, jumlah jualan keseluruhan untuk tahun ini setakat Ogos adalah sebanyak 61,639 unit bagi jenama Toyota dan Lexus, naik 62 peratus berbanding 38,085 unit yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Fortuner, Hilux dan Innova baharu

UMWT juga akan memperkenalkan model siri Innovative International Multi-Purpose Vehicle (IMV) yang dipertingkatkan iaitu Fortuner dan Hilux pada September, dan Innova pada Oktober. Tempahan untuk model-model siri IMV itu telah pun dibuka pada 1 September lalu.

6,637 kereta Toyota dan Lexus dijual pada Julai 2022, Hilux kekal trak pikap terlaris Malaysia

UMW Toyota Motor (UMWT) meneruskan kemaraan mereka dengan mendaftarkan sebanyak 6,624 unit kenderaan Toyota dan 13 unit kenderaan Lexus pada bulan Julai 2022.

Dengan catatan ini, jualan keseluruhan UMWT bagi Julai 2022 adalah 6,637 unit manakala jumlah jualan tahunan setakat ini adalah 52,548 unit, naik 48% berbanding 35,561 unit yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Toyota Hilux mengekalkan gelarannya sebagai trak pikap paling laris di Malaysia sejak 2005 dengan jualan sebanyak 1,788 unit pada bulan lalu.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata pihaknya sedang bertungkus-lumus untuk mempergiatkan pengeluaran bagi memastikan penghantaran lebih cepat kepada pemilik kereta baharu yang telah sabar menunggu.

“Kami berterima kasih kepada semua pelanggan kami atas kesabaran dan pemahaman mereka,” tambah beliau.

Promosi Yaris dan Vios

Untuk bulan Ogos, UMWT menawarkan faedah bernilai RM4,000 di samping rebat tunai kepada peminat Yaris dan Vios. Syarikat itu menjangkakan jualan akan terus meningkat apabila rakyat Malaysia memanfaatkan tawaran dan penjimatan untuk menaik taraf kepada kenderaan moden dengan prestasi hebat, ciri keselamatan canggih dan keselesaan.

Sasaran neutraliti karbon

Sejajar dengan komitmen Toyota Global untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050 dan menyokong Toyota Environmental Challenge 2050, UMWT baru-baru ini telah mengadakan dua program iaitu penanaman pokok di Kuala Selangor Nature Park dan ‘Hike and Clean’ di Bukit Broga, Semenyih.

Program penanaman pokok itu menyaksikan seramai 80 peserta menanam sebanyak 1,500 anak pokok bakau yang bakal tumbuh untuk bertindak sebagai sink karbon yang dapat mengasingkan dua hingga empat kali lebih banyak karbon berbanding hutan hujan matang.

Sementara itu, aktiviti ‘Hike and Clean’ pula merupakan sebahagian daripada Toyota Environmental Challenge 2050 yang bertujuan untuk mewujudkan masyarakat masa depan yang hidup secara harmoni dengan alam semula jadi.

UMW Toyota jual hampir 9,000 kenderaan pada Jun 2022

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan bahawa untuk bulan Jun 2022, ia berjaya mencatat jualan sebanyak 8,939 unit, dengan 8,870 unit disumbangkan oleh Toyota dan 69 unit oleh Lexus. Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding jualan keseluruhan pada Mei iaitu 7,579 unit.

Dengan angka jualan Jun ini, jualan tahunan UMWT kini berada pada 45,911 unit bagi kedua-kedua jenama, 35% lebih tinggi berbanding 34,111 unit yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Menurut UMWT, penamatan tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dijangka akan memberikan impak negatif jangka pendek pada jualan, namun kesannya akan dikurangkan dengan tanda-tanda awal pemulihan semula bekalan semi konduktor dan cip mikro pada separuh kedua tahun ini.

Ini membolehkan syarikat meningkatkan produksi dan dengan pelancaran model-model baharu yang lebih canggih, pelanggan mempunyai lebih banyak pilihan.

“Masuk ke separuh kedua 2022, UMW Toyota Motor kini memfokuskan kepada ‘Extra Mile’ untuk memberikan pemilik Toyota pengalaman pemilikan dan selepas jualan terbaik. Memandang ke depan, perubahan tingkah laku pengguna mungkin akan meletakkan nilai pada teknologi automotif termaju dan ciri keselamatan komprehensif yang disokong oleh pelbagai perkhidmatan selepas jualan,” kata Ravindran K, Presiden UMW Toyota Motor.

Seperti yang diumumkan pada Jun lalu, UMWT akan melancarkan Toyota Veloz serba baharu. Ditawarkan dalam satu varian sahaja, pengganti Avanza itu hadir dengan enjin 1.5-liter dan transmisi D-CVT serta platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dengan suspensi baharu.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem keselamatan Toyota Safety Sense (TSS), skrin sentuh berukuran sembilan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, dan tidak dilupakan pengecas wayarles Qi.