Tag Archives: utopia

Inilah Pagani Utopia Roadster – Hypercar karya seni topless dengan V12 dan pilihan manual

PAGANI Utopia sememangnya suatu karya seni hypercar; dengan reka bentuk badan seksi, enjin V12, kotak gear manual, dan kabin mewah sporti. Satu-satunya cara untuk menjadikannya lebih menarik ialah dengan bumbung yang boleh dibuka.

Dan itulah yang dibuat oleh Pagani. Mereka mempersembahkan Pagani Utopia Roadster baharu.

Badannya dibuat dari gentian karbon terdedah berwarna Habanero Red. Ia mendapat rekaan sama dengan versi coupe iaitu lampu depan bulat, gril besar, lampu belakang bulat, ekzos quad, dan pintu ‘rama-rama’.

Rim adalah 21-inci di depan dan 21-inci di belakang, dan dibaluti tayar Pirelli P Zero Corsa Cyber.

Hypercar ini diberikan nadi yang sama iaitu enjin 6.0-liter V12 twin-turbo yang menjana 852hp dan 1,100Nm tork, dan kuasa dihantar ke roda belakang melalui differential elektro-mekanikal. Kelajuan maksima ialah 349km/j, sedikit rendah berbanding versi coupe.

Untuk kotak gear, pemilik boleh memilih sama ada manual 7-kelajuan atau automated manual 7-kelajuan dengan paddle-shifter.

Walaupun dengan bumbung keras yang boleh dibuka, Utopia Roadster tetap mempunyai berat yang sama dengan versi coupe. Ini dicapai kerana Pagani menggunakan bahan-bahan kukuh dan ringan untuk casis monocoque carbo-titanium padanya.

Kabin dalamannya tidak kurang menarik. Ia penuh dengan gentian karbon, balutan kulit, dan aluminium hampir di semua segenap penjuru. Tombol gear dengan mekanisma terdedah dikekalkan, menjadi identiti Pagani.

Seperti dijangka untuk sebuah hypercar, ia akan menjadi jentera rare. Hanya 130 unit akan dikeluarkan oleh Pagani untuk seluruh dunia dengan harga USD3.4 juta (RM15.49 juta).

Pagani Utopia Roadster yang pertama akan membuat kemunculan di Monterey Car Week bulan ini.

Pagani Utopia sebuah hypercar yang ringkas dan ringan, 852hp, 1,100Nm, pilihan manual 7-kelajuan

PAGANI telah mempertontonkan kepada dunia hasil terbaharu mereka iaitu Utopia. Hypercar ini merupakan versi produksi untuk C10.

Menurut Pagani, untuk menghasilkan Utopia ini, mereka telah bertanya kepada pelanggan-pelanggan sedia ada. Mereka meminta tiga benda: keringkasan, keringanan, dan keseronokan memandu.

Pagani Utopia dikuasakan oleh enjin 6.0-liter V12 dengan sudut 60 darjah. Enjin yang dibekalkan oleh Mercedes-AMG ini menghasilkan 852hp pada 6,000rpm dan 1,100Nm tork dari 2,800 hingga 5,900rpm.

Pemilik boleh memilih antara manual automated 7-kelajuan yang mana Pagani berkata merupakan kotak gear dengan penukaran terpantas dengan gear helical. Terdapat juga pilihan manual sebenar dengan pedal klac, juga 7-kelajuan. Kuasa disalurkan ke roda belakang dengan differential elektro-mekanikal.

Berbanding dengan Huayra dan Zonda, Utopia ini mempunyai rekabentuk minimalistik. Pagani meletakkan elemen aerodinamik aktif dengan ringkas untuk menampakkan badan yang tidak keterlaluan.

Pagani Utopia ini dibina pada struktur Carbo-Titanium HP62 G2 dan Carbo-Triax HP62, manakala sub-bingkai depan dan belakang adalah besi Chromoly.

Badannya pula dibina dari bahan yang menurut Pagani, “gentian karbon A-class jenis baharu” yang 38 peratus lebih tegar tetapi mempunyai berat yang sama dengan bahan sebelumnya.

Ekzos quad dengan balutan seramik mempunyai berat cuma 6kg, dan kesemua bahan-bahan ringan ini menjadikan Utopia cuma seberat 1,280kg. Cukup ringan untuk sebuah hypercar.

 

Untuk suspensi, Utopia menggunakan double-wishbone dengan aluminium kukuh dan penyerap hentak dengan kawalan elektronik. Brek pula adalah Brembo karbon-seramik dengan 6-piston di depan dan 4-piston di belakang.

Rim depan dan belakang masing-masing berukuran 21-inci dan 22-inci. Rim-rim ini mempunyai ekstraktor gentian-karbon berbentuk turbin untuk ‘menyedut’ udara panas dari brek. Sementara itu tayar Pirelli mempunyai bentuk Utopia pada dinding tepinya.

Di bahagian dalam, Pagani Utopia tidak mengikut trend yang menggunakan banyak paparan digital. Hanya satu skrin tunggal antara speedometer dan tachometer analog.

Tiada paparan infotainmen, Pagani meletakkan banyak kawalan instrumen, suis dan panel pendingin hawa di bahagian konsol tengah. Stereng dan pedal dihasilkan dari blok besi.

Pagani tidak mendedahkan harganya atau bila penghataran akan bermula. Apa yang pasti, hanya 99 unit Utopia akan dibina.