Ini berita baik untuk peminat enjin V8 dan V12 daripada AMG. Dalam persidangan tahunan yang diadakan baru-baru ini, Mercedes-Benz mengumumkan yang ia akan kekal menawarkan enjin-enjin berkenaan.
Bagi enjin V12, pengeluar dari Jerman itu merancang untuk terus menghasilkan enjin tersebut untuk jangka masa panjang namun untuk pasaran tertentu sahaja.
Ini tidak menghairankan kerana pada masa ini, hanya satu model Mercedes yang menggunakan enjin 12 silinder tersebut iaitu Maybach S680. Dengan sesaran 6.0-liter dan dua pengecas turbo, enjin itu menjana 612 PS dan 900 Nm.
Dalam trio jenama mewah Jerman, Mercedes menjadi jenama terakhir yang mengekalkan enjin 12 silinder dalam barisannya. Kali terakhir BMW mempunyai model V12 adalah pada 2022 menerusi M760i, manakala Audi pula keluar dari segmen ini pada 2017 dengan A8 yang dikuasakan enjin W12.
Seterusnya, Mercedes berkata ia sedang membangunkan enjin V8 baharu yang dielektrifikasi untuk model-model yang menggunakan platform AMG.EA. Enjin ini dibangunkan bagi mematuhi piawaian emisi Euro 7 yang lebih ketat.
Tidak pasti sama ada ia akan diberikan kepada C63 generasi seterusnya namun melihat kepada respons hambar terhadap model empat silinder hibrid semasa, ia nampak seperti idea yang bernas.
Syarikat itu tidak menyebut apa-apa tentang enjin enam silinder sebaris yang digunakan oleh S580e dan CLS53, jadi rasanya tidak keterlaluan jika kita anggap yang ia akan dikekalkan.
Untuk enjin empat silinder pula, CLA generasi baharu yang akan diperkenalkan bulan depan akan tampil dengan enjin hibrid 1.5-liter 48v yang dipadankan dengan transmisi DCT lapan kelajuan.
Ini ialah generasi keempat sedan mewah Bentley Flying Spur Speed 2025, dengan rupa paras yang hampir seiras dengan sedan generasi ketiga.
Sememangnya tidak banyak perubahan besar dibuat pada aspek luaran, melainkan dengan rekaan jeriji, rim aloi baharu bersaiz 22 inci, serta rekaan liang bukaan pada bampar.
Malah untuk ruang kabin juga perubahan yang dibawakan lebih bersifat minima, kecuali corak “Precision Diamond” yang dibawakan pada tempat duduk dan juga panel pintu.
Perubahan besar sebenarnya datang pada ruang enjin, di mana nadi W12 yang telah dihentikan produksi itu telah digantikan dengan unit rangkaian kuasa Ultra Performance Hybrid.
Enjin bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar itu mampu menghasilkan kuasa 592 hp, digandingkan dengan motor elektrik 187 hp.
Secara keseluruhan, Bentley Flying Spur 2025 mampu menjana kuasa 771 hp dan 1,000 Nm, menjadikan pecutan 0-100 km/j diselesaikan dalam masa 3.5 saat sahaja.
Pek bateri 25.9 kWh pula menawarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 76 km.
Dalam mod pemanduan EV, Flying Spur 2025 ini boleh bergerak menggunakan kuasa 187 hp/450 Nm dengan kelajuan dihadkan kepada 140 km/j sahaja.
Gandingan bateri dan tangki bahan api penuh membolehkan Flying Spur Speed ini bergerak sejauh 829 km.
Secara standard, Bentley melengkapkan model Flying Spur Speed ini dengan pelbagai teknologi casis yang moden, termasuklah Bentley Performance Active Chassis, stereng semua roda, suspensi Bentley Dynamic Ride, torque vectoring aktif dan pembeza gelincir terhad kawalan elektronik.
Untuk memastikan tiada dua Bentley Flying Spur memiliki spesifikasi kemasan yang sama, Bentley menawarkan sehingga 10 bilion pilihan penyesuaian tersedia tidak termasuk opsyen bespoke daripada divisyen Mulliner.
Untuk luaran sahaja, terdapat lebih 101 pilihan warna, diikuti dengan 700 kombinasi warna upholsteri kulit, lapan kemasan venir kayu dan tiga kemasan teknikal untuk ruang kabin.
Bentley menawarkan sistem audio 650 watt dengan 10 pembesar suara sebagai ciri standard, namun pembeli boleh mendapatkan naik taraf sistem Bang & Olufsen 1,500 watt dengan 16 pembesar suara, atau sistem 2,200 watt dengan 19 pembesar suara dan Active Bass Transducers tertanam pada tempat duduk depan.
Tidak cukup dengan itu, Flying Spur ini turut dilengkapi dengan kaca berlamina pada bahagian cermin hadapan dan sisi untuk menjadikan kabin 9dB lebih senyap.
Akhir sekali, terdapat opsyen Wellness Seating Specification tersedia untuk kesemua empat tempat duduk untuk memastikan setiap penumpang kekal selesa sepanjang masa.
KOENIGSEGG mengejutkan dunia apabila mengumumkan enjin Gemera dengan tiga-silinder. Ianya begitu berbeza dari kebiasaan pengeluar Sweden itu yang sudah dikenali dengan V8.
Enjin tiga-silinder 2.0-liter itu cukup berkuasa dengan gandingan motor elektrik, tetapi tidak ramai pula pelanggan Koenigsegg meminatinya. Mereka lebih berminat dengan Gemera berenjin V8.
CEOnya, Christian von Koenigsegg mendedahkan dalam satu temu bual berkenaan pembatalan enjin tiga-silinder ini. Katanya, mereka tidak meninggalkan terus teknologi ini.
Christian berkata mereka terus membangunkan enjin ini yang mungkin akan memasuki ke Gemera atau versi lain. Tetapi V8 nampaknya lebih popular, sayang sekali.
Enjin 2.0-liter dengan nama timangan Tiny Friendly Giant adalah sebahagian dari sistem hibrid yang terdiri dari unit tiga-silinder tersebut bersama tiga motor elektrik. Pakej ini membekalkan output keseluruhan 1,700hp dan 3,499Nm tork.
Supercar empat-tempat duduk itu mampu mencapai 100km/j dalam hanya 1.9 saat dan kelajuan maksima pada 400km/j.
Gemera akan ditawarkan dengan V8 sahaja buat masa ini, menurut Christian, yang tidak terkejut dengan popularitinya.
Enjin V8 5.0-liter twin-turbo itu menghasilkan 2,300hp dan 2,750Nm tork dengan bahan api E85. Pengeluaran dijadualkan bermula hujung tahun ini, dan penghantaran pada awal tahun depan.
Hanya sebanyak 300 unit dirancang untuk dikeluarkan.
BENTLEY Continental GT generasi keempat bakal diperkenalkan secara rasmi pada Jun depan dan tidak seperti sebelum ini, grand tourer mewah itu tidak akan menampilkan enjin V8 atau W12 tulen.
Sebaliknya, Continental GT akan tampil dengan trenkuasa baharu Bentley yang digelar sebagai Ultra Performance Hybrid. Apa yang menarik, trenkuasa ini menjadikannya model Bentley paling berkuasa pernah dihasilkan dalam sejarah syarikat itu.
Menurut Bentley, trenkuasa baharu itu menggabungkan enjin V8 baharu dan motor elektrik yang bekerjasama bagi menghasilkan kuasa keseluruhan mencecah 782 PS dan 1,000 Nm.
Angka tersebut lebih tinggi berbanding apa yang dimiliki oleh Batur iaitu 740 PS. Model itu dikuasakan oleh enjin 6.0-liter twin-turbo W12, yang akan dihentikan pengeluarannya pada tahun ini.
Selain itu, Continental GT juga dilengkapi dengan barisan teknologi casis terkini seperti Active All Wheel Drive dengan Torque Vectoring, kawalan stereng empat roda, Limited Slip Differential elektronik, Active Roll Control 48V dan peredam dengan injap berkembar.
Continental GT diperkenalkan buat pertama kali pada 2002, menandakan kelahiran semula jenama mewah British itu. Model ini memberikan impak dramatik terhadap nasib Bentely, dengan jualan tahunan meningkat dari sekitar 1,000 unit kepada 10,000 unit dalam tempoh empat tahun.
Model generasi kedua dilancarkan dengan enjin W12, dengan varian 4.0-liter V8 menyusul pada 2012. Enam tahun kemudian, model generasi ketiga muncul dengan platform, enjin, suspensi, seni bina, dan rekaan baharu.
MENURUNKAN kapsiti enjin (downsizing) memang menjadi trend kini, tetapi Porsche belum bersedia menghentikan penggunaan V8 nampaknya.
Walaupun piawaian emisi kini semakin ketat, para jurutera di Zuffenhaus sentiasa satu langkah ke depan. Enjin lapan-silinder mereka telah ditala untuk mematuhi piawaian Euro 7 terkini walaupun penetapannya ditunda dari 2025 kepada 2030.
Dalam satu temuramah dengan majalah Australia Car Sales, bos barisan model Porsche Panamera, Thomas Freimuth mendedahkan bahawa terdapat komponen baharu dibangunkan untuk mematuhi Euro 7.
“Kami dapati enjin ini bersedia untuk Euro 7, tiada masalah. Kami perlu menggunakan beberapa komponen yang sedang dibangunkan, jadi kami bersedia dengan V8 ini untuk piawaian Euro 7.”
Freimuth juga menyebut tahap bunyi ekzos yang dibenarkan juga akan menurun. Undang-undang berkenaan bunyi ekzos yang semakin ketat ini “merumitkan proses untuk memberikan lebih emosi kepada Panamera V8 kami”.
Tetapi walaupun V8 akan terus digunakan sehingga selepas 2030, mungkin tidak akan banyak model Porsche yang akan mendapat 4.0-liter twin-turbo itu menjelang hujung dekad ini.
Dalam laporan Annual and Sustainability Report 2023 yang disiarkan bulan lepas, Porsche mengjangkakan untuk menjual lebih 80 peratus model EV setiap tahun menjelang 2030.
Walaubagaimanapun, mereka berkata matlamat itu tetap bergantung kepada “permintaan pelanggan kami dan pembangunan elektromobiliti di rantau tertentu di dunia.”
Pengganti Cayenne juga disahkan menjadi EV tanpa penawaran enjin pembakaran dalaman. Sementara itu, 911 tidak akan menjadi model elektrik sepenuhnya untuk dekad ini, tetapi versi hibrid akan muncul pertengahan tahun ini dengan 992.2 facelift.
Porsche berharap enjin ICE akan kekal dengan bahan api sintetik yang hampir sifar karbon, yang sedang mereka bangunkan di Chile.
YA, seperti tajuk di atas, Honda telah menghasilkan enjin VTEC V8 pertamanya. Enjin ini mempunyai sesaran 5.0 liter dan mampu menghamburkan sehingga 350 hp.
Namun, sebelum anda memasang angan-angan untuk ‘menyalin’ enjin ini ke dalam Civic Dolphin anda, ketahuilah bahawa enjin yang dimaksudkan itu adalah enjin sangkut untuk kegunaan marin sahaja.
Enjin yang dikenali sebagai BF350 itu diperkenalkan secara rasmi kepada umum di Genoa International Boat Show baru-baru ini.
Walaupun mempunyai lapan silinder, BF350 mempunyai reka bentuk yang langsing. Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Aquamarine Silver atau Grand Prix White, kedua-duanya didatangkan dengan logo 3D yang disadur krom.
Sebaik sahaja dihidupkan, enjin itu akan memasuki mod BLAST (Boosted Low Speed Torque) yang boleh memberikan pecutan berkuasa dengan segera.
Apabila bot bergerak pada kelajuan tetap, mod ECOmo akan diaktifkan bagi mengurangkan penggunaan bahan api. Sudah tentu, VTEC akan meningkatkan kuasa puncak apabila kuasa tambahan diperlukan.
Untuk memudahkan pengguna, BF350 juga didatangkan dengan beberapa ciri pintar termasuk Cruise Control, Tilt Limit dan Trim Support.
Turut disertakan adalah alat kawalan khas yang mempunyai panel multifungsi dengan lima butang intuitif dan penunjuk posisi neutral. Dengan alat kawalan ini, pemilik boleh sehingga empat buah enjin sekali gus.
Menurut laporan, enjin ini akan memasuki pasaran bermula awal 2024. Harga masih belum diumumkan.
Seteru utama Honda iaitu Yamaha juga mempunyai enjin sangkut V8 XTO Offshore bersesaran 5.6 liter yang boleh didapati dalam versi 425 hp atau 450 hp.
JUJUR cakap, penulis tak pernah sukakan bentuk Mercedes GLA generasi H247 terbaharu ini. GLA kini dalam generasi kedua, menggantikan generasi X156 sebelum ini.
Bagi penulis, Mercedes GLA yang dulu lebih unik dan berkarakter, dengan rekaan lebih menarik. Cuma ramai yang merungut ruangan dalam kurang memuaskan terutamanya bahagian belakang, selain kualiti ride yang agak ‘keras’ bagi sebuah Mercedes.
Jadi secara dasarnya Mercedes GLA terbaharu akan menyelesaikan masalah itu dengan kabin lebih besar serta pemanduan lebih selesa. Cuma pengorbanannya ialah rekabentuk lebih bulat yang lebih feminine.
Tetapi unit pandu uji yang kami ingin ceritakan ini bukanlah GLA biasa, sebaliknya Mercedes-AMG GLA35 4Matic. Ia merupakan versi paling berkuasa untuk model pasaran Malaysia dengan 302hp dan 400Nm serta kemampuan memecut dari pegun ke 100km/j dalam 5.2 saat.
Anda tidak salah baca. Ya, sebuah crossover keluarga kini mempunyai pecutan lebih pantas dari Honda Civic Type-R FK8 yang merupakan hatchback sports yang begitu fokus.
Pau kari yang panas dan pedas
Penulis kata Mercedes-AMG GLA35 ini ibarat pau kari yang panas dan pedas kerana bentuknya bulat seperti pau, tetapi sangat berkuasa; maka ia panas dan pedas. Boleh terima?
Dari sudut prestasi, GLA35 ini cukup berkebolehan dan hardcore dari segala segi. Ia mempunyai enjin M260 4-silinder yang berkapasiti 2.0-liter. Dengan twin-scroll turbocharger, enjin ini berjaya memerah sehingga 302hp seperti yang disebut tadi.
Malah, enjin ini penulis rasakan bertekanan tinggi jadi ia agak panas, boleh dirasa semasa kereta duduk melahu atau idling. Ia panas seolah-olah harimau yang sedang bernafas, sedia menerkam mangsanya.
Enjin sebegini juga adalah jenis sensitif dengan segala tekanan dan minyak serta bendalir, jadi anda tidak mahu culas bab penyelenggaraan. Tetapi jika dijaga rapi, ia akan ‘menghadiahkan’ anda dengan ledakan kuasa yang mampu membuatkan penumpang anda cemas semasa memecut.
Ia pantas, dan ditemani dengan bunyi garang identiti AMG berserta letupan kecil setiap kali transmisi Speedshift dwi-klac 8-kelajuan naik dari satu gear kepada gear seterusnya. Ia terus menerus melontarkan anda ke depan sehingga anda sampai selekoh atau sehingga anda rasa tidak mahu menambah angka di speedometer.
Mercedes-AMG GLA35 4Matic ini juga seperti pada namanya (4Matic) mempunyai sistem pacuan semua-roda AWD bagi memastikan output dari enjin dapat disampaikan sebaiknya ke permukaan jalan.
Sistem ini secara aktif mengagih kuasa dari depan ke belakang atau kiri ke kanan mengikut situasi pemanduan sama ada anda memecut selepas lampu isyarat bertukar hijau atau memecut keluar selekoh walaupun stereng belum lurus sepenuhnya.
Seterusnya jika anda lihat tayar Continental SportContact 6 dengan profil gemuk 255/40 yang membaluti rim 20-inci serta rupa cakera breknya pun, anda akan tahu bahawa prestasi SUV ini ‘bukan biasha-biasha’.
Beberapa perincian luaran lain yang menampakkan bahawa GLA35 ini jentera istimewa ialah gril depan dengan bilah menegak, rim 20-inci berwarna gelap, ekzos berkembar, dan spoiler kecil dengan sudut agresif di hujung bumbung belakang.
Nampak mahal dan banyak benda tersorok
Baik, Mercedes-AMG GLA35 ini boleh menjadi milik anda dengan harga RM345,048 dan sebenarnya agak sukar untuk menjusifikasikan jentera ini tanpa anda membeleknya dengan teliti. Atau mencuba pandu uji sendiri.
Bila anda lihat GLA35 ini dengan lebih dekat, satu per satu detik anda akan perasan kemana duit anda pergi.
Bahan-bahan yang digunakan pada keseluruhan kereta ini terasa premium dan berkualiti tinggi, walaupun GLA merupakan antara model entry level dalam Mercedes. Tetapi langsung tiada mana-mana bahagian terasa murah. Dan ini juga pasti jauh lebih baik daripada GLA lama.
Duduk sahaja di tempat pemandu, fuh, hampir seperti dalam jentera lumba Mercedes-AMG GT3. Dengan stereng balutan kulit siap dengan penanda merah di jam 12, dan turut menambah rasa premium adalah bahagian paddle shifter dan bilah stereng yang diperbuat dari bahan seperti machined aluminium.
Bila terkena udara pendingin hawa, anda boleh rasa bahagian ini sejuk. Ini memberikan kontra yang menarik untuk stereng kulit AMG Performance itu.
Stereng ini juga mempunyai butang kawalan dan panel sesentuh seperti Mercedes biasa, tetapi khas untuk model AMG ialah butang rotary di bucu kanan bawah stereng untuk penukaran mod-mod pemanduan. Butang ini juga merupakan satu skrin yang memaparkan mod yang anda pilih.
Perincian yang nampak mahal.
Kemudian di bucu kiri pula terdapat lagi beberapa butang kecil untuk tetapan casis dan suspensi, dengan ikon spring. Bolehlah untuk kita acah-acah sedang melaras tetapan jentera lumba GT3.
Seterusnya anda akan perasan bahawa tema kokpit GLA35 ini adalah hitam dan merah. Hitam pada balutan kulit dan sebahagian kecil plastik, kemudian jahitan merah, termasuk warna tali pinggang keledar. Mengingatkan anda ianya jentera yang serius, tetapi masih mewah.
Penulis juga cukup suka dengan beberapa kemasan sporti seperti gentian karbon pada papan pemuka dan tempat duduk balutan Dinamico yang seperti Alcantara. Kemudian seperti Mercedes lain, GLA35 turut mendapat gugusan corong pendingin hawa yang cantik dan skrin melintang yang moden.
Masih ada juga pencahayaan ambien dengan 64 warna, dan skrin melintang tadi mampu memaparkan pelbagai maklumat relevan kepada jentera AMG GLA35 ini seperti peratusan kuasa dan boost turbo, meter tekanan G, suhu minyak enjin, suhu kotak gear, tekanan tayar, dan banyak lagi kandungan di bawah menu AMG Performance.
Dari sini anda semakin sedar tentang justifikasi harga premium tadi.
Berbaloi?
Untuk pembelian jentera prestasi tinggi sebegini, kita tidak perlu alasan berbaloi untuk wang. Ia bukan seperti membeli sedan segmen-B bawah RM100,000.
Sebaliknya, kita nilaikan perasaan kita memandu dan duduk di dalam Mercedes-AMG GLA35 ini. Dan walaupun ia bukan AMG 63 dengan 4.0 V8, GLA35 masih AMG sebenar yang mampu memberi debaran dan senyuman bila diperlukan.
Suspensi adaptif padanya dan pelbagai pilihan mod membolehkannya dipandu dengan selesa untuk ke kedai runcit, tetapi 80 peratus darinya anda mahu pandu ia dalam mod Sport. Ia akan sentiasa ringan, bertenaga, bersedia untuk pergi. Ia menjadi sensitif dan memprovokasi anda untuk menambah kelajuan.
Dan dari situ, ia meninggalkan kesan dan memori tentang prestasi yang mampu ditawarkan, jadi semua itu sahaja cukup untuk membuatkan anda mengorek tabung simpanan untuk menyambar jentera ini.
NAZA Italia hari ini telah mendedahkan kehadiran Ferrari 296 GTB serba baharu untuk pasaran Malaysia.
Ferrari 296 GTB merupakan model enjin tengah (mid-engined) terkini yang dikira menggantikan F8 Tributo. Tetapi walaupun F8 Tributo menggunakan nadi V8, 296 GTB ini dikuasakan oleh enjin V6 baharu.
Enjin ini berkapasiti 2,992cc tetapi Ferrari memanggilnya 2.9-liter supaya boleh menggunakan nama 296, dan angka enam di hujung merujuk kepada jumlah silinder enjin.
Unit V6 ini dibina dengan barisan silinder bersudut 120-darjah untuk mendapatkan bentuk enjin yang lebih kompak dan rendah. Pengecaj turbo juga diletakkan di tengah-tengah bukaan silinder.
Berapa kuasa enjin ini? Ia menghasilkan 654hp tetapi disebabkan 296 GTB ini merupakan sebuah model plug-in hybrid (PHEV), enjin V6 padanya dipasang dengan motor elektrik yang memberikan output keseluruhan setinggi 818hp pada 8,000rpm dan 740Nm tork pada 6,250rpm.
Kuasa disalurkan ke roda belakang menggunakan kotak gear automatik dwi-klac seperti yang didapati pada model-model terkini lain seperti SF90 Stradale (dan Spyder), Roma dan Portofino M.
Prestasi pula adalah 2.9 saat untuk pecutan 0-100km/j dan lebih mengagumkan, 7.3 saat untuk 0 ke 200km/j. Kelajuan maksima ialah melebihi 330km/j.
Di belakang tempat duduk pemandu ialah unit MGU-K (Motor Generator Unit, Kinetic) yang membekalkan kuasa untuk motor elektrik.
Dalam mod pemanduan elektrik sepenuhnya (EV), Ferrari 296 GTB ini boleh dipandu sehingga 25km dengan kelajuan sehingga 135km/j.
Terdapat empat mod pemanduan yang boleh dikawal dari butang eManettino pada stereng. Mod-mod ini adalah eDrive, Hybrid, Performance dan Qualify.
Ferrari 296 GTB juga dilengkapi beberapa teknologi seperti eSSC (electronic Side Slip Control), eTC (electronic Traction Control), eDiff, dan 6w-CDS iaitu Chassis Dynamic Sensor 6-arah.
Sistem brek juga ditambah baik dengan brake-by-wire dan fungsi baharu ABS evo yang memastikan pedal brek tidak perlu ditekan banyak sama ada dalam pemanduan harian biasa atau semasa di litar.
Dari segi dimensi, Ferrari 296 GTB mempunyai jarak roda 50mm lebih pendek dari F8 Tributo untuk memberikan saiz yang kompak serta pengendalian lincah.
Rekaan dan rupa luaran Ferrari 296 GTB banyak mengambil inspirasi dari model-model retro seperti Dino, 250 LM 1963 dan P80/C.
Ferrari 296 GTB dijual pada harga permulaan RM1,228,000 sebelum cukai, pilihan kustom, cukai dan insurans. Untuk servis, Ferrari 296 GTB diselenggara setiap 20,000km atau setahun sekali.
Terdapat juga pakej Assetto Fiorano untuk lebih prestasi. Pakej ini memberikan beberapa komponen perlumbaan seperti penyerap hentak Multimac boleh-laras, komponen gentian karbon dengan lebih downforce, bahan-bahan lebih ringan, dan tayar Michelin Sport Cup 2 R.
SETELAH ditangguhkan disebabkan pandemik Covid-19, filem James Bond yang ke-25 iaitu No Time To die akhirnya akan menemui peminat di panggung pada 30 September ini.
Seperti biasa dalam filem-filem ejen 007 itu, anda akan lihat beberapa Aston Martin, tetapi Land Rover juga sering muncul. Bersempena filem kali ini, sebuah Defender V8 edisi khas akan dikeluarkan.
Land Rover secara khas menamakan model ini Defender V8 Bond Edition. Apa yang menyedihkan, anda tidak akan dapat aksesori seperti mesin gan atau kerusi anjal, bukan sahaja kerana ianya haram, tetapi juga Defender ini tidak menjadi kereta Bond.
Jika dilihat dari trailer filem itu, Defender V8 ini nampaknya salah satu dari Land Rover yang dipandu oleh penjahat. Ia mendapat warna hitam, rim hitam 22-inci, lencana Defender 007, dan beberapa petunjuk 007 di bahagian lain.
Semua Defender Bond Edition akan diasaskan dari versi 110 empat-pintu, dengan 518hp yang dibekalkan oleh enjin 5.0-liter V8 supercharge. Ini cukup untuk melonjakkan SUV ini dari pegun ke 96km/j dalam 5 saat. Hanya 300 unit edisi Bond ini akan dihasilkan.
“Kenderaan ini memaparkan pertembungan dua nama British yang hebat dan satu sambutan unik untuk ulangtahun ke-38 penglibatan Land Rover dalam James Bond,” kata pengarah Land Rover Brand, Finbar McFall.
Pada harga kira-kira RM416,000 untuk Defender V8, ia memang mahal dan untuk Bond Edition ia pastinya berharga lebih lagi.