Tag Archives: vendor

Proton bawa vendor lawat kilang EV di China, 87% setuju kerjasama dengan pembekal

Proton telah bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan dua agensi kerajaan untuk membawa pembekal syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Proton untuk menghadiri “Program Akses Pasaran, Pemindahan Teknologi & Peningkatan Vendor” di China.

Inisiatif ini bertujuan untuk memupuk inovasi, meningkatkan aktiviti, dan menyokong peralihan Malaysia ke arah mobiliti yang mampan.

Dianjurkan oleh KUSKOP dan diketuai oleh Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), program tersebut telah diadakan pada awal Julai untuk mempercepatkan pembangunan kenderaan generasi akan datang dan kenderaan elektrik berkuasa bateri melalui perkongsian strategik dan pertukaran teknologi.

Wakil dari MBSB Bank, Tenaga Nasional Bhd, PLUS Expressways Bhd, UEM Edgenta Bhd, Telekom Malaysia serta 22 vendor Malaysia telah dibawa untuk melawat kilang komponen EV, seperti kilang dan stesen pengecas, pengeluar bateri dan pengecas di tujuh lokasi di China, termasuk Shanghai, Nanjing dan Hangzhou.

Antara lokasi yang dilawati termasuk anak syarikat Geely iaitu Zeekr dan pengeluar bateri serta pengecas EV VREMT di Teluk Hangzhou.

Sebagai peneraju global dalam bidang EV, ekosistem menyeluruh China untuk pembangunan EV, menjadikan program ini sangat penting dengan memberikan pandangan mendalam mengenai pembuatan, kemudahan dan perkhidmatan dalam industri EV.

Untuk memudahkan interaksi antara pembekal Proton dan pembekal EV Geely, sesi padanan perniagaan diadakan di Pusat Penyelidikan Geely (GRI) di Teluk Hangzhou semasa program tersebut. 95% peserta berpuas hati dengan sesi yang membantu mengenal pasti potensi perkongsian dan kerjasama untuk rantaian bekalan komponen EV.

87% pembekal tempatan menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan pembekal China. Lima kategori perkongsian utama dipilih adalah pengedaran, kerjasama dalam pemindahan teknologi, rakan usaha sama, kerjasama dalam pembangunan kemahiran, dan pelaburan untuk perniagaan bersama.

Menurut KUSKOP, kerajaan komited untuk memajukan EV dan teknologi hijau. Peningkatan kerjasama dan perkongsian bertujuan untuk membina infrastruktur penting dan menyokong ekosistem EV yang mampan melalui pemindahan teknologi.

Dengan membangunkan rantaian bekalan tempatan, Malaysia berharap dapat mengurangkan kebergantungan kepada import, mencipta pekerjaan, dan merangsang pertumbuhan ekonomi.

Proton import bekalan alat ganti dari China, lebih 100 vendor tempatan terjejas

PRESIDEN Dewan Perniagaan dan Perindustrian Fujian Malaysia, Datuk Low Kok Chuan mendakwa terdapat lebih 100 vendor alat ganti Proton Holdings Bhd sedang menghadapi tekanan kewangan yang teruk akibat perbelanjaan operasi yang semakin meningkat.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata walaupun Persatuan Vendor Proton (PVA) menghubungi pengeluar kereta nasional itu untuk menangani cabaran yang mereka hadapi, rayuan mereka tidak diendahkan.

Low berkata, banyak pembekal dan vendor sedang bergelut dengan masalah kewangan yang disebabkan oleh tempahan yang semakin berkurangan sejak kebelakangan ini.

Beliau memberi amaran bahawa jika keadaan ini berterusan, ia boleh menyebabkan kejatuhan banyak vendor, menjejaskan beribu-ribu pekerja di seluruh rantaian industri automotif.

Menurut Low, punca utama isu berkenaan adalah kegagalan Proton untuk memenuhi kuantiti pesanan alat ganti yang dijanjikan untuk X50, X70 dan X90, yang telah mengabitkan pengurangan ketara sehingga 50 peratus dalam pengeluaran alat ganti.

Akibatnya, banyak vendor mengalami kerugian, memaksa sesetengahnya untuk menghentikan terus operasi mereka.

Tambah Low lagi, keadaan ini bukan sahaja menjejaskan keupayaan pengeluaran vendor tetapi juga menghalang pelaburan modal, rancangan pengembangan dan strategi sumber manusia mereka.

Beliau menegaskan, walaupun mengalami kerugian besar, Proton tidak menunjukkan kesanggupan untuk menangani isu itu.

Beliau turut mengkritik keputusan Proton untuk mengimport alat ganti pemasangan tempatan (CKD) berharga kompetitif dari China, menggunakan keengganan vendor Malaysia untuk menurunkan harga sebagai alasan di sebalik langkah ini.

Malah, ada vendor yang enggan dinamakan mendakwa walaupun dalam perjanjian awal Proton berjanji untuk mendapatkan alat ganti untuk 1,500 unit kereta setiap bulan, jumlah sebenar hanya 200 hingga 300 unit kereta sebulan.

Sementara itu, Proton telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu ini:

Kenyataan dari Proton

Proton ingin memberikan respon terhadap laporan media baru-baru ini yang mengetengahkan cabaran yang dihadapi oleh vendor berkaitan dengan syarikat.

Di Proton, kami mewujudkan persekitaran perniagaan yang saksama dan saling hormat menghormati antara rakan kongsi kami yang dibina di atas komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap urusan perniagaan yang adil dan teguh.

Untuk mencapai matlamat ini, kami bekerjasama rapat dengan Persatuan Vendor Proton (PVA), wakil rasmi untuk semua 116 vendor Proton, yang kerap mengadakan perbincangan dan inisiatif bersama yang saling memberikan manfaat.

Kami faham terdapat kesukaran yang dihadapi oleh sesetengah vendor dan pintu kami sentiasa terbuka untuk terlibat dalam perbincangan yang saksama dengan semua ahli PVA, kecuali mereka yang tidak dapat memberikan bukti yang jelas mengenai isu yang dihadapi.

Adalah penting untuk menunjukkan Proton mempunyai sejarah dialog terbuka dan membina, dan kami tetap berdedikasi untuk meneruskan pendekatan ini untuk jangka masa panjang.

Kami menyedari kepentingan menyelesaikan perkara ini dengan cepat dengan bekerjasama rapat dengan semua pihak yang terlibat dan menjemput penglibatan melalui saluran rasmi untuk menyelesaikannya pada masa yang sesuai.