Tag Archives: vios

Toyota Vios 2023 dirasmikan di Thailand dengan 1.2 NA, CVT, lampu kabin 64 warna!

PERKENALKAN, ini dia Toyota Vios 2023, rasmi dilancarkan di Thailand hari ini, dimana ia dikenali dengan nama Yaris Ativ. Sedan segmen-B ini dibina pada pelantar Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang juga menjadi ‘tulang’ kepada Perodua Ativa/Daihatsu Rocky/Toyota Raize dan Perodua Alza/Toyota Avanza/Daihatsu Xenia.

Vios generasi keempat ini lebih besar sedikit dari model sebelumnya, dengan ukuran kini 4,425mm panjang, 1,740mm lebar dan 1,480mm tinggi. Jarak roda juga lebih panjang, berukuran 2,620mm iaitu pertambahan 70mm berbanding generasi ketiga.

Terdapat empat varian ditawarkan bagi Yaris Ativ untuk pasaran Thailand, iaitu Sport, Smart, Premium, dan Premium Luxury.

Untuk rupa luaran, Yaris Ativ ini menampilkan satu gril nipis di atas dan satu lagi gril besar di bawah, dan lencana Toyota di tengahnya. Terdapat lampu DRL berbentuk-L, dengan ruang kemasukan udara yang agak ketara di sisi bampar.

Bergantung kepada varian, kelengkapan luaran termasuklah lampu LED automatik dan rim aloi 16-inci. Dapat diperhatikan bahawa cermin sisi kekal rapat pada tiang-A, manakala rekaan lampu belakang menampilkan bentuk lebih bersegi dan kecil dari sebelum ini.

Seperti dipaparkan dalam laporan sebelum ini, ruang dalaman sedan ini baharu sepenuhnya, dengan rekaan panajng mendatar cukup moden dan minimalis. Ia dilengkapi skrin sesentuh bersaiz 9-inci untuk

Di bawahnya terdapat panel kawalan sistem penghawa dingin dan sistem penapis udara. Sementara itu, konsol tengah menempatkan ruang simpanan, brek parkir elektronik, dan suis kawalan sistem pencahayaan dengan 64 warna. Dah macam Mercedes!

Antara ciri lain di bahagian dalam termasuklah keyless entry, corong penghawa dingin belakang, enam pembesar suara, dan sambungan Apple Carplay serta Android Auto.

Ciri keselamatan standard untuk semua varian terdiri dari enam beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, VSC, Traction Control, Emergency Stop Signal dan Hill-Start Assist.

Tetapi sistem keselamatan Toyota Safety Sense hanya terdapat pada tiga varian teratas iaitu Smart, Premium, dan Premium Luxury.

Untuk pasaran Thailand, Yaris Ativ ini dipacu oleh enjin 1.2-liter 3NR-VE naturally-aspirated (NA) yang menjana 94hp pada 6,000rpm dan 110Nm tork pada 4,400rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi Super CVT-i yang membolehkannya mencatat bacaan sehingga 23.3km/L.

Toyota Yaris Ativ ini dijual pada harga bermula 539,999 Baht (RM67,700) untuk Sport sehingga 689,000 Baht (RM86,563) untuk Premium Luxury.

Apa pendapat anda untuk pesaing Honda City setakat ini? Bagi pasaran Malaysia, kami jangkakan spesifikasinya tidak jauh berbeza dengan varian tertinggi Premium Luxury.

Cuma berkemungkinan besar Toyota Vios 2023 ini akan kekal dengan enjin pada model sedia ada iaitu 1.5-liter dengan output 105hp, 140Nm dan transmisi CVT.

6,637 kereta Toyota dan Lexus dijual pada Julai 2022, Hilux kekal trak pikap terlaris Malaysia

UMW Toyota Motor (UMWT) meneruskan kemaraan mereka dengan mendaftarkan sebanyak 6,624 unit kenderaan Toyota dan 13 unit kenderaan Lexus pada bulan Julai 2022.

Dengan catatan ini, jualan keseluruhan UMWT bagi Julai 2022 adalah 6,637 unit manakala jumlah jualan tahunan setakat ini adalah 52,548 unit, naik 48% berbanding 35,561 unit yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Toyota Hilux mengekalkan gelarannya sebagai trak pikap paling laris di Malaysia sejak 2005 dengan jualan sebanyak 1,788 unit pada bulan lalu.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata pihaknya sedang bertungkus-lumus untuk mempergiatkan pengeluaran bagi memastikan penghantaran lebih cepat kepada pemilik kereta baharu yang telah sabar menunggu.

“Kami berterima kasih kepada semua pelanggan kami atas kesabaran dan pemahaman mereka,” tambah beliau.

Promosi Yaris dan Vios

Untuk bulan Ogos, UMWT menawarkan faedah bernilai RM4,000 di samping rebat tunai kepada peminat Yaris dan Vios. Syarikat itu menjangkakan jualan akan terus meningkat apabila rakyat Malaysia memanfaatkan tawaran dan penjimatan untuk menaik taraf kepada kenderaan moden dengan prestasi hebat, ciri keselamatan canggih dan keselesaan.

Sasaran neutraliti karbon

Sejajar dengan komitmen Toyota Global untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050 dan menyokong Toyota Environmental Challenge 2050, UMWT baru-baru ini telah mengadakan dua program iaitu penanaman pokok di Kuala Selangor Nature Park dan ‘Hike and Clean’ di Bukit Broga, Semenyih.

Program penanaman pokok itu menyaksikan seramai 80 peserta menanam sebanyak 1,500 anak pokok bakau yang bakal tumbuh untuk bertindak sebagai sink karbon yang dapat mengasingkan dua hingga empat kali lebih banyak karbon berbanding hutan hujan matang.

Sementara itu, aktiviti ‘Hike and Clean’ pula merupakan sebahagian daripada Toyota Environmental Challenge 2050 yang bertujuan untuk mewujudkan masyarakat masa depan yang hidup secara harmoni dengan alam semula jadi.

Toyota Vios 2023 disiar – rupa sporti, papan pemuka merah, lancar 9 Ogos ini!

SEBUAH video memaparkan Toyota Vios 2023 disiar hari ini. Maksud kami ialah Toyota Thailand menyiarkan video berkenaan Yaris ATIV (Vios untuk pasaran kita) yang akan dilancarkan secara rasmi pada 9 Ogos depan.

Ia juga akan menjadi pelancaran global untuk sedan segmen-B dengan namakod D92A itu.

Dalam klip video berdurasi 15 saat itu, beberapa imej disiar dengan pantas, menunjukkan apa yang kita boleh jangkakan untuk Vios serba baharu nanti.

Dapat dilihat ia menampilkan rupa depan bersegi, lampu LED nipis dengan DRL berbentuk L, gril agak besar, dan lampu signal sequential di belakang. Lampu belakang ini juga kelihatan hampir menyerupai Toyota Veloz (kembar Perodua Alza 2022).

Hanya satu gambaran bahagian dalam dipaparkan, tapi cukup jelas menampakkan rekaan papan pemuka baharu berwarna merah.

Di atasnya terdapat satu skrin infotainmen, manakala roda sterengnya meyerupai Toyota Raize dan Daihatsu Rocky. Oh ya, tempat duduknya juga menampakkan corak rekaan lebih abstrak.

Untuk bahagian enjin, Yaris ATIV akan mula ditawarkan dengan varian hibrid 1.5-liter yang juga menjadi nadi kepada Toyota Aqua (Prius C) di Jepun. Enjin 3-silinder dengan kitaran Atkinson ini menjana 91PS dan 120Nm tork.

Kemudian, terdapat juga 1.2-liter naturally-aspirated 4-silinder yang dijangka menjadi satu-satunya pilihan untuk Thailand.

Untuk pasaran-pasaran lain termasuk Malaysia, berkemungkinan 1.5-liter 4-silinder dikekalkan, tetapi dengan sedikit talaan untuk model terkini.

Sama-sama kita lihatkan perinciannya semasa pelancaran rasmi nanti.

Berbanding model-model lain dalam segmen ini, nampaknya Vios juga telah menawarkan hibrid selain Honda dengan City e:HEV. Nissan pula kekal satu-satunya pengeluar yang menawarkan enjin turbo iaitu pada Almera.

Apa pendapat anda mengenai Toyota Vios 2023 setakat ini?

Toyota Gazoo Racing S5R2 penuh aksi perlumbaan hujan, peminat kembali selepas dua tahun

RIBUAN peminat dan pengunjung membanjiri Toyota Gazoo Racing (TGR) dan Vios Challenge Season 5 Round 2 yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad lepas selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian disebabkan pandemik Covid-19.

Pengunjung juga dapat mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti sampingan seperti berbasikal, skuter, roller blade, papan luncur, dimana mereka dapat menunggangnya di Litar Antarabangsa Sepang. Aktiviti lain termasuklah zumba dan konsert oleh Bunkface serta Judika.

Super Sporting Class

Sementara itu di litar, perlumbaan Race 2 Vios Challenge dalam TGR Season 5 menyaksikan drama mendebarkan dengan disebabkan hujan semasa Super Sporting Class. Perlumbaan pada mulanya ditangguhkan selama 25 minit dan kemudiannya dimulakan dengan Safety Car sebanyak dua pusingan.

Selepas Safety Car kembali ke paddock, Fariqe Hairuman (M7 Japan Project Team) terus mendahului perlumbaan. Kemudian bermulalah aksi apabila Hayden Haikal (Axle Motorsport) cuba untuk merebut posisi pertama.

Hayden berjaya memotong Fariqe dengan Mark Darwin (Laser Motor Racing) mengekori di belakang. Posisi pertama bertukar-tukar selama 10 pusingan, dan penonton menjangkakan aksi ini berterusan.

Tetapi Tengku Djan (Prima Pearl TD Racing) mencuri tumpuan dengan mencatatkan masa pusingan terpantas ‘memanjat’ dari kedudukan ke-12 dan terus menjuarai perlumbaan dengan 1.5 saat di depan Mark, manakala Hayden di tempat ketiga.

Tengku Djan berkata: “Sepang merupakan litar yang sangat mencabar, keadaannya boleh banyak berubah dan racing line yang biasa digunakan boleh menjadi sangat licin. Jadi pemandu perlu meneroka racing line baharu untuk mengambil selekoh.”

Rookie Class

Dalam Rookie Class, Muhammad Hamdany memperoleh kejuaraan pertamanya dari rekod podium empat kali dalam empat musim setakat ini.

Pelumba gokart berusia 19 tahun dari Kuching, Sarawak itu tamat di depan pelumba simulator Nabil Azlan, manakala satu-satunya pemandu wanita dalam kategori ini, Adele Lew di tempat ketiga.

Sporting Class

Pelumba-pelumba dalam Sporting Class mempamerkan aksi mengujakan di litar dengan Naquib Azlan (Axle Motorsport) mendominasi kedua-dua perlumbaan pada Sabtu dan Ahad.

Di tempat kedua dan mungkin paling mengejutkan adalah Abdul Miqail (23 Motors) diikuti oleh Ahmad Tarmimi Tahang (M7 Japan Project Team).

Promotional Class

Drama tidak kurang juga dalam Promotional Class yang menyaksikan Zizan Razak dan Shukri Yahaya berada di depan perlumbaan sama seperti Race 1 pada hari sebelumnya.

Menjadi pemandu kegemaran perlumbaan, Zizan mensasarkan kemenangan kedua dan terus berada di depan sebelum menghadapi masalah teknikal dengan kotak gearnya. Ini ‘memaksa’ beliau jatuh di tempat kelima.

Shukri menjadi yang terawal untuk mengambil kesempatan di atas isu ini, tetapi malangnya menghadapi masalah sama dan ini memberi peluang untuk Nabil Ahmad merampas posisi pertama.

Dengan perlumbaan berbaki dua pusingan, Wany Hasrita dan Janna Nick terus memintas Zizan dan Shukri untuk merangkul tempat kedua dan ketiga.

Di tempat keempat adalah Nabila Razali, diikuti Shukri dan Zizan di tempat kelima dan keenam.

Pusingan ketiga (Season 5 Round 3) untuk TGR dijadualkan berlangsung pada September depan.

Toyota Vios D92A akan dilancar di Thailand Q3 2022 – platform DNGA, enjin petrol dan hibrid

BARU sahaja kami melaporkan senarai kereta paling laris di ASEAN beberapa hari lepas yang menyaksikan Honda City kini lebih laris dari Toyota Vios untuk 2021, kebetulan pula Toyota ‘menjawab’ dengan pengumuman Vios serba baharu.

Menggunakan namakod D92A, Vios serba baharu akan diperkenalkan di Thailand dahulu pada suku ketiga tahun ini.

Vios yang dikenali dengan nama Yaris Ativ di sana akan dibina dari pelantar DNGA (Daihatsu New Global Platform) yang juga menjadi asas kepada model-model seperti Perodua Ativa/Daihatsu Rocky/Toyota Raize dan Toyota Avanza/Toyota Veloz/Daihatsu Xenia.

Pelantar baharu ini bakal memberikan beberapa kelebihan kepada Vios nanti iaitu berat yang lebih rendah, casis lebih tegar, dan keselamatan yang ditambah baik.

Penggunaan DNGA juga membolehkan Vios menerima janaan kuasa elektrik yang bakal memberi saingan kepada City e:HEV.

Untuk Toyota, mereka dijangkan menggunakan enjin 1.5-liter dengan bantuan motor elektrik, sebahagian dari Toyota Hybrid System II (THS II).

Enjin lain adalah 1.2-liter naturally-aspirated (dan bukan turbo seperti yang diwar-warkan sebelum ini. Transmisi pula dijangka kekal dengan CVT.

Dari segi rupa, dapat dilihat ia mengambil inspirasi Daihatsu DN F Sedan yang mula membuat penampilan pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) pada 2017.

Dengan badan ala coupe, konsep ini berukuran 4,200mm panjang, 1,695mm lebar, 1,430mm tinggi dan mempunyai jarak roda 2,510mm.

Menarik setakat ini? Apa pun kita harus tunggu rupa sebenar apabila ia dilancarkan di Thailand nanti, dikatakan sekitar Ogos.

Toyota dedah harga baharu Vios termasuk cukai SST

HARGA bagi model Vios facelift didedahkan kepada orang ramai dan mula berkuatkuasa hari ini.

UMW Toyota menetapkan harga Vios 1.5J pada RM77,600 sementara, model Vios 1.5E sekitar RM85,600.

Model Vios 1.5G pula berharga RM90,400 dan Vios GR-S 1.5 paling tinggi dengan harga lebih RM98,100.

Foto ihsan Toyota

Harga bagi Vios ini adalah termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) memandangkan kesemua tempahan hanya dapat diserahkan kepada pembeli pada penghujung Jun nanti.

Ketika ini, Vios 1.5J dijual pada harga RM74,623 manakala, Vios 1.5E (RM82,593) memandangkan SST masih belum dikenakan kepada pembeli.

Sementara itu, Vios 1.5G tanpa SST adalah RM87,584 dan Vios GR Sport (95,284).

Foto ihsan Toyota

Kesemua model facelift Vios tidak mengalami perubahan spesifikasi atau mekanikal.

Justeru, ini bermaksud ia masih didatangkan dengan enjin empat silinder 1.5 liter Dual VVT-i 2NR-FE bersama transmisi CVT.

Kuasa dimiliki pula adalah sekitar 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork pada 4,200 rpm.

Vios kekal model paling laris, UMW Toyota catat permulaan baik untuk 2022

UMW Toyota nampaknya mencatatkan permulaan yang baik untuk 2022 dengan jualan 7,528 unit kenderaan untuk Toyota dan Lexus pada Januari.

Ini satu peningkatan besar iaitu sebanyak 96 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dengan 3,845 unit.

Antara model-model kenderaan penumpang, Vios kekal sebagai model paling laris Toyota dengan 28 peratus dari keseluruhan jualan. Hilux pula masih ‘KING’ iaitu trak pikap paling popular di Malaysia, dengan 38 peratus jualan adalah dari model ini.

“Kami berterima kasih dengan keputusan kerajaan melanjutkan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk kenderaan sehingga 30 Jun 2022. Ini sangat membantu pihak industri seperti kami untuk pulih dari kesan pandemik sejak dua tahun lepas,” kata Ravindran K, presiden UMW Toyota Motor.

“Kami juga menggalakkan peminat Toyota memanfaatkan lanjutan pengecualian cukai ini untuk memiliki kereta idaman mereka di samping tawaran nilai seperti kempen jualan Stay Ahead yang sedang berlangsung,” tambahnya.

Kempen Stay Ahead oleh UMW Toyota Motor ini menawarkan penjimatan sehingga RM4,500.

Model popular Vios obleh dimiliki dengan ansuran serendah RM540 dan penjimatan cukai sebanyak RM2,216. Yaris pula ditawarkan dengan ansuran dari RM493 serta penjimatan cukai RM2,192.

Untuk maklumat lanjut, layari toyota.com.my atau hubungi 1-800-8-TOYOTA (869682).

Toyota Vios dan Hilux masih king dalam segmen masing-masing!

UMW Toyota menutup tirai 2021 dengan jualan memberangsangkan untuk setiap segmen bagi kategori jenama bukan nasional.

Toyota masih menjadi jenama paling laris untuk keseluruhan bukan-nasional, dan juga bagi segmen-B, trak pikap dan hatchback.

Toyota Vios terus menjadi model Toyota paling laris dengan 31 peratus jumlah jualan adalah dari model ini. Hilux pula masih raja trak pikap dalam segmennya di Malaysia.

Untuk sepanjang 2021, Toyota merekodkan jualan sebanyak 72,394 iaitu peningkatan 22 peratus berbanding 2020.

Jualan bulan Disember juga mencatatkan sedikit peningkatan iaitu 9,289 unit berbanding 9,246 pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, Toyota kini sedang giat mempersiapkan untuk 2022 dengan mobiliti lestari, bermakna kenderaan hibrid dan elektrik (EV).

Menurut Akio Takeyama, Naib Pengerusi UMW Toyota Motor, tempahan untuk Corolla Cross Hybrid terus meningkat sejak tempahannya dibuka beberapa bulan lepas.

SUV hibrid CKD (pemasangan tempatan) pertama syarikat itu dijangka dilancarkan dalam masa terdekat ini.

Vios kekal model Toyota paling laris, UMW jual 63,106 kenderaan keseluruhan November

TOYOTA dan Lexus mencatatkan 63,105 unit jualan untuk November 2021, iaitu 26 peratus lebih berbanding tempoh sama tahun lepas (50,074 unit).

Menurut UMW Toyota, permintaan untuk kedua-dua jenama ini kekal kukuh dengan jualan pada Oktober dan November masing-masing sebanyak 8,500 dan 8,486 unit (6,620 untuk kenderaan penumpang dan 1,866 untuk kenderaan komersial termasuk trak pikap).

Untuk model kereta penumpang, Vios kekal menjadi model Toyota paling laris dengan menyumbang kepada 33 peratus daripada jumlah jualan, sementara Hilux kekal sebagai trak pikap paling laris di Malaysia sejak 2005.

“Pertumbuhan pasaran yang berterusan adalah tanda yang kami kian melangkah ke arah pemulihan,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

“Pelanggan boleh berkunjung ke pusat pameran atau menghantar kenderaan mereka ke pusat servis yang sah dengan rasa lega bahawa kesihatan mereka akan terjamin.

“Untuk bulan terakhir tahun ini, kami memberikan tawaran hebat dan menerusi promosi Now Is The Time, penjimatan diberi sehingga RM5,500 untuk model terpilih,” katanya.

Ke arah pelancaran hibrid

Persediaan juga sedang dimuktamadkan untuk acara utama — pelancaran kereta hibrid elektrik pertama yang dipasang dalam negara — dalam masa terderkat.

Model Toyota Corolla Cross Hibrid yang baru kini dalam peringkat pra-produksi di ASSB, kilang pemasangan UMW Toyota Motor di Bukit Raja, Selangor.

“Sejak kami membuka tempahan untuk Corolla Cross Hybrid, maklum balas yang diterima adalah baik dan kami gembira melihat ramai rakyat Malaysia berhasrat untuk beralih ke Teknologi Kenderaan Hibrid Elektrik (HEV),” menurut Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

“Kami sedar ramai pelanggan teruja untuk menerima Corolla Cross Hybrid mereka dan kami meminta anda semua bersabar.

“Ada banyak proses kualiti yang perlu dilaksanakan ASSB bagi menjamin kereta yang diserahkan memiliki piawaian tertinggi dalam semua aspek.

“Saya juga ingin katakan yang sebaik saja kereta diserahkan, pemiliknya yang baru pasti akan mendapat pengalaman pemilikan dengan piawaian tertinggi,” tambah Takeyama.

Harga Corolla Cross Hybrid baru dijangka bermula dari RM137,000 (tidak termasuk insurans) dan dengan waranti kilang 5 tahun/tanpa had perjalanan.

Selain itu, untuk memberi kelegaan, ada lagi jaminan 8 tahun/tanpa had perjalanan untuk bateri, pemabalik (converter) dan Unit Kawalan Pengurusan Kuasa.

Pelanggan juga boleh melanjutkan waranti selama dua tahun lagi, seterusnya menjadikan tempoh waranti selama 10 tahun.

Ini merupakan kali pertama waranti sebegini disediakan dalam industri tempatan. Tempahan boleh dibuat melalui mana-mana pengedar sah Toyota atau pusat pameran UMW Toyota Motor di seluruh negara.

Rangkaian aksesori GR ini akan jadikan Toyota anda lebih dinamik dan sporti

UMW Toyota Motor telah memperkenalkan rangkain aksesori GR (Gazoo Racing) untuk beberapa model terpilih iaitu GR Yaris, Vios GR-S, Vios dan Yaris. Kini kereta Toyota anda boleh tampil lebih dinamik dan sporti!

Semua aksesori ini boleh didapati secara eksklusif di lima GR Garage seluruh negara dan 39 cawangan GR (pengedar Toyota yang bersaing dalam siri perlumbaan Vios Challenge). Senarai alatan aksesori GR yang terlibat termasuklah:

Eksklusif untuk GR Yaris edisi terhad dan hanya boleh didapati di GR Garage seluruh negara ialah lima naik taraf penggayaan dan prestasi.

Ini merangkumi spoiler depan GR dengan lanjutan spoiler belakang, skirting sisi GR, spoiler bampar belakang GR, sports muffler GR dan set panel dalaman gentian karbon GR.

Aksesori lain turut tersedia untuk Vios GR-S, Vios dan Yaris. Ini bagaimanapun tidak termasuk butang suis penghidup GR, lencana GR serta pelapik kaki GR yang sudahpun didatangkan sebagai standard untuk Vios GR-S.

“Ketersediaan dan jualan aksesori GR ini adalah lanjutan Toyota untuk merancakkan usahanya mengukuhkan kedudukan dalam sukan permotoran di Malaysia,” ujar Ketua Pegawai Sukan Permotoran Gazoo Racing Malaysia, Akio Takeyama.

Presiden UMW Toyota Motors, Ravindran K. pula berkata penawaran aksesori GR ini membolehkan pelanggan menjadikan kereta mereka lebih personal dan unik, terutama mereka yang berkongsi minat yang sama dalam sukan permotoran.

Semua alatan dan aksesori GR datang dengan jaminan setahun dan untuk memastikan pemasangan yang betul, pelanggan boleh melakukannya di GR Garage dan cawangan GR yang ada.

Lima GR Garage seluruh negara termasuklah Fokus Tetap (Shah Alam, Selangor), PCM Klang Motor (Klang, Selangor), Wing Hin Auto (Balakong, Selangor), Telagamas (Kulim, Kedah) dan Mutiara Motorsports (Masai, Johor).

Untuk senarai lengkap cawangan GR pula, serta maklumat lain, layari laman web UMW Toyota Motors di www.toyota.com.my.

Geely Emgrand 2021 dilancar di China – Ada peluang jadi pengganti Proton Persona?

JIKA diamati komen-komen warga netizen di laman sosial seperti Facebook dan Instagram, boleh dikatakan ramai juga yang mendesak Proton agar segera menggantikan Persona dengan model baharu daripada Geely.

Proton setakat ini masih belum memberikan sebarang petunjuk yang mereka akan berbuat demikian. Bagaimanapun, dengan pelancaran Geely Emgrand di China baru-baru ini, ada kemungkinan yang syarikat itu akan mempertimbangkan untuk menjadikan sedan kompak itu sebagai pengganti Persona yang telah berada di pasaran sejak 2016.

Ditayangkan buat pertama kali pada Jun lalu, Emgrand generasi keempat dibangunkan dengan menggunakan platform B-Segment Modular Architecture (BMA) yang menjanjikan ruang lebih luas, tahap keselesaan lebih tinggi dan pengendalian lebih baik. Platform keluaran Geely ini turut menjadi asas kepada model-model lain seperti Bin Yue/Proton X50, Bin Rui dan juga ICON.

Dari segi saiz, Emgrand mempunyai ukuran panjang 4,638mm, lebar 1,820mm dan tinggi 1,460mm. Agak menarik kerana ini bermakna ia lebih panjang, lebar dan rendah berbanding pesaing-pesaing terdekatnya iaitu Honda City dan Toyota Vios, dengan perbezaan yang agak besar. Dalam erti kata lain, saiznya lebih hampir kepada sedan segmen C berbanding segmen B.

Rekaan luarannya sesuai untuk digambarkan sebagai elegan, dengan gril dan lampu belakang LED yang lebar antara elemen yang membuatkan model ini kelihatan lebih menonjol. Walaupun mempunyai profil tiga kotak yang agak tradisional, ia mempunyai kadar drag coefficient yang rendah iaitu 0.27 Cd.

Masuk ke dalam, anda akan disambut oleh suasana yang moden dan premium, jauh berbeza dengan City dan Vios, apatah lagi jika dibandingkan dengan Persona. Bukan itu sahaja, penggunaan tema warna putih dan biru membuatkan seluruh ruang kabin terasa lebih tenang dan luas.

Seperti yang boleh dilihat, rekaan papan pemuka dan konsol tengah sangat bersih dan ringkas. Hanya beberapa butang sahaja diletakkan untuk kawalan sistem pendingin hawa, brek parkir elektronik dan sebagainya. Fungsi-fungsi selebihnya boleh diakses menerusi kluster instrumen digital 12.3 inci dan skrin tengah 10.25 inci.

Emgrand juga dilengkapi dengan beberapa teknologi yang boleh dianggap canggih untuk segmennya seperti sistem infotainmen GKUI, kemaskini perisan secara atas udara (OTA), fungsi kawalan suara AI, kamera dengan sudut pandangan 540 darjah, perakam pemanduan berdefinisi tinggi dan sistem pembersih udara CN95.

Hanya satu pilihan enjin yang ada untuk model ini iaitu enjin NA 4-silinder bersesaran 1.5-liter. Enjin aluminium itu menghasilkan 114PS dan 147Nm tork, dan boleh didapati sama ada dengan transmisi manual 5-kelajuan atau CVT 8-kelajuan. Turut disertakan adalah sistem ESP 9.3 keluaran Bosch.

Harga masih belum diumumkan namun melihat kepada reka bentuk dan spesifikasinya, pastinya ramai rakyat Malaysia yang inginkan Emgrand sebagai pengganti Persona. Jika Proton memutuskan untuk memasarkannya di sini dengan harga yang berpatutan, tidak mustahil ia boleh mengatasi jualan City dan Vios dalam tempoh masa yang singkat.