Seorang anggota polis trafik dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah disaman selepas meletakkan motosikal di kawasan parkir kenderaan Orang Kurang Upaya (OKU).
Ini berikutan tular satu video dan gambar menerusi Twitter yang menunjukkan motosikal jenis Honda ST 1300, dikunci oleh seorang pengawal keselamatan sebuah pangsapuri di Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam satu kenyataan berkata, motosikal jenis Honda ST1300 milik Motoked Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur itu diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan OKU di Apartment Flora Damansara.
Gambar oleh: Twitter @nanmanjoi8715
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 29 Mei 2023 jam lebih kurang 11.30 pagi. Satu laporan polis telah dibuat pada 1 Jun 2023 dan kes disiasat mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan jalan 1987. Tindakan saman dikeluarkan kepada anggota trafik terbabit,” katanya.
Mohamad Fakhrudin mengingatkan serta memohon semua pengguna jalan raya agar mematuhi arah papan tanda jalan.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya termasuk agensi penguat kuasa yang tidak mematuhi peraturan,” katanya.
KEGEMBIRAAN seorang wanita mendapat kereta baru tidak kekal lama apabila Perodua Alza miliknya terlibat dalam kemalangan 2 jam selepas ia diambil dari pengedar.
Dalam satu kiriman ringkas di laman Faceook ‘Perodua Alza D27A Malaysia’, Ea Sya berkata dia dan keluarga baru sahaja mengambil kereta tersebut dari Kuala Lumpur dan sedang dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru.
Lebih malang lagi, dia mendakwa telah menunggu selama lapan bulan sebelum menerima Alza itu. Namun selepas hanya 2 jam memandunya, MPV itu dilanggar dari belakang di sebuah lebuh raya.
Seperti yang boleh dilihat, impak perlanggaran tersebut menyebabkan kerosakan yang teruk pada bahagian belakang dan depan. Bagaimanapun, keadaan pemandu dan penumpang tidak diketahui dan tidak dinyatakan dalam kiriman tersebut.
Melihat kepada keadaan Alza itu, ada kemungkinan ia akan diisytiharkan sebagai total lost. Kalau boleh dibaik pulih pun, ia akan mengambil masa yang lama dan feel memandu sudah tentu tidak sama seperti kereta baru.
Perodua Alza generasi baharu dilancarkan ke pasaran pada Julai 2022. Populariti MPV itu terbukti apabila menerima lebih 30,000 tempahan dalam tempoh sebulan selepas tempahannya dibuka. Ini menyebabkan tempoh menunggu berlanjut sehingga 10 bulan.
POLIS menolak dakwaan bahawa terdapat unsur mistik yang mendorong seorang kanak-kanak memandu kereta sehingga kemalangan di Langkawi baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari, kanak-kanak berusia enam tahun itu didapati mengetahui cara memandu kenderaan dan mampu menunjukkannya kepada pihak polis ketika siasatan.
Shariman berkata, kanak-kanak itu juga mengetahui fungsi pedal minyak dan gear automatik, selain memiliki keyakinan dan menunjukkan bagaimana cara untuk menurunkan brek tangan.
Malah, dia juga boleh menunjukkan dengan betul cara menghidupkan enjin dan berjaya menghidupkannya apabila diminta pegawai penyiasat.
Sumber gambar: Media sosial
“Pemeriksaan terhadap rakaman kamera papan pemuka atau dashcam kenderaan menunjukkan pemanduannya tidak stabil, kadang kala memasuki lorong bertentangan dan ada ketika ke kiri dan ke kanan,” katanya.
“Justeru, kita menolak sebarang unsur mistik dalam kes kemalangan ini seperti mana yang didakwa dan ditularkan oleh pihak tertentu menerusi pelbagai medium media sosial.
“Kanak-kanak terbabit dibawa ibu bapa mereka ketika memberi keterangan di Balai Polis Trafik Langkawi, jadi polis telah menemubual awal mereka sebagai sebahagian siasatan,” katanya.
Budak 6 tahun pandu kereta dakwa ada ‘Tok Wan berbulu’ bawa kereta?
Budak 6 tahun kongsi pengalaman mistik selepas kejadian tular baru-baru ini.
Beliau berkata, dalam proses temubual itu, kanak-kanak lelaki itu mampu menunjukkan cara bagaimana dia memandu pada malam kejadian, memberi penerangan fungsi gear D dan R kepada pegawai penyiasat.
“Malah dia mengaku telah berjaya mengundur kereta terlebih dahulu sebelum memandu keluar rumah pada pada malam kejadian.
“Difahamkan jarak rumah ke kedai yang ingin dituju oleh dua beradik itu adalah lima kilometer (km), tapi separuh jalan mereka kemalangan,” katanya.
SELEPAS dua hari menghilangkan diri, pasangan suami isteri yang terlibat dalam aksi menunggang motosikal secara berbahaya Isnin lepas akhirnya tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada Khamis (27 April).
Menurut Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, pasangan yang berusia 17 dan 16 tahun itu hadir ke IPD berkenaan pada jam 10 pagi dan kemudian ditahan Unit 42 Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang dengan aksi berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini pasangan itu diburu polis selepas video berdurasi 28 saat yang menunjukkan mereka membuat aksi ‘wheelie’ tular di media sosial. Kejadian itu dipercayai berlaku di Jalan Pasir Puteh, Kampung Peringat di Kota Bharu.
POLIS mengesahkan bahawa pemandu Honda Civic yang terbabas ketika dalam perjalanan ke sebuah pusat peranginan terkenal baru-baru ini telah pun dipanggil untuk tindakan selanjutnya.
Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata siasatan mendapati pemandu itu dalam perjalanan dari Serdang, Selangor menuju ke Genting Highlands, Pahang.
“Apabila sampai di selekoh pemandu tersebut telah memotong sebuah kenderaan lain lalu hilang kawalan dan terbabas sendiri di sebelah kiri jalan,” katanya sambil menambah pemandu berusia 27 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Zaiham lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Semakan ke atas kenderaan terbabit juga mendapat ia mempunyai 11 rekod saman.
Kemalangan itu berlaku pada Ahad (16 April) kira-kira jam 7.25 pagi di KM 14.6 Jalan Genting Highlands, Bentong, Pahang.
Video kejadian dimuat naik di Facebook oleh pemilik akaun bernama ‘Joekim Mako’ dan telah menerima pelbagai reaksi daripada netizen termasuk yang mempersoalkan kemahiran pemandu Civic itu.
SEMASA anda berumur lima tahun, hadiah apa yang anda dapat untuk hari jadi? Apa pun jawapan anda, penulis pasti ia tidak setanding dengan apa yang diterima oleh kanak-kanak bertuah bernama Fatima ini.
Manakan tidak, sempena sambutan hari lahirnya yang kelima baru-baru ini, Fatima menerima hadiah idamannya yang berupa sebuah Mercedes-Benz G-Class!
SUV yang lebih dikenali sebagai G-Wagon itu dihadiahkan oleh ibunya sendiri, Farhana Zahra yang merupakan seorang usahawan kosmetik tempatan.
Dalam satu video TikTok yang dimuat naik pada 31 Mac lalu, Farhana bertanyakan Fatima, apa yang anaknya itu mahu sebagai hadiah hari jadinya yang kelima.
Dengan bersahaja, Fatima berkata yang dia mahukan sebuah G-Wagon dan sebuah BMW berwarna hijau. Apabila ditanya apa yang hendak dilakukan dengan kereta itu, si anak berkata ingin membawanya ke sekolah.
Pada 10 April, Farhana memuat naik satu lagi video TikTok yang menunjukkan reaksi Fatima apabila melihat SUV mewah bernilai jutaan ringgit itu dipersembahkan di dalam ‘kotak hadiah’ lutsinar gergasi.
Kanak-kanak perempuan itu ternyata gembira dan tersenyum lebar sampai ke telinga apabila menyedari permintaannya ditunaikan oleh ibunya.
Menerusi kapsyen yang ditulis, Farhana berkata anaknya itu sangat teruja sehinggakan dia tidak berhenti meminta untuk memegang kunci kereta itu.
Usahawan itu juga berkongsi harapannya agar hadiah itu dapat mendorong anaknya agar terus rajin ke sekolah dan mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang doktor.
“Ingatkan menu Rahmah ni untuk makanan sahaja, rupanya untuk tayar pun ada…”
Sebuah bengkel motosikal di Kajang, Selangor tular di media sosial baru-baru ini apabila menawarkan tayar motosikal pada harga Rahmah RM5 dengan untuk meringankan beban pengguna.
Pemilik bengkel Dania Garage, Mohd Mustakim Mohd Munawir berkata Program Amal Tayar Rahmah itu dianjurkan bagi memberi sumbangan dan penghargaan kepada pelanggan bengkelnya.
“Saya berterima kasih kepada semua pengguna dan pemilik motosikal yang menjadi pelanggan dan menyokong bengkel saya selama ini.
Foto Sinar Harian
“Jadi sempena Ramadan ini, saya menawarkan tayar motosikal pada harga Rahmah, juga dengan tujuan untuk membantu meringankan beban pemilik motosikal,” katanya.
Tambah beliau lagi, jualan amal yang dianjurkan selama sehari pada 20 Mac lalu telah berjaya menarik kehadiran kira-kira 3,000 pemilik motosikal.
Bagaimanapun, pihaknya memperuntukkan sejumlah 1,000 unit tayar untuk dibeli oleh pemilik motosikal pada harga RM5 seunit. Ia sah untuk tayar motosikal bersaiz 70/90-17 dan 80/90-17 yang asalnya berharga RM60 seunit.
Berpusat di Sungai Dua, bengkel Dania Garage mula beroperasi pada 2016 dan kini mempunyai tiga cawangan lagi iaitu dua di Kajang dan satu di Serdang.
DENGAN harga yang bermula dari ratusan ribu ringgit untuk unit terpakai dan jutaan ringgit untuk unit baru, Nissan GT-R bukanlah sebuah kereta yang boleh dikategorikan sebagai ‘mampu milik’.
Malah, kos penjagaannya juga amat tinggi dan ini menyebabkan GT-R hanya mampu dimiliki oleh mereka yang benar-benar berduit.
Bagaimanapun, dalam satu video yang dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok @koocester, seorang lelaki dari Singapura membuktikan bahawa memiliki supercar bergelar Godzilla itu bukanlah sesuatu yang mustahil walaupun hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing.
Ketika ditanya mengenai pekerjaannya, pemandu berbaju T hitam itu dengan tenang menjawab beliau hanyalah seorang pemandu Grab dan Lalamove.
Apabila disoal bagaimana beliau mampu membeli sebuah GT-R pula, pemuda itu berkata beliau berjimat cermat.
Beliau juga sempat memberi nasihat kepada golongan muda supaya rajin menyimpan, elakkan berboros, berbelanja dengan bijak dan juga berkongsi rezeki bersama ibu bapa.
Menerusi komen yang ditinggalkan, rata-rata netizen seakan tidak percaya bahawa pemuda itu hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing. Tidak kurang juga ada yang mengatakan beliau mungkin salah seorang pengasas Lalamove atau mempunyai saham di syarikat tersebut.
Anda sebagai pembaca boleh memilih untuk mempercayainya atau tidak, namun tidak boleh dinafikan bahawa nasihat yang diberikan itu memang benar.
DEMI menyelamatkan nyawa kelindannya yang cedera parah, seorang lelaki sanggup menahan kesakitan untuk memandu lorinya yang remuk ke hospital sejurus selepas kemalangan.
Video yang tular di TikTok itu menunjukkan pemandu berkenaan dalam keadaan cemas selepas melihat kelindannya yang tersepit akibat kemalangan itu.
Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku pada 7 Februari lalu membabitkan lori berkenaan dan sebuah mesin padi di Jalan Sungai Korok di Jitra, Kedah.
“Bagaimanapun, pihak hospital tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berhubung kes ini.
“Pesakit dipercayai memandu sendiri lori berkenaan ke HJ (Hospital Jitra) dan berhenti betul-betul di hadapan Unit Kecemasan dan Trauma hospital.
“Anggota kecemasan kemudian membantu segera serta mengeluarkan pesakit dari lori berkenaan,” katanya.
Menurut Dr Othman lagi, pemandu lori terbabit mengalami kecederaan ringan manakala kelindan lori tersepit di bahagian tempat duduk dan berjaya dikeluarkan.
Pesakit (kelindan) dibawa dengan segera ke Zon Merah untuk diberi rawatan manakala pemandu lori diberi rawatan sebagai pesakit luar.
“Kelindan lori mengalami kecederaan dalam abdomen dan kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut,” katanya.
“LAUTAN api sanggup diredah konon, baru jumpa abang JPJ dah lari lintang-pukang.”
Itulah kejadian yang mencuit hati yang berlaku Rabu lalu apabila seorang lelaki meninggalkan tunangnya ketika melarikan diri daripada sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang.
Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, wanita berkenaan yang berusia 20-an itu mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan kaki.
Bagaimanapun, belum sempat pihak JPJ memberikan rawatan awal kepadanya, wanita itu bertindak melarikan diri.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa berkata, pasangan yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 diarahkan berhenti untuk pihaknya melakukan pemeriksaan menerusi Op Motosikal Khas di lorong motosikal Jambatan Pulau Pinang sempena Tahun Baharu Cina.
Sumber gambar: Facebook JPJ Pulau Pinang
Tambahnya, ketika pihak penguat kuasa mengarahkan penunggang membuat lencongan untuk pemeriksaan lanjut, lelaki tersebut bertindak melarikan diri dengan membuat pusingan U secara mengejut, sekaligus mengakibatkan tunangnya terjatuh dari motosikal.
“Lelaki itu tidak peduli dengan wanita berkenaan dan terus memecut laju motosikal menghala ke bahagian Pulau,” katanya.
Ketika ditanya, wanita itu mengakui lelaki itu adalah tunangnya dan mereka dalam perjalanan dari Seberang Perai menuju ke pusat bandar.
Beliau berkata, lelaki berkenaan mungkin tiada lesen memandu atau cukai jalan tamat tempoh hingga menyebabkan dia nekad melarikan diri.
POLIS Di Raja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan amaran kepada pemandu supaya tidak memandu dengan membenarkan kanak-kanak mengeluarkan kepala atau anggota badan di sunroof (bumbung suria).
Kenyataan itu merupakan respon kepada video yang dimuatnaik oleh pengguna Twitter @nabilahroslan yang menunjukkan sebuah Proton X70 merah di lorong laju lebuh raya NKVE dengan kanak-kanak berdiri menerusi sunroof.
ACP Mohamad Fakhrudin bin Abdul Hamid, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya berkata, “PDRM juga telah menyeru pemilik atau pemandu kereta yang terlibat dan mana-mana saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil membuat laporan polis dan membantu siasatan dengan ke balai polis berhampiran.”
Ulasnya dalam kenyataan sama, “Mengikut Seksyen 336 kanun keseksaan, segala perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa manusia, atau keselamatan orang lain boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan atau denda tidak melebihi RM500 atau kedua-duanya.”
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi penolong pegawai penyiasat trafik, Sarjan Mejar Mohd Yusof Hamzah di talian 011-23065984 bagi membantu siasatan,” katanya.
SEORANG majikan menghadiahkan seorang pekerja asingnya yang berbangsa Indonesia sebuah Proton Saga sebagai tanda penghargaan atas kegigihannya.
Menerusi satu video Tiktok yang dimuat naik oleh seorang perunding jualan Proton menerusi akaun @viviproton, pekerja berkenaan dilihat tiba ke bilik pameran bersama majikannya.
Beliau kemudiannya menunjukkan reaksi teruja dan terharu sebaik sahaja menyedari kereta yang dihiasi dengan reben merah itu adalah pemberian daripada majikannya. Beliau juga dirakam memeluk kereta baharunya itu dan menghidupkan enjin sambil tersenyum lebar.
Menurut laporan, Xu Hui Xing merupakan seorang majikan di sebuah syarikat pengeluar pakaian di Pontian, Johor, manakala Yanto merupakan kakitangannya yang telah berkhidmat di syarikat itu selama 10 tahun.
Berdasarkan video Tiktok itu, Xu dikatakan telah menghubungi perunding jualan tersebut untuk bertanya jika mereka mempunyai stok Saga yang tersedia kerana beliau mahu menghadiahkannya kepada seorang pekerjanya.
Xu berkata bahawa Yanto merupakan seorang pekerja yang sangat rajin dan beliau memutuskan untuk menghadiahkan sebuah kereta sebagai ganjaran.
Sementara itu, China Press berkata Xu telah membuat pembayaran penuh untuk Saga berkenaan dan mendaftarkannya di bawah nama Yanto memandangkan pekerja asing tidak dibenarkan untuk membuat pinjaman sewa beli kenderaan di Malaysia.
POLIS telah menahan seorang selebriti susulan tular rakaman video Perodua Myvi dipandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Hulu Kelang pada 27 Disember lalu.
Video berdurasi 43 saat itu menunjukkan Myvi yang dipandu suspek itu menukar lorong secara melulu berkali-kali sebelum merempuh bahagian sisi kiri sebuah Toyota Innova.
Pelanggaran itu menyebabkan penumpang hadapan Myvi yang dipercayai kekasih pelakon sambilan itu tercampak keluar daripada kenderaan dan mengalami kecederaan ringan. Mangsa dilaporkan berusia 25 tahun.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Myvi yang memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan.
“Siasatan juga mendapati berlaku pertengkaran di antara suspek dan mangsa ketika kejadian,” katanya.
Tambah beliau lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Suspek yang juga seorang peniaga telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Traktor secara amnya direka untuk menjalankan kerja-kerja berat dalam bidang agrikultur. Namun dengan peredaran zaman serta perkembangan teknologi, semakin lama semakin banyak pengeluar yang membangunkan traktor berkuasa tinggi yang boleh bergerak pada kelajuan yang mungkin tidak mampu dicapai pada zaman dahulu.
Berikut adalah lapan model traktor terpantas di dunia:
JCB Fastrac 8000
Traktor yang terpantas di dunia dihasilkan oleh pengeluar jentera berat dari Staffordshire, England iaitu JCB. Dikenali sebagai Fastrac 8000, ia dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum 166.7km/j.
Tidak hairanlah kerana traktor ini dibangunkan dengan kerjasama pasukan Formula 1 Williams dan mempunyai ‘nadi’ berupa enjin diesel 7.2-liter enam silinder dengan dua pengecas turbo yang menjana 1,000hp.
The 8NCREDIBLE
Menurut pemandu NASCAR Jack Donohue, beliau terinspirasi dari David “Ab” Jenkins ketika membangunkan traktor ini. Pada 1935, Ab Jenkins yang merupakan seorang pelumba professional menarik perhatian dunia apabila beliau mencatat rekod kelajuan darat untuk traktor pada masa itu dengan kelajuan mencecah 109km/j.
Berbalik pada 8NCREDIBLE, ia dikuasakan oleh enjin Ford 8N V8 Flathead yang membolehkan jentera ini mencapai kelajuan kira-kira 154km/j. Apa yang menarik, ia menggunakan tayar pesawat dengan rating kelajuan yang tinggi.
Top Gear Track-tor
Siapa yang tidak kenal dengan Top Gear? Di samping kereta-kereta yang biasa kita lihat, siri televisyen berkonsepkan automotif itu kadang kala menampilkan rekaan-rekaan ‘gila’ seperti Track-tor ini.
Direka oleh hos Matt LeBlanc, Track-tor mempunyai enjin Chevrolet V8 bersesaran 5.7-liter yang menghasilkan 500 hp, sistem suspensi udara dan rim berukuran 50 inci. Pada Mac 2018, ia berjaya menempa namanya dalam Buku Rekod Guinness sebagai traktor terpantas dengan kelajuan maksimum 140km/j. Siapa lagi yang memandu kalau bukan The Stig.
Valtra T234
Valtra merupakan pengeluar jentera agrikultur yang berasal dari Finland namun produk-produknya juga popular di negara-negara Nordik yang lain serta Amerika Selatan. Model T234 adalah antara traktor yang terpantas di dunia, dengan rekod kelajuan 130km/j yang dicatat pada 2015 oleh juara empat kali WRC, Juha Kankkunen.
Dengan berat keseluruhan mencecah 7,300kg, ia sememangnya berat namun itu ternyata tidak menjadi penghalang dengan adanya enjin turbodiesel enam silinder yang menjana 247hp dan 1,000Nm.
Allis-Chalmers Model U
Dihasilkan pada 1932 oleh syarikat jentera berat dari Amerika Syariakt iaitu Allis-Chalmers, Model U mungkin model yang tertua dalam senarai ini namun kehebatannya tidak boleh dinafikan. Ini kerana ia pernah mencapai kelajuan kira-kira 109.2km/j dan berada di belakang stereng ketika itu adalah ketua bandar Salt Lake City, Utah yang juga merupakan pelumba professional, David “Ab” Jenkins.
Percaya atau tidak, rekod itu dipegang oleh Ab Jenkins selama 81 tahun.
JCB Fastrac 8330
Diperkenalkan pada 2021, Fastrac 8330 merupakan traktor terbesar yang dihasilkan oleh JCB setakat ini, namun ini tidak bermakna ia boleh dipandang rendah. Ini kerana ia mempunyai 348hp dan 1,440Nm yang dibekalkan oleh enjin 8.4-liter enam silinder. Dengan transmisi jenis CVT, kelajuan 70km/j boleh dicapai dengan mudah.
Ia juga antara model JCB yang cukup lengkap, hadir dengan fungsi Cruise Control yang ditambah baik, Hill-Hold dan juga ABS.
JCB Fastrac 8290
Satu lagi traktor keluaran JCB dalam senarai ini adalah Fastrac 8290. Traktor agrikultur ini tidak seperti traktor-traktor lain yang kebanyakannya mempunyai kelajuan maksimum sekitar 30 hingga 40km/j kerana ia mampu memecut sehingga 60km/j, angka yang cukup mengagumkan untuk sebuah jentera seberat 11,090kg.
Fendt 939 Vario
Satu-satunya model traktor yang dihasilkan oleh syarikat dari Jerman, Fendt 989 Vario mempunyai kelajuan maksimum sekitar 60km/j. Prestasi ini dicapai terima kasih kepada enjin diesel 9.0-liter enam silinder keluaran MAN yang menghasilkan 385hp. Kuasa disalurkan ke roda oleh transmisi jenis CVT menerusi sistem pacuan roda 4WD.
SEORANG pemandu di China ‘terperangkap’ di lebuh raya berjam-jam lamanya selepas fungsi kawalan pelayaran (cruise control) Haval H6 yang dipandunya tidak boleh dimatikan.
Menurut laporan AutoHome, kejadian itu berlaku di luar kawasan bandar Zhuzhou di wilayah Hunan. Pemandu tersebut, yang hanya dikenai sebagai “En. Luo”, mendakwa beliau tidak boleh mematikan kawalan pelayaran SUV miliknya itu dan breknya juga tidak berfungsi.
Ini menyebabkan H6 itu terus bergerak pada kelajuan sekitar 100 km/j. Selepas lebih 500 km berada di atas lebuh raya, SUV itu akhirnya berhenti selepas kehabisan bahan api.
Ketika berada di dalam kereta, Luo sempat menghubungi pihak berkuasa untuk memaklumkan situasi yang sedang dihadapinya. Pihak polis kemudiannya menghantar kenderaan pengiring bagi memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
Malah, beliau juga dihubungi oleh jurutera Haval namun tidak ada apa yang dapat dilakukan bagi menghentikan H6 itu ketika itu. Luo hanya berseorangan di dalam keretanya ketika kejadian.
Setakat ini punca kejadian masih belum diketahui, namun Haval, yang bernaung di bawah Great Wall Motors, pastinya sedang melakukan siasatan dan seterusnya membuat kempen panggilan semula untuk H6 di semua pasaran.
BARU-baru ini tular rakaman kamera papan pemuka yang menunjukkan sebuah Mercedes-Benz A-Class dengan nombor pendaftaran Singapura menghalang laluan sebuah ambulans yang dipercayai berlaku di Johor Bahru.
Berikutan kejadian itu, polis meminta pihak yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan untuk tampil menyalurkan maklumat.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu.
“Belum ada individu yang membuat laporan polis lagi. Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh tampil supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya dihubungi hari ini.
Video berdurasi 34 saat itu menunjukkan sebuah ambulans pusat perubatan swasta cuba untuk masuk ke lorong di sebelah kanan namun dihalang oleh sebuah Mercedes-Benz A180.
Menurut Harian Metro, kejadian dipercayai berlaku pada jam 4.37 petang kelmarin di laluan menuju ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
Ambulans tersebut dilihat menyalakan lampu siren dan lampu isyarat namun tetap dihalang pemandu hatchback berwarna hitam itu. Malah, pemandu tersebut dilihat menekan brek dan tidak berganjak walaupun pemandu ambulans sudah mengangkat tangan bagi meminta laluan.
Raub menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan termasuk memberi laluan kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas kecemasan seperti ambulans, bomba atau polis.
Tambah beliau lagi, perbuatan tidak memberi laluan kepada ambulans boleh menyebabkan siasatan dibuat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Akibat tidak sabar, seorang pemilik Lamborghini Huracan Evo RWD terima padah apabila supercar miliknya itu dirempuh dari tepi oleh sebuah Toyota Hilux.
Rakaman berdurasi 31 saat yang tular di media sosial menunjukkan pemandu Huracan tersebut memotong sebuah Lamborghini Urus dari kiri untuk menyeberangi jalan raya sebelum dilanggar trak pikap tersebut yang datang dari arah bertentangan.
Menurut laporan, insiden ini berlaku pada 24 November lalu berdekatan lapangan terbang Sukhothai. Sebuah konvoi Lamborghini yang terdiri daripada pelbagai jenis model termasuk Urus, Gallardo, Huracan dan Aventador dilihat cuba untuk menyeberangi jalan raya berkenaan pada waktu malam.
Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan yang terlibat mengalami kerosakan yang agak teruk. Gambar selepas kemalangan menunjukkan Hilux tersebut remuk di bahagian depan, manakala supercar itu remuk di bahagian pintu kiri. Tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan.
Rakaman video jelas menunjukkan yang kemalangan ini berpunca dari kecuaian pemandu Lamborghini itu. Beliau sepatutnya memastikan keadaan selamat sebelum menyeberang. Mujurlah insiden ini sempat dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.
Menurut laporan media tempatan, pemilik supercar itu bersetuju untuk menampung kerugian. Macam ni lah baru betul.
GARA-gara melakukan drift atau lebih tepat lagi aksi ‘donut’ di tempat letak kereta, seorang warga Malaysia terpaksa membayar ganti rugi hampir 100,000 baht (RM12,438) kepada empat pemilik kenderaan di Hatyai, Songkhla, selatan Thailand.
Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari (waktu tempatan) pada Jumaat lalu, pemandu berusia 32 tahun yang memandu BMW itu membuat aksi berkenaan di tempat letak kereta di sebuah kem gajah, Chang Puak Camp, Hatyai.
Susulan aksi ‘donut’ itu, sebuah kereta dan tiga lagi tuk-tuk berdekatan mengalami kerosakan termasuk cermin pecah dan calar.
Tanpa menyedari kerosakan pada kenderaan lain, pemandu itu beredar dari tempat kejadian.
Ketua Polis Pelancong Hatyai, Left Kol Anuwat Rithichai, berkata pemilik kenderaan yang mengalami kerosakan itu membuat laporan polis pada Jumaat.
“Polis berjaya mengesan kenderaan dipandu lelaki warga Malaysia itu di Kompleks Imigresen, Kastam, dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand kira-kira jam 6 petang semalam.
“Pemandu itu bersama isterinya dibawa ke balai polis untuk bertemu pemilik kenderaan yang terjejas,” katanya pada sidang media hari ini.
Anuwat berkata, kedua-dua pihak bersetuju pemandu berkenaan membayar ganti rugi sebanyak 99,000 baht kepada empat pemilik kenderaan terbabit.
Lelaki itu turut memohon maaf kerana tidak menyedari aksinya menyebabkan kerosakan pada kenderaan lain.
Secara umumnya, syarikat kenderaan diwujudkan untuk membangunkan, menghasilkan dan seterusnya menjual kenderaan. Sudah tentu, sebagai sebuah perniagaan, syarikat-syarikat ini perlu membuat keuntungan kerana tanpanya, mereka tidak boleh terus berkembang dan maju.
Sebab inilah ada di antara pengeluar yang mengambil keputusan untuk mempelbagaikan perniagaan mereka dengan menghasilkan produk-produk selain kereta atau motosikal. Berikut adalah 10 syarikat tersebut:
Honda – Pesawat jet
Honda merupakan pengeluar kereta dan motosikal yang terkemuka dunia namun tahukah anda bahawa syarikat itu juga membangunkan jet sejak 1980-an? Pada 1999, Honda Aircraft Company berjaya menyiapkan pembangunan Honda HA-420 HondaJet dan empat tahun kemudian, jet itu melakukan penerbangan pertamanya.
Dibangunkan sebagai jet peribadi untuk pemilik perniagaan, taikun dan sebagainya, HondaJet boleh memuatkan enam penumpang dan mencapai kelajuan 420knot (780km/j). Harganya dikatakan bermula dari $3.5 juta.
Chrysler – Roket
Pada masa kini, Chrysler mungkin lebih dikenali sebagai pengeluar kenderaan mewah namun pada era 50-an, syarikat itu memainkan peranan penting dalam membangunkan misil PGM-11 Redstone yang dikatakan misil pertama Amerika Syarikat yang membawa kepala peledak nuklear.
Ia bermula pada 1952 apabila presiden Chrysler dilantik sebagai ketua program misil oleh Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Harry S. Truman. Syarikat itu berjaya melengkapkan pembangunan misil tersebut pada 1958 dan misil tersebut digunakan oleh tentera sehingga 1964.
General Motors – Kereta api
General Motors (GM) diwujudkan pada tahun 1908 namun syarikat itu hanya mula menghasilkan lokomotif sejak era 1930-an. GM pada ketika itu membeli pengeluar kereta api dari Canada iaitu Electro-Motive Diesel (EMD) dan mula menghasilkan lokomotif sehingga 2005, apabila GM menjual EMD kepada Greenbriar Equity Group dan Berkshire Partners.
Dalam tempoh itu, GM menghasilkan beberapa varian lokomotif termasuk lokomotif industri, kereta api pengangkut barang, kereta api penumpang serta kereta api tentera.
Peugeot – Pengisar lada hitam
Dalam senarai ini, banyak pengeluar kereta memperkembangkan portfolio mereka dengan menghasilkan kenderaan dan pengangkutan jenis lain seperti jet dan kereta api, namun tidak kurang juga yang lari jauh dari bidang automotif.
Sebagai contoh, Peugeot tidak bermula sebagai pengeluar kereta. Sebaliknya, syarikat Perancis itu menghasilkan pengisar lada hitam dan perkakasan dapur lain terlebih dahulu sebelum ia mula menceburi bidang perniagaan automotif. Sehingga ke hari ini, pengisar lada Peugeot dikatakan antara yang terbaik di pasaran.
Buick – Kereta kebal
Sekitar 1940-an, industri automotif dunia terhenti akibat Perang Dunia Ke-2. Buick, yang merupakan divisyen General Motors, beralih arah daripada perniagaan automotif kepada penghasilan kereta kebal untuk kegunaan tentera Amerika Syarikat dalam Perang Dunia dan juga Perang Korea.
Dikenali sebagai M18 Hellcat, kereta kebal itu dikatakan antara yang terpantas ketika itu dengan kelajuan mencecah 89km/j.
Toyota – Rumah
Toyota, antara pengeluar kenderaan terbesar dunia dengan produksi mencecah 10 juta unit setahun, mula menceburi industri perumahan pada 1975 di bawah nama Toyota Housing Corporation.
Sejak kewujudannya, Toyota Housing Corporation telah membina hampir 250,000 ribu buah rumah dan mewujudkan beratus-ratus komuniti yang menggunakan rumah buatan mereka. Tidak ramai yang tahu mengenai perkara ini kerana rumah Toyota hanya dijual di Jepun.
General Motors – Jantung mekanikal
Dodrill-GMR merupakan jantung mekanikal pertama dunia yang membolehkan pakar bedah melakukan pembedahan jantung terbuka dengan menggunakan mesin pintasan (bypass machine). Apa yang menarik, jantung ini dibangunkan dengan kerjasama General Motors.
Pada tahun 1952, Dr. Forest Dewey Dodrill membangunkan jantung mekanikal dengan pembiayaan daripada Persatuan Jantung Amerika dan jurutera sukarelawan dari General Motors dan General Motors Research di Harper University Hospital di Detroit, Michigan. Ia digunakan buat pertama kali pada 3 Julai tahun yang sama.
Chrysler – Kereta kebal
Walaupun Chrysler menghasilkan misil nuklear pertama Amerika Syarikat pada 1952, syarikat itu sebenarnya terlibat dengan aktiviti ketenteraan negara itu sejak Perang Dunia Ke-2 lagi.
Ketika itu, Chrysler membina kereta kebal untuk tentera AS di bawah divisyen khas iaitu Chrysler Defense yang dibangunkan pada 1940. Syarikat itu memasang kereta kebal M2 dan kemudiannya M3 di kilang mereka yang terletak di Detroit.
Volkswagen – Sosej
Seperti Peugeot dan pengisar lada hitamnya, produk Volkswagen ini langsung tidak ada kena mengena dengan kereta atau apa jua jenis kenderaan. Sejak 1973, syarikat itu menghasilkan sosej ‘currywurst’ di kilang pengeluarannya di Wolfsburg. Sosej itu dijual di enam kilangnya di Jerman, di pasaraya dan stadium, serta diberikan percuma kepada pelangganVolkswagen.
Apa yang menarik, sosej ini disenaraikan sebagai ‘Volkswagen Original Part’ dan mempunyai nombor siri 199 398 500 A. Dengan 6.81 juta sosej dihasilkan pada 2018, pengeluarannya dikatakan melebihi mana-mana bahagian atau komponen lain keluaran Volkswagen. Sebagai pelengkap, Volkswagen turut menghasilkan sos tomato mereka sendiri.
Mitsubishi – Pelbagai jenis barangan
Selain kereta dan jentera berat seperti jentolak, anda pasti pernah melihat pendingin hawa dan peti sejuk berjenama Mitsubishi, bukan? Syarikat itu sebenarnya terlibat dalam pelbagai jenis lagi perniagaan selain automotif dan elektrikal. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana Kumpulan Mitsubishi terdiri daripada 40 buah syarikat yang masing-masing memiliki anak syarikat mereka sendiri.
Antara bidang perniagaan yang diceburi oleh syarikat-syarikat yang bernaung di bawah payung Kumpulan Mitsubishi termasuklah perlombongan, perkapalan, pembinaan kapal, perkhidmatan kewangan, hartanah dan juga elektronik.
AKIBAT leka menghisap gam ketika memandu, sepasang suami isteri masing-masing berusia 33 dan 23 tahun dipanggil polis bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, ACP Christopher Patit berkata video berdurasi 17 saat yang tular di Instagram itu menunjukkan pasangan tersebut didakwa menghisap gam di dalam kereta, manakala seorang kanak-kanak perempuan, dipercayai anak tiri lelaki itu, berada di tempat duduk belakang pada 4 petang pada 7 Oktober lalu.
Susulan itu, pasukan dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Melaka Tengah telah pergi ke Kampung Bukit Pegoh, Pernu untuk menemui pemilik kenderaan tersebut pada jam 11 malam keesokannya (8 Oktober) bagi membuat pemeriksaan.
“Pemandu dan penumpang kenderaan itu dibawa ke Balai Polis Daerah Melaka Tengah untuk ujian air kencing, namun didapati negatif,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau lagi, satu kertas siasatan dibuka di bawah Peraturan 17 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 dan akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk siasatan seterusnya.