Tag Archives: volvo ex30

Volvo EX30 Cross Country debut dengan sistem AWD, padanan tayar off-road

Jika dulu, nama Cross Country digunakan oleh Volvo untuk merapatkan jurang yang wujud antara model wagon dan SUV.

Namun, kini ia diguna pakai untuk model SUV paling kompak daripada jenama itu, Volvo EX30 Cross Country.

Volvo EX30 versi yang lebih lasak itu membawakan ciri-ciri unik, seperti contoh plastik pelindung panel padan, skid plate, serta rim eksklusif bersaiz 18 inci yang dibaluti tayar all-terrain.

Selain itu, Volvo turut mengubah tetapan suspensi belakang EX30 Cross Country ini supaya dapat menempuh laluan yang lebih mencabar.

Berbanding model EX30 biasa, EX30 Cross Country kini mempunyai jarak kelegaan tanah 17.78 mm lebih tinggi.

Di bahagian muka depan, terdapat panel hitam yang mempunyai peta bantuan kawasan pergunungan Kebnekaise di Sweden.

Secara standard, Volvo EX30 Cross Country ini ditawarkan dengan motor elektrik berkembar berkuasa 422 hp / 542 Nm yang dipadankan dengan pek bateri 69 kWh.

Besar kemungkinan, jarak pandu asal sejauh 427 km itu sukar untuk dicapai dengan padanan tayar all-terrain yang disebutkan tadi.

Namun, usah risau kerana Volvo EX30 secara standard menyokong pengecasan DC 153 kW, di mana bateri boleh dicas 10 hingga 80 peratus dalam tempoh 28 minit.

Volvo EX30 versi CKD sudah boleh ditempah, dari RM209k

Volvo Car Malaysia membuka tempahan bagi model SUV elektrik Volvo EX30 versi pemasangan tempatan (CKD).

Untuk model tahun 2025, Volvo EX30 kini tersedia dalam dua varian, iaitu Ultra (RM208,888) dan Ultra Twin Performance (RM228,888) dengan tiga pilihan warna iaitu Cloud Blue, Vapour Grey dan Crystal White.

Penghantaran unit pertama dijangka akan dibuat pada minggu kedua bulan Januari 2025.

Dari segi spesifikasi, Volvo EX30 Ultra dikuasakan motor elektrik tunggal 272 PS/343 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat.

Sementara Volvo EX30 Ultra Twin Performance pula didatangkan tetapan motor elektrik berkembar berkuasa 428 PS dan 543 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.6 saat sahaja.

Kedua-dua varian datang dengan pek bateri NMC 69 kWh, dengan jarak gerak sejauh 450 km untuk versi Ultra Twin Performance, dan mampu mencecah 476 km untuk versi Ultra.

Pengecasan pantas DC 175 kW membolehkan pek bateri dicas 10-80 peratus dalam masa 28 minit sahaja.

Setiap Volvo EX30 disokong dengan jaminan kenderaan selama lima tahun/tanpa had perbatuan, serta jaminan bateri bervoltan tinggi selama 8 tahun/160,000 km.

Volvo Car Malaysia juga menyediakan Pelan Servis Volvo (VSP) meliputi perkhidmatan penting seperti penggantian penapis udara kabin, pemeriksaan bendalir brek, bilah pengelap cermin, kemas kini perisian sehingga lima tahun/100,000 km, termasuk komponen seperti pelapik brek dan cakera brek untuk ketenangan minda pemilik.

Pelanggan juga akan dilindungi di bawah program bantuan tepi jalan 24 jam selama lima tahun, memastikan perkhidmatan tunda ke pusat servis Volvo yang sah terdekat.

 

Masalah perisian, 71,956 unit Volvo EX30 dipanggil semula beberapa hari selepas produksi EX90 bermula

Beberapa hari yang lepas, Volvo baharu sahaja memulakan produksi SUV elektrik Volvo EX90 di kilang Charleston, South Carolina.

Produksi SUV elektrik yang paling besar dalam keluarga Volvo itu berdepan isu kelewatan disebabkan oleh masalah berkaitan perisian yang cuba diselesaikan oleh Volvo setelah dua tahun diperkenalkan di peringkat global.

 

 

Ironinya, masalah yang sama kini menjejaskan lebih 70,000 unit SUV elektrik bersaiz paling kecil syarikat itu, Volvo EX30.

Menurut laporan Bloomberg, sebanyak 71,956 unit Volvo EX30 telah dipanggil semula untuk menyelesaikan masalah berkaitan perisian.

 

 

Difahamkan, terdapat kewujudan pepijat komputer yang mengakibatkan paparan meter kelajuan digital pada skrin infohibur tengah 12.3 inci  bertukar kepada mod ‘ujian’ apabila kereta dihidupkan.

Mujur masalah ini boleh diselesaikan dengan mudah menerusi kemaskini over-the-air yang tidak memerlukan pemilik membawa kereta mereka ke pusat pengedar untuk diperiksa.

 

 

Volvo EX30 secara standard dibekalkan dengan motor elektrik tunggal berkuasa 268 hp/343 Nm, dengan pek bateri 49 kWh (jarak pemanduan 322 km) atau pek bateri 64 kWh yang membenarkan jarak pemanduan sejauh 443 km.

Versi dua motor elektrik pula menawarkan sistem pacuan semua roda, dengan kuasa setinggi 422 hp/543 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat dan jarak gerak sejauh 426 km.

Di Eropah, Volvo EX30 merupakan EV nombor tiga paling laris terjual di belakang Tesla Model Y dan Tesla Model 3.

 

Volvo EX30 2023 didedah – SUV paling kecil, EV sahaja

VOLVO baru sahaja mendedahkan EX30, iaitu SUV terbaharu mereka. Ia juga merupakan SUV paling kecil, iaitu lebih kecil dari XC40, dan hanya ditawarkan dalam versi EV buat masa ini. Buat mereka yang berminat dengan XC40 tetapi rasa belum cukup bajet, mungkin EX30 boleh menjadi calon sesuai.

EX30 sudah boleh ditempah di beberapa pasaran seperti Eropah, dengan harga £33,795 (RM193,741) di UK. Volvo berkata harganya adalah dalam julat model SUV yang sama saiz dengannya.

Saiz kompak

Bercakap mengenai saiz, Volvo EX30 mempunyai ukuran 4,233mm panjang, 1,837mm lebar, 1,555mm tinggi, dengan jarak roda 2,650mm. Menurut Volvo, casisnya telah ditala untuk memanfaatkan saiznya yang kompak. Beratnya adalah 1,830kg.

EX30 mempunyai bahasa rekaan sama dengan EX90 yang lebih besar seperti gril bertutup, lampu Thor’s Hammer digital, lampu belakang terpisah, dan papan pemuka yang serupa.

Kabin minimalis serba baharu

Seperti Volvo sebelum ini, kabin EX30 cukup minimalis tetapi menggunakan rekaan baharu sepenuhnya. Papan pemuka mendapat skrin infotainmen menegak bersaiz 12.3-inci dengan perisian seperti Google, Apple, dan Qualcomm. Terdapat juga ECARX, dan semua ini boleh dikemas kini secara over-the-air.

EX30 juga didatangkan dengan kunci digital yang boleh diintegrasikan dengan pelbagai model telefon pintar, dengan aplikasi untuk fungsi seperti mengecas, lokasi, mengunci, dan memanas. Park Pilot Assist pada EX30 merupakan versi terkini.

AWD dwi-motor, Volvo paling pantas

Anda boleh memilih Volvo EX30 dengan dua pilihan iaitu Single Motor Extended Range dan Twin Motor Performance.

Yang pertama iaitu Single Motor Extended Range mendapat motor tunggal di belakang, dengan output 268hp dan 343Nm tork. Bateri 64kWh padanya direka untuk jarak pemanduan lebih jauh, iaitu sekitar 440km.

Untuk anda yang mahukan prestasi, boleh memilih varian Twin Motor Performance. Dua motor di depan dan belakang, menjadikannya AWD, memberikan output 422hp dan 543Nm tork. Walaupun output ini tidak setinggi XC40 EV atau C40 EV, EX30 mampu memecut 0-60 batu sejam (0-96km/j) dalam hanya 3.4 saat.

Mungkin kerana saiznya yang lebih kompak, lebih ringan, dan teknologi motor serta bateri yang lebih terkini. Untuk ini, kita harus tunggu hari pelancaran dan pandu uji untuk kami siasat. Harus diingat, pecutan 0-96 dalam 3.4 saat tadi menjadikan EX30 sebagai model Volvo paling pantas.

Untuk pengecasan pula, bateri NMC tadi boleh dicas menggunakan DC dengan kapasiti setinggi 153kW, bermakna 10-80 peratus dicapai dalam hanya 26.5 minit.

Cross Country

Oh ya, bermula 2024, Volvol EX30 juga akan ditawarkan dalam varian Cross Country yang lebih rugged dan sesuai untuk mengembara, mungkin.

Ia mendapat jarak kelegaan tanah lebih tinggi, pilihan rim 18- atau 19-inci, tayar all-terrain, skid plate, panel hitam khas pada bampar, dan tulisan Cross Country.