Volvo Car Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan dua buah model SUV tiga baris tempat duduk, iaitu Volvo EX90 2025 dan Volvo XC90 2025 facelift untuk pasaran tempatan.
Seperti yang diperlihatkan pada bulan lepas, Volvo EX90 merupakan sebuah SUV berkuasa elektrik sepenuhnya yang dibina berdasarkan platform SPA2, tidak seperti Volvo XC90 generasi kedua yang menggunakan pelantar SPA.
Berikut merupakan beberapa perincian ringkas bagi kedua-dua SUV EX90 dan XC90 untuk pasaran tempatan:
Volvo EX90
Volvo Malaysia hanya menawarkan EX90 dalam varian tunggal Twin Motor Performance berkuasa 517 hp dan 910 Nm, dipadankan dengan pek bateri nickel manganese cobalt (NMC) berkapasiti 111 kWh yang menawarkan jarak gerak sejauh 623 km.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.9 saat sahaja.
Dari segi dimensi, EX90 sememangnya lebih besar berbanding XC90, dengan ukuran sepanjang 5,037 mm, lebar 1,964 mm, tinggi 1,747 mm dan jarak antara roda 2,985 mm.
EX90 menyokong pengecasan pantas AC sehingga 11 kW (tempoh pengecasan 10 jam), serta pengecasan pantas DC sehingga 250 kW di mana bateri boleh dicas dari 10-80 peratus SoC dalam tempoh masa 30 minit.
Secara standard, EX90 didatangkan dengan ciri seperti rim 21 inci, lampu LED depan dan belakang, pintu dengan fungsi tutup lembut, serta warna baharu Sand Dune.
Sementara ruang kabin pula mendapat kelengkapan seperti skrin kluster digital sembilan inci, skrin infohibur sebesar 14.5 inci, sistem audio Bowers & Wilkins 3D dengan 25 pembesar suara, kawalan iklim empat zon, fungsi urut untuk tempat duduk hadapan, dan bumbung kaca panorama.
Untuk info, Volvo EX90 juga mempunyai perumah untuk penderia LIDAR, selain lima radar, lapan kamera, dan 16 penderia ultrabunyi.
Volvo EX90 Ultra Twin dijual pada harga RM442,888.
Volvo XC90 facelift
Ini merupakan versi facelift kedua untuk model XC90 selepas versi facelift pertama muncul pada tahun 2019.
Perubahan yang ketara ialah pendekatan rekaan yang lebih mirip dengan model EX30 dan EX90, diikuti dengan lampu tukul besi Thor yang lebih menonjol dan jeriji yang lebih lebar.
Selain itu, XC90 facelift turut mendapat sistem gantungan Active Chassis Air dan rim bersaiz 20 inci.
Volvo lebih menumpukan perhatian pada ruang kabin, dengan susun atur yang telah diperbaharui, skrin infohibur menegak sebesar 11.2 inci dengan sokongan aplikasi pemetaaan Google Maps, tombol penukaran gear kristal Orrefors, upholsteri kulit Nappa dan bermacam-macam lagi.
Volvo XC90 untuk pasaran Malaysia ditawarkan dalam varian T8 AWD, dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo (310 PS/400 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik 145 PS/309 Nm.
Kuasa keseluruhan SUV ini mencecah 462 hp, bermakna pecutan 0-100 km/j mampu diselesaikan dalam masa 5.3 saat dengan penggunaan bahan api serendah 1.8 liter untuk setiap 100 km.
Kapasiti pek bateri 18.8 kWh membenarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 77 km sahaja, dengan pengecasan penuh AC 6.4 kW mengambil masa tiga jam.
Untuk pasaran Malaysia, Volvo XC90 Ultra T8 PHEV dijual pada harga bermula RM434,888, atau dalam versi hibrid ringan Ultra B5 berharga RM418,888.