SATU kajian mendapati kira-kira 30 peratus warga emas berusia 60 tahun ke atas masih memandu secara aktif dan berpotensi meningkatkan kadar kemalangan jalan raya negara ini.
Kajian ini dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Jun tahun lalu.
Majoriti pemandu lanjut usia didapati memandu berseorangan dengan kekerapan sekurang-kurangnya satu hingga dua kali seminggu, menurut kajian itu lagi.
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof Madya Dr Law Teik Hua, berkata dalam keadaan usia yang semakin meningkat, risiko mereka menjadi mangsa atau punca kemalangan adalah lebih tinggi.
“Berdasarkan kajian kami yang tertumpu di Semenanjung dengan menemu bual responden di pekan kecil dan bandar menunjukkan banyak kes kemalangan berlaku di luar bandar.
“Di bandar, kemalangan mungkin kurang sedikit mengambil kira jumlah (warga emas) yang memandu sendiri agak kurang, kecuali di lokaliti tertentu, misalnya di Kampung Pandan dan Cheras yang segelintir lagi masih memandu.
Situasi luar bandar
Namun, Teik Hua berkata, berbeza di pekan kecil atau kawasan kampung kebanyakan warga emas masih memandu dengan ada antara mereka melakukan perjalanan sekurang-kurangnya sekali sehari pergi dan balik.
“Di pekan kecil dan kawasan kampung kita dapati sekurang-kurangnya 30 peratus warga emas masih memandu secara aktif, kebanyakannya menggunakan motosikal.
“Ada banyak faktor mendorong mereka terus memandu dan satu daripadanya adalah psikologi, iaitu ada yang rasa masih berupaya memandu.
“Ini berkait dengan ego walaupun mereka sedar sudah lanjut usia dan hadapi pelbagai kekangan fizikal, misalnya pergerakan yang lambat, penglihatan kabur terutama waktu malam atau hujan, pendengaran makin terjejas dan tubuh tidak lagi sihat seperti dulu.
“Justeru, dengan peratusan warga emas yang memandu masih tinggi, tidak hairanlah golongan ini yang banyak terbabit dalam kemalangan, malah ramai warga emas yang juga dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) jadi penyebab nahas lebih tinggi,” katanya.
Jadi, apa solusi pihak berwajib?
Tambahnya, meskipun banyak nahas membabitkan warga emas secara realitinya ia tidak dilaporkan atas faktor simpati dan enggan memanjangkan kes.
Malah, beliau berkata, banyak kes kemalangan juga membabitkan warga emas yang turut membawa kepada kematian, namun belum ada langkah yang benar-benar proaktif bagi menangani masalah itu.
“Sehingga kini, belum ada dasar kerajaan yang benar-benar serius untuk menangani isu membabitkan pemandu warga emas, malah lebih membimbangkan, kita ketika ini menuju ke arah negara menua.
Mengulas sama ada kerajaan wajar mengetatkan permohonan atau pembaharuan lesen warga emas, Teik Hua berkata, ia hanya boleh dilakukan jika kerajaan bersedia dengan kemudahan pengangkutan alternatif khusus untuk pemandu lanjut usia.
Kami di Engear pernah menulis pada tahun lepas agar kerajaan dan pihak berkuasa boleh mempertimbangkan untuk mewajibkan warga emas menjalani pemeriksaan kesihatan berkala sebelum memperbaharui lesen memandu.
Malah pada September 2021, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman pada masa itu, Datuk Azisman Alias mengesyorkan syarat khas dikenakan untuk pemegang lesen memandu dalam kalangan warga emas sebelum mereka dibenarkan memperbaharui dokumen itu.
Cadangan memperkenalkan syarat khas itu katanya adalah untuk tujuan menjaga keselamatan golongan berkenaan sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.
Ini kerana, menurutnya, keadaan kesihatan tubuh badan juga menjadi antara faktor kemalangan dengan penyakit seperti alzheimer dan masalah mata akan dihadapi warga emas.
“Kita lihat kes-kes memandu melawan arus sudah menjadi seperti satu trend pula, ada juga kes melibatkan orang tua berusia 60 dan 70 tahun ke atas. Ia secara tidak langsung boleh menyebabkan kemalangan di jalan raya,” kata Azisman.
Tetapi sudah tentu perkara ini tidak boleh dijalankan secara mendadak. Ia perlu disokong dengan aspek-aspek seperti pengangkutan awam yang baik.
Infrastruktur jalan raya juga perlulah dalam keadaan baik bagi membolehkan warga emas berjalan menuju ke stesen bas/LRT terdekat misalnya.
Pada pendapat kami, masih jauh untuk Malaysia mencapai tahap ini, tetapi langkah beransur-ansur boleh dibuat. Dan ia perlulah dimulakan sekarang. Jika tidak, bila lagi?