Tag Archives: wce

Seksyen 1 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat dibuka bermula tengah malam ini

Seksyen 1 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) melibatkan laluan Persimpangan Bertingkat Banting ke Persimpangan Bertingkat SKVE akan dibuka secara rasmi kepada pengguna lebuh raya bermula 12.01 tengah malam ini (31 Ogos 2024).

Pembukaan Seksyen 1 WCE itu dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi dalam satu acara yang dianjurkan sebentar tadi di Plaza Tol Banting.

Seksyen 1 ini melibatkan jajaran sepanjang 12.5 km menghubungkan Jalan Dengkil-Banting (FT31) ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan ia dijangka akan memberikan manfaat kepada penduduk di sekitar Banting ke bandar-bandar utama di selatan Lembah Klang seperti Putrajaya, Bangi dan Kajang.

Ia juga akan menghubungkan pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Lumut dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dijangka dapat meningkatkan kecekapan perjalanan bagi sektor pengangkutan barangan serta menjimatkan kos operasi bagi syarikat perindustrian yang menjalankan operasi dalam jangkauan lebuh raya ini.

Bersempena dengan pembukaan rasmi, Menteri Kerja Raya turut mengumumkan pengecualian bayaran tol selama satu bulan bermula 31 Ogos 2024 sehingga 29 September 2024 jam 11.59 malam.

Seksyen 6 lebuh raya WCE dibuka esok, tol percuma hingga 2 Januari 2024

PEMBUKAAN Seksyen 6, Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja Utara ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE atau West Coast Expressway) bakal menjimatkan masa perjalanan 30 minit dari Kapar ke Assam Jawa, Ijok.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Lebuhraya WCE melibatkan Seksyen 6 dengan jajaran sepanjang 21.8 km itu memerlukan 15 minit sahaja berbanding 45 minit sebelum ini melalui laluan sedia ada.

Menurut beliau, lebuh raya itu dibuka secara rasmi kepada pengguna bermula dari jam 12.01 tengah malam, Selasa.

“Pengurangan masa perjalanan selama 30 minit ini menjanjikan kemudahan dan keselesaan yang lebih baik kepada pengguna lebuh raya,” katanya.

Menurut Nanta, pengecualian tol juga akan diberikan sempena pembukaan lebuh raya itu sehingga 2 Januari tahun depan.

“Pengguna lebuh raya yang memasuki Lebuhraya WCE Seksyen 6 ini dari Plaza Tol Bandar Bukit Raja Utara ke Plaza Tol Assam Jawa di kedua-dua arah menikmati tol percuma terbabit.

“Manakala bagi pengguna yang memasuki Lebuhraya WCE dari Seksyen 5 iaitu dari Plaza Tol Bandar Bukit Raja Selatan (NNKSB) ke Plaza Tol Assam Jawa di kedua-dua arah, nilai kadar tol Seksyen 5 sedia ada mengikut jenis kelas kenderaan masing-masing akan dikenakan seperti biasa,” tambahnya.

Nanta memberitahu, pemberian tol percuma menjadi amalan kelaziman setiap kali kerajaan membuka lebuh raya baharu kepada pengguna.

“Kita mengambil kira beberapa faktor antaranya cuti sepanjang Disember ini seperti Tahun Baharu dan sebagainya,” kata beliau.

Lebuhraya WCE merupakan laluan alternatif terbaharu yang menghubungkan antara negeri iaitu Selangor dan Perak.

Laluan berkenaan melibatkan pembinaan jajaran lebuh raya di sepanjang kawasan Banting, Shah Alam, Kuala Selangor, Tanjung Karang di Selangor dan seterusnya menyambung jajarannya di kawasan Hutan Melintang, Teluk Intan, Seri Manjung, Beruas sehingga ke Taiping.