Tag Archives: Wild One MAX

Tamiya Wild One MAX sebuah buggy RC yang menjadi saiz sebenar

RAMAI kanak-kanak (atau orang dewasa) berharap kereta kawalan radio (RC) mereka boleh menjadi sebenar dan dipandu di jalan raya. Kini, sebuah syarikat British berjaya merealisasikan mimpi dan angan-angan ramai kanak-kanak di seluruh dunia.

Mereka telah berjaya menghasilkan versi sebenar dari Tamiya Wild One klasik iaitu kereta RC skala 1:10 yang popular pada tahun 1980an. Kami telah beberapa kali membuat liputan perkembangan projek Wild One MAX ini, tetapi sebelum ini ia hanya prototaip. Kali ini ia didedahkan secara rasmi.

Syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan jentera ini ialah The Little Car Company (LCC), yang sebelum ini pernah mengeluarkan versi EV kecil untuk kereta klasik seperti Bugatti Baby II. Difahamkan Tamiya Wild One MAX akan membuat kemunculan awam pertama pada Goodwood Festival of Speed tahun ini.

Pada 2021, versi prototaip untuk Wild One dipacu oleh motor elektrik 5.5hp dari pek bateri kecil 2kWh. Ia disasarkan untuk mempunyai jarak pemanduan 40km dengan kelajuan 48km/j. Ia dicadangkan untuk dijual sebagai kereta kit yang anda perlu pasang sendiri.

Kini, versi produksi lebih besar, lebih berkuasa dan pastinya lebih mahal. Ia kini mendapat suspensi baharu double wishbone dengan spring Eibach dan penyerap hentak Bilstein.

Prestasi juga meningkat, Wild One MAX dikuasakan oleh motor dengan output 19hp ‘berterusan’ tetapi mempunyai kuasa puncak 37hp. Motor elektrik ini mendapat bekalan kuasa dari bateri 14.4kWh.

LCC berkata Wild One MAX ini mampu mencapai kelajuan 100km/j, mempunyai jarak pemanduan 200km dan dengan berat 498kg.

Kereta kawalan radio (RC) Tamiya Wild One dalam skala 1/10. Imej oleh: Yotuube

Sama seperti versi RC skala 1:10, Wild One MAX sebenar ini akan menjadi sangat seronok dipandu off-road. Untuk itu, ia mempunyai kelegaan tanah 10.6-inci, dan sudut mendekati 34.1-darjah serta sudut pelepasan 50.8-darjah. Jadi, tiada masalah memanjat laluan tidak rata.

Tayar off-road adalah model Maxxis Bighorn di belakang, manakala di depan adalah tayar jalanan biasa dengan rim 14-inci.

Juga terdapat banyak perincian menarik seperti pelekat badan yang sama dengan kit original. Kabinnya dilengkapi paparan instrumen dan suis-suis kalis air. 100 unit terawal akan hadir dengan Launch Edition yang mendapat kemasan gentian karbon.

Di UK, Tamiya Wild One MAX akan bermula pada harga 35,000 Pound (kira-kira RM210,000 pada kadar tukaran hari ini). Ia pastinya harga yang agak ‘keras’ untuk sebuah ‘mainan’, tetapi harus diingat ini merupakan mainan serius.

Tamiya Wild One MAX – kereta RC yang anda boleh pandu!

DILANCARKAN pada 1985, Wild One merupakan antara model kereta kawalan jauh (RC) paling popular pernah dihasilkan Tamiya. Malah, ia cukup diminati ramai sehinggakan Tamiya melancarkannya sekali lagi pada tahun 2012.

Kini, selepas lebih sedekad, jentera buggy itu akan membuat kemunculan semula namun kali ini, ia akan tampil sebagai sebuah kenderaan berskala penuh yang boleh dipandu.

Dikenali sebagai Wild One MAX, ia dibangunkan oleh The Little Car Company dengan kerjasama Tamiya. Reka bentuknya tidak ubah seperti versi RC namun oleh kerana ia didatangkan dalam saiz sebenar, Wild One MAX boleh memuatkan dua penumpang.

Bercakap tentang saiz, Wild One MAX mempunyai ukuran panjang 3.6 meter dan lebar 1.9 meter, dengan berat sekitar 500 kg.

Jarak lega tanah buggy ini ialah 270 mm, manakala sudut mendekat, breakover dan pelepasan masing-masing ialah 34.1 darjah, 28.4 darjah dan 50.8 darjah.

Kuasa pula dibekalkan oleh lapan pek bateri yang boleh ditanggalkan yang mampu menjana kuasa keseluruhan sebanyak 14.4 kWh. Kuasa ini disalurkan ke sebuah motor elektrik pada gandar belakang, membolehkan ia memecut sehingga 96 km/j.

Untuk pemanduan off-road, Wild One MAX dilengkapi dengan peredam Bilstein yang dipadankan dengan gegelung Eibach, berserta tayar Maxxis Bighorn. Kelengkapan lain yang tersedia termasuklah kerusi bucket Cobra dengan abah-abah empat poin, skrin digital lima inci dan cakera brek Brembo.

Bagi mereka yang ingin memandu kereta ini di jalan raya, The Little Car Company akan menawarkan pakej khusus bagi memastikan ia boleh digunakan di UK dan Eropah di bawah peraturan quadricycle L7e.

Harga masih belum diumumkan namun orang ramai yang berminat boleh membuat pra-tempahan secara dalam talian dengan bayaran £100 (RM564). Syarikat itu akan menghasilkan 100 unit Launch Edition terlebih dahulu, diikuti dengan versi-versi lain pada masa akan datang.