PADA 2020, Subaru memperkenalkan Airslayer, sebuah kereta berasaskan WRX STI yang menarik perhatian dunia dengan pelbagai stunt yang mengagumkan termasuk lompatan sejauh 230 kaki.
Kini, Subaru memperkenalkan pula evolusi kepada Airslayer yang dikenali sebagai Project Midnight. Ini merupakan kereta lumba WRX yang paling pantas pernah dihasilkan oleh Subaru Motorsports USA.
Tidak seperti Slayer yang dibangunkan untuk mendominasi Gymkhana dan rallycross, Project Midnight direka untuk satu tujuan sahaja iaitu kelajuan.
Oleh itu, langkah pertama yang diambil oleh Subaru adalah dengan mengurangkan berat. Project Midnight menggunakan badan gentian karbon dan casis yang lebih ringan, menjadikannya hampir 136 kg lebih ringan berbanding Airslayer dan 453 kg lebih ringan berbanding WRX standard.
Untuk aerodinamik, Subaru menggunakan kit badan ultra lebar dan spoiler lebih besar seperti yang terdapat pada kereta rali WRX ARA24, manakala untuk roda pula ia menggunakan rim OZ Racing Superturismo LMP berukuran 18 inci yang dibalut tayar Yokohoma Advan.
Selain itu, geometri sistem suspensi juga telah ditala semula untuk mendapatkan cengkaman yang lebih tinggi di atas permukaan tar.
Di bawah bonet adalah enjin turbo 2.0 liter empat silinder yang menghasilkan 670 hp dan 921 Nm. Diambil dari pasukan rallycross Subaru, enjin ini boleh berputar sehingga 9,500 rpm dan mempunyai ekzos yang keluar dari bonet.
Project Midnight akan membuat kemunculan sulungnya menerusi acara Goodwood Festival of Speed yang akan berlangsung bulan ini.
Subaru berkata Project Midnight akan mengharungi pelbagai cabaran dan menetapkan rekod baharu dengan bantuan pemandu Subaru Motorsports USA iaitu Scott Speed.